Ringkasan Hukuman Mati Mandatori: Satu Analisis Menurut Pengamalan Undang-undang di Malaysia dan Syariah oleh Azman bin Mohd Noor

*Penulisan ini merupakan ringkasan daripada Jurnal Undang-undang dan Masyarakat yang bertajuk: Hukuman Mati Mandatori: Satu Analisis Menurut Pengamalan Undang-undang di Malaysia dan Syariah oleh Azman bin Mohd Noor

Pendahuluan
Dalam kebelakangan ini, isu hukuman mati mandatori telah mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat antarabangsa. Ada yang menyokongnya, malah tidak ketinggalan juga yang mengecamnya. Antaranya ialah isu hukuman mati mandatori yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia terhadap pesalah pengedar dadah warganegara asing seperti Australia yang tidak meletakkan hukuman mati terhadap mana-mana peruntukan undang-undang mereka. Jurnal ini membicarakan peruntukan hukuman mati mandatori di Malaysia ke atas kesalahan-kesalahan tertentu, kedudukan hukuman mandatori dan peruntukannya menurut perspektif syariah.

Hukuman Mati Mandatori di Malaysia
Hukuman paling berat yang diperuntukkan di Malaysia atas sesuatu jenayah ialah hukuman mati. Jenayah yang boleh melibatkan hukuman mati di Malaysia adalah berasaskan peruntukan seperti berikut:
1- Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396
2- Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1)
3- Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1)
4- Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B


Hukuman mati dikenakan kepada jenayah yang dianggap sebagai suatu kesalahan yang amat besar dan berat. Dadah dianggap musuh utama negara kerana mudharatnya, maka pengenar dadah boleh dijkenakan hukuman mati. Senjata api pernah dikaitkan dengan kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara, maka parlimen Malaysia telah menggubal undang-undang menyekat kegiatan sedemikian dan mengenakan hukuman mati ke atas kesalahan di bawah undang-undang tersebut.

Di Malaysia, terdapat hukuman mati yang bersifat mandatori, antaranya hukuman bagi pesalah mengedar dadah. Perkataan mandatori adalah satu istilah undang-undang yang membawa maksud termesti suruhan, mengikat hukuman dan wajib dituruti tanpa pilihan. Ia juga mambawa maksud memberi arahan dan suruhan dengan kuasa. Ia adalah suatu keputusan yang ditetapkan dengan muktamad, apabila kedapatan dalam peruntukan undang-undang, mestilah diikuti tanpa pilihan dan tidak sah penghukuman kecuali dengan mematu peruntukan tersebut.

Definisi hukuman mandatori yang paling sesuai ialah hukuman yang telah diperuntukkan oleh undang-undang yang mesti dijatuhkan oleh mahkamah apabila tertuduh telah disabitkan dengan kesalahan yang termaktub dalam akta-akta tertentu tanpa pilihan atau gantian kepada hukuman lain. Hakim mestilah memberi hukuman dengan patuh kepada peruntukan yang telah ditetapkan dan pelaksanaan hukuman adalah satu kemestian. Mandatori di sini adalah mengikut istilah bahasa seperti yang telah dinyatakan, bukan dengan perincian dan konsep undang-undang.

Terdapat dua bentuk hukuman mandatori; iaitu melibatkah hukuman mati dan tidak melibatkan hukuman mati. Jika melibatkan hukuman mati, maka mahkamah perlu menjatuhkan hukuman mati mandatori tanpa sebarang pilihan atau gantian lain. Sebagai contoh hukuman mati madatori seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952, Akta Keselamatan Dalam Negeri seksyen 57(1) dan kesalahan membunuh seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dalam hukuman mati mandatori seksyen 36B Akta Dadah Merbahaya 1952 ke atas pengedar dadah, Mahkamah Tinggi tidak boleh menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada itu. Hukuman tersebut mandatori tanpa mengambil kira faktor meringankan atau memberatkan hukuman atau mempertimbang latar belakang tertuduh seperti mengedar kerana terlalu miskin atau sebab-sebab lain.

Walaubahaimanapun, apabila sesuatu hukuman mati mandatori tidak dapat disabitkan atau dibuktikan oleh sebab-sebab teknilal atau keterangan yang tidak kuat seperti dalam kesalahan mengedar dadah, maka hakim akan membebaskannya daripada hukuman mandatori. Akan tetapi pendakwa raya mungkin akan mengenakan tuduhan lain di bawah seksyen-seksyen lain yang terdapat di dalam akta yang sama. Kemungkinan tertuduh akan dikenakan kesalahan pemilikan dadah yang hukumannya lebih ringan daripada hukuman mati setelah dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Walaupun seseorang telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati mandatori, pesalah boleh membuat rayuan ke atas sabitan atau hukuman yang dikenakan. Pengampunan boleh diberi oleh Yang Di Pertuan Agong atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri sesebuah negeri dengan nasihat Lembaga Pengampunan.

Manakala dalam hukuman mandatori yang tidak melibatkan hukuman mati, wujud kelonggaran dengan adanya pilihan atau gantian lain. Walaubagaimanapun ia tetap mandatori dalam peruntukan yang telah ditetapkan khas padanya. Sebagai contoh dalam hukuman penjara yang ditetapkan dalam kesalahan tertentu seperti dalam peruntukan seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol, undang-undang telah menetapkan hukuman mandatori penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun. Maka terpulang kepada hakim untuk memutuskan hukuman penjara di antara tempoh tersebut, namun ia adalah mandatori dalam ruang lingkup tempoh masa yang diperuntukkan.

Hukuman mandatori adalah berasaskan konsep bahawa setiap pesalah atau penjenayah mestilah dihukum dengan hukuman tertentu apabila disabitkan. Hukuman pula bermatlamatkan pembalasan yang setimpal dengan kesalahan. Pembalasan yang tegas dan keras dapat mencegah perlakuan jenayah. Ini berlaku apabila penjenayah dan orang ramai mengetahui hukuman khusus akan diekanakan sekiranya mereka didapati bersalah dengan kesalahan jenayah tertentu. 

Polisi hukuman di Malaysia adalah berteraskan pencegahan. Penyabitan sesuatu hukuman mati untuk kesalahan yang telah dinyatakan menunjukkan bahawa hukuman yang berat itu dimaksudkan untuk mengurangkan jenayah. Namun umumnya, hukuman mandatori lebih bermatlamatkan penghukuman daripada pemulihan.

Hukuman Mati dalam Islam
Hukuman mati juga dikenali sebagai hukuman utama (capital punishment). Ia merupakan hukuman yang paling berat berbanding semua hukuman lain yang dikenalan ke atas pesalah. Ini kerana hukuman ini mencabut nyawa seorang insan yang pada asasnya merupakan hak Allah swt. Malah, nyawa individu dilindungi dalam banyak perlembagaan negara di dunia ini. Ia tidak boleh diganggugugat atau dicabuli oleh sesiapapun tanpa kebenaran undang-undang. Maka, hukuman mati hanya akan dikenakan bagi kesalahan yang berat.

Merujuk kepada undang-undang jenayah Islam, hukuman mati boleh dikategorikan kepada tiga bahagaian iaitu hukuman mati dalam kesalahan hudud, hukuman mati dalam kesalahan qisas dan hukuman mati dalam kesalahan ta’zir. Nas yang membicarakan mengenai peruntukan hukuman mati tersebut adalah seperti berikut:

1- Hukuman mati dalam jenayah hudud; 

a) Zina yang dilakukan oleh seseorang yang sudah berkahwin atau ‘zina muhsan’. Hukuman ini berasaskan hadith Asif (seorang buruh berzina dengan isteri majikannya). Selain itu peristiwa Ma’iz dan perempuan Ghamidiyah yang telah melakukan zina. Kedua-duanya adalah penzina muhsan yang dibunuh mati dengan lontaran batu atau direjam. 

b) Hirabah atau merompak atau meragut atau menyamun bersenjata sama ada dengan membunuh mangsa yang dirompak dan harta mangsa diambil atau tidak. Hukuman ini berasaskan surah al-Ma'idah ayat 33.

c) Bughah atau pemberontakan iaitu keluar menentang pemerintah yang dilantik secara sah. Hukuman ini berasaskan surah al-Hujurat ayat 9.

d) Riddah atau murtad iaitu orang yang keluar daripada agama Islam. Hukuman ini berasaskan hadith riwayat Imam Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia.”

Umumnya, hadith berkenaan peruntukan hukuman mati dalam Islam telah disebut dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Orang-orang Islam yang telah menyaksikan bahawa tiada Tuhan  yang disembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad Itu pesuruh-Nya, mereka tidak halal dibunuh kebuali kerana tiga sebab; Penzina yang muhsan, orang yang membunuh dan orang yang keluar daripada agamanya.”

2- Hukuman mati dalam jenayah qisas adalah kesalahan membunuh yang disengajakan. Hukuman ini berasaskan surah al-Baqarah ayat 178.

3- Hukuman mati dalam jenayah ta’zir pula, terdapat perbezaan pendapat ulama. Ia berpunca daripada penetapan hukuman maksima yang boleh diperuntukkan di bawah hukuman ta’zir. Kebanyakan ulama berpendapat hukuman ta’zir yang paling berat mestilah tidak menyamai hukuman hudud atau kurang daripada itu. Antara pendapat mereka adalah seperti berikut:

a) Ulama Hanafiyah berpendapat ta’zir tidak terbatas sekadar menyebat atau memenjarakan sahaja, bahkan adakalanya ta’zir merupakan hukuman mati apabila ia merupakan jenayah yang berulang atau yang mengancam nyawa orang ramai.

b) Imam Malik berpendapat had maksimum hukuman ta’zir bagi kesalahan tertentu adalah hukuman mati seperti kesalahan menjadi talibarut musuh Islam. Ini berlaku apabila kesalahan jenayah yang dilakukan itu sangat merbahaya serta mengancam kepentingan dan keselamatan umum. Ia dipersetujui oleh Ibn ‘Uqail, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim dari kalangan Hanabilah serta sebahagian Syafi’iyyah.

c) Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa orang yang melakukan kesosakan (fasad) dan kehancuran kepada orang ramai yang tidak dapat dikawal kejahatannya boleh dikenakan hukuman bunuh.

d) Dr. Mustafa al-Rifa’ie di dalam Ahkam al-Jara’im fi al-Islam al-Qisas, al-Hudud, al-Ta’zir (1996) berpendapat hukuman mati berdasarkan ta’zir bagi kesalahan yang serius mestilah dilaksanakan.

Pada hari ini semakin banyak kesalahan jenayah yang lebih berat daripada jenayah hudud yang boleh dibendung dan dikawal melalui hukuman mati. Ia termasuklah jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan keamanan negara sama ada dari dalam atau luar. Kemaslahatan umum menuntut supaya imam atau pemerintah mengenakan hukuman mati bagi kesalahan yang sangat membahayakan diri dan harta umat manusia (Ahmad Fathi Bahasni, 1987).

Perbandingan Hukuman Mandatori dengan Undang-undang Jenayah Islam

1- Konsep penghukuman mandatori dan undang-undang jenayah Islam, terdapat persamaan dari segi kemestian pelaksanaan hukuman tanpa gantian kepada hukuman lain. Hakim tidak mempunyai pilihan untuk menentukan dan menetapkan hukuman dalam kesalahan hudud. Hakim juga tidak boleh menggantikan sesuatu hukuman sebagaimana yang diperuntukkan dengan hukuman lain.

2- Hukuman mandatori boleh berubah dengan berubahnya dasar sesuatu kerajaan yang menggubal undang-undang. Ia berlaku dalam perubahan dan pindaan dalam perundangan. Sedangkan undang-undang Islam terutama yang bersifat mandatori adalah ketetapan Allah swt sampai bila-bila tanpa batasan masa dan sempadan negara. Sistem perundangan Islam adalah berasaskan kaedah dan penghukuman yang telah ditetapkan dan para hakim tidak boleh mengubahnya mengikut kesesuaian masa dan keadaan (ia termaktub bagi undang-undang yang diperuntukkan secara nas melalui al-Quran atau hadith sedangkan undang-undang selainnya sentiasa terbuka kepada ijtihad yang diserahkan kepada hakim berdasarkan maslahah bagi setiap zaman dan tempat).

3- Hukuman mandatori boleh dianggap sama dengan hukuman hudud dari sudut hukuman yang telah disusun rapi dan diserahkan kepada hakim untuk memutuskannya (discretion). Ini menunjukkan kedua-dua hukuman mandatori dan hudud telah ditetapkan dan ia wajib dilaksana tanpa pandangan hakim untuk menentukan kadar dan bentuk hukuman. Oleh itu, jika seseorang penjenayah telah disabit melakukan kesalahan, maka hakim hanya layak menjatuhkan hukuman yang telah ditetapkan syara’ tanpa menambah, mengurang atau menggantikan dengan hukuman lain atau menggantung hukuman tersebut atau memberi keampunan. Hakikatnya kedudukan hukuman hudud adalah lebih tinggi dan unggul serta lebih tegas daripada mandatori kerana tiada langsung pengecualian dan ruang keampunan padanya walaupun oleh ketua negara (Abu Zahrah, 1996). Sedangkan hukuman mandatori boleh dielak dengan proses rayuan dan keampunan.

4- Hukuman pilihan dan gantian lain wujud di dalam hukuman mandatori bagi kesalahan yang tidak melibatkan kematian seperti yang telah disebut sebelum ini. Di dalam hukuman undang-undang Islam juga wujud perkara yang sama iaitu pada hukuman hirabah yang tidak melibatkan pembunuhan di mana ia terdiri daripada beberapa peringkat daripada dibuang negeri, disalib sehingga kepada hukuman mati bergantung kepada berat (severity) kesalahan yang dilakukan. Penggunaan (أو) dalam nas ayat hirabah menunjukkan kelonggaran atau pilihan dalam melaksanakan hukuman sebagaimana yang dipegang oleh ulama Malikiah. Mereka berpendapat imam atau pemerintah diberi pilihan untuk melaksanakan mana-mana hukuman tersebut berdasarkan keperluan dan maslahah semasa. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa (أو) menunjukkan tertib pembahagian hukuman di atas kadar jenayah. Hukuman mati dan salib ke atas yang mengambil harta dan membunuh. Potong tangan dan kaki secara bersilang bagi yang mengambil harta sahaja dan buang negeri bagi yang menakutkan orang ramai dengan senjata. Abu Hanifah sependapat dengan hukuman di atas, cuma beliau berpandangan yang dimaksudkan dengan pilihan ialah pilihan hukuman khas ke atas perompak yang membunuh, sama ada hukuman mati sahaja atau hukuman mati berserta potong tangan dan kaki atau salib sahaja atau salib dan potong tangan dan kaki. Baginya apa yang penting ialah hukuman mati tetap dilaksanakan. 

5- Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, hukuman mandatori tidak akan dilaksanakan apabila tidak dapat disabitkan atau dibuktikan atau keterangan tidak jelas atau keraguan pada mana-mana teknikal pertuduhan. Hakikatnya ia telah mencontohi ciri-ciri proses mensabitkan hukuman hudud melalui kaedah dar’u atau mengenepikan hukuman hudud kerana syubhah. Undang-undang jenayah Islam mensyaratkan hakim perlu memastikan adanya bukti yang meyakinkan dan ‘melampaui keraguan’ (beyond any reasonable doubt) dalam sabitan kes jenayah (Dr. ‘Abdul ‘Azim Syarifuddin, 1973). Di dalam hudud, adalah menjadi mandatori untuk melaksanakan sesuatu hukuman apabila kesalahan dapat dibuktikan dan disabitkan sama ada melalui pengakuan orang kena tuduh atau keterangan saksi-saksi yang memenuhi semua syarat. Contohnya apabila tertuduh yang belum berkahwin didapati bersalah melakukan zina dengan bukti dan saksi yang melepasi sebarang keraguan, hakim mestilah menjatuhkan hukuman sebat 100 kali tanpa pilihan atau gantian kepada hukuman lain. Segala hukuman telah ditetapkan dan mesti dilaksanakan. Sekiranya ada keraguan adalam proses pembuktian atau untuk sabitan kes, tertuduh boleh terlepas daripada hukuman. Kaedah yang mulia ini mestilah dipakai dalam menjatuhkan hukuman supaya orang yang tidak bersalah tidak dizalimi atau hukuman yang tidak sewajarnya tidak dijatuhkan ke atas tertuduh. Ini kerana seseorang tidak akan dianggap bersalah sehinggalah kesalahannya dibuktikan.

6- Di dalam hukuman mandatori yang melibatkan kes bunuh seperti dalam Kanun Keseksaan, hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah perlu dilaksanakan walaupun waris orang yang dibunuh memaafkannya. Berbeza dengan hukuman hudud dan qisas di mana hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman qisas ke atas penjenayah yang dimaafkan oleh waris. Tetapi hakim boleh membebaskannya atau menggantikan hukuman lain di bawah kesalahan ta’zir disamping wajib membayat diyat dan kaffarah

7- Ruang untuk keampunan sebagaimana yang diperuntukkan dalam hukuman mandatori juga wujud dalam undang-undang jenayah Islam iaitu qisas seperti contoh di atas. Ada juga pilihan bagi hakim atau individu untuk memilih hukuman yang telah ditetapkan seperti yang terkandung dalam kaffarah bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan dengan berpuasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang fakir miskin atau memerdekakan hamba, di mana ada sedikit kelonggaran daripada segi pemilihan bayarannya. Namun ia tetap wujud unsur mandatori kerana perlu memilih dengan pilihan yang telah diperuntukkan sahaja tanpasa sebarang pilihan atau gantian lain. Walaubagaimanapun, di dalam hukuman mandatori masih ada ruang rayuan dan pengampunan, tetapi di dalam hukuman hudud tiada rayuan dan pengampunan.

Hukuman Mati Mandatori Menurut Syara’
Di dalam beberapa aspek, kelihatan konsep hukuman mati mandatori dengan hukuman mati dalam undang-undang Islam adalah hampir sama yang menekankan kemestian pelaksanaan hukuman tanpa pilihan. Ini kerana ciri-ciri ketegasan serta kemestian pelaksanaan hukuman mandatori dan hudud memberi kesan yang positif dalam membendung dan mengawal kegiatan jenayah yang mengancam keamanan serta keselamatan awam. Ketegasan ini telah menutup tuduhan ketidakadilan hukuman mati yang dijatuhkan.

Kesimpulan
Menurut perundangan Islam, apabila berlakunya kekacauan dan masalah sosial yang tidak dapat diatasi serta boleh mengancam keselamatan dan keamanan awam, pemimpin boleh menggubal serta mengenakan undang-undang yang berat ke atas kesalahan tersebut berdasarkan prinsip al-Siyasah as-Syar’iyyah dengan mengutamakan maqasid syari’ah yang mengambil kira maslahah umum selagi mana ia tidak bercangah dengan kehendak syara’ (Abdu al-‘Al Ahmad ‘A’wah, 1993).

(2,304 patah perkataan)

Hidup dalam mencari..

Kuala Lumpur,
26 Dzulhijjah 1436H.

Comments