Kisah Ikan Lee Koh dan Tempoyak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kisah ini bermula apabila memikirkan stok tempoyak yang masih ada dalam peti ais di rumah. Walaupun ia dinamakan stok, maka ia perlulah dihabiskan atau digunakan. Bukan simpan bertahun-tahun sehingga mencecah setengah dekad dalam peti ais. Maka kepala ligat untuk mencari resepi apa yang menarik. Terlintas untuk membeli apa-apa ikan jenis air tawar untuk dibuat masak tempoyak.

Ada sesetengah orang tidak suka makan ikan air tawar. Alasannya kerana mempunyai bau, iaitu bau hanyir yang tidak disebangi sehingga tiada selera untuk dimakan. Ada sesetengah orang yang tidak menggemari bau-bau tersebut dalam ikan atau daging menyebabkan mereka tidak akan memilih makanan yang bersumberkan keduanya itu sebagai pilihan makanan. Ini menjadikan lauk kegemaran hanya ayam dan ikan air laut sehingga terlepaslah sebahagian dari merasai kenikmatan hidup iaitu memakan ikan air tawar. Ikan-ikan ini hanyir kebiasaannya disebabkan lendir-lendir pada badan mereka dan pastinya lendir ini sangat penting bagi kehidupan sesekor ikan.

Apakah ikan air laut tidak mempunyai bau? Apa yang saya tahu, ikan air laut juga sesetengahnya mempunyai bau seperti ikan bawa, ikan pari dan ikan siakap. Malah, hidupan laut yang lain juga banyak mempunyai bau seperti udang, kerang, sotong, ketam, kepah dan lain-lain. Bau paling hanyir yang pernah dialami ialah hati ikan pari. Walaupun tidak berselera untuk setiap kali berpeluang memakannya, namun itulah yang melekat sebagai memori. Cara memasaknya seperti bakar dengan dibalut daut kunyit atau daun kaduk. Daging-daging juga mempunyai bau seperti lembu, kambing dan unta.

Mengapa kerana bau itu, maka tidak mahu makan makanan tersebut? Jika ia adalah bau lendir semulajadi haiwan tersebut, ia boleh dihilangkan dan dikurangkan dan seterusnya selesa untuk dimakan. Terdapar pelbagai cara dan petua untuk menghilangkan bau pada ikan. Antaranya yang saya peroleh dari laman web umpan.com.my ialah perap dengan cuka makanan, perap dengan tepung gandum atau beras, ramas dengan daun serai, lumurkan dengan daun pisang atau daun jambu, rendamkan dalam larutan garam dan jus limau kasturi, perap dengan air asam jawa, air basuhan beras, rendaman susu, perap dengan halia, sapu minyak bijan dan menggunakan jus lemon. Cara lain yang boleh diguna terus untuk dimasak ialah dicampur dnegan pes serbuk kunyit dan garam sahaja atau ditambah tepung jagung. Cara untuk simpanan sebagai stok jangka panjang, sejuk bekukan ia.

Terjumpa ikan Lee Koh ini di pasar. Saya bukanlah tahu sangat tentang nama ikan, namun bertanya kepada yang kenal mereka kata ikan Jelawat. Setelah tanya kembali ke pasar dan merujuk dalam internet, ia adalah ikan Lee Koh. 

Resepi ini saya tengok-tengok dari internet juga. Sangat mudah untuk menyediakan masakan kuah tempoyak. Maka masakan yang saya buat ialah ikan Lee Koh masak tempoyak. Ia adalah versi tidak pedas secara langsung.

Bahan-bahannya ialah:
- Satu ekor sederhana ikan Lee Koh
- Lima sudu besar tempoyak
- Satu batang serai
- Setengah/satu helai daun kunyit
- 20-30 helai daun kesum
- Satu inci suku kunyit hidup
- Cili keci/cili padi
- Gula
- Garam
- Maggi Secukup Rasa

*Tambahan saya meletakkan kacang panjang sebagai sumber sayuran dalam hidangan kerana kemalasan untuk masak lauk lain.

Cara masak:
1- Hentak dan hancurkan kunyit hidup. Lumurkan pada badan ikan.
2- Letak air satu gelas dalam kuali. Panaskan dan letak tempoyak. Kacau sehingga air dan tempoyak serasi.
3- Letakkan ikan. Tambah air sehingga menutupi paras ikan.
4- Letak serai yang telah dihentak, daun kunyit dan daut kesum. Juga kacang panjang. Saya sangat suka daun kesum. Jika makan laksa memang meratah daun kesum dan bunga kantan.
5- Masak dengan api yang sederhana, lebih baik ditutup agar lebih cepat masak dan empuk.
6- Rasa peringkat awal kuah tempoyak untuk tahu tahap rasanya. Kemudian tambahlah garam dan gula secukup rasa serta dicukupkan rasa dengan Maggi Secukup Rasa.
7- Hidang panas dan makan dengan nasi panas.

Hasil:
Saya hampir pasti bahawa masakan tempoyak ini adalah antara yang sedap saya pernah rasa dan masak. Bukan bermaksud masuk bakul angkat sendiri, tapi memang agak terangkat kali ini. Kuahnya mengancam walau hanyir ikan air tawar masih dirasai. Alhamdulillah Allah masih beri kesempatan untuk perut saya berfungsi hasil daripada degupan jantung dan nyawa yang diberi.

Ini hasilnya yang tidak seberapa...

Sekiranya anda mahu mengetahui lebih lanjut berkenaan ikan ini, bolehlah melawat di sesawang umpan.com.my, wikipedia dan jorancahaya. Menurut artikel oleh Mohammad Raduan bin Mohd Ariff et al. (2011) serba sedikit berkenaan tenakair di Malaysia. Beliau menjelaskan:

Spesies utama yang diternak di dalam kolam air tawar di Semenanjung Malaysia ialah belut, tilapia merah, tilapia hitam, lee koh, lampam jawa, jelawat, kap rumput dan ikan keli. Sementara spesies utama yang diternak dalam sangkar air tawar ialah tilapia merah dan ikan patin. Spesies utama ikan yang diternak dalam bekas lombong ialah kap kepala besar dan kap rumput dan ikan yang diternak dalam tangki simen terdiri daripada spesies tilapia merah dan ikan patin. 
Antara penyakit yang boleh mengjangkiti ini ialah Jangkitan Trichodina. Ia menjangkiti semua jenis ikan seperti Kap Kepala Besar, Tilapia, Kap Rumput, Lee Koh dan Lampam Jawa. Jangkitan ini cepat merebak di kolam yang berlaku kemerosotan mutu air sehingga boleh menyebabkan kematian yang tinggi terhadap ikan.

Rujukan:
1- Mohammad Raduan bin Mohd Ariff, Mohammad Sharir, Ismail Ali, Mazlan Majid dan Hanafi Hussin. (2011). Perkembangan Perusahaan Perikanan Di Semenanjung Malaysia: Isu Dan Persoalan. Jati. Vol.16: 265-299.
2- https://www.umpan.com.my/info-spesies-kenali-ikan-lee-koh/
3- https://ms.wikipedia.org/wiki/Ikan_Lee_Koh
4- http://jorancahaya.blogspot.com/2016/02/pesta-lee-koh-di-jerlun-kedah.html
5- https://www.arc.com.my/info/pki.html

Hidup terus mencari...

Bandar Baru Bangi,
29 Jamadil Awwal 1441H.

Selamat Tahun Baru Cina.

Comments