Masa Yang Berlalu

Jika ditanya, "Apakah yang paling berharga dalam hidup ini?" Pastinya maksud hidup tersebut adalah hidup di dunia sekarang ini.

Maka pelbaga jawapan yang boleh diperoleh daripada persoalan ini.
Ada yang berkata iman.
Ada yang berkata cinta dan kasih sayang.
Ada yang kata ibubapa.
Ada yang berkata masa.
Ada yang berkata nyawa.
Ada yang berkata keluarga.
Mungkin juga ada yang berkata diri sendiri.
Kalau tahap atau makam yang lebih tinggi, akan berkata Allah dan Rasul.

Jawapan terakhir tu memang dia dah sampai tahap wali lah..

Sumber Google.

Sebenarnya tiada satu pun yang salah daripada jawapan-jawapan di atas. Boleh jadi ia jawapan yang betul pada masa dan keadaan yang betul. Sebab pasti ada sesuatu itu berlaku dilihat salah kerana berlaku pada ketika yang salah dan tempat yang salah, seperti nahas MH 17.

Senarai di atas tadi juga boleh jadi lebih panjang jika dberi masa yang lebih untuk menjawab disertai dengan input-input baru. Semua yang di atas adalah benar dan saling boleh melengkapi antara satu sama lain. Ia datang dari ruh yang sama, jasad yang sama dan fikiran yang sama. Andai senarai jawapan ini dikeluarkan oleh orang yang sama.

Iman boleh membuahkan cinta dan kasih sayang yang maha unggul dan sempurna. Malah menjadi satu sandaran dan sumber yang kukuh apabila cinta itu menjadi satu penanda aras bagi nilai keimanan. Pastinya tempat pertama ialah cinta kepada Allah. Diikuti cinta kepada Rasulullah. Seterusnya cinta kepada ibubapa. Nilai iman kita berkait dengan nilai cinta kita terhadap ketiga-tiga tadi berserta kedudukan mana ia ditempatkan.

Maka bolehlah dikatakan perkara yang paling berharga yang menduduki tempat yang pertama adalah iman dan cinta yang suci. Iman ini menjadi perkara paling berharga sebagai makanan dan santapan kekuatan ruh, kekuatan akal, kekuatan emosi dan kekuatan fizikal. Pembinaan kekuatan ini yang bersifat dalaman mampu memberi kesan dan natijah yang harmoni kepada setiap sesuatu yang wujud di sekelilingnya. Ia tiada sempadan masa, tempat dan alam.

Seterusnya, apa pula yang paling hampir dengan diri seseorang? Pasti jawapannya ialah kematian. Apa yang terlibat apabila disebut kematian? Pasti juga yang terlibat adalah nyawa dan masa. Kematian adalah perpisahan jasad dan ruh dengan diambil nyawa oleh malaikat menandakan berakhirnya tempoh kehidupan di dunia. Nyawa diambil dengan tanda, namun sama ada tanda tersebut disedari ataupun tidak. Ia diambil sama ada berlakunya persiapan atau sebaliknya. Ia berlaku tanpa mengira masa dan tempat bagi pandangan manusia, tetapi berlaku dengan tepat waktu dan tempatnya seperti yang telah ditetapkan oleh pemilik nyawa, iaitu Allah.

Tibanya waktu kematian, pintu taubat telah tertutup, pintu amalan telah ditutup, pintu kemaafan telah ditutup. Jika terlepas untuk melakukan taubat, jika terlepas melakukan amalan lebh banyak, jika terlepas meminta maaf atau memberi kemaafan, maka ia benar-benar sesuatu yang telah lepas. Jika telah lepas bermaksud tidak akan diperoleh kembali. Sesekali tidak!

Kerana nyawa itu melibatkan hidup dan mati, diambil tanpa mengira waktu dan tempat, sebagai tanda bermulanya proses perhitungan amal, sama ada diterima atau sebaliknya untuk kemasukan syurga atau neraka. Maka nyawa menjadi tempat kedua paling berharga dalam hidup di dunia ini.

Sering manusia diperingatkan oleh Tuhannya dan Nabinya. Agar bersegera melakukan kebaikan. Bukan sahaja bersegera, malah berlumba-lumba melakukan kebaikan. Juga diperingat agar melaksanakan ketaatan sebaik mungkin, semampu mungkin dan semaksima mungkin. Namun dalam masa yang sama, tinggalkan kemaksiatan sepenuhnya! Manusia telah dimaklumkan niat melakukan kebaikan telah diberi pahala bukan apabila dilaksanakan baru diberi pahala. Manusia diperingat niat membuat maksiat tidak diberi dosa, malah satu maksiat dikira satu dosa. Juga manusia diberitahu bahawa setiap kebaikan boleh digandakan bukan sebanyak puluhan, tetapi ribuan sehingga tiada hadnya.

Pastinya tindakan melakukan amal ini adalah ketika waktu hidup. Pastinya ketika masih bernyawa. Pastinya ia bergantung pada tinggi atau rendahnya iman seseorang untuk melaksanakan setiap ketaatan dan meninggalkan setiap kemaksiatan. Juga amat pasti, semuanya berkait dengan masa!

Berapa masa yang diperlukan seseorang dalam keadaan nazak sebelum ruh dan jasanya sempurna berpisah? Berapa masa yang diberi agar manusia sempat mengucap kalimah syahadah sebelum kematiannya? Berapa masa yang diperlukan untuk setiap kerlipan mata. Berapa masa yang telah diambil oleh darah dalam penerokaannya ke seluruh ruang badan manusia bagi membekalkan oksigen, nutrien dan keperluan badan yang lain? Berapa  beza masa kehidupan manusia di atas dunia ini berbanding keidupan akhirat?

Masa usia kanak-kanak, banyak masa bermain. Belajar pun biasa main-main.
Masa zaman remaja, banyak masa bermain juga. Banyak juga masa belajar. Tapi terganggu sikit mungkin dengan masa bercinta. Terkurang masa dengan ibubapa.

Masa zaman kolej dan universiti banyak masa belajar. Banyak juga masa bercinta. Banyak masa dengan kawan dan pensyarah. Banyak masa dengan rakan sekuliah, serumah dan sebilik. Mungkin telah kurang masa dengan ibubapa.

Masa bekerja, banyak masa dengan kerja. Makin kurang masa menuntut ilmu. Masa dengan ibubapa juga makin kurang. Sudah ada kerjaya dan perlu berdikari untuk hidup. Masa ibadah juga mungkin makin kurang. Masa lepak, bersosial dan berusrah dengan sahabat dan taulan telah berkurang.

Masa membujang senang membuat keputusan. Senang berjalan dan bergerak berseorangan. Senang berurusan itu dan ini. Banyak masa dihabiskan untuk keperluan dan tuntutan dir sendiri. Tidak banyak meminta izin atau kebenaran dari orang lain.

Masa berumahtangga, keputusan ada masanya perlu berbincang dan disepakati. Susah bergerak jika telah ada anak. Lepak dengan kawan terisi lepak di rumah. Berjalan ke pasar raya biasanya tidak lagi keseorangan. Masa menuntut ilmu makin kurang. Beribadat juga boleh jadi makin kurang. Masa dengan ibubapa, adik beradik, sahabat handai, semuanya berkurangan.

Apakah masa itu yang berkurangan? Atau masa semakin kurang, ia dibinasa atau hilang? Hakikatnya masa tetap sama, dengan tempohnya setahun, sebulan, seminggu, sehari, satu jam, satu minit dan satu saat. Berkurangnya ia pada setiap bahagian ke mana masa itu diisi dan digunakan. Jika digunakan maka ia membari manfaat, tetapi jika tidak digunakan ia membazir. Masa digunakan untuk kebaikan dan ketaatan ia menjanjikan kebahagiaan, jika diguna untuk dosa dan maksiat, ia menjamin kemusnahan.

Jangan dibazirkan apabila ada masa untuk menuntut ilmu. Jangan dibiarkan jika ada masa untuk membaca al-Quran. Jangan diabaikan jika ada masa untuk qiamullail. Jangan dikesampingkan jika ada masa dan kesihatan untuk berpuasa. Jangan dibiarkan peluang jika ada masa untuk menyantuni ibu dan bapa. Dan jangan dientengkan jika ada masa dengan keluarga, anak, isteri dan adik-beradik. Jangan menjadi orang yang rugi jika ada masa bertemu dengan orang yang soleh dan bertaqwa untuk bermesra, meminta nasihat, hikmah dan doa.

Dalam masa yang sama, suatu masa kelak, tiada lagi masa untuk fokus dan berpeluang menuntut ilmu. Tiada lagi masa membaca al-Quran, tidak mampu memunaikan qiamullail, tidak sihat untuk berpuasa, tiada lagi jasad ibu dan bapa di depan mata, tiada lagi gelak tawa dan sapaan keluarga, adik-beradik, anak dan juga isteri. Sudah kesuntukan masa untuk hidup dan halangan kesihatan untuk menjelajah atau menyantuni para soleh dan ahli taqwa.

Itulah suatu kerugian dan penyesalan.

Masa yang berlalu tidak akan kembali. Umpama jika sesuatu barang yang anda miliki telah dicuri, masa tidak dapat dikembalikan untuk anda membuat persiapan bagi mengelak kecurian barang tersebut belaku. Apabila ia telah dicuri, masa tidak dapat diundur kepada masa sebelum barang dicuri. Walau sedih, menyesal, geram, salahkan diri sendiri, marah dan pelbagai lagi. Walau menangis air mata darah sekalipun, masa selepas kejadian curi tidak dapat dikembalikan kepada sebelum kecurian. Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, masa boleh diletakkan ke tempat yang ketiga paling berharga di dalam kehidupan di atas dunia ini.

Jika kita dapati, dalam masa kita masih ada ruang masa yang perlu diisi dengan perkara yang lebih utama, maka isilah ia. Seumpama mengisi bekas dengan pelbagai saiz batuan dan pasir. Yang lebih besar perlu dimasukkan terlebih dahulu, diikuti dengan yang lebih kecil saiznya.

Hargailah masa.
Hargailah apa yang dimiliki oleh kita ketika masa tersebut.
Hargailah nyawa.
Hargailah iman dan cinta yang mendatangkan kehidupan yang luhur.

Pastinya suatu hari nanti, kau boleh tersenyum ketika melihat malaikat Izrail menyapamu untuk mengambil nyawamu, bertemu dengan pemilik alam ini.

Hidup terus mencari..

Kota Damansara,
12 Jamad al-Akhir 1439H.

Comments