Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Sejak semalam telah berada di kampung. Bertolak dari Kuala Lumpur sekitar jam 0445 menuju Hulu Perak dan sampai di kampung sekitar 0830 dengan menunaikan solat Subuh di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Tanjung Malim.
Makanan utama untuk tengahari ialah sup ayam yang dimasak oleh emak. Ayam yang telah siap diproses daripada ayam yang dibela oleh ayah di sebelah rumah. Setelah siap membuat kuah kicap (kicap, potongan bawang besar, potongan tomato, jus limau kasturi, jus limau nipis) teringat untuk menambah daun Kesum. Tanya mak, mana perginya himpunan daun kesum tepi rumah, jawab mak "Yillek, dah takde. Naik atas, tanya pada Pak Jang (Anjang)". Naik atas lantas menyatakan hasrat. Setelah mecabut beberapa helaian, tiba-tiba beliau menyuruh anaknya sesuatu..
"Nah ambil lah. Ramai kan kat rumah tu? Memang nak bagi dah, tapi tadi tak terberi lagi.." padahal tak ramai sangat yang balik kampung kali ini.
Inilah ia..
Ikan seberat kira-kita 4.75 kg. Ianya diambil dari kolam bekas bendang sawah berpuluh-puluh tahun dahulu, diternak udang milik Pak Jang. Kemudian ikan inipindahkan ke kolam simen sebelah rumahnya.
Sampai di rumah letak dalam singki. Tindakan yang agak bijak. Terfikir tempat lain, tapi malas-malas. Tiba-tiba dengar bunyi kuat seolah benda jatuh dan bunyi menggelepar..
Atas dapur tu sebelah kiri minyak panas sedang menggoreng ayam yang sebahagian besarnya dibuat sup. Sebelah kanannya periuk yang mengandungi sup ayam.
Kesan-kesan darah akibat ikan menggelepar.
Inilah ia ikan Tongsan. Menurut Pak Jang, ikan ini berperanan memakan lumut-lumut dalam kolam yang dibela udang di dalamnya. Ia sama seperti yang dinyatakan oleh Renjersungai bahawa ikan ini memakan lumut dan daun muda yang tumbuh di pinggiran sungai atau kolam. Menurut Renjersungai lagi, ia tergolong daripada jenis ikan Kap. Disebabkan penulis teringat bentuknya menyerupai sejenis ikan yang lain, maka dikorek-korek daripada internet. Antara ikan yang mempunyai bentuk yang hampir serupa dengan Tongsan seperti ikan Jelawat, ikan Rohu dan beberapa lagi. Ikan-ikan ini mempunyai sisik yang besar.
Ikan Rohu. Sumber, Google.
Ikan Jelawat. Sumber, Google.
Mak bertanya, mahu masak apa ikan Tongsan ini? Setelah dipotong kepada beberapa bahagian. Maka keputusan diambil untuk masak kari. Bahagian yang diambil ialah di kedua-dua belah hujung ikan iaitu kepada dan ekor. Selebihnya disimpan untuk dikongsi dan diberikan kepada adik-beradik lain
Resepi Kari Kepala Ikan Tongsan
Bahan utama:
Kepala ikan dibelah dua.
Ekor ikan
Bahan lain:
Serbuk kari
Bawang besar saiz sederhana - 3 biji
Bawang putih saiz besar - 3 ulas
Santan pekat - 3 sudu besar
Daun kari - 2 ranting
Kulit kayu manis - sebatang sederhana
Buah pelaga - 4 biji
Bunga lawang - 3 kuntum
Herba campuran - 1 sudu kecil
Minyak masak
Garam
Gula
Cara memasak
1- Ikan dimasak separuh terlebih dahulu dengan bancuhan kari iaitu serbuk kari dicampur dengan air.
2- Dua ulas bawang besar dan dua ulas bawang putih dikisar sehalus-halusnya.
3- Seulas bawang besar dan seulas bawang putih dihiris nipis.
4- Minyak yang digunakan menggoreng ayam tadi dipanaskan.
5- Tumis hasil kisaran, hasil hirisan bersama daun kari, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan herba campuran. Tunggu sehingga hampir kering.
6- Masukkan air bancuhan kari yang telah digunakan tadi.
7- Masukkan santan. Tunggu sehingga menggelegak.
8- Masukkan ikan. Suaikan dengan api yang sederhana.
9- Renehkan sebentar. Jangan terlalu lama, isi ikan akan hancur. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
10- Angkat dan sedia untuk dihidangkan.
Inilah hasilnya.
Sebenarnya ini kali pertama masak sendiri kari kepala ikan. Permulaan yang baik, hehe. Rasa pun mencukupi. Cuma mungkin kalau nak 'kaw' lagi, dimasukkan serbuk cili sebagai contoh untuk memedaskan.
Akan datang, insha Allah kisah ikan ini pula. Jika ada rezeki dan ruang..
Hidup terus mencari..
Kaki Banjaran Bintang,
22 Rejab 1440H.
Comments