Konsep Kewarganegaraan Non-Muslim Di Dalam Negara Islam

Pendahuluan
Rentetan peristiwa hijrah Rasulullah saw ke Kota Yathrib, telah termetrai suatu bentuk perjanjian yang memberi erti kesetiaan, kepatuhan dan pengiktirafan.  Perjanjian ini dilakukan oleh Rasulullah saw bersama orang beriman yang berhijrah dan masyarakat Yathrib ketika itu. Demi mendaulatkan ajaran Islam dan penghayatan hukumnya, menjaga dan mengawal kesejahteraan pengikutnya, serta keselamatan wilayah yang diduduki, maka sebuah pemerintahan telah dibentuk oleh baginda berdasarkan sebuah piagam atau perlembagaan. 

Ketika itu masyarakat Yathrib terdiri daripada kepelbagaian masyarakat seperti:
1. Penduduk berbangsa Arab al-Ansar, iaitu penduduk asal Yathrib yang terdiri daripada puak Aus dan Khazraj. Mereka terpecah kepada beberapa suku berdasarkan kedatangan mereka daripada uatara mahupun selatan. Mereka digelar al-Ansar kerana mereka membantu Rasulullah semasa peristiwa hijrah ke Madinah.

2. Penduduk berbangsa Arab al-Muhajirin, iaitu penduduk yang berhijrah dari Kota Mekah bersama-sama Rasulullah saw. Mereka terdiri daripada pelbagai puak di Mekah.

3. Penduduk berbangsa Yahudi, iaitu penduduk Madinah yang berhijrah dari tempat lain sejak sekian lama untuk menunggu kedatangan Nabi akhir zaman. Mereka terdiri daripada lebih 20 suku kesemuanya. Suku terbesar adalah Qainuqa’, Nadhir dan Quraizah.


Melalui Piagam tersebut, baginda telah mengiktiraf masyarakat Ansar, Muhajirin dan Yahudi sebagai warganegara negara Islam Madinah. Setelah meraka diiktiraf, maka terbentuk dua elemen utama kenegaraan yang diperuntukkan terhadap pemerintah dan warganegaranya:

1. Tanggungjawab. Dari sudut sebagai warganegara, ia adalah kewajiban yang perlu dilunaskan terhadap perlembagaan atau negara atau pemerintah. Dari sudut pemerintah, ia adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan sebagai pentadbir terhadap rakyat dan negara.

2. Hak. Setiap individu masyarakat mempunyai hak sebagai warganegara yang perlu dilunaskan melalui peruntukan perlembagaan atau undang-undang, tidak kira mereka terdiri daripada rakyat jelata atau pegawai pemerintah.

Konsep
Di dalam Kamus Dewan edisi keempat memberi makna ‘pengertian am atau idea yang mendasari sesuatu’ . Kertas kerja ringkas ini hanya mengenengahkan idea asas berdasarkan kehendak apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘konsep’. Ia tidak mampu memberi gambaran yang menyeluruh dan terperinci berkenaan hal ehwal kewarganegaraan orang bukan Islam di dalam negara Islam.

Makna Kewarganegaraan
Kewarganegaraan atau dalam bahasa Inggeris disebut citizenship merupakan suatu bentuk keahlian kepada sebuah komuniti politik yang membawa kepada hak-hak penyertaan politik. Menurut wikipedia, pada asalnya ia digunakan dalam konteks keahlian dalam sesebuah bandar, namun ia telah diperluas kepada sebuah negara. Maka, individu yang mempunyai hak dan keahlian ini disebut warganegara.

Wikipedia meletakkan persamaan istilah kewarganegaraan dan kerakyatan atau nationality. Namun perbezaan bagi keduanya ialah, seseorang warganegara mempunyai hak-hak untuk menyertai bidang politik negaranya seperti mengundi atau menjadi calon pilihanraya, sedangkan seorang rakyat tidak seharusnya mempunyai hak-hak tersebut.  Istilah kerakyatan mempunyai makna yang lebih umum berbanding warganegara, maka penggunaan 'kewarganegaran' secara langsung merangkumi kehendak istilah 'kerakyatan'.

Konsep kewarganegaraan sepertimana yang diterangkan oleh Dr. Muhammad Imarah yang telah diterjemah oleh saudara Fakhrur Ridzwan daripada penulisan asal berbahasa Arab berjudul المفهوم الإسلامى للمواطنة yang diterbitkan di dalam Majalah Al-Azhar, edisi Mac 2014 / Jamadil Awal 1435:
“Konsep warganegara merupakan sebuah konsep yang datang daripada sebuah kefahaman yang menunjukkan bahawa wujudnya hubung saling antara seorang individu yang menjadi warganegara dengan negara di tempat individu tersebut menggabungkan diri dengannya dan hidup di dalamnya. Ia merupakan sebuah konsep hubung saling kerana terdapat kewajipan yang dikenakan ke atas keduanya –individu warganegara dan negara- dari sudut hak dan tanggungjawab. Maka, untuk membangunkan konsep kewarganegaraan ia memerlukan –secara pasti- seorang individu warganegara itu menggabungkan diri dan patuh serta setia yang penuh terhadap negara, menghormati identitinya di samping mempercayai, mendokong dan mempertahan identitinya yang terdiri daripada unsur-unsur yang menjadi prinsip asas padanya seperti bahasa, sejarah, nilai dan adab yang umum, dan bumi yang mencerminkan ciri-ciri identitinya dan kewarganegaraannya.
Patuh serta setia seorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan dirinya untuk berlepas diri daripada musuh negaranya. Sepertimana hak yang perlu ditunaikan seorang warganegara ke atas negaranya, maka begitu juga tanggungjawabnya yang perlu dilunaskan negara, bangsa dan keseluruhan warga. Antara hal yang terpenting di dalam aspek ini ialah prinsip persamaan pada kesetaraan peluang, menafikan diskriminasi atau perbezaan hak sama ada dari sudut politiknya, kemasyarakatan, mahupun ekonomi disebabkan perbezaan warna, darjat atau pangkat, bahkan kepercayaan, di samping merealisasikan semangat saling membantu di dalam masyarakat yang akhirnya menjadikan setiap warga dan bangsa itu seperti jasad yang satu.” 
Terdapat banyak makna yang diberikan oleh cendiakawan Islam untuk merujuk kepada Negara Islam. Ringkasnya Negara Islam ialah sebuah negara ideologi yang ditegakkan dengan berpandukan kepada asas akidah Islam (Abdul Karim Zaidan, Majmu’ah Buhuth Fiqhiah). Di samping itu, negara Islam atau “Dar al-Islam” dapat diperjelaskan lagi sebagai negara yang melaksanakan undang-undang dan hukum-hukum Islam serta berada di bawah kekuasaan dan pemerintahan orang Islam. Ini termasuklah menjamin wilayah yang bebas dan selamat untuk seluruh rakyatnya.

Apabila membincangkan konsep negara Islam, cendiakawan Islam bersepakat bahawa prinsip utama bagi negara Islam ialah – undang-undang Islam dominan di dalamnya. Perselisihan berlaku apabila mereka mengutarakan bagaimanakah sesebuah negara boleh bertukar status kepada ‘negara kafir’. Status lain yang wujud bagi sesebuah negara adalah seperti ‘negara jahil/bodoh’, ‘negara fasiq’ ‘negara menyeleweng’ dan ‘negara sesat’ sepertimana yang diterangkan oleh al-Farabi dalam mengklasifikasikan sesebuah negara yang tidak baik.  Model negara Madinah adalah contoh terbaik menerangkan konsep negara Islam memandangkan model-model lain sudah mengalami perubahan yang menyebabkan sukar untuk mendapat kata sepakat daripada para ulama untuk menerimanya.

Non-Muslim
Terdapat pelbagai istilah yang digunakan di dalam Islam untuk merujuk kepada non-muslim. Perbezaan ini wujud kerana sifat dan bentuk yang dimiliki dalam istilah tersebut dan membawa kepada jenis non-muslim yang diiktiraf dalam Islam. Istilah-istilah tersebut adalah seperti zimmah, mu’ahid, harbi, musta’man, ahl hudnah serta ahl amn. Kesemua istilah ini dirangkumkan sebagai non-muslim. Kertas kerja ini membincangkan konsep warganegara non-muslim di dalam negara Islam dengan melihat di dalam dua aspek utama iaitu hak dan tanggungjawab.

Manusia Adalah Makhluk Terbaik Di Alam
Ketika menerangkan falsafah politiknya, Ibnu Sina yang juga masyhur dengan gelaran Doktor-Politikus menyatakan bahawa :
“Kegiatan hidup manusia dalam pelbagai perkara di dunia, perlu dilihat dalam dimensi yang besar. Manusia adalah salah satu juzuk dalam kepelbagaian kewujudan di alam ini. Justeru, apa sahaja hal berkaitan manusia dan kehidupannya tidak boleh sama sekali diri mereka bebas dari spektrum universe itu.”
Pada bahagian al-Mabda’ wa al-Ma’ad dalam bukunya al-Shifa’ (h.435), beliau menyebutkan bahawa di dunia kebendaan ini, manusia adalah makhluk terbaik. Dengan hakikat ini, manusia ada kedudukan, nilai dan tabii mereka sendiri yang berbeza dengan makhluk lain.  Pendapat Ibnu Sina ini selari dengan firman Allah swt:

وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَـٰهُمۡ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ وَفَضَّلۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلاً

Bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” 

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa manusia secara individu dibandingkan dengan makhluk-makhluk lain yang diciptakan oleh Allah swt. Martabat kemuliaan yang diberikan oleh Allah itu tiada seorang pun berhak meragutnya, kecuali Allah.

Piagam Madinah Sebagai Asas Rujukan Konsep Kewarganegaraan Non-Muslim
Piagam Madinah telah disusun oleh Rasulullah saw pada tahun 622M yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Ia mempunyai pelbagai nama seperti Perlembagaan Madinah, Perjanjian Madinah, Dustur al-Madinah dan Sahifah Madinah. Piagam ini mempunyai 47 fasal.  Ia merangkumi keseluruhan warganegara Madinah al-Munawwarah ketika itu yang terdiri daripada masyarakat muslim iaitu Ansar dan Muhajirin dan non-muslim iaitu Yahudi.

Penyusunan Piagam Madinah ini adalah bertujuan mewujudkan masyarakat yang kuat dan bersepadu agar terjamin ketenteraman dan kesejahteraan, kerukunan yang harmoni, saling memahami dan berkerjasama di kalangan masyarakat berbilang suku, bangsa dan agama. Ia dibentuk berdasarkan ruh Islam dan dipersetujui secara demokrasi oleh semua wakil yang masyarakat. Ia disusun dengan bimbingan wahyu serta berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah al-Munawwarah ketika itu. 

Apabila seseorang non-muslim telah melakukan akad Zimmah dalam negara Islam, maka ketika itu, menjadi kewajipan kepada seluruh non-muslim menunai dan menjaga tanggungjawab sebagai seorang warganegara negara Islam serta pemerintahnya pula bertanggungjawab menjaga hak-hak mereka. Konsep ini selari dengan apa yang berlaku semasa zaman Rasulullah saw dalam kewujudan dan pelaksanaan Piagam Madinah. Demi menjaga kestabilan dan keamanan masyarakat, Rasulullah memandang perlunya suatu perjanjian yang mengikat sesama Muslim dan Yahudi. Piagam Madinah merupakan salah satu daripada asas pembentukan masyarakat Islam selain pembangunan masjid dan persaudaraan masyarakat Islam. 

Kertas kerja ini meletakkan Piagam Madinah sebagai asas utama bagi menerangkan pedoman dalam mentadbir sebuah masyarakat di dalam sebuah negara serta batu asas bagi konsep warganegara non-muslim dalam negara Islam. Ia merangkumi :
1. Fasal 1 – menyatakan dengan jelas bahawa masyarakat yang terikat dengan Piagam ini adalah masyarakat yang berdiri sendiri dan bebas daripada pengaruh masyarakat lain. Sesungguhnya meraka adalah satu umat, bebas dari masyarakat lain.
2. Fasal 2 sehingga 10 – Mengatur dengan adil perkara yang berkaitan dengan dengan hak-hak asasi manusia.
3. Fasal 11 sehingga 15 – Mengatur dengan adil tentang peraturan sesama muslim sebagai golongan majoriti di dalam masyarakat.
4. Fasal 16 sehingga 23 – Mengatur dengan adil peraturan bagi segenap warganegara, muslim atau non-muslim.
5. Fasal 24 sehingga 35 – Mengatur dengan adil berkenaan golongan minoriti.
6. Fasal 36 sehingga 38 – Mengatur dengan adil mengenai tanggungjawab dan kewajiban setiap warganegara.
7. Fasal 39 sehingga 41 – Mengatur dengan adil berkenaan kewajiban setiap kelompok masyarakat untuk melindungi masyarakat Islam yang terikat dengan Piagam ini.
8. Fasal 42 sehingga 44 – Mengatur dengan adil berkenaan pimpinan masyarakat Islam.
9. Fasal 45 sehingga 46 – Mengatur dengan adil berkaitan masyarakat Islam adalah masyarakat yang mengutamakan perdamaian di dalam setiap aspek kehidupan.
10. Fasal 47 – Menekankan tentang keperluan dan keutamaan setiap pihak yang terikat dengan Piagam ini untuk setia terhadap Piagam serta tidak menyalahgunakannya.

Piagam ini dapat disimpulkan ke dalam beberapa perkara ;
1. Piagam Madinah ini merupakan piagam kerjasama yang membentuk asas pembentukan organisasi politik dan sosial. Ianya bertulis di mana setiap individu atau kelompok masyarakat yang terlibat dapat membacanya dan dirujuk dalam setiap aktiviti kehidupan.

2. Ianya merupakan piagam yang memenuhi ruh Islam dan semangat sejagat atau universal. Islam sebagai agama yang diredhai Allah swt, dipenuhi dengan akhlak, nilai dan norma Islam.

3. Piagam menjelaskan secara jelas mengenai hak-hak asasi:
a. Hak kebebasan; sejak kelahiran, menganuti agama, berfikir, berbicara dan mengemuka pendapat serta kegiatan sosial.
b. Hak persamaan; bahawa perbezaan warna kulit, bahasa, agama dan kedudukan bukan membawa diskriminasi.
c. Hak pendidikan dan pengajaran; setiap individu (lelaki mahupun perempuan) berhak dan berkewajiban untuk menuntut ilmu.
d. Hak pemilikan; setiap individu, lelaki mahupun perempuan mempunyai hak untuk memiliki sesuatu secara bebas dengan cara dan pengendalian yang betul.
e. Hak pekerjaan; setiap individu berhak berkewajiban untuk berkerja dan mencari nafkah.

4. Menjelaskan aturan hak dan kewajiban kekeluargaan:
a. Hak dan kewajiban suami
b. Hak dan kewajiban isteri
c. Hak dan kewajiban orang tua
d. Hak dan kewajiban anak
e. Hak membina dan autonomi rumahtangga

5. Menjelaskan hak dan kewajiban bermasyarakat:
a. Kesamarataan pengagihan kekayaan.
b. Jaminan keselamatan dan kesejahteraan bermasyarakat.

6. Menjelaskan aturan kepimpinan dan kemasyarakatan:
a. Pembentukan pemimpin
b. Kepimpinan yang memenuhi syarat dan kriteria menjadi pemimpin.
c. Tatacara pemilihan pemimpin, perbincangan (musyawarah) dalam pembentukan perwakilan dan kepimpinan negara. 

7. Menjelaskan aturan sumber dana atau ekonomi masyarakat:
a. Sumber yang diperoleh dari zakat bagi warganegara muslim.
b. Sumber yang diperoleh dari jizyah (cukai) bagi warganegara non-muslim.
c. Infaq (sumbangan) yang diwajibkan oleh masyarakat bagi warganegara yang muslim.
d. Sumbangan yang diwajibkan oleh masyarakat bagi warganegara non-muslim.

8. Menjelaskan aturan pembinaan masyarakat atau modal insan:
a. Masjid sebagai pusat pembinaan dan perbincangan masyarakat.
b. Sekolah sebagai pusat pendidikan peringkat asas, rendah dan menengah.
c. Pendidikan perguruan, pendidikan tinggi dan kesarjanaan.

M. Hamidullah di dalam bukunya The First Written Constitution in The World menyatakan Piagam Madinah ini jelas menunjukkan bahawa seluruh penduduk Madinah menjadi rakyat negara Islam sama ada mereka terdiri daripada orang Islam atau bukan Islam. Oleh itu sebagai rakyat, mereka tunduk dan patuh di bawah satu kuasa dan di bawah satu naungan undang-undang melainkan dalam hal-hal yang dikecualikan dalam Piagam ini. 

Prinsip persamaan di dalam Piagam Madinah meliputi persamaan dalam aspek undang-undang, mendapatkan hak dan tanggungjawab sebagai rakyat negara. Melalui prinsip ini, rakyat menikmati hak mereka sepenuhnya dan mereka juga sama-sama bertanggungjawab terhadap kepentingan dan keselamatan negara, sama ada dari sudut fizikal dan metarialnya (Muhd Sa’id al-‘Awa, 1991) . 

Falsafah Politik Ibnu Sina
Di dalam buku Falsafah Politik Islam dan Kepentingan di Malaysia, penulisnya telah menyenaraikan sepuluh gagasan falsafah politik Ibnu Sina. Apabila dilihat dalam konteks pembangunan negara yang seimbang, baik dan mendapat keberkatan Allah swt, gagasan-gagasan ini sangat selari memenuhi matlamat tersebut. Gagasan ini perlu direalisasikan dalam bentuk pemahaman terhadap nilai timbal balik antara tanggungjawab dan hak oleh seluruh warganegara. Ia tidak hanya tertumpu kepada warganegara muslim, malah bersifat menyeluruh merangkumi non-muslim dalam setiap lapisan masyarakat. Gagasan tersebut adalah seperti berikut :

1. Agama Mendominasikan Politik dan Negara – Ibnu Sina menegaskan bahawa spektrum pemikiran keseluruhannya mestilah diasaskan atas ajaran agama. Beliau menolak kehidupan tanpa pegangan dan kepatuhan pada agama (atheism). Perkara ini jelas apabila beliau menegaskan Nabi sebagai tokoh penting yang merencanakan undang-undang, peraturan, perletakan objektif hidup dan menentukan norma penting untuk membimbing pelbagai tindakan manusia dalam aspek hubungan manusia-Pencipta dan hubungan manusia-manusia. Aspek hubungan manusia-manusia termasuklah undang-undang, sosio-ekonomi dan politik. Maka, sesebuah negara Islam perlu mematuhi serta memenuhi peraturan dan norma yang telah digariskan oleh Islam dalam mentadbir dan mengurus masyarakat non-muslim.

2. Masyarakat Beragama – Bagi Ibnu Sina, kepatuhan pada Pencipta perlu dibuktikan melalui penyempurnaan suruhan agama dan taat menunaikan ibadat yang ditetapkan. Sikap hidup beragama ini membentuk disiplin menuju kebahagiaan. Masyarakat yang tidak kukuh beragama (sama ada muslim atau non-muslim), tidak mungkin dapat hidup bahagia. Al-Ghazali, Ibnu Khaldun malah keseluruhan tokoh pemikir Islam berpegang dengan hakikat ini. Kepada Ibnu Sina, masyarakat yang melanggar hukum Allah perlu diambil tindakan.

3. Kerajasama (Ta’awun) – Ibnu Sina percaya kepada konsep dan amalan hidup saling berkerjasama (ta’awun). Gagasan ta’awun ini berpunca daripada tabiat dan hakikat hidup manusia sendiri yang mempunyai perbezaan dalam pelbagai bidang. Kerjasama dengan pengertian mutual-help ini juga adalah prasarana yang ampuh untuk membentuk masyarakat sempurna dan negara makmur. Teori ini dapat disifatkan sebagai sambungan perkara yang sama seperti yang dikemukan oleh Plato dan Aristotle dalam tradisi intelektual Greek dahulu. Al-Farabi juga turut percaya kepada tuntuatan hidup ini.

4. Kepatuhan kepada Kepimpinan dan Peraturan – Kepimpinan yang unggul menurut falsafah Ibnu Sina ialah kepimpinan Nabi dan Rasul yang mana bertindak membawa ajaran dan perintah Allah kepada manusia. Kemudian diwarisi dengan kepimpinan khalifah, imam dan pemimpin umat. Kepimpinan tersebut melibatkan pengurusan sosial, ekonomi dan politik. Oleh itu, rakyat mesti taat setia kepada pemimpin. Hubungan rakyat dengan pemimpin juga mesti baik. Segala sahaja masalah yang timbul boleh diselesaikan melalui pertemuan dengan pemimpin dalam pelbagai majlis yang diadakan. 

5. Tunai Kewajiban Pekerjaan – Ibnu Sina telah membentuk tiga lapisan asas masyarakat sama seperti yang telah disusun oleh Plato, iaitu pemimpin (mudabbirun), pekerja (sunna) dan penjaga keselamatan (hafazah). Ibnu Sina menyebut bahawa tiap-tiap lapisan mempunyai carta kepimpinannya sendiri sehinggalah ke tahap rakyat biasa di tahap bawah. Makna carta susun lapis tersebut ialah tiap-tiap warganegara ada tempat dan fungsinya dalam masyarakat. Maka tiada orang dalam msyarakat yang tiada kerja. Semua orang perlu ada peranan tertentu dan tempat khusus. Sifat malas dan mengganggur mesti dicegah kerana tidak wajar jika ada orang yang hidup dengan hanya mengharapkan bantuan orang lain atau mengambil hak orang lain.

6. Elak Pekerjaan Haram – Bagi melahirkan masyarakat yang bahagia, kerja atau perlakuan yang haram di sisi agama juga diterima sebagai haram dalam teori Ibnu Sina. Berjudi, merompak, riba, liwat, zina serta pelacuran dan rasuah mestilah ditegah di bawah undang-undang negara. Pekerjaan yang tidak baik ini sebenarnya sudah disebutkan di dalam al-Quran. Ibnu Sina mengaplikasikan suruhan dan tegahan agama dalam teori politiknya.

7. Institusi keluarga – Menyedari kedudukan institusi keluarga sebagai asas pembetukan masyarakat, Ibnu Sina menekankan kepentingan institusi ini dibentuk dan dijaga dengan baik di bawah undang-undang negara. Pemerintah perlu menyusun undang-undang dan dipatuhi oleh masyarakat agar sebuah keluarga dapat dibentuk dengan sempurna. Perkahwinan akan menentukan pengekalan sesebuah masyarakat. Penceraian perlu dielakkan sama ada muslim atau non-muslim kerana akibat buruknya boleh merosakkan keluarga dan anak-anak. Sebaliknya kecintaan perlu dipupuk. Oleh yang demikian, institusi ini mesti dibentuk sesempurna mungkin bermula pada tahap awal proses perkahwinan.

8. Pendidikkan Anak-anak – Menurut Ibnu Sina, terdapat banyak bentuk tanggungjawab yang mesti disempurnakan oleh ibu bapa. Salah satu yang utama ialah memberi didikan dan ilmu kepada anak-anak. Kewajiban ini diletakkan dibawah undang-undang negara. Dari segi perlaksanaannya, pendidikan anak lelaki dan perempuan mestilah diurus secara adil. Di samping itu, asas akhlak seperti menghormati dan mematuhi ibu bapa mesti diajar. Seterusnya mereka perlu didedahkan kepada imu-ilmu yang boleh menimbulkan kecintaan kepada ilmu pengetahuan diikuti ilmu yang boleh menyediakan mereka untuk memasuki alam pekerjaan. 

9. Masyarakat Penyayang dan Bertanggungjawab – Ibnu Sina membayangkan kewujudan masyarakan penyayang. Orang yang sakit dan cacat, jika mereka mempunyai keluarga, elok dijaga oleh keluarga mereka sendiri. Bagi yang tiada kaum keluarga atau keluarga yang kurang mampu, pihak kerajaan bertanggungjawab atas kehidupan mereka. Selain itu, Ibnu Sina juga mencadangkan supaya pentadbiran negara mewujudkan satu dana di mana wang yang terkumpul dimanfaatkan untuk golongan ini. Ibnu Sina sangat menekankan persoalan kebajikan dan sosial terutama bagi warga emas yang sudah tidak produktif lagi. Nasib mereka dibela.

10. Sederhana dalam Hidup – Ibnu Sina memandang berat persoalan kebahagiaan individu. Bagi mendapatkan akhlak dan tabiat yang baik, seseorang individu perlu mengambil jalan tengah, iaitu bersederhana (moderation atau wasatiyyah) dalam segala tindakan untuk mencapai kebahagiaan. Ibnu Sina memberi contoh kesederhanaan dengan mengawal nafsu seks, makan dan berpakaian. Demikian juga dalam perasaan, individu perlu mengawal perasaan ketika marah, benci, bangga atau ketika menghadapi tekanan. Demikian juga dalam hal kehidupan seharian. Puncak dari pengurusan ini ialah wujudnya amalan kesederhanaan yang berakhir dengan kebahagiaan hidup.


‘Aqd ahl Zimmah 
Selepas pembukaan Kota Mekah pada 8 hijrah, non-muslim telah dilibatkan dalam Perjanjian Zimmah oleh Rasulullah saw. Ianya berlaku sesudah turunnya ayat berkaitan cukai jizyah pada tahun 9 hijrah. Menurut al-Mawardi, di dalam Perjanjian Zimmah ada dua syarat yang dituntut daripada ahl al-Zimmah memenuhinya; 
Syarat pertama – ia merupakah syarat sah perjanjian, tanpa memenuhinya perjanjian akan terbatal. Syarat kedua – merupakan syarat yang dituntut jika ia dimasukkan ke dalam perjanjian itu, tanpa melaksanakannya mereka boleh dipersalah oleh pihak berkuasa.

Syarat pertama mengandungi enam perkara, iaitu:
1. Mereka dilarang mencela kitab Allah (al-Quran) dan dilarang berusaha memesongkan pengajarannya. Dalam erti lain mereka perlu menghormati al-Quran.
2. Mereka dilarang mendustakan pengajaran Rasulullah saw dan memandang rendah kepada Rasulullah saw. Dalam kata lain mereka perlu menghormati Rasulullah saw.
3. Mereka dilarang menghina agama Islam dan mencelanya. Dalam kata lain, mereka perlu menghormati agama Islam dan segala ajarannya.
4. Mereka dilarang berzina dan berkahwin dengan perempuan Islam.
5. Mereka dilarang menghasut orang Islam supaya menukar agamanya, mengganggu harta bendanya serta agamanya.
6. Mereka dilarang memberikan bantuan kepada musuh-musuh negara dan dilarang memberi sanjungan kepada orang kaya mereka. 

Tegas al-Mawardi, Perlanggaran kepada syarat ini boleh menyebabkan terbatalnya Perjanjian Zimmah tersebut. Ia selari dengan pendapat mazhab Syafi’i dan mazhab lain kecuali Hanafi. Mazhab Hanafi mengatakan bahawa Perjanjian Zimmah hanya akan terbatal dengan tiga perkara:
1. Penganutan agama Islam,
2. Lari ke negara harbi,
3. Penguasaan mereka ke atas suatu tempat untuk memerangi orang Islam.

Ali bin Abi Talib menegaskan bahawa bila non-muslim membayar jizyah, maka yang menjadi tujuan sebenarnya ialah agar harta mereka menjadi seperti harta kita dan darah mereka menjadi seperti darah kita. Para fuqaha’ menentukan kaedah; “Bagi mereka hak yang sama seperti hak kita dan atas mereka tanggungjawab yang sama seperti tanggungjawab kita."

Ibnu Hazim menulis dalam kitabnya Marabit al-Ijma’; “Bahawa jika ada orang-orang kafir zimmi yang mengikat perjanjian dengan kita (kerajaan Islam), kemudian datang kaum kafir harbi yang lain ke negeri kita untuk memerangi mereka, maka wajiblah kita umat Islam keluar menentang kaum penceroboh itu dengan senjata untuk menghalangi mereka, walaupun kita mati kerananya. Ini adalah disebabkan status mereka sebagai orang-orang yang ada dalam tanggungan Allah dan RasulNya. Membiarkan sahaja mereka diperangi oleh kaum kafir harbi tersebut bererti mengabaikan ikatan janji dan zimmah yang telah dibuat dengan mereka”

Antara mekanisme yang membolehkan seseorang bukan Islam mendapat hak sebagai zimmi seperti yang dipetik daripada Mausu’ah Fiqhiyyah ialah; 1- Mengadakan kontrak perjanjian, 2- Menetap dalam Dar al-Islam, 3- Perkahwinan, 4- Pembelian tanah kharajiah, 5- Anak yang dijumpai (laqit), dan 6- Pembukaan negara baru. 

Pelbagai Hak Tanggungjawab Non-Muslim dan Prinsip Berinteraksi
Berdasarkan kepada Piagam Madinah (Sahifat al-Madinah) dan Perjanjian Zimmah (‘Aqd ahl Zimmah), beberapa cendiakawan kontemporari Islam seperti Dr. Abdul Karim Zaidan telah merumuskan hak dan tanggungjawab non-muslim. Ianya adalah seperti berikut:

Kepelbagaian Hak 
1. Perlindungan terhadap hak dilahirkan merdeka,
2. Perlindungan terhadap diri (nyawa dan anggota),
3. Perlindungan terhadap harta benda,
4. Perlindungan terhadap maruah atau kehormatan,
5. Perlindungan terhadap tempat tinggal,
6. Perlindungan ketika lemah, tua dan ketiadaan harta,
7. Kebebasan beragama,
8. Kebebasan berpindah,
9. Kebebasan berkumpul dan mengeluarkan pendapat,
10. Hak berkerja dan mencari rezeki,
11. Hak dalam pendidikan,
12. Hak dalam politik, dan
13. Hak terhadap kemudahan awam dan kehakiman.

Kepelbagaian Tanggungjawab 
1. Membayar cukai jizyah, kharaj dan ‘usyur
2. Membayar cukai pendapatan,
3. Mematuhi undang-undang negara,
4. Kepatuhan kepada sistem kehakiman am. Zimmi tidak boleh memegang jawatan yang bersifat al-Qadha’ al-‘Ammah
5. Memelihara perasaan orang-orang Islam, 
6. Menghormati agama Islam, dan
7. Lain-lain tanggungjawab yang boleh ditentukan dari masa ke masa oleh pemerintah berdasarkan kepada maslahah negara dan ummah.

Prinsip-prinsip dalam berinteraksi dengan non-muslim ialah ; 
1. Ketidakpaksaan dalam memeluk Islam, 
2. Kesamarataan, 
3. Sikap adil, 
4. Sikap Adil, 
5. Sikap Bertolak Ansur, 
6. Menepati Janji, 
7. Rahmah dan kebaikan, 
8. Polisi kemananan dan kesejahteraan, dan 
9. Berdebat dengan cara yang baik.

Apabila menyentuh hak dilahirkan dalam keadaan merdeka, pada zaman kini tiada lagi manusia yang dilahirkan dalam status hamba.  Mereka selayaknya tidak boleh dijadikan buruh paksaan sepanjang hayat atau menjadi hamba kepada tuan. Selain itu, mengenai hak nyawa pula Islam telah meletakkan ketetapan; Pertama, tiap perkara yang berhubung dengan hidup dan nyawa serta membawa kepada keselamatn tubuh badan dikira wajib seperti memelihara keselamatan pekerjaan, memelihara kesihatan, merawat dan mencegah daripada penyakit atau mengawal wabak-wabak yang menular. Kedua, Tiap perkara yang boleh merosakkan tubuh badan dan mengancam nyawa atau melemahkan adalah dilarang, seperti perkara memabukkan, dadah, candu, heroin dan sebagainya atau memakan benda yang boleh mendatangkan wabak, penyakit dan bahaya kepada badan. 

Dalam membicarakan tanggungjawab warganegara non-muslim untuk mematuhi undang-undang, tanggungjawab seseorang warganegara bukan sahaja meneruskan kelangsungan kemerdekaan dan mengisinya dengan pengisian positif, tetapi yang lebih utama ialah memenuhi tanggungjawab melaksana dan menghormati peruntukan Perlembagaan.

Sekiranya seseorang warganegara menerima Perlembagaan itu adalah undang-undang tertinggi negara yang meletakkan garis panduan dan prinsip tertentu, maka Perlembagaan juga menyatakan tanggungjawab ke atas semua warga untuk melaksanakannya. Warganegara atau rakyat tidak boleh mengganggap diri mereka semata-mata hanya sebagai pengguna Perlembagaan dan mengharap manfaat daripada pelaksanaan prinsip Perlembagaan oleh pihak pemerintah.

Tanggungjawab warganegara selain daripada hak yang diperuntukkan, menjadi sangat sinonim dengan prinsip ketinggian Perlembagaan. Selain melaksanakan peruntukan Perlembagaan, tanggungjawab lain yang datang seiringan adalah terhadap seseorang warganegara ialah mempertahankan serta menghormatinya sama ada ketika berada di dalam atau luar negara. 

Dari sudut undang-undang negara, non-muslim wajib mematuhinya sama ada dalam bidang muamalat atau jenayah, disamping mereka juga terikat dengan kehakiman Islam selama mereka berada dalam negara Islam. Apabila menyentuh tanggungjawab non-muslim untuk menghormati agama Islam, mereka dilarang melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasan orang Islam seperti menghina Allah, kitab al-Quran dan Rasulullah saw, syi’ar Islam, individu muslim, atau apa sahaja yang menyentuh kesucian agama. 

Ada riwayat yang menceritakan terdapat perempuan Yahudi yang mencaci Rasulullah saw, lalu baginda menghalalkan darah perempuan tersebut serta tidak menghukum pembunuh perempuan Yahudi itu. Selain itu, terdapat juga riwayat seorang lelaki bernama Anas bin Zanim dari Bani Bakr telah menghina Rasulullah, lalu baginda menghalalkan darah lelaki tersebut. 

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, beliau telah mengadakan perjanjian dengan penduduk Ilia’;
“Diberikan kepada mereka keamanan terhadap diri, harta, gereja dan semua agama mereka. Hendaklah tidak didiami di dalam gereja-gereja mereka dan tidak dikurangkannya, kebaikan dan salib mereka. Mereka tidak boleh dipaksa meninggalkan ajaran mereja dan tidak boleh menyakiti sesiapa pun di kalangan mereka.” 
Berdasarkan larangan dua orang khalifah Islam iaitu iaitu Umar bin al-Khattab dan Ali bin Abi Talib, non-muslim juga dilarang memasukkan babi dan arak serta menjualnya secarang terang-terangan di kawasan orang Islam. Ia dianggap tidak menghormati orang Islam serta mencabar perasaan mereka. 

Di dalam perundangan dan kehakiman, terbukti orang bukan Islam turut menerima hak dan hukuman yang sama dengan orang Islam. Mereka diadili berdasarkan hukum Islam. Seperti dalam dua riwayat mengenai hukum qazf. Bapa kepada Umar bin Rabi’ telah dituduh zina oleh seorang Yahudi. Kes ini dihakimi oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Maka Yahudi tersebut telah menjatuhkan had qazf ke atas Yahudi tadi.  Di dalam kes yang lain pula, seorang lelaki muslim telah menuduh zina terhadap seorang wanita Kristian. Maka Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah menjatuhkan had qazf terhadap lelaki muslim itu dengan 80 kali sebatan. 

Adalah menjadi tanggungjawab non-muslim memelihara perasaan orang Islam dan menjadi rakan senegara dengan mereka yang beragama Islam. Begitu juga dengan kedaulatan negara Islam yang memberikan pengawalan dan perlindungan kepada diri dan harta benda mereka. Lantaran itu, mereka ditegah mencaci agama Islam, rasulNya dan kitab suciNya. 

Mereka dilarang menyebarkan sebarang ideologi atau idea yang bertentangan dengan akidah negara dan agamanya. Kedudukan sebegini adalah sejajar dengan kehendak perlembagaan Malaysia berkaitan dengan kebebasan orang bukan Islam. Mereka dilarang menonjol-nonjol perbuatan meminum arak dan memakan babi dan seumpamanya yang ditegah dalam Islam, begitu juga mereka ditegah menjualkannya kepada orang Islam kerana perbuatan sedemikian boleh merosakkan masyarakat Islam. Mereka juga dilarang menimbulkan sebarang isu sensitif umat Islam, mempertikai syi’ar serta menjadi batu api dalam kelompok masyarakat Islam.

Ketika bulan Ramadhan, mereka dilarang menonjolkan perbuatan makan dan minum pada siang hari bagi menjaga perasaan masyarakat Islam. Apa sahaja yang dipandang mungkar oleh Islam tetapi ia adalah harus dalam agama mereka, jika mereka ingin melakukannnya, maka hendaklah secara terkawal dan tidak terang-terangan serta dalam bentuk yang tidak mencabar perasaan orang Islam. Sebarang bentuk gangguan terhadap agama lain juga adalah dilarang. Ia bertujuan supaya seluruh anggota masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang damai dan bersatu-padu.

Terdapat juga larangan yang dikenakan terhadap setiap urusan yang melibatkan riba’, khususnya dalam urusan kewangan dan jual beli.  Juga termasuk perniagaan yang berasaskan perkara yang diharamkan dalam Islam seperti babi dan segala hasilan daripadanya, arak dan haiwan yang diharamkan. Ia termasuk perniagaan yang dijalankan bertentangan dengan akhlak dan etika Islam seperti mempamerkan aurat, lambang keagamaan secara umum dan eksploitasi kemewahan dunia yang melampau.

Di dalam perkara yang melibatkan amalan non-muslim terhadap syi’ar agama mereka pelaksanaan tanggungjawab terhadap agama mereka, mazhab Hanafi dan Syafi’i mengatakan tidak harus secara mutlak (tidak dibenarkan) menzahirkan lambang agama seperti memakai salib, membunyikan loceng-loceng gereja dan kuil, membakar lilin dan sebagainya di tempat awam atau kawasan yang majoritinya didiami orang Islam. Kecuali ia dilaksanakan di kawasan yang berasingan, tidak secara terang-terangan terhadap masyarakat Islam. Ia berdasarkan kepada kepentingan umum (maslahah ‘ammah) kerana ditakuti berlaku fitnah dan suasana tidak tenteram dalam masyarakat. 

Dalam hal ini, Dr. Yusuf Qardhawi berpendapat: “Apa yang dituntut daripada non-muslim ialah memelihara perasan orang Islam dan kesucian agama mereka. Mereka dilarang menonjolkan pelbagai syi’ar agama dan tanda salib mereka di kawasan-kawasan penempatan orang Islam dan dilarang juga mereka membina gereja di mana-mana kawasan Islam jika sebelum itu mereka tidak mempunyai gereja di sana. Tindakan penonjolan dipandang sebagai mencabar perasaan orang Islam dan kemungkinan akan membawa kepada timbulnya fitnah dan keadaan tidak tenteram. Inilah amalan yang telah berlaku dalam sejarah orang Islam sejak zaman permulaan lagi.” 

Penutup
Apabila kita benar-benar menyelusuri sejarah ketamadunan dan peradaban umat Islam, jelas menunjukkan bagaimana keharmonian dikecapi di dalam pentadbiran negara Islam walaupun empayarnya telah melangkaui timur dan barat dunia. Kestabilan dan kemanan sejagat dapat dikecapi dengan sebaiknya sehingga memungkinkan pelbagai kemajuan dan kemodenan dapat dicapai dalam tempoh tersebut.

Inilah keindahan Islam mengatur kehidupan manusia keseluruhannya. Islam bukan mentadbir kehidupan orang Islam sahaja, tetapi mentadbir seluruh manusia dan alam ini. Sesuailah dengan firman Allah swt di dalam surah al-A’raf ayat 158:

قُلۡ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّى رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡ جَمِيعًا ٱلَّذِى لَهُ ۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۖ فَـَٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِ ٱلنَّبِىِّ ٱلۡأُمِّىِّ ٱلَّذِى يُؤۡمِنُ بِٱللَّهِ وَكَلِمَـٰتِهِۦ وَٱتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ 

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya; dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk.”

Bibliografi
Abdul Qadir Djaelani, Cetakan Pertama 2001, Membangun Masyarakat Bertamadun dan Harmoni, Selangor: Pustaka Dini Sdn. Bhd.

Abdul Halim El-Muhammady, Cetakan Pertama 2005, Syariah Perkembangan dan Tuntutan Pelaksanaannya, Selangor: Wadah Niaga Sd. Bhd.

Abdul Wahab Khallaf, Cetakan Pertama 2003, Siasah Syar’iyyah dalam Pemerintahan Islam, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

Azhar Abdul Aziz dan Mohd Asmadi Yakob, Cetakan Pertama 2012, Sejarah Malaysia dalam Konteks Hubungan Etnik, Selangor: Imtiyaz Multimedia and Publications.

Dr. Haji Mat Saad Abdul Rahman, Cetakan Kedua 2011, Kedudukan Orang Bukan Islam Dalam Sejarah Pemerintahan Islam, Putrajaya: JAKIM.

Idris Zakaria, 2014, Falsafah Politik Islam dan Kepentingan di Malaysia, Bangi: UKM.

Nasir Muhammadiy Muhammad Jad, 2012, Prinsip-prinsip Islam dalam Berinteraksi dengan Non-Muslim, Kuala Lumpur: Faza Publications.

Prof. Dr. Haron Din, Manusia dan Islam, Cetakan Ketiga 1988, Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd.

Subhi Mahmasani, 2009, Kes-kes Kehakiman Berkaitan Jenayah Hudud, Qisas dan Kekeluargaan di Zaman al-Khulafa’ al-Rashidin, terjemahan Md. Som Sujimon, Kuala Lumpur: IIUM Press.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Mushaf Malaysia Rasm Uthmani.

Kamus Dewan Edisi Keempat, cetakan 2010, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr. Luqman Bin Hj Abdullah, Jabatan Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kertas kerja Simposium Fiqh Masyarakat Bukan Islam di Malaysia, Kerangka Asas dalam Pembinaan Hukum Fiqh Masyarakat Bukan Islam Masa Kini, 23-24 Disember 2009, Dewan Annex, SUK, Shah Alam anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor Dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kewarganegaraan (22 Oktober 2014)

http://utam.net/index.php/component/k2/item/129-kefahaman-islami-tentang-konsep-kewarganegaraan (22 Oktober 2014)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Piagam_Madinah (22 Oktober 2014)

http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/MendukungPerlembagaantugassetiaprakyat/Article/artikel (22 Oktober 2014)

Hamizan bin Abdul Karim
Pusat Pengajian Berterusan,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Bandar Baru Bangi,
4 Safar 1436H.

Comments