Kedatangan Islam Ke Singapura
Kedatangan dan perkembangan Islam di Singapura tidak boleh dipisahkan dengan catatan kedatangan Islam ke Semenanjung Malaysia dan kepulauan Nusantara. Terdapat beberapa pendapat menganai kedatangan Islam di Nusantara. Pendapat pertama menyatakan seawal abad ke-7 dan ke-8 Masihi, telah berlaku hubungan dagang antara para pedagang muslim dari Timur Tengah dan India dengan Nusantara, lebih awal daripada pihak Portugis, Belanda, Amerika Syarikat dan British. Hasilnya, telah wujud perlembagaan dan kekuasaan politik Islam di wilayah Nusantara ini pada abad ke-12 Masihi. Pendapat kedua menyatakan Islam datang ke Nusantara sekitar abad ke-13 Masihi daripada bukti telah wujud sistem politik yang melambangkan pemerintahan Islam iaitu kerajaan Islam-Pasai. Pendapat ketiga kedatangan Islam bermula abad ke-15 sehingga abad ke-16 Masihi. Namun pendapat yang rasmi mengenai kedatangan Islam ke Singapura ialah melalui pemerintahan Islam di Melaka yang kemudiannya diwarisi oleh Kesultanan Melayu Johor di rantau ini. Di dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka sejak tahun 1500-an telah direkod mengamalkan perundangan Islam (syariah). Sehinggalah pada tahun 1824 yang mana Singapura masih di bawah pemerintahan Kesultanan Melayu Johor sebelum dibuka oleh Raffles dan undang-undang Islam hanya meliputi dan berkaitan dengan urusan peribadi sahaja.
Proses perkembangan Islam berlaku dengan kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti di Sumetera, Jawa, Kalimantan dan Nusantara Timur. Walaupun pengislaman Parameswara (yang kemudiannya menukar nama kepada Megat Iskandar Syah) telah menjadikan Melaka sebagai pusat penting kekuatan politik Islam, namun Islam belum kelihatan pengaruhnya di kejiranan mereka iaitu Singapura. Apa yang menarik ialah kesungguhan dan ketekunan perkembangan agama Islam di Singapura berlaku ketika setelah berada di bawah penjajahan British.
Sumber gambar: Google
Ada beberapa teori yang membicarakan asal usul Islam yang berkembang di Nusantara. Teori pertama ialah teori Gujerat yang menyatakan Islam di Nusantara bukan berasal terus daripada Parsi atau Arab, tetapi daripada orang Arab yang bermigrasi dan menetap di India, seterusnya membawa Islam ke Nusantara. Ia berkait dengan teori mazhab di mana mazhab yang dianuti ialah mazhab Syafi’i. Teori kedua pula oleh S.Q. Fatimi iaitu teori Bengal (Bangladesh) yang diambil berdasarkan keterangan Tome Pires. Beliau menyatakan bahawa majoriti orang terkemuka di Pasai adalah orang Bengali atau keturunan mereka. Selain itu model dan bentuk nisan Malik al-Shalih, Raja Pasai adalah berbeza sepenuhnya dengan batu nisan yang terdapat di Gujarat. Bentuk dan model batu nisan tersebut mirip dengan batu nisan yang ada di Bengal. Oleh kerana itu, menurutnya pastilah Islam juga berasal dari sana. Namun teori ini lemah ditambah lagi mazhab yang diamalkan di Bengal ialah mazhab Hanafi.
Teori ketiga, keempat dan kelima oleh Thomas W. Arnold. Teori ketiga ialah teori Tanah Arab yang mengatakan bahawa para pedagang Arab telah menyebarkan Islam ketika mereka mendominasi perdagangan Barat-Timur sejak awal abad Hijrah iaitu ketika kurun ke-7 dan ke-8 Masihi. Hal ini didasarkan kepada sumber-sumber Cina yang mengatakan bahwa menjelang akhir abad ke-7, seorang pedagang Arab menjadi pemimpin sebuah pemukiman Arab-Muslim di pesisir pantai Barat Sumatera. Teori keempat pula ialah teori Parsi yang bersandar kepada mazhab seperti sebelum-sebelum ini. Beliau menyatakan wujud penemuan peninggalan mazhab keagamaan di Sumatera dan Jawa yang bercorak Syiah. Ia berdasarkan penemuan pernah wujud dua orang ulama fiqh berketurunan kerabat sultan ketika itu yang berasal dari Parsi iaitu dari daerah Shiraz dan Isfahan.
Teori kelima ialah teori Coromandel dan Malabar atau Hadhramaut atas dasar mazhab yang menyatakan umat Islam di sana mengamalkan mazhab Syafi’i. Dalam pada itu menurut Marrison, ketika terjadi Islamisasi Pasai tahun 1292 Masihi, Gujerat masih merupakan kerajaan Hindu, maka tidak mungkin asal penyebaran Islam datang dari sana. Manakal teori keenam, iaitu teori Mesir yang dikemukakan oleh Keyzer, juga berdasarkan teori mazhab mengatakan bahawa ada persamaan mazhab yang dianut oleh penduduk Mesir dan Nusantara iaitu mazhab Syafi’i. Hanya Keyzer seorang yang mengemukakan teori ini. Teori Arab-Mesir ini juga dikuatkan oleh Niemann dan de Hollander. Tetapi keduanya memberikan komentar bahawa bukan Mesir sebagai sumber Islam Nusantara, melainkan Hadramaut, Yaman. Sementara itu dalam seminar yang diselenggarakan pada tahun 1969 dan 1978 tentang kedatangan Islam ke Nusantara menyimpulkan bahwasanya Islam datang secara langsung datang dari Arab dan bukan dari India.
Teori siapa yang membawa Islam pula terbahagi kepada tiga iaitu pendakwah, pedagang dan ahli sufi. Teori pendakwah menyatakan Islam disebar melalui misi dan tugas khas yang diamahkan untuk menyebarkan Islam berdasarkan bukti histografik Islam klasik seperti Hikayat Raja-raja Pasai (ditulis setelah 1350), Sejarah Melayu (ditulis setelah 1500) dan Hikayat Merong Mahawangsa (ditulis setelah 1630).
Teori padagang adalah melalui peranan pedagang dalam penyebaran Islam yang ditemui oleh sarjana Barat. Mereka menyatakan para pedagang muslim telah berkahwin dengan wanita tempatan dan seterusnya menetap dan bermukim sehingga membentuk keluarga dan komuniti Islam. Selain itu juga, pedagang berkahwin dengan golongan bangsawan untuk mendapat kekuasaan politik dalam penyebaran Islam. Teori golongan sufi dinyatakan oleh A.H. Johns, bahawa golongan sufi adalah para pengembara yang melakukan penyebaran Islam ke kawasan Nusantara. Ini berdasarkan penemuan tempatan yang mengaitkan Islam ke Nusantara dengan individu yang mempunyai perwatakan sufi yang kuat. Golongan sufi ini telah mengislamkan sejumlah besar penduduk Nusantara sejak abad ke-13 Masihi. Faktor utama kejayaan golongan sufi ini adalah pada kemampuan mereka menggambarkan Islam dalam bentuk yang menarik, khususnya terhadap penekanan kesesuaian Islam dengan praktikal kepercayaan dan keagamaan tempatan.
Pembentukan Masyarakat Singapura
Stamford Raffles yang tiba dan membuka Singapura telah menjadi pemerintah di situ bermula tahun 1819 sebagai salah satu tanah jajahan British. Sewaktu tiba di Singapura, beliau mendapati penduduknya adalah berbangsa Melayu yang dipercayai telah lama memeluk agama Islam. Pada tahun 1827, kaum Cina telah menjadi kumpulan entik yang terbesar di Singapura. Pada tahun-tahun awal pembentukan Negeri-negeri Selat, kebanyakan masyarakat Cina di Singapura adalah daripada keturunan Peranakan. Sebagai sebuah perlabuhan yang telah membangun, Singapura telah menerima kedatangan migran Cina yang ramai mencari kerja.
Kebanyakan pekerja migran ini umumnya adalah daripada golongan lelaki, miskin dan tidak berpendidikan di mana mereka meninggalkan negara China (terutamanya dari selatan China) untuk menyelamatkan diri dari krisis politik dan ekonomi di negara mereka. Mereka bercita-cita untuk mendapat kemewahan hidup dan kemudiannya kembali ke negara asal. Namun kebanyakan mereka terpaksa hidup sebagai buruh tidak mahir dengan pulangan gaji yang rendah. Sehingga abad ke-20, wujud mayarakat Cina yang menetap kekal di Singapura terutama yang telah mempunyai isteri atau pasangan. Akibat daripada kemasukan yang ramai daripada golongan lelaki, maka golongan wanita adalah sangat kurang di mana ratio yang dicatatkan lelaki terhadap wanita adalah 100:1. Ini berlaku disebabkan sekatan migran wanita oleh kerajaan China sehingga tahun 1860-an.
Melayu di Singapura adalah kumpulan etnik kedua terbesar sehingga tahun 1860-an. Walaupun ramai orang Melayu terus tinggal di kampung-kampung tradisional Melayu, sebahagian besar bekerja sebagai makan gaji dan tukang kraftangan. Ini adalah berbeza dengan kebanyakan orang Melayu di Tanah Melayu, yang kekal sebagai petani dan nelayan. Pada tahun 1860, India menjadi kumpulan etnik kedua terbesar. Mereka terdiri daripada buruh tidak mahir seperti kuli Cina, pedagang, tentera bandar di Singapura oleh kerajaan di Calcutta. Terdapat juga banduan India yang telah dihantar ke Singapura untuk menjalankan projek kerjaraya, seperti pembersihan hutan, kawasan paya dan menyusun atur jalanraya. Mereka juga membantu membina banyak bangunan, termasuk Katedral St Andrew dan kuil-kuil Hindu. Selepas menjalani hukuman mereka, ramai banduan memilih untuk tinggal di Singapura.
Kesan daripada sikap pentadbiran yang berlepas tangan, kebanjiran kaum lelaki dengan status penduduk sementara, ditambahi penduduk yang tidak berpendidikan, masyarakat Singapura hidup dalam suasana tanpa undang-undang dan huru-hara. Pelacuran, perjudian dan penyalahgunaan dadah terutamanya candu adalah meluas. Kumpulan kongsi gelap Cina yang tumbuh (sama dengan kongsi gelap moden) sangat berkuasa dan perbuatan jenayah meningkat dengan meluas; ada yang berpuluh-puluh ribu orang ahli dan pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap sering berlaku kerana persaingan dan kadang-kadang membawa kepada angka kematian dengan jumlah beratus-ratus orang. Usaha untuk membanteras kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini tidaklah mencapai kejayaan yang sepenuhnya dan kumpulan kongsi gelap ini terus menjadi masalah sepanjang abad ke-20.
Bangsa Melayu di Singapura dinisbahkan sebagai umat Islam atau muslim. Terdapat peratusan yang sekata antara bangsa-bangsa di Singapura dan agama anutan mereka. Perubahan demografik dikesan berlaku ketika awal kurun ke-19 di mana bangsa Cina secara perlahan mula mengambil alih penduduk majoriti di Singapura. Sejak tahun 1891, jumlah penduduk bangsa Cina adalah 67.1%, Melayu 19.7%, India 8.8% dan yang lain-lain, termasuk Eropah dan Arab ialah 4.3%.
Sumber: Wikipedia
Bancian yang dilakukan pada tahun 1990 pula menunjukkan keseluruhan penduduk Singapura berjumlah 2.7 juta orang. Komposisi penduduknya terdiri dari majoriti Cina dengan 77.7%, Melayu 14.1%, India 7.1% dan warga lainnya 1.1%. Sementara itu jumlah penduduk dilihat dari sudut agama yang dianuti pada bancian yang sama tahun 1990 menunjukkan pengikut Budhha 31.1%, Taoisme 22.4%, Islam 15.3%, Kristian 12.5%, Hindu 3.7% dan agama lain 0.6%. Apabila dilihat dari sudut agama anutan, bangsa Melayu secara majoriti memeluk agama Islam.
Menurut bancian tahun 2000 juga, 15% penduduk Singapura beragama Islam, iaitu 14% etnik Melayu (45,000 dari jumlah penduduk empat juta), 1% lagi ialah daripada kaum lain seperti Arab dan India. Majoriti penduduk Singapura ialah Cina dengan 77% dan etnik India 7%. Menurut Prof. Hussin, bilangan orang Cina yang memeluk agama Islam meningkat, tetapi jumlahnya masih kecil. Statistik penganut agama 2010 pula, Buddha 33.9%, Tiada agama 16.4%, Islam 14.3%, Taoist 11.3%, Kristian lain-lain 11%, Kristian Katolik 7.1%, Hindu 5.2% dan lain-lain 0.7%. Statistik etnik 2015 menunjukkan Cina 74.3%, Melayu 13.3%, India 9.1% dan lain-lain 3.2%. Rumusan peratusan etnik dan agama adalah masing-masing seperti di Jadual 1 dan Jadual 2.
Hidup dalam mencari..
Kota Damansara,
08 Rabi' al-Akhir 1439H.
Comments