Cucur Manis

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini merupakan hari kedua terakhir sebelum berakhirnya fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkahir 31 Mac, seterusnya disambung ke fasa kedua bermula 1 sehingga 14 April. Wabak Corona Virus atau Covid-19 ini sangat menggemparkan dunia, malah tamadun moden hari ini. Beberapa perkara besar yang dihadapi seolah sebelum ini dianggap mustahil, berlaku kini. Wabak yang menyerang seluruh dunia ini tidak mengenal bangsa, agama, budaya, negara ataupun kekuasaan politik. Memberi kesan yang besar kepada ekonomi, sosial, kesihatan dan kehidupan bernegara.

Jika hendak direnungi dengan lebin mendalam, nyatalah kita ini manusia hanya hamba dan kekuasaan mutlak dan paling agung ialah Allah SWT. Segala yang berlaku di pemukaan bumi, di dalam perut bumi, di langit dan di angkasaraya semuanya di bawah kekuasaan, ketetepan dan pengetahuan Allah SWT. Tiada kekuatan dan kekuasaan melainkan Allah SWT.

Banyak perkara yang boleh dimanfaatkan dalam tempoh PKP ini. Namun ia kembali kepada diri sendiri bagaimana masa dan peluang ini digunapakai sebaiknya. Bagi mereka yang perlu terus bekerja, pastinya ia merupakan satu pengorbanan dan cabaran bagi memberi khidmat kepada masyarakat. Pelihara masa kerana masa itu emas, dan sesaat jua tidak akan dikembalikan apabila ia telah berlalu.

Antara perkara menarik untuk dilakukan ialah memasak. Maka, kita boleh masak resepi yang mudah sahaja, ikut selera tekak dan bahan-bahan yang tidak leceh untuk disediakan. Bukan apa, stok di kedai kadang-kadang barang yang diingini tiada.

Di sini saya ingin berkongsi resepi cucur manis. Saya memperoleh resepi daripada youtube. Mudah sahaja.

Bahan-bahan:
1- 3 cawan tepung gandum
2- 4 sudu besar gulu pasir
3- 1/2 sudu teh garam
4- 3 cawan air panas
5- Minyak masak kelapa sawit

Cara memasak:
1- Campurkan tepung gandum, gula pasir dan garam. Gaulkan sekata.
2- Masukkan air panas, gaul dan uli sehingga sekata.
3- Gunakan sedikit air untuk membasakan tangan, ambil bancuhan dan bentukkan bulat2 sebesar bola pingpong. Air bertujuan mengelakkan bancuhan melekat dan sukar untuk dibentukkan.
4- Goreng dalam minyak dengan api yang sederhana besar. Kerapkan dibalik-balik agar cucur masak sekata dan warnanya menarik tidak terlalu coklat. Bancuhan ini boleh menghasilkan sekitar 50 biji cucur.
5- Sedia dihidangkan.

Resepi ini sangat mudah dan diminati oleh kanak-kanak kerana ianya manis. Tidak terkecuali juga yang dewasa. Selamat mencuba!


Hidup terus mencari...

Bandar Baru Bangi,
5 Sya'ban 1441 Hijrah.

Comments