Pengenaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST): Sorotan Umum Dalam Aplikasi Maqasid al-Syari’ah

Sesebuah negara hendaklah ditadbir urus dengan memenuhi prinsip pematuhan terhadap hukum hakam Allah swt dan memenuhi matlamat kehendak syara’. Pematuhan hukum Allah bermaksud segala urusan tadbir urus hendaklah selari dengan perintah Allah seperti pemilihan ketua tertinggi dari kalangan orang yang beriman, hukuman dan pemerintahan hendaklah berkonsepkan keadilan dan kebajikan sejagat, keputusan berkaitan keperluan masyarakat hendaklah diperbincang di dalam mesyuarat dan sebagainya. Manakala memenuhi kehendak matlamat syara’ ialah, apa yang ditetapkan oleh syara’ dalam segala hal hukum yang ditetapkan adalah mengambil manfaat dan menolak mudarat.

Pembinaan, kelangsungan dan pengukuhan sesebuah negara berkait rapat dengan kestabilan dalam sektor ekonomi dan kewangan. Pelbagai cara dan instrument boleh digunapakai untuk negara memperoleh kekuatan kewangan. Di dalam Islam, antara cara yang diperintah dan dibenarkan oleh syara’ untuk memperoleh pendapatan ialah menggalakkan urusan jual beli, pembayaran zakat, pemberian harta waqaf, sumber asli, pengutipan cukai, pinjaman, pelaburan dan lain-lain serta pengagihan yang saksama di kalangan anggota masyarakat bagi memenuhi keperluan asas mereka.


Keputusan sesebuah kerajaan untuk mengutip cukai tidaklah boleh dihalang kerana ia telah dilakukan pada zaman Nabi dan khulafa’ rasyidin. Adapun syarat yang ditetapkan untuk mengutip cukai ialah dicapai dengan cara yang adil dan dalam lingkungan had kemampuan tertentu. Ini bersandarkan kefahaman hadith Nabi yang menyatakan terdapat kewajiban lain dalam karta seseorang muslim melebihi zakat dan kaedah dalam Islam yang menyatakan faedah yang sedikit boleh dikorbankan untuk mendapat faedah yang lebih besar dan pengorbanan yang sedikit boleh dikenakan untuk mengelak pengorbanan yang lebih besar. Kepentingan ekonomi dalam setiap kategori iaitu individu rakyat, kelompok masyarakat dan negara seharusnya ada keseimbangan dengan mengikut keutamaan dari segi dharuri, hajiyyat dan tahsinat dan menjaga kuliyyat al-khamsah iaitu agama, diri, akal, keturunan dan maruah terhadap setiap ketegori. Firman Allah swt, “Dan mereka bertanya kepada kamu apa yang mereka nafkahkan, katakanlah: “yang lebih dari keperluan.” (Surah al-Baqarah 2:219). Zakat adalah ibadah harta yang diwajibkan oleh Allah Taala dengan segala syarat yang khusus. Manakala cukai adalah harta yang dikutip oleh pemerintah berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Abu Yusuf juga menyokong untuk menaikkan dan menurunkan cukai bergantung kepada kemampuan orang ramai untuk menanggung bebannya. Bagaimanapun hanya sistem cukai yang adil sahaja yang dianggap sejajar dengan semangat Islam. Sistem cukai yang menekan dan meyusahkan apabila dibandingkan dengan kemampuan orang ramai untuk menanggungnya telahpun dikutuk dengan sebulat suara. Abu Yusuf telah menunjukkan bahawa sistem cukai yang adil itu sudah pasti akan meningkatkan kemasukan cukai dan pembangunan negara. Mawardi pula menegaskan bahawa megambil lebih daripada yang sepatutnya adalah tidak adil berhubung dengan hak-hak perbendaharaan negara. Mengikut Marghinani, jika sumber pendapatan negara tidak mencukupi, negara perlu memungut cukai daripada rakyat untuk membiayai kepentingan umum.

Ia merupakan sandaran syariat dan teori asas kepada pemerintah negara untuk mewajibkan perkara yang perlu untuk dikenakan cukai kepada orang yang mampu bagi menampung keperluan orang-orang yang memerlukan bantuan atau untuk mencapai maslahah umum bagi agama dan negara. Kezaliman rakyat sebagaimana yang dicatat oleh ulama’ seringkali berupa tidak menunaikan tanggungjawab, mengelak cukai, tidak membayar hutang dan seumpamanya sementara kezaliman pemimpin atau pemerintah pula berupa mengambil yang bukan haknya iaitu merampas hak rakyat untuk dirinya dan suku sakatnya. Sebelum merdeka, rakyat Kelantan melakukan penentangan apabila British melaksanakan undang-undang bersabit dengan cukai hasil yang tidak mengikut cara Islam dan kehendak adat setempat.

Antara syarat yang dikenakan kepada pemerintah yang mahu mengutip cukai daripada rakyatnya ialah: 1- Kerajaan benar-benar memerlukan harta berkenaan, dan tiada sumber lain, 2- Pembahagian beban cukai yang adil, 3- Cukai tersebut hendaklah digunakan untuk membiayai kepentingan umat, bukan untuk maksiat dan hawa nafsu, 4- Mendapat persetujuan dari pakar dan cendikiawan.

Ibnu Hazim menyatakan mengenai cukai, ia adalah penetapan pemerintah dalam bentuk kewangan ke atas rakyat apabila berlaku sebab tertentu. Imam Haramain al-Juwaini menyatakan berdasarkan ijmak ulama bahawa menjadi kewajipan pemerintah dalam mempertahankan daulah. Maka apabila baitulmal tidak mampu menampung perbelanjaan ketenteraan, pemerintah boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan. 

Imam al-Ghazali menyatakan tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan adalah mencukupi. Namun begitu, jika sekiranya unit ketenteraan Islam tidak memiliki wang yang cukup dan baitulmal tidak mampu menanggung perbelanjaan ketenteraan, maka harus kepada pemerintah mengenakan cukai kepada golongan yang kaya sekadar jumlah yang dapat menampung perbelanjaan ketenteraan. Pemerintah Islam harus memberi tanah kerajaan kepada tentera sebagai ganti cukai. 

Menurut al-Syatibi, pengambilan cukai menjadi keharusan apabila pemerintah itu seorang yang adil dan membelanjakan harta tersebut pada jalan yang diharuskan syara'. Ibn Khaldun menekankan dalam isu percukaian ialah pembentukan cukai terhadap rakyat hendaklah pada kadar yang rendah kerana ia akan merangsang semangat keusahawanan dan jika jumlah cukai perlu ditingkatkan, maka ia hendaklah pada kadar yang minimum. Selain itu, pemerintah juga perlu sentiasa berwaspada agar kemewahan yang mengakibatkan perbelanjaan negara meningkat perlu sentiasa dikawal. 

Bagi ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, dan Syeikh Mahmud Syaltut, mereka berpendapat harus pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ‘ushur bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pegawai-pegawai kerajaan dan penyediaan infrastuktur untuk kemudahan rakyat. Di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan ulama yang disebutkan tadi, maka para ulama telah mengariskan empat elemen utama dalam penggubalan sistem cukai iaitu prinsip keadilan, cukai pada paras minimum, cukai dipungut ketika ketidakcukupan sumber pendapatan negara dan pembayaran cukai bertujuan maslahah. Dalam konteks perbelanjaan harta percukaian, para ulama telah bersepakat bahawa hasil cukai yang dipungut wajiblah dibelanjakan untuk kepentingan umum yang merangkumi: jihad fi sabilillah, jaminan kemasyarakatan dan maslahat umum.

GST dikatakan memenuhi kehendak Islam apabila didapati memenuhi kehandak bagi menampung keperluan dan pembangunan rakyat. Sesebuah negara memerlukan dana yang mencukupi bagi mewujudkan pentadbiran dan pengurusan negara yang baik dan lancar. Walaupun pengenaan cukai ini adalah lebih menyeluruh dan bersepadu, namun pelaksanaannya juga perlu mengambil kira kadar kemampuan golongan pertengahan dan bawahan. Ini kerana golongan ini akan lebih merasai impaknya berbanding golongan kaya. Pelbagai inisiatif dan bantuan harus diwujudkan kepada mereka agar pertumbuhan ekonomi negara bergerak seiring dengan kemajuan masyarakat.

Walaubagaimanapun, penulis melihat masih terdapat beberapa kelompongan yang berlaku daripada sudut mata masyarakat biasa. Antaranya ialah:
  1. Fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengenai keharusan GST oleh kerajaan dikeluarkan selepas penetapan pelaksanaannya. Ia dilihat seolah fatwa yang dikeluarkan bagi menyokong tindakan kerajaan dan bukan daripada penyelidikan yang menyeluruh dalam keseluruhan konteks sesebuah kerajaan.
  2. Pelaksaan GST masih belum sampai ke peringkat dharuri. Ini kerana ia bukan digunakan bagi menampung perbelanjaan ketenteraan dan mempertahankan daulat  negara
  3. Negara masih mempunyai pelbagai sumber kewangan yang boleh diperkukuh dan diperkembangkan, seperti gas, minyak, pembalakan, perdagangan antarabangsa, dan masih boleh diikhtiar cara lain selain mengenakan cukai.
  4. Pembahagian beban cukai yang adil masih keliahatan samar kerana secara keseluruhan seolah tiada pengecualian terhadap percukaian sehingga menyebabkan segala barang keperluan naik, walaupun ada dinyatakan pihak yang terkecuali daripada membayar cukai. Ia membebankan orang yang tidak berkemampuan lebih-lebih ketika berhadapan dengan kejatuhan nilai wang, peningkatan kos hidup dan kemampuan kerajaan memberi upah dan gaji yang seimbang.
  5. Pengembalian manfaat cukai terhadap kemaslahatan keseluruhan rakyat Malaysia yang berbeza kedudukan serta pendapatan dan negara amnya masih kabur. Penerangan terhadapnya sangat kurang sehingga boleh menjejaskan kredibiliti GST ini untuk memberi manfaat yang lebih baik dalam keseluruhan urustadbir kerajaan dalam semua bidang.
  6. Masyarakat seringkali didedahkan oleh media melalui kenyataan para pemimpin negara bahawa negara sedang berada di landasan yang betul dalam pembangunan dan kemajuan serta ekonomi berada dalam keadaan stabil dan kukuh. Sekiranya benar sedemikian, seolah tidak sepatutnya GST dikenakan kerana telah ada sektor lain yang lebih kukuh dan berupaya menyumbang kepada ekonomi negara.
  7. Pemahaman yang benar dan betul terhadap maqasid syariah perlu ditekankan kepada masyarakat keseluruhannya. Ia tidak boleh dipandang dalam kecamata untuk menyokong segala dasar kerajaan sedangkan dari segi akar umbinya ia menyalahi kehendak dan hukum Islam. Ianya perlu diambil perhatian yang serius bagi memastikan negara ini sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah swt.

Wallahu a’lam.


Rujukan:
  1. Konsep Percukaian Islam: Satu Tinjauan Dari Sudut Pelaksanaan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) Disediakan Oleh: Seksyen Muamalat, Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan, JAKIM
  2. Masyarakat Madani: Menghayati Cita-Cita Sosial Keislaman Dan Kemalaysiaan Oleh Siddiq Fadhil, Pustaka Alaf Azhari 2000, PMRAM: Manhal.
  3. Negara Kebajikan Islam: Suatu Manifesto, 2000, PMRAM: Manhal.
  4. Pengenalan Ekonomi Islam Oleh Mohd. Rumaizuddin Bin Hj. Ghazali, PMRAM: Manhal.

Hidup dalam mencari..

Jalan Teluk Gong, Klebang,
20 Safar 1437H.

Comments