PENTADBIRAN ISLAM DI SINGAPURA (SIRI 3)

Pembangunan Peradaban Islam di Singapura
Pembentukan peradaban Islam di Singapura tidak boleh terlepas daripada keberadaan bangsa Melayu yang mendiami dan menjadi pribumi asal. Seperti yang telah disebutkan, identiti muslim tidak dapat lari daripada bangsa Melayu. Namun, masalah yang dihadapi ialah kurangnya pemimpin tradisional pribumi, ditambah Melayu dan Islam adalah kumpulan minoriti di Singapura. Keadaan ini kemudiannya memberi pengaruh dan kesan terhadap kepentingan-kepentingan mereka semasa berhadapan dengan pemerintah British yang mempunyai kepentingan dan keutamaan tersendiri.

Penduduk muslim Singapura pada peringkat penjajahan iaitu kurun ke-19 terbahagi kepada dua golongan iaitu muslim-pribumi dan muslim-migran. Muslim-pribumi terdiri daripada orang-orang Melayu, manakala muslim-migran terbahagi kepada dua, iaitu dari dalam wilayah dan dari luar wilayah. Dari dalam wilayah terdiri daripada orang-orang Jawa, Bugis, Sumatera, Riau, Sulawesi dan Bawean, manakala dari luar wilayah terdiri daripada Arab dan India. Orang-orang migran ini terdiri daripada golongan peniaga atau pedagang yang berhijrah ke Singapura.



Sumber: Google

Walaupun golongan migran-muslim yang terdiri daripada bangsa Arab dan India merupakan kumpulan minoriti, namun mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam kalangan masyarakat. Mereka terdiri daripada golongan kaya, berpendidikan, pemilik tanah dan perumahan, terlibat dalam pertanian dan perdagangan, serta telah mampu membentuk suatu jaringan elit komersial. Migran-Arab merupakan penyandang dana utama dalam pembangunan masjid-masjid, lembaga-lembaga pendidikan dan organisasi-organisasi Islam. Dalam pada itu, orang-orang Arab memainkan peranan yang penting dalam penerbitan dan pengagihan buku-buku keagamaan dan penyebaran pemikiran Islam fundamental dan reformasi dari Timur Tengah di sekitar rumpun Asia Tenggara. Meraka juga memainkan peranan yang penting dalam bidang pendidikan Islam di Singapura. Di antara madrasah yang terpenting adalah Madrasah Al-Junied al-Islamiya, Madrasah Wak Tanjong, Madrasah Al-Sagoff dan Madrasah Al-Ma’arif al-Islamiah.

Kelompok Jawa (Jawi) Peranakan merupakan pemimpin tradisional Melayu yang banyak berjasa dalam menegakkan bahasa dan nasionalisme Melayu. Mereka kebanyakannya bekerja sebagai pendakwah, penterjemah, guru-guru madrasah dan pedagang. Mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam kalangan masyarakat dalam sosial mahupun ekonomi. Pada tahun 1876, orang-orang Jawa Peranakan mulai menerbitkan surat khabar dan majalah Melayu yang digunakan sebagai pengajaran di sekolah-sekolah Melayu. Mereka membiaya penerbitan karya-karya sastera dan puisi Melayu serta menterjemahkan teks-teks keagamaan Arab. Mereka berusaha untuk memurnikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan menyerap bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Seorang tokoh reformasi iaitu Syeikh Muhammad Tahir (1867-1957) yang telah belajar di Mekah telah menyerap pemikiran Muhammad Abduh dan menerbitkan majalah Al-Imam di Singapura. Majalah Al-Imam di dalam penulisan terbitannya berusaha membangkitkan kesedaran umat Islam akan kepentingan pendidikan.

Orang-orang Arab, Jawa Peranakan dan Melayu di Singapura telah memberi sokongan dalam proses penyesuaian pemikiran reformasi Islam dengan pemikiran Naqsyabandiyah dan Qadiriyah dari Mekkah dan Mesir. Bermula dari Singapura, pembaharuan Islam menyebar ke bahagian-bahagian lain di Asia Tenggara melalui gerakan mahasiswa, guru agama dan ahli sufi selain daripada interaksi perdagangan dan haji. Perkembangan pendidikan di Singapura dan Pulau Pinang memberi peranan besar sebagai perantara budaya, pemurnian proses penterjemahan, rasionalisasi pemikiran, penyerapan istilah-istilah di dalam Islam ke dalam bahasa Melayu dan juga ke dalam penyesuaian penggunaan atau kerangka setempat iaitu Nusantara-Melayu.

Nasib Melayu dianggap berubah pada tahun 1963 ketika Singapura menyertai Malaysia. Penyertaan tersebut menjadikan masyarakat Melayu sebahagian daripada etnik majoriti Melayu di Malaysia. Menjelang dua tahun kemudian, keadaan berubah apabila Singapura berpisah daripada Malaysia dan Melayu Singapura kembali menjadi golongan minoriti.

Struktur Pemerintahan Singapura
Ia berterusan menjadi tanah jajahan British sehingga tahun 1959 di mana Singapura telah diberi kepercayaan untuk pemerintahan sendiri. Pada tahun 1963, Singapura telah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Namun pada tahun 1965, Singapura telah terpisah dari Malaysia dan menjadi negara merdeka dengan nama Republik Singapura.

Singapura merupakan sebuah negara kesatuan (unitary), multi-parti, republik berparlimen dengan menggunakanpai teori sistem westminster mengikut kaedah kerajaan demokrasi berparlimen unicameral. Singapura merupakan sebuah negara republik dengan ketua negara ialah Presiden dan pemerintahan negara dijalankan oleh kabinet yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri. 

Negara kesatuan (unitary) adalah sebuah negara yang ditadbir melalui kuasa tunggal di mana kerajaan pusat merupakan kuasa tertinggi dan mana-mana bahagian pentadbiran (unit kerajaan) hanya melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh kerajaan. Sistem multi-parti merupakan satu sistem di mana parti-parti politik yang pelbagai pendekatan politik bertanding di dalam sebuah pilihanraya melalui keupayaan masing-masing untuk mendapatkan kerusi di pejabat-pejabat kerajaan secara berasingan atau gabungan. Manakala Republik berparlimen adalah sejenis republik yang beroperasi di bawah sistem kerajaan yang dikuasai oleh badan eksekutif dan bertanggungjawab kepada badan perundangan iaitu parlimen. Sistem Westminster adalah sistem parlimen kerajaan mengikut model yang dibangunkan di United Kingdom dan Ireland Utara yang merupakan satu siri prosedur untuk mengendalikan badan perundangan (parlimen). Istilah ini berasal dari Istana Westminster, kerusi bagi parlimen British. unicameral adalah amalan memiliki satu ruang perundangan atau Parlimen sahaja 

Walaupun menjalankan sistem multi-parti, tetapi sejak kemerdekaannya pemerintahan Singapura hanya dikuasai oleh satu parti iaitu Parti Bertindak Rakyat (People’s Action Party – PAP). Di bawah adalah struktur parlimen Singapura:

Speaker of Parliament
The Government
Prime Minister
Members of the Cabinet
Leader of the House Party Whip
Members of the Parliament
Elected MPs
Non-Constituency MPs
Nominated MPs
Parliament Secretariat
Department
Parliamentary Clerks 
Official Reports 
Language Services 
Security 
Corporate Services 
Estate and Facilities 
Education & Publicity 
Library/Research 
Computer Information Systems 

Sumber: https://www.parliament.gov.sg/organisation-structure


Seperti kebanyakan negara di dunia, pemerintahan Singapura terbahagi kepada tiga cabang utama iaitu eksekutif, legislatif dan judislatif. Kuasa eksekutif dijalankan oleh kabinet yang bertanggungjawab secara kolektif di dalam parlimen dengan melibatkan secara langsung ketiga-tiga cabang tersebut. Presiden berfungsi sebagai formaliti ketua negara. Pemerintahan dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan beliau memiliki peranan yang sangat besar sebagai pemegang kuasa pemerintahan. Perdana Menteri dipilih oleh parlimen sedangkan ahli kabinet atau menteri dilantik oleh Presiden atas saranan dan nasihat Perdana Menteri. Kabinet Singapura bertindak secara kolektif dalam apa-apa keputusan negara dan mempunyai pengaruh atas ketetapan undang-undang dengan mengajukan dan diperbincang di dalam parlimen. MUIS diletakkan di bawah Menteri Komunikasi dan Maklumat yang mana menteri ini juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Muslim dan Keselamatan Siber.

Meskipun perundangan di Singapura diwarisi daripada perundangan Inggeris, namun PAP secara berterusan menolak nilai-nilai demokrasi liberal yang beridentiti budaya Barat dengan berpegang bahawa tiada solusi “satu perkara memuat segalanya” untuk demokrasi. Parti pemerintah iaitu PAP sentiasa memastikan pelaksanaan pemerintahannya adalah bersih dan bebas rasuah, sehingga di peringkat antarabangsa tersenarai di antara sepuluh negara terbersih daripada rasuah oleh Transparency International. Perundangan telah membatasi kebebasan bersuara yang mana kebebasan tersebut mungkin bertujuan buruk atau menyebabkan ketidakharmonian dalam masyarakat Singapura yang multi-agama dan multi-etnik.

Isu kebebasan beragama tetap menjadi suatu perkara yang diberi perhatian dengan penuh berhati-hati oleh kerajaan Singapura. Ini sejajar dengan polisi kerajaan Singapura yang menyekat kebebasan penuh dalam hal-hal keagamaan. Pada dasarnya Singapura adalah negara yang bersikap neutral terhadap agama. Singapura sebenarnya tidak terlalu memerhatikan agama rakyatnya. Akan tetapi perkembangan Islam di negara ini termasuk dalam kategori maju dan meningkat jika dibandingkan dengan negara-negara tetangganya, seperti Malaysia dan Indonesia.

Bersambung..

Hidup dalam mencari..

Kota Damansara,
10 Rabiulakhir 1439H.

Comments