Pengurusan Pendidikan dan Madrasah
Keturunan
Jawi-Peranakan sangat mementingkan pendidikan, bukan setakat bidang bahasa
Melayu, tetapi juga Inggeris. Maka tidak mustahil golongan ini secara aktif
terlibat dalam penerbitan, jurnalisme dan mempromosi bahasa Melayu. Di dalam
bidang pendidikan yang pesat di Singapura, hanya sekitar 679 orang Melayu
sahaja yang merupakan lulusan pengajian tinggi pada tahun 1980. Penekanan
kepada penguasaan dwi-bahasa oleh pemerintah Singapura terutama bahasa Inggeris
sebagai bahasa wajib di sekolah-sekolah telah menurunkan kualiti
sekolah-sekolah dasar Melayu.
Memandangkan sekatan dalam urusan keagamaan yang menjurus kearah
pembaratan dan sekularisasi di Singapura boleh membawa kepada masalah sosial
dan budaya seperti masalah kekeluargaan, gaya hidup hedonisme, serta tidak
menghormati norma-norma sosial dan budaya, kerajaan Singapura dan rakyat
Singapura mengambil pandangan bahawa pendidikan agama perlu ada demi kestabilan
sosial. Pendekatan yang menggunakan agama untuk mewujudkan satu identiti
nasional telah ditinggalkan. Sebaliknya, tumpuan beralih ke arah mewujudkan
perpaduan dikalangan pelbagai etnik dan agama.
(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Surah az-Zumar 39:9)
Dengan kekangan-kekangan seperti ini, golongan Muslim minoriti Singapura
yang merupakan 14.7% daripada jumlah penduduk Singapura, terdorong untuk
menubuhkan sekolah agama swasta atau madrasah tanpa mengharapkan
peruntukan daripada kerajaan. Ini adalah kerana pendidikan Islam masih menjadi
keutamaan bagi penduduk minoriti Muslim di Singapura. Majlis Ugama Islam
Singapura (MUIS) memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan
pendidikan Islam di Singapura. Unit Strategik Madrasah MUIS, mengendalikan
beberapa program kewangan "Dana Madrasah" seperti pemberian mengikut
jumlah individu (Capitation Grant), elaun tambahan guru agama dan geran
sumber bagi penggunaan alat bantu audio visual, perpustakaan, pendidikan
kenegaraan dan aktiviti kurikulum. MUIS juga mentadbir dan memudahkan urusan
peperiksaan kebangsaan, iaitu, Primary School leaving Examination (PSLE)
dan Sijil Thanawi Empat (STE) di madrasah.
MUIS juga telah memainkan peranan utama dalam memantau dan mengurus
perkembangan pendidikan Islam di Singapura melalui bahagian Religious
Education Cluster dan Mosque and Social Development Cluster. MUIS
telah membentuk kurikulum pendidikan Islam tersendiri yang disebut Singapore
Islamic Education System (SIES). SIES merupakan kurikulum yang dibangunkan
untuk pendidikan Islam di Singapura yang dilaksanakan secara separuh masa. Ia
bertujuan untuk menyediakan Muslim dari pelbagai tahap usia untuk memahami,
berbangga dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup terutama dalam menghadapi
cabaran semasa. Kurikulum ini sesuai, dinamik dan menjadi satu pengalaman
pembelajaran umat Islam di Singapura. Kurikulum ini menyasarkan untuk
melahirkan insan yang soleh, bertakwa dan berakhlak mulia serta memahami ilmu
pengetahuan tentang Islam dan mengamalkannya.
Madrasah al-Junied
Madrasah al-Sagof
Madrasah al-Irsyad
Memandangkan pendidikan agama dipinggirkan dalam sistem pendidikan
kebangsaan, golongan Muslim minoriti yang ingin mendapatkan pendidikan agama
perlu belajar di institusi-institusi pendidikan agama swasta yang mempunyai
sistem pentadbiran dan kurikulum sendiri. Sumber kewangan utamanya adalah
daripada sumber-sumber persendirian, seperti daripada dana wakaf dan sumbangan
dari dermawan Muslim. Institusi pendidikan agama ini yang dipanggil madrasah
tertumpu pada peringkat sekolah rendah, menengah dan peringkat persediaan
ke universiti dan ianya dibina di atas tanah wakaf. Pelajar yang belajar di madrasah
mengikuti pembelajaran sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.
Pengajian separuh masa biasanya dijalankan di masjid-masjid manakala pengajian
sepenuh masa dijalankan di bangunan sendiri. Walaupun begitu, kementerian
pendidikan Singapura masih berperanan menyelia sekolah-sekolah swasta di
Singapura termasuk madrasah. Selepas tamat peringkat ini,
pelajar-pelajar madrasah biasanya akan menyambung pelajarannya ke luar
negara.
Kebanyakan waktu persekolahan adalah bermula lapan pagi sehingga dua
petang. Bagi memastikan pelajar madrasah dan aliran agama tidak ketinggalan
dengan kemajuan teknologi, maka setiap sekolah dan madrasah menyediakan makmal
komputer dan internet serta sistem pemangkin pendidikan seperti audio
converence selain daripada setiap madrasah mempunyai sever tersendiri bagi
membangun pendidikan moden.
Wakaf pendidikan juga adalah instrumen yang sangat penting bagi
memastikan perkembangan institusi pendidikan Islam di Singapura, sebuah negara
sekular dengan sistem pendidikan kebangsaan yang tidak memenuhi keperluan
golongan Muslim, sentiasa terjamin. Usaha untuk membangunkan institusi
pendidikan Islam sangat bergantung kepada sumber persendirian seperti sumbangan
daripada dermawan Muslim dan wakaf. Kewujudan banyak hartanah yang diwakafkan
serta diuruskan oleh pengurus dan pemegang amanah yang cekap membantu usaha
membangunkan institusi pendidikan Islam di Singapura. Manfaat wakaf yang paling
besar telah diterima oleh institusi masjid, seterusnya oleh aktiviti pendidikan
dan madrasah (sekolah agama rendah dan menengah).
Penglibatan MUIS dalam urusan pentadbiran madrasah telah membuka pintu
untuk kawalan birokrasi bagi madrasah, khususnya dalam pembangunan dan
pemurnian kurikulum dan kawalan kualiti guru. Kini terdapat enam buah madrasah
sepenuh masa di Singapura yang menawarkan pembelajaran di peringakat rendah
dan menengah iaitu, Madrasah Al-Arabiah, Madrasah Al-Junied, Madrasah
Al-Irsyad, Madrasah Al-Marif, Madrasah Al-Sagof, dan Madrasah Wak Tanjung
al-Islamiah.
Senario pendidikan kebangsaan Singapura terutamanya yang berkaitan
dengan polisi kerajaan seperti diterangkan di atas telah meningkatkan lagi
kewajaran menggunakan sumber wakaf dalam pembangunan pendidikan Islam. Tanpa
wakaf pendidikan, usaha mendidik generasi muda menghayati ajaran Islam menjadi
lebih mencabar disebabkan oleh suasana dan asakan kehidupan bersifat sekular
dan materialistik. Kemajuan pendidikan Islam di Singapura jelas dipengaruhi
oleh kejayaan dalam pengurusan dana wakaf pendidikan. Penglibatan MUIS pula
telah meningkatkan kecekapan urus tadbir institusi pendidikan Islam sehingga
membolehkan enam buah madrasah utama di negara ini terus wujud dan berdaya
saing.
Pengurusan Institusi Masjid
Semenjak tahun
1975, pemerintah Singapura melalui MUIS telah membantu dengan mengadakan satu
skim untuk memungut derma daripada masyarakat Islam bagi tujuan membina
masjid-masjid baru yang canggih dengan segala kemudahan dan peralatan moden.
Pemerintah juga turut membantu dengan mekanisme potongan gaji sumbangan pelerka
Islam kepada dana tersebut di bawah satu skim yang dinamakan MBF (Mosque Building Fund), iaitu
‘Tabung Pembinaan Masjid’ atau ‘Dana Pembinaan Masjid’. Kira-kira sampai tahun
1980, tercatat ada 155 masjid di Singapura. Masjid yang paling tua adalah
masjid Molaka yang didirikan pada tahun 1820. Dan masjid yang terbesar adalah
adalah Masjid Sultan dan Masjid Chulia.
Singapura dianggarkan memiliki 70 buah masjid yang terbahagi kepada dua
jenis iaitu masjid yang ditadbir oleh MUIS dan masjid yang ditadbir oleh pihak
persendirian. Hanya 22 buah masjid sahaja yang benar-benar menggunakan dana
daripada skim di atas berdasarkan agihan yang dilakukan oleh MUIS. Semua masjid
yang dibina berkonsep baru dengan elemen sebaguna pelbagai kemudahan speperti
pejabat umum, bilik darjah, kemudahan persidangan, pusat perpustakaan merangkap
sumber pengetahuan, bilik komputer dan bilik jenazah. Khidmat dari aspek
pendidikan dan kemabijak ialah mengadakan kursus dan seminar isu semasa ummah,
kursus bimbingan rumahtangga, kursus bakal haji, pameran, pungutan zakat
fitrah, akad nikah, bantuan kewangan, kelas bimbingan dan kegiatan memungut
derma. Masjid merupakan sebuah institusi strategi di Singapura, memiliki
program terencana yang disusun oleh MUIS, berfungsi sebagai pusat pendidikan
dan pembanguanan sosial umat dan tidak hanya terbatas dengan tempat ibadah
semata.
Masjid Sultan
Masjid di Singapura banyak memberi sumbangan dalam memenuhi keperluan
sosial masyarakat Melayu-Islam dalam membentuk kehidupan beragama dan
pembangunan diri yangsesuai dengan golongan usia. Kumpulan jawatankuasa masjid
sentiasa bersikap aktif, kreatif dan berpandangan ke hadapan dalam memeberikan
yang terbaik untuk kebaikan masyarakat Melayu-Islam Singapura. MUIS sentiasa bergiat dalam usaha untuk terus mempertingkat peranan
masjid sebagai sebuah pusat pembelajaran dan pembangunan sosial masyarakat
Islam Singapura. Masjid-masjid ini
telah mendapat pengiktirafan oleh masyarakat di sana serta pihak pemerintah
Singapura sendiri. Pengiktirafan ini adalah bernilai kerana berhadapan dengan
suasana masyarakat Singapura yang majmuk dan masyarakat muslim merupakan
golongan minoriti dalam usaha membentuk jatidiri muslim di Singapura.
Terdapat tiga strategi yang perlu ada dalam pembangunan masyarakat Islam
Singapura melalui institusi masjid iaitu ‘Masjid Mesra Belia’, ‘Masjid Mesra
Keluarga’ dan ‘Masjid Mesra Masyarakat’. Bagi mencapai tsrategi tersebut, pihak
pentadbiran masjid-masjid perlu mengikuti 10 ciri masyarakat Islam cemerlang
yang diaturkan oleh MUIS yang wajib dilaksanakan oleh setiap masjid di
Singapura yang bertujuan pembangunan mayarakat muslim-Melayu Singapura. Namun,
perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti adalah tertakluk di bawah
tanggungjawab pengerusi eksekutif setiap masjid.
Sepuluh ciri masyarakat Islam cemerlang Singapura yang disenaraikan
adalah seperti berikut:
- Berpegang teguh akan prinsip Islam dan
dapat menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah.
- Mempunyai moral dan sifat kerohanian yang
utuh, mampu mengatasi cabaran kehidupan mesyarakat moden.
- Progresif, mengamalkan Islam lebih sekadar
ratual/bentuk dan dapat menyesuaikan diri dengan arus permodenan.
- Menghayati tamadun dan sejarah Islam serta
berupaya memahami isu-isu semasa.
- Menghargai lain-lain ketamadunan dan yakin
dengan diri sendiri untuk berinteraksi serta belajar daripada masyarakat
lain.
- Percaya bahawa muslim yang baik adalah
rakyat yang baik.
- Dapat menyesuaikan diri sebagai golongan
yang memberi sumbangan dalam masyarakat berbilang agama dan negara
sekular.
- Membawa kesejahteraan kepada semua dan
menggalakkan nilai serta prinsip sejagat.
- Tidak menyendiri dan mengamalkan kehidupan
majmuk tanpa bercanggah dengan Islam.
- Menjadi contoh dan inspirasi kepada semua.
Pengurusan Sosial
Sebagai golongan minoriti, muslim Singapura perlu menghadapi isu dan
perkara yang berkait dengan hal ehwal mereka dengn bijak terutama dengan pihak pemerintahan
Singapura dan penduduk majoriti. Muslim Singapura pelulah mengadaptasi cara
hidup mereka serta melakukan kerjasama yang menguntungkan dan berjuang untuk
mempertahankan identiti mereka terutama kebudayaan Melayu dan agama Islam serta
terus berada dalam ikatan nasional. Anutan kefahaman muslim di Singapura pada
umumnya adalah Sunni yang bermazhab Syafi’i, namun ada sebahagian daripada
mereka bermazhab Hanafi. Terdapat juga muslim yang berfahaman Syiah.
Sesuatu yang menarik melalui Artikel 153 ialah pertumbuhan yang mekar
organisasi-organisasi Islam di negara yang dianggap sekular ini. Pertambahan
organisasi Islam yang berbentuk Non-Gorvernment Organization (NGO) telah
mempergiat aktiviti serta program keagamaan Islam dan menjadikan pengurusan hal
ehwal Islam lebih terorganisasi dan proaktif.
Di antara organisasi-organisasi
keagamaan Islam di Singapura selain MUIS adalah sebagai berikut:
- Majelis Pendidikan Anak-Anak Islam
(MENDAKI)
- Lembaga Beasiswa Kenangan Maulid (LBKM)
- Persatuan Seruan Islam Singapura (JAMIYAH)
- Persatuan Guru-Guru Agama Singapura (PERGAS)
- Persatuan Muhammadiyah
- Persatuan Pelajar-Pelajar Agama Dewasa
Singapura (PERDAUS)
- Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura
(PERTAPIS)
- Darul Arqam
- Himpunan Belia Islam (HBI)
- Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
- Persatuan Muslim Singapura (PERMUSI )
- Tamil Muslim Jemaah Singapura.
Pengurusan Perundangan, Mahkamah dan Kehakiman
Ketika Raffles
tiba di Singapura, beliau mendapati penduduk yang berbangsa Melayu merupakan
nelayan yang mengamalkan sistem perundangan berpandukan kepada Undang-undang Adat
Melayu di bawah pemerintahan Dato’ Temenggong. Pulau tersebut mempunyai jumlah
penduduk kurang dari 200 orang dengan Dato’ Temenggong selaku pentadbir
mewakili pemerintah Sultan Johor bagi mentadbir Pulau Singapura.
Jika diteliti
perkara di dalam AMLA, ia dapat dibahagikan kepada dua bentuk perundangan iaitu
pengurusan hal ehwal keagamaan Islam serta kekeluargaan Islam yang turut
melibatkan persoalan pembahagian pusaka bagi orang Islam. Perundangan yang
berhubungkait dengan hal ehwal keagamaan adalah pertama; Bidang kuasa Majlis
Ugama Islan Singapura (MUIS), kedua; Pengurusan Masjid dan Sekolah Agama
(Madrasah) di Singapura, ketiga; pengurusan sumber kewangan seperti
Pengurusan wang Zakat, harta dan hartanah Waqaf, Nazar dan Wasiat, keempat;
Sijil Halal dan Pengurusan Haji, dan kelima; Urusan Pendaftaran Kemasukan Agama
Islam. Manakala perundangan yang berhubung kait dengan hal ehwal kekeluargaan
Islam, pertama; Bidang kuasa Mahkamah Syariah, kedua; Perkahwinan dan
Penceraian dan ketiga; Kehartaan.
Selain dari itu
terdapat beberapa seksyen lain yang turut terkandung dalam akta ini seperti
kedudukan Pendaftar, Kadi dan Naib Kadi sebagai kakitangan kerajaan, saksi
dalam perbicaraan, bukti dalam perbicaraan, peraturan yang dikemukakan oleh
kerajaan Singapura dan hukuman bagi kesalahan-kesalahan di bawah seksyen
129-140 AMLA.
Di dalam
pengurusan pembahagian pusaka Islam, melalui AMLA, Mahkamah Syariah mempunyai
bidangkuasa untuk mengeluarkan sijil warisan bagi mereka yang bermohon
sepertimana yang termaktub dalam seksyen 115 AMLA. Walaubagaimanapun segala
tuntutan serta perbicaraan berkenaan harta pusaka hanya boleh dituntut dan
dikemukakan di Mahkamah Sivil. Oleh kerana mahkamah yang membicarakan kes ini
adalah mahkamah sivil maka keputusannya adalah berasaskan kepada perundangan
sivil dan undang-undang pusaka Islam tidak diambil kira. Mahkamah Syariah Singapura hanya mempunyai
bidangkuasa dalam membicarakan kes-kes penceraian yang melibatkan pasangan yang
beragama Islam dan hanya mengeluarkan sijil warisan bagi ahli waris yang
memohon untuk pembahagian pusaka si mati sepertimana yang dinyatakan dalam
seksyen 112 dan 115 AMLA.
Pertembungan
undang-undang Sivil dan syariah bukan sesuatu isu yang baru dalam sesebuah
negara. Ini kerana tidak semua perkara yang bersesuaian dengan syariat wujud
dalam perundangan sivil khususnya melibatkan sesuatu yang berhubungkait dengan
kehartaan. Harta-harta yang tertakluk di bawah perundangan sivil secara khusus
tidak boleh dicabar atau dituntut oleh mana-mana perundangan atau pandangan
hukum agama. Jenis kehartaan yang dikawal di bawah perundangan khusus adalah
pemilikan bersama (Joint Tenancy) untuk perumahan, Join Asset seperti wang
simpanan bank dan polisi insurans dan penama (Nominee) untuk Wang Simpanan
Pekerja Central Provident Fund (CPF) dan polisi insurans.
Pengurusan
Halal
MUIS diberi kuasa untuk bertindak sebagai pihak berkuasa tunggal untuk
mentadbir dan mengawal selia pensijilan Halal di Singapura seperti yang
ditetapkan dalam AMLA. Di dalam Seksyen 88A (1), Majlis boleh mengeluarkan
sijil Halal berhubung dengan mana-mana produk, perkhidmatan atau aktiviti dan
mengawal pemegang perakuan itu untuk memastikan bahawa keperluan undang-undang
Islam dipatuhi dalam pengeluaran, pemprosesan, pemasaran atau paparan produk
itu, penyediaan perkhidmatan itu atau dibawa keluar dari aktiviti tersebut.
Walaupun di negara yang cenderung kepada sekular, isu produk halal dan
pengesahan halal tetap menjadi perhatian utama uamt Islam Singapura.
Manakala di dalam Seksyen 88A (5) pula, Mana-mana orang yang, tanpa
kelulusan Majlis mengeluarkan sijil Halal berhubung dengan mana-mana produk,
perkhidmatan atau aktiviti atau menggunakan apa-apa tanda pensijilan Halal yang
ditetapkan atau mana-mana tiruan serupa itu, adalah melakukan suatu kesalahan
dan hendaklah, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi $10,000 atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
Perkhidmatan pensijilan Halal MUIS telah secara rasmi bermula pada tahun
1978. Langkah untuk menubuhkan Pensijilan Halal Strategic Unit didorong
oleh permintaan yang semakin meningkat untuk produk Singapura yang disahkan
halal dan makan. MUIS juga mengawal selia industri Halal yang sedang berkembang. MUIS juga telah mengeluarkan satu garis panduan yang dinamakan sebagai Skim
Persijilan Halal yang merangkumi produk, pembuatan makanan, penyimpanan,
penyediaan, dan pengesahan produk halal.
Logo Halal Singapura
Pada tahun 2014, MUIS mengiktiraf lebih daripada 2,900 premis dan telah
memainkan peranan yang penting sebagai penjaga jaminan makanan lalal bagi 15% penduduk
Muslim Singapura dan telah mengeluarkan lebih dari 2,600 pengesahan jaminan
halal produk makanan. Tambahan pula, industri makanan Halal yang berkembang
dengan adanya banyak pertubuhan makan Halal disahkan telah membantu interaksi
sosial antara individu dari latar belakang kaum, budaya dan agama yang
pelbagai.
Bersambung..
Hidup dalam mencari..
Kota Damansara,
16 Rabi' al-Akhir 1439H.
Comments