PENTADBIRAN ISLAM DI SINGAPURA (SIRI AKHIR)

Pentadbiran Islam menghadapi isu semasa

Singapura merupakan sebuah negara yang telah mencapai status negara maju atau ‘first world economy’ dan merupakan satu-satunya negara di Asia Timur yang masih mengekalkan politik sistem autoritian atau ‘authoritian political system’. Singapura juga adalah negara yang mengekalkan kawalan ketat terhadap kebebasan hak asasi bertujuan mengekang anasir-anasir subversif dari mana-mana individu atau kelompok yang boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian negara. Namun tindakan yang agak ketat ini telah dikritik oleh badan-badan hak asasi manusia seperti yang dilaporkan oleh Human Right Watch 2009 dan Amnesty International 2009.

Bentuk pemerintahan di Singapura juga adalah unik kerana merupakan satu-satunya negara di dunia yang menguatkuasakan secara perundangan undang-undang sekular, iaitu pemisahan urusan agama dan politik dengan mendakwa demi kepentingan mengekalkan keharmonian antara agama. Salah seorang menterinya dalam menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan sekular ialah “negara Singapura merupakan negara sekular tetapi bukanlah negara yang tidak mempunyai agama”. Pengurusan Islam di Singapura berkait rapat dengan corak pentadbiran dan pemerintahan kerajaannya. Keadaan ini sebenarnya membawa kebimbangan yang tersendiri kepada umat Islam kerana pemisahan antara agama dan politk adalah jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagai agama tauhid dan ad-din yang menyatakan bahawa Islam merangkumi semua aspek kehidupan.



Kebimbangan khusus terhadap agama Islam jelas kelihatan sejak peristiwa 9/11. Kerajaan Singapura telah membuat tindakan progresif dengan mengambil langkah awal terhadap mana-mana ancaman dengan melaksanakan penelitian rapi, campurtangan pengawasan serta meningkatkan tahap sesnsitiviti kepada kebimbangan keselamatan dalaman. Tindakan ini jelas dilihat suatu tindakbalas kerajaan terhadap agama dalam menggambarkan kebimbangan kerajaan terhadap agama. Contohnya langkah keselamatan khusus telah diambil berikutan peningkatan penghayatan Islam di Singapura kerana masyarakat dilihat mudah terdedah dengan propaganda Islam radikal.

Antara bukti kebimbangan terhadap Islam adalah melalui cerminan yang diberikan oleh Lee Kuan Yew pada tahun 2007 dengan menyatakan bahawa masyarakat Islam di Singapura dan rantau ini memberi terlalu komited terhadap cara pemakaian, pemakanan, amalan beragama dan interaksi sosial, terutama dengan bukan Islam. Beliau juga menyatakan asas kebimbangan adalah pengasingan budaya yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam di Singapura.

Pemerintahan sekular yang dibawa oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) merupakan suatu bentuk strategi kerajaan dalam mencampuri urusan pentadbiran agama-agama yang dianuti di negara tersebut seperti Islam, Sikh dan Hindu. Pelbagai jawatan diwujudkan di bawah badan-badan berkanun untuk mengawalselia komuniti keagamaan ini. Antara yang berlaku ialah terhadap Akta Pentadbiran Undang-undang Muslim (AMLA) 1965 di mana enakmen yang berkait dengan pengurusan hal ehwal Islam seperti zakat, pengurusan masjid, wakaf dan haji boleh diubah dan dimansuh. Namun pindaan yang berlaku pada 1998 telah memperuntukkan bidangkuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil sehingga masyarakat muslim boleh memilih untuk dibicarakan di makkamah syariah mahupun sivil mengikut tahap dan peringkat. Hal ehwal muslim di Singapura adalah diurus oleh Majelis Ugama Islam Singapura (MUIS) yang telah ditubuhkan pada tahun 1968. MUIS merupakan sebuah badan berkanun yang berpusat dalam mengurus kutipan zakat, harta wakaf, ziarah haji dan institusi masjid.

Presiden Singapura atas nasihat Perdana Menteri berkuasa untuk melantik kesemua ahli lembaga MUIS termasuk muftinya. Pengerusi MUIS adalah menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Kemasyarakatan Islam di bawah kerajaan PAP. Sebuah badan yang dikenali sebagai Persatuan Ulama Islam Singapura bertindak sebagai pihak yang mengkritik dan menyeimbang dalam medan pelaksanaan MUIS bagi memastikan ia benar-benar berkhidmat untuk kepentingan negara dan masyarakat Islam. Walaupun kerajaan mengamalkan mekanisme pemisahan agama dan politik, namun mereka tetap ada masuk campur urusan keagamaan, seolah pemisahan itu berlaku dalam kalangan rakyat dan bukan kerajaan.

Dahulu elemen agama pernah digunapakai oleh pihak pemerintah sebagai alat mencapai objektif membina negara bangsa yang mempunyai jatiditi nasional. Agama telah dilihat sebagai satu cara menyediakan moral yang lebih baik untuk menangani nilai negatif yang lahir daripada kemodenan. Pada tahun 1984, pengetahuan agama diwajibkan kepada pelajar sekolah menengah sebagai suatu cara membantu mengekalkan nilai-nilai murni serta menghakis pengaruh moden barat. Walaubagaimanapun, pada tahun 1990 ia telah dimansuhkan dan pelajaran wajib agama tersebut digantikan dengan pendidikan sivik dan moral.

Walaupun komuniti agama dilarang terlibat dengan politik, namun mereka digalakkan untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memajukan projek membina negara. Sebagai contoh, kerajaan telah berhati-hati untuk meminta pandangan dari pertubuhan agama dalam melaksanakan dasar yang secara langsung memberi kesan kepada moral agama seperti isu kontoversi dalam Maintenance of Religious Harmony Act (MRHA). Contoh isu lain ialah peraturan madrasah, undang-undang perjudian dan bio-etika penyelidikan.

Pemerhati politik, Kenneth Tan menyatakan bahawa elemen metarialistik merupakan asas kepada politik kerajaan PAP, pemupukan nilai individualistik dalam kalangan masyarakat yang disebut sebagai homo economicus depoliticised. Suatu ketika semasa kemuncak kemarahan umat Islam seluruh dunia dan anti-Denmark kerana lukisan-lukisan kartun Nabi, maka Perdana Menteri Lee Hsein Loong mengecam kartun-kartun tersebut kerana tidak sensitif kepada perasaan orang Islam. Rentetan daripada itu, dua orang blogger  internet telah didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menulis ulasan-ulasan anti-Melayu dan seorang lagi disoal oleh pihak polis kerana kartun-kartun anti-Kristian.

Perlembagaan Singapura memperuntukkan kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan dan agama. Perkara 12 adalah menjamin kesamarataan di sisi undang-undang dan kebebasan daripada diskriminasi kaum dan agama. Pada Perkara 14 memperuntukkan kebebasan bersuara dan Perkara 15 kebebasan beragama dan amalan. Perkara 16(2) dan Perkara 16(3) pula memperuntukkan untuk setiap kumpulan agama berhak menubuh dan menjalankan institusi-institusi pendidikan serta mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau penyembahan agama selain agama mereka sendiri. Walaupun Perkara 15 memperuntukkan hak kebebasan dan amalan agama, hak ini adalah tertakluk kepada rakyat agar tidak terlibat dalam apa-apa tindakan yang berlawanan dengan undang-undang yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral. Ini seolah ‘hak bersyarat’ yang membolehkan kerajaan menentukan dan mengawal aktiviti keagamaan yang sesuai dengan kehendak mereka.

Prinsip berbilang kaum telah menjadi suatu alat kawalan sosial dan secara rasminya membentuk sempadan identiti yang akan tertanam dalam kalangan rakyat Singapura. Namun ketidaksamarataan berlaku apabila orang Cina Singapura boleh menjadi penganut Confucianisme dan bercakap Mandarin manakala Melayu Singapura tidak boleh sepenuhnya beramal dengan pengetahuan dan kebudayaan Islam. Situasi ini juga sebenarnya menggambarkan keharmonian kaum masih dangkal dan berasaskan kepada toleransi perbezaan dan bukannya penghargaan tulen serta menghargai perbezaan budaya. Bandar Singapura yang majoritinya dikelilingi kaum Cina berpotensi membawa permusuhan terhadap Islam dan keadaan ini membawa kepada pengukuhan kedudukan kerajaan PAP sebagai ‘penjaga’ penduduk Cina.

Terdapat faktor sejarah yang membawa kepada pelaksanaan negara sekular Singapura pada hari ini. Konflik berkenaan agama yang paling terkesan dalam sejarah Singapura ialah apa yang berlaku sekitar 1950-an sehingga 1960-an sehingga membawa kepada rasionalisasi pentadbiran yang sangat mengawal kebebasan beragama atas nama menjaga kepentingan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam. Antara alasan yang digunakan ialah masyarakat Singapura sangat mudah terdedah kepada ketidakstabilan dalam urusan agama dan etnik seperti contoh apa yang berlaku dalam rusuhan Hertogh pada Disember 1950.

Menurut pernyataan rasmi, rusuhan Hertogh yang telah menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 cedera dicetuskan oleh pertikaian hak penjagaan ke atas seorang gadis berketurunan Belanda dan berkahwin di bawah undang-undang Syariah (Islam). Ia telah dibangkitkan oleh sebuah keluarga Melayu Islam pada zaman pendudukan Jepun. Walaubagaimanapun, agama hanya satu daripada pelbagai faktor yang menyumbang kepada rusuhan tersebut. Kajian Al-Junied menyatakan bahawa rusuhan telah didorong kuat oleh pelbagai rasa tidak puas hati masyarakat Islam termasuk dalam hal pihak berkuasa penjajah memandang rendah terhadap masyarakat Islam, pengaruh idea-idea radikal, kesan sosio-ekonomi peminggiran dan lain-lain.

Suasana yang sama berlaku ketika kebangkitan penghayatan agama Islam secara global terutamanya sekitar tahun 1980-an. Di Iran, pemimpin sekular Shah Reza telah digulingkan pada tahun 1979 dan digantikan oleh kerajaan yang didokongi oleh ulama Islam. Revolusi Iran ini terjadi rentetan penolakan rakyat terhadap rejim kerajaan yang berorientasikan sekular dan rasuah. Hasilnya, ‘negara Islam’ menjadi pilihan dan alternatif yang semakin popular bagi negara yang gagal dalam melaksana orientasi sekular di dalam dunia Islam.

Selain itu, pada pertengahan 1980-an, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamed telah melancarkan kempen ‘Islamisasi’ yang menjurus ke arah penghayatan nilai Islam senada dengan pembawakan pembangkang PAS ketika itu. Manakala di Indonesia Presidennya memperbadankan nilai Islam ke dalam Pascasila jentera kerajaan yang pada waktu itu berorientasikan sekular. Semangat keagamaan ini jelas kelihatan di dalam gambaran pilitik serantau Asia Tenggara dan Timur Tengah. Keadaan ini membawa keresahan kepada pimpinan kerajaan PAP di mana keberadaan mereka di tengah-tengah dunia Islam Asia Tenggara serta berjiran dengan negara paling ramai umat Islam di dunia. Kebimbangan ini berakar umbi daripada peningkatan aktiviti militan Islam sejak bermulanya ‘perang terhadap keganasan’ yang ditujukan kepada penganut Islam.

Selain itu kerajaan menggambarkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah rakyat Singapura yang memeluk Kristian walaupun dalam masa yang sama Konfusianisme diketengahkan, sedangkan penganut agama Hindu dan Buddha mengalami penurunan. Trend ini menunjukkan potensi keharmonian agama yang tidak menyenangkan  dan kebimbangan tersebut disahkan oleh laporan Jabatan Keselamatan Dalam Negari pada tahun 1986. Mereka mengetengahkan kelaziman ketegangan antara agama, keagresifan kejadian murtad dan eksploitasi agama untuk tujuan politik dan subversif. Berhadapan dengan trend Islamisasi global dan serantau ini, dasar pentadbiran sedia ada diguna untuk melindungi ‘sebuah negara sekular’ daripada serangan ideologi politik Islam.

‘Dasar tanpa tudung’ yang dibentuk dengan alasan menggalakkan integrasi kaum dan perpaduan sosial telah memyebabkan peningkatan pendaftaran anak-anak masyarakat Islam ke sekolah madrasah. Ibubapa yang berpegang bahawa tudung merupakan satu keperluan asas dalam Islam cenderung untuk mendidik dan menghantar anak-anak mereka ke madrasah. Setakat hari ini, kerajaan Singapura tidak menunjukkan bukti yang empirikal untuk menyokong anggapan mereka bahawa pemakaian tudung di sekolah-sekolah rendah dan menengah menghalang perpaduan negara.

Perbalahan mengenai dasar ini muncul pada awal tahun 2002 apabila segelintir ibubapa Islam berkeras mahukan anak perempuan mereka ke sekolah rendah dengan memakai tudung dan berpakaian dalam pakaian seragam yang diubah sesuai dengan ciri muslim. Apabila pelajar sekolah bertudung digantung berulang kali kerana melanggar dasar pakaian seragam sekolah, ibubapa telah membantah dengan mendakwa bahawa mereka telah dinafikan hak perlembagaan untuk kebebasan beragama. Rujukan telah dibuat terhadap Perkara 15(1) Perlembagaan Singapura yang memperuntukkan bahawa ‘setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan mengembangkan agamanya’. Walaupun perlembagaan belum meletakkan ketetapan terhadap dasar ini, dalam masa ia masih tidak konsisten dalam kod pakaian seragam sekolah, namun ahli politik PAP muslim, mufti yang dilantik oleh kerajaan dan pihak berkuasa agama tertinggi tetap menggesa gadis-gadis untuk kembali ke sekolah tanpa tudung. Mereka mendakwa bahawa Islam tidak menetapkan kanak-kanak perempuan atau pra-remaja untuk memakai tudung dan jika ada pilihan yang terpaksa dibuat, Islam memberi keutamaan kepada memenuhi tuntutan pendidikan daripada melaksana pemakaian tudung.

Pada kemuncak kontroversi isu tudung, Lembaga Penyiaran Singapura (SBA) mendakwa bahawa seorang pejuang hak asasi bagi isu ini iaitu Fateha dirisik telah mendaftar dalam portal sebuah laman web politik. Selain itu, ahli-ahli Fateha didakwa telah menerima gangguan dan ugutan yang teruk. Menjelang Julai 2002, komputer seorang lagi pejuang hak asasi, Zulfikar, telah disita dan dia telah disoal siasat. Telefon dan emelnya diceroboh, pergerakannya dipantau dan ahli keluarga Zulfikar ‘dinasihatkan’ oleh pemanggil telefon tanpa nama untuk meninggalkan Singapura. Tidak lama selepas prosiding fitnah jenayah difailkan terhadapnya, Zulfikar melarikan diri dari Singapura ke Australia, dengan mendakwa kurang yakin terhadap kebebasan badan kehakiman Singapura.

Diskriminasi dan prejudis terhadap Melayu Muslim di Singapura kelihatan amat jelas. Dasar kerajaan Singapura dengan sentimen terhadap Islam dan pembawakan negara sekular telah menyumbang kepada perwakilan yang tidak seimbang dalam kalangan masyarakat Cina yang menguasai jawatan tertinggi dalam masyarakat sehingga wujud status terpinggir dan rasa tidak puas hati masyarakat setempat dari kalangan muslim. Struktur masyarakat berbentuk retorik dan meritokrasi secara agresif membentuk kemunculan hierarki bangsa dan kaum yang telah mengaburi matlamat identiti negara Singapura. Fenomena ini membentuk suatu asimilasi yang tidak lengkap di mana entik minoriti terpaksa mengikuti dan meniru gaya Cina untuk berjaya, namun tetap dipandang rendah dan terpinggir dalam masyarakat. Seolah suatu rancangan masyarakat Islam terus kekal di pinggiran sosio-ekonomi Singapura kerana wujud diskriminasi di tempat kerja dalam komuniti yang lebih luas. Gambaran ini membawa kepada pengekalan kepada retorik meritokrasi yang berbilang kaum sehingga membolehkan Cina mengekalkan kekuasaan mereka.

Selain itu, diskriminasi atas alasan meritokrasi juga berlaku dalam angkatan bersenjata di mana rasionalisasi sengaja mewujudkan atas alasan persoalan kesetiaan orang Melayu terhadap negara berbanding agama yang dianutinya. Perselisihan terhadap akan berkekalan kesetiaan Islam melebihi negara yang didominasi kaum Cina telah menyumbang persepsi umum masyarakat sebagai ‘tidak boleh dipercayai’ dan ‘tidak setia kepada kerajaan’. Ia merupakan suatu persepsi yang boleh melemahkan keharmonian agama dan etnik. Contoh yang lain, satu kajian tahun 2000 oleh Straits Times mengenai hubungan etnik menunjukkan bahawa 46% daripada bukan Melayu menyatakan bahawa mereka tidak boleh percaya kepada orang Melayu sekiranya berlaku peperangan dengan negara jiran Melayu Islam. Selain itu, 60% daripada bukan Melayu yang ditinjau mempercayai bahawa adalah perlu untuk memeriksa latar belakang seseorang Melayu sebelum meletakkan beliau pada kedudukan yang kritikal seperti dalam Angkatan Tentera Udara Singapura.

Islam telah menjadi mangsa dalam usaha ‘perang terhadap keganasan’ yang merupakan sebahagian daripada laporan Islamofobia media tempatan arus perdana. Ia telah menjadi tekanan yang besar ke atas masyarakat Islam untuk membuktikan kesetiaan mereka rentetan daripada gesaan kepimpinan PAP agar ‘bersuara’ terhadap militan Islam. Pada tahun 2004, Lee Kuan Yew pernah mengkritik masyarakat Islam kerana berdiam diri yang mana mereka sepatutnya bersuara terhadap aktiviti pengganas Islam di Singapura dan di seluruh dunia. Apabila didapati tiada usaha kritis masyarakat Islam dalam menyokong pencerobohan AS dan pendudukan Iraq, PAP mengambil pendekatan mengeluarkan kenyataan ‘anda bersama kami atau menentang kami’. Umat Islam di Singapura merasa dihakimi dan sewenang-wenangnya diletakkan status ‘sederhana’ dan ‘melampau’.

Kolumnis Starit Times, Tan Tarn ketika mengulas sosio-ekonomi menyatakan walaupun apa yang berlaku hanya menunding jari kepada Islam, namun jika kesan semangat rohani atau keteguhan keagamaan mereka menjadi punca peminggiran, maka keseluruhan masyarakat Singapura secara umum perlulah memperbaiki keadaan dan persepsi mereka. Bukan lagi dengan menunding jari kepada pihak lain tetapi seharusnya melihat ke dalam diri sendiri. Menurut Low Thia Khiang, Ahli Parlimen Parti Pekerja pula semasa perbahasan di parlimen mengenai White Paper, masyarakat Islam telah menyampaikan perasaan kecewa kepadanya kerana menghadapi sikap diskriminasi setelah agama mereka ditindas dan dipinggirkan. Kekecewaan ini jelas diburukkan lagi dengan sikap sokongan dan berdiam diri kerajaan PAP terhadap pencerobohan Amerika Syarikat dan pendudukan ke atas Iraq.

Apa yang berlaku terhadap Islam di Singapura adalah manifestasi kemahuan kerajaan PAP untuk terus berkuasa dan memerintah Singapura. Niat untuk mengekalkan hegemoni agama selepas 50 tahun pemerintahan tanpa gangguan terobek kerana mereka telah melihat dengan jelas potensi agama untuk menjadi alat untuk memprotes ketidakadilan. Oleh itu, institusi dan kumpulan agama telah dikawal ketat untuk menyekat kemungkinan wujud gerakan yang berpotensi menentang kerajaan melalui undang-undang seperti MRHA yang jelas-jelas menentang hubungan agama dan politik. Keadaan ini hakikatnya bertujuan mengukuhkan iklim ketidaktentuan,  self-censorship dan ketakutan masyarakat. Pelaksanaan undang-undang yang zalim dan pengawalan ketat masyarakat Islam tidak memberikan petanda baik bagi memupuk keharmonian agama seperti yang diperlukan bagi benar-benar menggalakkan pembentukan masyarakat berbilang kaum berdasarkan keadilan untuk semua rakyat Singapura.

Kesimpulan

Kekangan dan kawalan terhadap agama sepertimana yang berlaku ke atas Singapura hari ini berkemungkinan disebabkan beberapa tragedi atau insiden yang berlaku dan dilihat dari perspektif negara Singapura sebagai ancaman terhadap keharmonian dan kestabilan negara. Ia boleh dipecahkan kepada ancaman pengaruh Melayu-Islam, Nasionalisme India dan Cina-Komunis. Pengaruh Melayu-Islam boleh dilihat antaranya dalam Rusuhan Hertogh yang lebih kepada pengaruh keagamaan dan pengaruh pemikiran akibat pergeseran pendapat dengan Malaysia yang menyebabkan permisahan Singapura pada tahun 1965. Pertembungan Malayu Islam dengan Cina juga berlatarbelakangkan politik, agama dan kaum seperti Rusuhan Kaum pada bulan Julai dan September 1964. Peristiwa Pemperontakan India Singapura 1915 (1915 Singapore Indian Mutiny) melibatkan pengaruh Nasionalisme India. Pertembungan kepentingan dan politik seperti konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1965. Selain itu juga disebabkan kedudukan Singapura yang berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara yang dikelilingi dengan keseluruhan pengaruh dan pertembungan sperti yang disebutkan di atas.

Namun, walaupun Singapura dikenali sebagai sebuah negara yang sekular dari segi pemerintahan negara dan praktikal atau pengamalan kehidupan seharian, namun hak pengamalan dan mempertahankan jatidiri sebagai seorang warga muslim masih lagi dibenarkan dan ada ruang yang boelh dimanfaatkan sebaiknya. Malah, fenomena inilah yang menjadikan masyarakat muslim Singapura yang merupakan kumpulan minoriti menjadi lebih berdaya saing, kreatif dan progresif dalam meninggikan serta menyerlahkan syariah Islam dalam kehidupan mereka seharian. Maka, tidak hairanlah nilai-nilai Islam jelas kelihatan dalam suasana yang sekular itu sehingga menjadikan Islam sebuah sinar dan cahaya yang mampu untuk terus menerangi bumi bertuah Singapura. Tidak mustahil juga dengan kecekapan pentadbiran Islam yang ada di Singapura, ia mampu dikongsi bersama dengan keseluruhan ahli di Organisation of Islamic Cooperation (OIC) kerana hikmah itu sifatnya sejagat dan Islam lebih berhak untuk memperoleh sebaga kebaikan yang telah diciptakan oleh Allah swt ini.


Bibliografi

Buku
D. J. M. Tate, “Sejarah Pembentukan Asia Tenggara”, Jilid Kedua, Perubahan Ekonomi dan Sosia, Siri Sejarah Fajar Bakti, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Cetakan Keempat 1985.
K. S. Nathan dan Mohammad Hashim Kamali, “Islam In Southern Asia Political, Social and Strategic Challenges for 21st Century”, Institute of Southern Asian Studies, Singapore: 2005.
Rumadi, “Islamic Post-Traditionalism In Indonesia”,  terjemahan oleh Rebecca Lunnon, Yusof Ishak Institute (ISEAS):2015.

Kertas Kerja dan Jurnal
Ajat Sudrajat, Prodi Ilmu Sejarah FISE UNY, “Perkembangan Islam Di Singapura”.
Asep Saefullah, Makalah Seminar Hasil Penelitian Sejarah Islam di Asia Tenggara: “Tumasik: Sejarah Islam Awal Di Singapura (1200-1511 M)”, Puslitbang Lektur dan Khazanah Keagamaan Badan Litbang dan Diklat Kementerian Agama RI, 2012.
Ezad Azraai Jamsari, Siti Noorasikin Tumiran, Kaseh Abu Bakar, Zamri Arifin, “Peranan dan Sumbangan Institusi Masjid dalam Pembangunan Masyarakat Melayu-Islam di Singapura: Satu Kajian di masjid Assyafaah, Sembawang”, Journal of Islamic and Arabic Education 2(2), 2010, hlm. 31-44.
Feirul Maliq Intajalle & Luqman Haji Abdullah, “Pembahagian Pusaka Islam Dan Permasalahannya Di Singapura”, Jati, Volume 19, December 2014.
Helmiati. Dr. Hj. “Dinamika Islam Singapura: Menelisik Pengalaman Minoritas Muslim di Negara Singapura yang Sekular & Multikultural”, Toleransi, Vol. 5 No. 2 Juli – Desember 2013.
Hj Siren, Azrin Ab Majid dan Syed Muhd Khairuddin Aljunied, “Sistem Pendidikan Islam Sekolah Agama (Madrasah) Di Singapura” oleh Nor Raudah dalam Jurnal al-Tamaddun Bil 9 (2) 2014.
Kassim Kamis, Ketua Unit Strategik Kepimpinan Masjid MUIS, “Masjid Wadah Lepimpinan Negara: Pengalaman Republik Singapura”, PDF.
Lily Zubaidah Rahim, “Governing Islam and Regulating Muslims in Singapore’s Secular Authoritarian State”,  Asia Research Centre, Working Paper No. 156, July 2009, oleh  University of Sydney.
Mohd Al 'Ikhsan Ghazalia, Siti Salwa Md. Sawaria, “Amalan Standard Halal Di Negara-Negara Asia Tenggara”, International Journal of Islamic and Civilizational Studies, 2014 Penerbit UTM Press.
Mohd Al 'Ikhsan Ghazalia, Siti Salwa Md. Sawaria, “Amalan Standard Halal Di Negara-Negara Asia Tenggara”, International Journal of Islamic and Civilizational Studies, 2014 Penerbit UTM Press.
Muna binti Sulaiman, Mokthar Hj. Ismail, Mohd. Isa Mohd. Deni & Hairullfazli bin Muhammad Som, “Perkembangan Wakaf Pendidikan Di Singapura”.

Akhbar
Mazlan Nordin, Mingguan Malaysia, Ahad 12 April 2009.

PDF
Muna binti Sulaiman, Mokthar Hj. Ismail, Mohd. Isa Mohd. Deni & Hairullfazli bin Muhammad Som, “Perkembangan Wakaf Pendidikan Di Singapura”, PDF.
Annual Report 2015 - http://www.muis.gov.sg/documents/Annual_Reports/MUIS_AR_2015-Full-FA-LR.pdf

Laman Sesawang
Marriage Process at a Glance (Malay), kemaskini 15 Oktober 2012.
Singapore - https://en.wikipedia.org/wiki/Singapore
Strait Settlements - https://en.wikipedia.org/wiki/Straits_Settlements
Negeri-Negeri Selat - https://ms.wikipedia.org/wiki/Negeri-negeri_Selat
Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 - https://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_Inggeris-Belanda_1824
East India Company - https://en.wikipedia.org/wiki/East_India_Company
Perjanjian Persekutuan 12 Jun 1895 - https://ms.wikipedia.org/wiki/Perjanjian_Persekutuan_12_Jun_1895
Singapore in the Strait Settlements - https://en.wikipedia.org/wiki/Singapore_in_the_Straits_Settlements
Demographics of Singapore - http://en.wikipedia.org/wiki/Demographics_of_Singapore
Religion in Singapore - https://en.wikipedia.org/wiki/Religion_in_Singapore
Parliament of Singapore - https://www.parliament.gov.sg/cabinet (8 November 2016)
Evelyn Baring, 1st Earl of Cromer  - https://en.wikipedia.org/wiki/Evelyn_Baring,_1st_Earl_of_Cromer
Role of Colonization on Political System of Muslim World - http://www.islamreligion.com/articles/359/role-of-colonization-on-political-system-of-muslim-world/
The Oxford History of the British Empire: Volume IV: The Twentieth Century oleh Judith Brown dan Wm Roger Louis - http://www.oxfordscholarship.com/view/10.1093/acprof:oso/9780198205647.001.0001/acprof-9780198205647-chapter-17
Council of MUIS - http://www.muis.gov.sg/About/council-of-muis.html
Index MUIS - http://www.muis.gov.sg/About/index.html
ROMM - https://www.romm.gov.sg/

Halal Singapore - http://www.halal.sg/Consumer/general.html

Hidup dalam mencari..

Sumber gambar: Google

Kota Damansara,
18 Rabi' al-Akhir 1439H.

Comments