Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Artikel ringkas ini untuk dikongsi manfaatnya kepada semua. Semoga Allah SWT merahmati.
Mukadimah
Nabi Muhammad SAW merupakan Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dan jin. Perutusan Baginda merupakan suatu rahmat yang agung yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada alam ini. Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ
Maksudnya:
Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam).
Hadith tersebut adalah riwayat al-Darimi, No: 15, al-Hakim dalam al-Mustadrak, No: 98. al-Hakim berkata bahawa hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.
(Gambar hiasan)
Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Anbiya' (21) ayat 107:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
Alam bermaksud seluruh makhluk ciptaan Allah SWT manakala rahmat bermaksud kasih sayang. Disebut sebagai Alam kerana ia adalah menjadi tanda kepada kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa.
Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT, melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Hanya wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah boleh membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan. Maka wajiblah setiap Muslim beramal dengan sunnah dan menjadikannya sebagai panduan dan teladan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, para sahabat baginda dan para salafusoleh yang telah mendapat petunjuk daripada Allah SWT (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2019).
Latar Belakang Kajian
Kajian ini adalah memberi tumpuan kepada kajian dan analisis peranan Rasulullah SAW sebagai pendidik dalam masyarakat. Kaedah pendidikan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW perlu dijadikan asas dan rujukan. Ini kerana Baginda SAW merupakan model terbaik yang mengajak umat Islam mengamalkan ajaran agama dan akhlak Islamiyyah (Mohd Rashidi bin Omar et al., 2014). Rasulullah SAW menjadi model yang terbaik disamping kejayaan pendidikan yang dibawa Baginda adalah berkait rapat diri Baginda sebagai utusan Allah SWT disamping kebijaksanaan Baginda sendiri. Kedua-dua faktor ini menjadi asas kepada metodologi dan teknik yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW disamping mendapat sokongan wahyu daripada al-Quran (Kamarul Azmi, 2007).
Keadaan ini jelas melalui firman Allah SWT dalam surah al-Najm (53) ayat 3 sehingga 4:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ 3 إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ 4
Maksudnya:
Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Qur’an atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
Sokongan wahyu yang dijelaskan oleh Allah SWT di atas membawa maksud bahawa pendidikan Rasulullah SAW kepada para sahabatnya seterusnya kepada umat manusia merupakan pendidikan yang dipimpin sendiri oleh Allah SWT. Oleh kerana Allah yang mencipta sekalian alam termasuk manusia dan jin, maka sudah tentu Dia Maha Mengetahui teknik yang terbaik untuk mendidik umatnya.
Baginda sebagai pendidik mempunyai bahan pengajaran yang lengkap yang tidak langsung kekurangannya serta bersifat sempurna. Hal ini disebabkan oleh wahyu Al-Qur’an tersebut datang sendiri daripada Allah SWT dan segala sunnah serta hadis Baginda merupakan sesuatu yang terpimpin dan terbimbing. Justeru, kajian ini bertujuan mengkaji dan menganalisis peranan Rasulullah SAW sebagai pendidik dalam masyarakat.
Objektif Kajian
1. Mengenalpasti usaha-usaha Rasulullah SAW mendidik masyarakat.
2. Mengenalpasti seruan Rasulullah SAW agar beriman kepada Allah SWT.
3. Mengenalpasti seruan Rasulullah SAW agar mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.
Persoalan Kajian
1. Apakah usaha-usaha Rasulullah SAW mendidik masyarakat?
2. Apakah seruan Rasulullah SAW agar beriman kepada Allah SWT?
3. Apakah seruan Rasulullah SAW agar mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya?
Definisi Kajian
Peranan
Peranan bermaksud tugas (bahagian, pekerjaan) yang dilakukan untuk menjayakan sesuatu (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2019a).
Rasulullah SAW
Ia berasal daripada istilah bahasa Arab yang merujuk kepada gelaran khas kepada Nabi Muhammad SAW (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2019b).
Pendidik
Pendidik bermaksud orang yg mendidik atau guru (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2019c). Ia berasal daripada perkataan didik yang bermaksud mendidik menjaga dan mengajar, melatih dan lain-lain (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2019d).
Masyarakat
Masyarakat bermaksud sekumpulan orang yg hidup bersama di sesuatu tempat dgn cara-cara dan peraturan-peraturan tertentu (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, 2019e).
Kesimpulan
Kesimpulannya, kajian ini adalah berkenaan menganalisa dan mengkaji tugas yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah dan penutup segala Nabi dalam mengajar, melatih, memberi didikan kepada masyarakat khususnya Quraisy ke arah beriman kepada Allah SWT, umumnya seleuruh umat manusia dalam melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
Metodologi Kajian
Metodologi kajian ini ialah kajian kualitatif menggunakan kaedah kepustakaan. Kajian kualitatif ialah penyelidikan yang cenderung kepada metode pengumpulan data melalui pemerhatian atau analisis kandungan dokumen (Ahmad Sunawari Long, 2005). Manakala kaedah kepustakaan ialah pencarian bahan-bahan sekunder seperti laporan-laporan, risalah-risalah atau majalah, suratkhabar sama ada bahan yang bertulisan tangan atau bercetak yang melaporkan sesuatu peristiwa dan lain-lain bentuk penulisan dan penerbitan dari pihak-pihak tertentu yang ada hubungannya dengan masalah yang diselidiki (Cates, 1990). Pengetahuan yang diperoleh daripada karya-karya berkaitan membolehkan penyelidik menerang dan menjelaskan latar belakang sesuatu masalah serta mengenalpasti sejauh mana masalah yang wujud di dalam sesuatu bidang telah dikaji (Mohd Majid Konting, 1998).
Oleh yang demikian, pengkaji merujuk kepada artikel-artikel serta penulisan yang membicarakan beberapa isi penting yang perlu dirungkaikan dalam kajian ini seperti bentuk seruan atau dakwah Nabi SAW kepada masyarakat Quraisy semasa di Mekah dan Madinah, mencari hubungkait secara langsung dengan dakwah yang dilaksanakan oleh Nabi SAW dalam konteks pendidikan. Maka pengkaji juga perlu melihat apakah aspek-aspek pendidikan yang wujud dalam diri atau dakwah Nabi SAW kepada masyarakat Baginda. Seterusnya pengkaji juga perlu menyertakan dalil-dalil yang menjelaskan ganjaran kepada para pendidik dan pendakwah yang membimbing manusia kepada keimanan kepada Allah SWT dan ketakwaan.
Kesimpulannya, metodologi kualitatif dengan menggunakan kaedah kepustakaan membantu pengkaji menganalisis dan merungkai seterusnya menjawab persoalan-persoalan yang berkaitan dengan tajuk kajian.
Sorotan Literatur
Pendahuluan
Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul pada umurnya mendekati separuh abad atau tepatnya pada umur 40 tahun. Bermula saat itu, Baginda mengahabiskan sisa hidupnya hanya melaksanakan tugas berdakwah menegakkan tauhid dan syariat Islam. Baginda berdakwah dengan seluruh jiwa raganya, menempuhi begitu banyak halangan dan rintangan, namun Baginda tetap berhasil melaksanakan misi dan dakwahnya atau amanah kerasulannya dengan cemerlang dan penuh dengan hikmah ketauladanan.
Bentuk seruan Rasulullah SAW kepada Masyarakat di Mekah dan Madinah
Dakwah Nabi Muhammad SAW secara khusus terbahagi kepada dua peringkat, iaitu: pertama, Mekah dan; kedua, Madinah. Baginda berdakwah di Makkah selama hampir 10 tahun (al-Mubarakfuri, 2005). Di peringkat Mekah, dakwah Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat Quraisy lebih lebih berfokus kepada peningkatan kualiti akidah atau ketauhidan dan mengajak mereka untuk meninggalakan segala bentuk peribadatan atau penyembahan selain Tuhan yang Maha Esa sahaja iaitu Allah. Keutamaan dakwah Nabi Muhammad kepada masyarakat Mekah adalah: pertama, ketauhidan; kedua, menjelaskan adanya kehidupa setelah mati; ketiga, mengubah perilaku jahiliyah masyarakat Quraisy; dan keempat, menegakkan hak asasi manusia dan menghapus sistem kasta.
Seterusnya, peringkat dakwah di Mekah ini pula terbahagi kepada dua bentuk ialah secara sembunyi-sembunyi (sirriyyah) dan terang-terangan (jahriyyah). Dakwah sirriyyah adalah dakwah Nabi SAW yang dilakukan kepada sasaran yang mencakup keluarga terdekat, sahabat, dan orang-orang yang dianggap boleh dipercaya oleh Baginda sendiri. Golongan ini digelar sebagai assabiqunal awwalun. Mereka terdiri daripada Khadijah binti Khuwailid, Zaid bin Harisah, Ali bin Abi Talib, Abu Bakar al-Siddiq, Bilal bin Rabah, Ummu Aiman, Hamzah bin Abdul Mutalib, ‘Abbas bin Abdul Mutalib, Abdullah bin ‘Abd al-Asad, Ubay bin Ka’ab, Abdullah bin Rawahah, Abdullah bin Mas’ud.
Sasaran golongan yang menerima dakwah (mad’u) dalam bentuk sembunyi atau terang-terangan dijelaskan seperti rajah di bawah:
Rajah 1: Peringkat Dakwah Nabi Muhammad SAW di Mekah
Dakwah sirriyyah ini dilakukan selama tiga tahun setelah kerasulan. Antara bentuk perintah yang diterima oleh Nabi SAW semasa peringkat dakwah ini ialah sepertimana yang diterangkan dalam surah al-Mudassir (74) ayat 1 sehingga 7:
يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ 1 قُمْ فَأَنذِرْ 2 وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ 3 وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ 4 وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ 5 وَلَا تَمْنُن تَسْتَكْثِرُ 6 وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ 7
Maksudnya:
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
Ayat-ayat di atas mengandungi perintah-perintah Allah SWT kepada Nabi SAW iaitu: pertama, segera bergegas melaksanakan perjuangan membela agama Allah; kedua, melaksanakan tugas berdakwah dan mengajak manusia kepada agama Islam; ketiga, membuat persiapan luaran dengan memperbaiki luaran dan persiapan dalaman menyucikan hati; keempat, sentiasa berakhlak mulia dan berbudi luhur; kelima, bersabar dan tabah menghadapi ujian berdakwah. Sebahagiannya dijelaskan oleh Ahmad Mahdi Rizqullah (2006).
Justifikasi dakwah secara sirriyyah adalah: pertama, menghindari pertentangan fizikal secara langsung; kedua, pengikut Nabi SAW ketika itu masih dalam fasa akar umbi iaitu pembangunan kualiti keimanan; ketiga, masyarakat Mekah yang masih berkahlak jahiliyah dan beragama paganisme. Bagi menghindari hal-hal tersebut Nabi SAW sangat hati-hati dalam melaksanakan dakwahnya. Kaedah dakwah yang digunakan oleh Baginda memberi fokus terhadap pendekatan personal dengan menghadap wajah secara langsung dengan menyampaikan kandungan dakwah agar dapat diterima dengan baik selaras dengan tutur kata dan perilaku Baginda yang agung (Mubasyaroh, 2015).
Manakala dakwah secara jahriyyah pula bermula apabila turunyya firman Allah SWT daripada surah al-Hijr ayat 94 dan 95 dan al-Syu’ara’ ayat 214 dan 215. Sasaran dakwah Nabi SAW pada peringkat jahriyyah ini lebih luas berbanding sirriyyah. Contohnya Baginda telah mengumpulkan keluarga besar Bani Hasyim dalam sesuatu jamuan makan dan mengumpulkan seluruh penduduk Mekah dengan menyeru mereka di atas bukit Safa. Pada peringkat ini, Nabi SAW menerima respon dakwah yang berbeza-beza daripada keluarga besar Baginda sendiri khususnya dan masyarakat Mekah umumnya.
Antara respon yang diterima oleh Nabi SAW adalah: Pertama, langsung menerima dakwah Nabi SAW seperti yang dilakukan oleh Ali bin Abi Talib. Kedua, menolak tanpa kekerasan seperti sebahagian masyarakat Mekah daripada pedagang-pedangang kelas menengah yang telah mengenali sosok Nabi serta peribadi baginda yang mulia. Ketiga, kebimbangan terhadap Nabi SAW seperti yang berlaku ke atas sebahagian masyarakat Mekah daripada golongan miskin dan bawahan. Mereka telah mengenali ketinggian budi pekerti Nabi SAW, tidak melakukan kebiasaan amalan jahiliyyah, namun masih ragu kerana keteguhan hati terhadap kepercayaan nenek moyang mereka menyembah berhala.
Keempat, menolak dengan permusuhan serta menakut-nakutkan dan menggertak. Hal ini dilakukan oleh mereka yang membenci Nabi SAW kerana menganggap dakwah Nabi tersebut menghalang mereka berdagang dan beribadah sesuai dengan kepercayaan dan kehendak hawa nafsu mereka. Mereka kebanyakannya terdiri daripada saudagar kaya, para bangsawan serta golongan yang menjawat peranan serta kedudukan penting dalam kalangan masyarakat Mekah. Kemuncak kaedah dakwah Nabi SAW di Mekah adalah penghijrahan ke Habsyah dan Madinah atau Yathrib atas perintah Allah SWT. Ia juga merupakan salah satu strategi dakwah Nabi bagi mengelakkan lebih banyak seksaan dan tekanan kepada umat Islam.
Dalil Ganjaran Terhadap Golongan Pendidik Masyarakat
Apa yang dimaksudkan pendidik di sini ialah guru. Seseorang pendidik pastinya merupakan seorang yang mempunyai kelebihan ilmu berbanding muridnya. Di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW banyak menceritakan akan galakan untuk menuntut ilmu dan salah satu wasilah atau caranya melalui pendidik. Situasi ini menggambarkan wujudnya berbezaan dua golongan iaitu golongan yang berilmu dan golongan yang tidak berilmu. Perbezaan ini secara jelas dinyatakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
يَرْفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ أُوتُوا ٱلْعِلْمَ دَرَجَٰتٍ
Maksudnya:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan kamu) beberapa darjat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar (39) ayat 9:
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya:
Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
Golongan pendidik dan ulama juga dianggap sebagai penyambung dakwah dan peranan Nabi SAW kerana mereka menyampaikan ilmu dan kebenaran yang seterusnya membawa manusia beriman kepada Allah serta mengetahui apa yang perlu dilaksanakan daripada perintah-perintah Allah dan apa yang perlu dijauhi daripada larangan-larangan Allah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fussilat (41) ayat 33:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya:
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW:
وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya:
Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguhpun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.
(Riwayat Abu Daud, No. hadith 3157)
Pendidik masyarakat merupakan seorang insan yang mulia dan tinggi kedudukannya. Tugas mendidik adalah satu tugas yang mulia kerana ia juga adalah tugas para nabi dan rasul. Setiap pendidik akan mendapat pahala yang besar dengan setiap ilmu yang diajarkannya, bahkan semua makhluk Allah SWT sama ada di langit atau di bumi sentiasa mendoakan kebaikan kepada para pendidik.
Diriwayatkan oleh Abu Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.
(Riwayat al-Tirmizi, No. hadith 2609)
Golongan pengajar atau pendidik berpeluang memperoleh keselamatan dan kebebasan daripada laknat dan azab Allah SWT. Setiap yang diajar oleh pendidik akan membuahkan pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
Maksudnya:
Ketahuilah! Sesungguhnya dunia dan segala isinya adalah dilaknat kecuali dengan berzikir kepada Allah SWT dan apa yang terlibat dengannya, serta orang yang alim (tahu) atau orang yang belajar.
(Riwayat al-Tirmizi, No. hadith 2244)
Diriwayatkan oleh Muaz bin Anas RA, bahawa Rsulullah SAW:
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksudnya:
Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun.
(Riwayat Ibn Majah, No. hadith 236)
Fokus usaha pendidikan Rasulullah SAW terhadap masyarakat di Mekah dan Madinah
Usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Nabi SAW sangatlah kental, fokus dan tahap komited serta keyakinan yang tinggi. Beberapa peristiwa sepanjang perjalanan dakwah Nabi SAW menjadi bukti atau kesungguhan Baginda melaksanakan serta menyempurnakan tugas sebagai Rasul akhir zaman.
(Gambar hiasan)
Peristiwa pertama: Diketahui bahawa Nabi SAW sering dihina dan diganggu dalam setiap usaha dakwahnya. Pernah suatu ketika Abu Lahab selaku bapa saudara Nabi SAW mengambil segenggam debu tanah lalu disemburkan ke kepala Rasulullah SAW seraya berkata “Berhati-hatilah, wahai orang-orang Arab dari si tukang sihir ini! Berhati-hatilah kalian dari si penyair ini!” Peristiwa lain, pada suatu malam ketika Nabi SAW berada di Masjidil Haram, Abu Lahab menyuruh isterinya Ummu Jumail untuk menabur duri di jalan yang dilalui Nabi SAW. Ini telah menyebabkan ketika Baginda berjalan melewati jalan tersebut, kaki Baginda akan terkena duri. Sambil Baginda membersihkan darah disebabkan tusukan duri di kaki Baginda, Baginda berdoa “Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui kebenaran dakwahku” (al-Qarni, 2005).
Peristiwa kedua: Ketika Allah menurunkan wahyu yang memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk dakwah secara terang-terangan, maka Baginda kemudiannya naik ke bukit Safa mengumpulkan masyarakat Quraisy. Baginda menyeru kepada semua orang yang hadir untuk menyatakan keesaan Allah SWT dan hanya menyembahNya. Namun kebanyakan yang hadir di bukit tersebut menghina Baginda termasuk bapa saudara Baginda sendiri, Abu Lahab. Abu Lahab dengan sombongnya menghina Nabi SAW dengan berkata “Celakalah engkau Muhammad! Hanya untuk inikah kau mengumpulkan kami?” (al-Qarni, 2005). Namun, dengan hinaan dan cercaan yang sedemikian hingga beliau tetap sabar dan tabah.
Peristiwa ketiga: Setelah sebahagian umat Islam berhijrah ke Habsyah, Nabi SAW pun berusaha untuk berdakwah ke wilayah lain, iaitu bandar Taif dengan penuh harapan bahawa kelak Baginda akan diterima baik di sana berdasarkan pengetahuan Baginda bahawa masyarakat Taif terkenal dengan sifat ramah. Malangnya Baginda menerima lemparan batu oleh penduduk Taif. Baginda menerima luka yang teruk dan darah mengalir banyak daripada luka tersebut. Baginda dibantu dan dilindungi oleh Zaid bin Harisah yang menutpi badan Baginda.
Akhirnya Baginda berteduh di sebuah kebun kurma. Ketika itu datanglah malaikat penjaga gunung yang berkata: “Ya Rasulullah, jika engkau menghendaki, Allah telah mengizinkanku menghukum mereka dengan membalikkan gunung ini ke mereka”. Namun pelawaan malaikat tersebut dibalas dengan sabdaan Nabi: “Jangan! Sesungguhnya aku memohon kepada Allah untuk mengeluarkan dari keturunan-keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya” (al-Qarni, 2005).
Kesemua peristiwa yang dinyatakan di atas selari dengan apa yang tercatat di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT dalam surah al-Fussilat (41) ayat 43:
وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
Maksudnya:
Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
Dakwah Rasulullah SAW kepada Masyarakat di Mekah dan Madinah dari Perspektif Pendidikan
Pertama: Menyediakan Diri dengan Peribadi seorang Pendidik
Nabi Saw sebagai seorang pendidik mengajar manusia dengan membacakan firman-firman Allah SWT yang diwahyukan kepadanya. Melalui firman tersebut Nabi SAW membimbing manusia agar terselamat daripada amalan syirik dan maksiat yang boleh mengundang murka dan azab Allah SWT. Nabi SAW menyampaikan firman tersebut tidak semata-mata membacanya sahaja sesuatu yang belum diketahui, namun memberi pengajaran dan pelajaran agar manusia yang mendengarnya mampu memperoleh kefahaman dan penghayatan. Ini tidak lain kerana kebijaksanaan Nabi SAW serta hikmah yang dikurniakan Allah SWT kepada Baginda.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (2) ayat 151:
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولًا مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
Kedua: Mempunyai Seni dan Kehalusan Perasaan
Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah (9) ayat 128:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksdnya:
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
Ketiga: Memiliki Hikmah Kebijaksanaan dan Mampu Berbahas
Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl (16) ayat 125:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Keempat: Memberi Didikan dengan Tekun dan Bersungguh-sungguh
Sebagai seorang pendidik, Nabi SAW akan menjelaskan apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang, memerintahkan apa yang disuruh dan menegah apa yang dimurkai Allah SWT. Sesungghnya tindakan menyatakan sedemikian bakal memberi manfaat dan faedah kepada manusia kerana ianya boleh mengundah rahmah dan keredaan Allah. Walaupun bertaraf Nabi dengan amanah mendidik manusia, fitrah Allah tetap menciptakan golongan yang terus ingkar dan tidak mahu mengikuti nasihat serta kebenaran. Seorang pendidik harus mempunyai kesedaran dan insaf bahawa tugas mendidik merupakan amanah yang perlu dilaksanakan, namun natijahnya sama ada didikan tersebut diterima atau sebaliknya (diberi hidayah) adalah ketepatan Allah kerana pemberian hidayah hanyalah milik Allah.
Surah Ali Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya:
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Pendekatan Yang Diaplikasi Rasulullah SAW Dalam Mendidik Masyarakat
Pertama: Menjelaskan Apa Tugasannya
Dakwah yang dipandu oleh Baginda SAW adalah bertunjangkan akhlak dan pekerti yang mulia. Sabda Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA:
إنما بعثت لأتمم صالح الأخلاق
Maksudnya:
Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
(Riwayat Imam Ahmad)
Kedua: Mendidik dengan Memberi Tunjuk Ajar Yang Jelas
Rasullah SAW mengajar kita bahawa dakwah dan akhlak adalah saling berkaitan. Ia tidak boleh berpecah dua. Ia perlu bergabung menjadi satu. Baginda SAW begitu teliti dalam mendidik Sahabat, dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara. Lihat sahaja kepada pesanan Baginda SAW kepada umat Islam untuk saling menjaga hak sesama Muslim seperti dalam hadith berikut:
“Hak sesama Muslim ada enam perkara.” Lalu Baginda Nabi SAW ditanya, “Apakah enam perkara itu, ya Rasulallah?” Jawab Baginda, “(1) Apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam. (2) Apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya. (3) Apabila dia minta nasihat, berilah nasihat. (4) Apabila dia bersin lalumembaca tahmid, doakanlah dia semoga dia beroleh rahmat. (5) Apabila dia sakit, ziarahlah dia. (6) Dan apabila dia meninggal dunia, ikutlah menghantar jenazahnya ke kubur."
(Hadith riwayat Imam Muslim)
Ketiga: Menggunakan Kata-kata yang Baik dan Berhikmah
Dakwah Baginda SAW juga penuh lunak, memujuk dan menjinak. Kasar dan keras selalunya membuatkan orang terasa dan jauh hati. Berbeza natijahnya jika kita menggunakan pendekatan berlemah lembut. Agama itu adalah nasihat menurut sebuah hadith daripada Abi Ruqayyah, Tamim al-Dariy RA, bahawa Baginda SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Agama itu merupakan nasihat” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda Baginda: "Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya”
(Hadith riwayat Muslim)
Keempat: Berperanan Sebagai Pemudah Cara Dan Pemberi Khabar Gembira
Dalam sebuah riwayat al-Bukhari, dikisahkan seorang Badwi berdiri dalam masjid, lalu dia kencing di situ. Langsung orang ramai yang melihatnya melaung-laung marah dan meminta Nabi SAW menghalang perbuatan tersebut. Nabi SAW telah membiarkan sahaja Badwi tersebut sebaliknya mengarahkan mereka mengambil sebekas air. Baginda SAW juga mengingatkan para sahabat supaya berperanan sebagai pemudah cara dan pemberi khabar gembira. Sabda Nabi SAW dalam riwayat al-Bukhari yang bermaksud:
“Hendaklah kamu mempermudahkan dan janganlah menyusahkan dan berilah khabar gembira (yang baikbaik) dan janganlah meliarkan mereka.”
Rujukan
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia. 2019. Rasulullah SAW Pembawa Rahmat ke Seluruh Alam. http://www.islam.gov.my/e-hadith/1705-rasulullah-saw-pembawa-rahmat-ke-seluruh-alam
[15/11/2019].
Mohd Rashidi bin Omar, Nor Azizah binti Shamli
dan Saniah binti Mohammed Shahid. (2014). Metodologi Pengajaran Dan
Pembelajaran Menurut Perspektif Islam: Kebitaraan Pendekatan Rasulullah SAW
Sebagai Pendidik. Gerik: Konvensyen
Kebitaraan Junjungan Mulia 2014 (INSAN2014).
Kamarul Azmi Jasmi, Ab. Halim Tamuri. (2007). Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2019a). Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=peranan [16/11/2019].
Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2019b). Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rasulullah [16/11/2019].
Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2019c). Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pendidik [16/11/2019].
Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2019d). Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=didik [16/11/2019].
Ahmad
Sunawari Long. 2005. Pengenalan Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Cates, Ward Mitchell. 1990. Panduan Amali untuk
Penyelidikan Pendidikan. Syaharom Abdullah (terj.). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mohd Majid Konting. 1998. Kaedah Penyelidikan
Pendidikan. Cet. 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
al-Mubarakfuri,
Safiy al-Rahman. (2005). Sirah Nabawiyah. Terj. Kathur Suhardi. Cet. 4.
Jakarta: Pustaka Al-Kautsar.
Ahmad
Mahdi rizqullah, Biografi Rasulullah: Sebuah Studi Analitis Berdasarkan
Sumber-Sumber Yang Otentik Jakarta: Qisti Press (2006)
Mubasyaroh, Mubasyaroh. "Karakteristik
Dan Strategi Dakwah Rasulullah Muhammad Saw Pada Periode Makkah."
AT-TABSYIR STAIN Kudus 3.2 (2015). Hal 397-399
al-Qarni,
‘A’id ‘Abdullah. (2005). Al-Quran Berjalan Potret Keagungan Manusia Agung.
Jakarta: Sahara Publisher.
Semoga bermanfaat.
Bandar Baru Bangi,
24 Rabi'iul Akhir 1441H.
Comments