Menyediakan Kerabu Kaki Ayam

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Tajuk kali ini ialah 'menyediakan kerabu kaki ayam'. Kenapa tidak memasak kerabu kaki ayam? Kerana kerabu kaki ayam proses utamanya ialah bukan dimasak. Ia hanyalah campuran atau gaulan.

Resepi ini terwujud kerana tanpa diduga. kebetulan bahan-bahannya 70 peratus telah sedia ada di rumah, atau lebih khusus lagi di dalam peti ais. Maka, bertindak untuk mengelak pembaziran resepi ini pun diaktifkan. Sebelum ini memang ada beli kaki ayam atas tujuan yang sama, namun tertunda. Berbekalkan bunga kantan dan serai yang diambil dari kampung semakin layu dan lesu juga terngiang-ngiang akan 'membazir itu adalah saudara syaitan'. Tapi jangan tidak percaya, ramai yang pandang enteng dan ambil mudah dengan melakukan pembaziran terhadap baranagan yang ada tersimpan di dalam peti ais. Atau yang jenis beli barang mentah, tapi bila nak makan, beli makanan siap dari luar.

Ini ayam paling macho saya jumpa untuk diletakkan di sini.
Di Malaysia, anggota dan organ dalaman ayam sangat disukai. Ada yang tidak menyukainya, kerana terasa loya di tekak atau beralasan bahawa berpegang dengan saranan memakan organ dalaman tidak baik dan melemahkan fungsi otak. Namun bagi saya, bukanlah terlalu minat memakan organ dalaman. Jika suasana terdesak untuk memakannya ketikamana tiada makanan lain, terliur jugalah nanti jika ada di depan mata. Apa yang ada, belajarlah memakannya.

Sebut tentang kaki ayam, di Chna terdapat produk yang memang menjual kaki ayam sahaja, siap untuk dimakan. Saya berani cakap di China kerana ada dijual di depan mata semasa di Guangzhou. Mungkin negara seangkatannya seperti Jepun, Korea, Vietnam, Myanmar, Loas dan Thailand juga ada menjualnya. Di Malaysia, saya tak pernah jumpa lagi. Mungkin ada. Ada yang dah siap potong kuku, ada juga yang tidak atau tiada tulang.



Akibat teringat dan terliur mengenangkan dua kali makan kerabu kaki ayam, sekali menghadiri kenduri dan sekali disediakan oleh adik di rumah, makan digagahi juga mencari bahan yang lain. Terutamanya minyak ikan. Bercerita tentang penyediaan ayam untuk dimakan, ayam hendaklah dimasak dengan baik untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit yang disebabkan oleh bateria popular bagi ayam iaitu Salmonella.



Nampak comel kan salmonella ni. Macam kapsul ubat je. Comel tak comel, jangan tidak tahu tragedi di Malaysia kematian selepas makan ayam masak merah, tunang mati keracunan makan ayam dan sakit perut cirit birit. Salmonella ini boleh mati apabila ayam dimasak dengan sebaiknya. Lagi satu kekadang kita biasa terjumpa kaki ayam atau bahagian ayam yang lebam terutama di sendi. Ia mungkin terjadi akibat renjatan elektrik ketika proses stunning menyebabkan darah berkumpul dan membeku di situ.

Berbalik kepada resepi, berikut adalah bahan-bahannya:

Kaki ayam tanpa kuku dan bulu (jantan atau betina, terpulang)
Serai
Bunga kantan
Jus limau nipis atau seumpama
Daun sup
Daun bawang
Tomato
Cili kecil
Gula
Garam
Minyak ikan

Cara menyediakannya:
Di dalam internet saya terjumpa bahawa kaki ayam perlu direndam seketika dalam cuka untuk melembungkan struktur sendi tulang kaki ayam. Kemudian kaki ayam direbus.

Bunga kantan, serai, daun sup, daun bawang dipotong halus atau kasar. Jangan halus sangat sehingga ia bertukar menjadi makhluk halus. Tomato dihiris dadu kecil

Sediakan mangkuk yang dalam. Biar dalam, nanti ketika gaul terpelanting bahan-bahannya. Kena mangkuk hayun nanti. Tuang jus limau, saya menggunakan jus lemon, untuk bau. Kemudian letak pula minyak ikan. Larutkan garam dan gula di dalamnya.

Setelah tersedia, masukkan kaki ayam, hirisan serai, bunga kantan, daun sup, daun bawang dan daduan tomato. Jangan lupa masukkan cili padi atau cili kecil mengikut kadar kepedasan yang dgemari. Gaul-gaulkan sehingga sebati. Pada ketika ini, baru saya perasan pentingnya minyak ikan dan fungsinya pada bau dan rasanya. Asalnya macam susah cari minyak ikan, nak guna perasa biasa je.

Akhirnya, ada akan temui hasil seperti di bawah. Memang terlebih (kot) saya masukkan bahan hirisan. Jika tidak ditemui sedemikian, sila layari web sebenarnya[dot]my.


Alhamdulillah, ia siap disediakan sekitar jam 12:00 tengah malam/pagi. Jangan ditanya apakah saya makan di larut malam?

Hidup terus mencari..

Kota Damansara,
10 Rejab 1439H.

Comments