Transaksi Secara Online Dari Perspektif Syara'

Pendahuluan
Islam merupakan agama yang sempurna. Kesempurnaan Islam merujuk kepada ajaran yang dibawa merangkumi setiap aspek keperluan dan kepentingan bagi kehidupan manusia secara individu, keluarga, masyarakat, mahupun dalam bentuk kenegaraan. Keperluan dan kepentingan yang diberikan khas buat manusia, tidak kepada makhluk lain adalah disebabkan manusia telah diamanahkan menjadi khalifah yang mentadbir bumi. Sepertimana yang disebutkan oleh Allah swt di dalam Surah al-Baqarah (2) ayat 30;

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan-mu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang kan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Di dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman , ‘khalifah’ bermaksud seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan manusia di bumi dengan berdasarkan wahi dan syari’at Allah, supaya kehidupan manusia itu teratur dan mempunyai tujuan-tujuan hidup yang suci murni untuk mencapai keredaan Allah Azzawajalla.


Islam mempunyai tiga rangkaian utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak. Ibadah di dalam kehidupan manusia terbahagi kepada tiga  iaitu ibadah fardu ain, fardu kifayah dan umum. Mewujud dan menegakkan pentadbiran dan ekonomi Islam merupakan salah satu tuntutan fardu kifayah di bawah sistem muamalat Islam. Apabila pentadbiran dan ekonomi Islam dapat dilaksanakan, maka ia menjadi ibadah umum yang pahalanya diperoleh oleh seluruh masyarakat Islam bermula dari pemimpinnya sehingga kepada rakyat. Akhirnya membuahkan hasil mewujudkan masyarakat dan negara yang baik dan diampuni Tuhan Pentadbir alam seperti firman Allah swt di dalam Surah Saba’ (34) ayat 15;

Maksdunya: (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan Kamu dan bersyukur-lah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan ma’mur), dan (Tuhan kamu adalah) yang Maha Pengampun!”

Latar Belakang Masalah
Berniaga merupakan salah satu aktiviti muamalat Islam. Malah Nabi Muahammad saw menekankan bahawa 9 daripada 10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan. Ini bermakna, daripadanya pintu-pintu rezeki terbuka luas sehingga menzahirkan kebesaran kurnia dan nikmat Allah swt kepada manusia. Berniaga atau jual beli ini merupakan sesuatu yang diharuskan oleh Allah (Surah al-Baqarah 2:275) selagi mana selari dengan tuntutan ajaran Islam.

Ayat ini diturunkan semasa zaman Nabi Muhammad lebih daripada 1,400 tahun yang lalu. Pada ketika itu, jual beli atau transaksi perniagaan dijalankan secara bersemuka secara langsung atau tidak langsung seperti melalui wakil dan sebagainya dengan memenuhi rukun-rukun akad jual-beli sepertimana yang disepakati jumhur ; 
  1. Lafaz tawaran/penjualan dan penerimaan/pembelian (sighah), 
  2. Orang yang berakad iaitu pemberi tawaran dan penerimanya. Keduanya haruslah barakal, atas kemahuan sendiri, baligh dan bukan orang yang boros,
  3. Barang serta harga yang diakadkan (mabi’ atau ma’qud ‘alaih). Seperti wang, dinar, dirham, manfaat, perkhidmatan dan seumpamanya.

Transaksi bermaksud ‘penyelesaian pembayaran dalam perniagaan (perdagangan)’ atau ‘persetujuan jual beli, urusan jual beli (perdagangan), urus niaga’ . Kesan daripada kemodenan teknologi, kebanyakan sistem pengurusan dan pentadbiran keperluan dan kehendak manusia menerima tempiasnya. Pembangunan sistem perkomputeran dan perkembangan internet, iaitu rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia menerima kemajuan yang tidak sedikit dan tidak perlahan. Perkembangan ini secara langsung mengubah cara dan bentuk perniagaan atau dalam kata lain mengubah amalan transaksi yang telah menjadi kebiasaan (konvensional) iaitu bersemuka secara langsung face-to-face, kepada ‘dalam talian’ (online) atau non-face.

Perniagaan ‘dalam talian’ ini juga dikenali sebagai e-niaga atau perniganaan internet. Di dalam Wikipedia, ia memberi maksud suatu kaedah perniagaan yang membolehkan seseorang berniaga melalui internet atau ICT. Konsep perniagaan Internet tidak jauh berbezanya dengan perniagaan konvensional. Peniaga masih memerlukan produk untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Perbezaannya hanyalah proses transaksi urusniaga tersebut di mana data atau maklumat urus niaga tersebut dijalankan secara dalam talian (data interchange). Pihak pembeli dan penjual tidak bersemuka dan boleh berada beribu-ribu batu jauhnya. Ini bermakna transaksi secara online berlaku hanya melalui rangkaian internet tanpa berhadapan antara penjual dan pembeli, barang yang hendak dibeli dan dijual tiada secara fizikal di hadapan mata serta proses tawaran dan penerimaan berlaku hanya melalui ‘klik’.

Transaksi Online
Transaksi elektonik atau secara online adalah transasksi yang dilakukan melalui komputer, jaringan komputer atau jaringan elektonik dan sebagainya. Transaksi tersebut merujuk kepada semua jenis dan mekanisme dalam melakukan hubungan transasksi secara elektronik yang kebiasaannya meliputi perniagaan berasaskan perkhidmatan dan perniagaan berasaskan produk (trade of goods and services). Jumhur memperakui kedua-dua jenis perniagaan ini kerana selari dengan konsep pertukaran harta dengan harta atad barang dengan harta. Perkhidmatan adalah salah satu bentuk manfaat dan manfaat tergolong di dalam harta.

Perniagaan berasaskan perkhidmatan adalah seperti perkhidmatan rekabentuk grafik (logo, banner, cover ebook), perkhidmatan membina website, perkhidmatan memasang perisian, perkhidmatan webhosting, perkhidmatan menulis dan menterjemah artikel. Selain itu pengurusan insurans, kad debit dan kredit, online atau internet banking (e-banking), mobile banking, pembayaran pembelian atau bil (e-paypal dan e-payment).

Perniagaan berasaskan produk pula terbahagi kepada dua iaitu produk fizikal dan produk digital. Produk fizikal seperti segala jenis barangan yang boleh dijual beli seperti buku, kasut, lampu pembelian barang secara lelongan (seperti e-Bay) dan lain-lain. Terdapat juga jualan barangan fizikal yang berbentuk barangan ribawi pembelian emas (e-Gold), perak dan barangan ribawi yang lain. Produk digital pula seperti e-book, perisian komputer, mp3 ceramah, video tutorial dan gambar arau grafik profesional. Produk lain melalui internet adalah pelaburan internet seperti Forex, SwissCash dan seumpamanya.

Asas-asas Muamalat Islam Dalam Transaksi Online
Akibat daripada fenomena ini, muamalat Islam perlu berkembang seiring dengan tuntutan dan keperluan semasa. Perkembangan ini walaubagaimanapun sentiasa dalam landasan yang betul, seiring dan selari dengan kehendak syariat dan ruh Islam. Empat prinsip utama sistem muamalat Islam adalah;

  • Dibangunkan atas prinsip umum. Ia merangkumi;
  1. Tidak boleh mengambil harta orang lain secara batil dan tidak sah,
  2. Semua bentuk jual beli adalah harus kecuali ada dalil yang menyatakan sebaliknya,
  3. Apa-apa transaksi yang mempunyai unsur gharar yang besar adalah dilarang.

  • Hukum asal urusan muamalat adalah harus. Ini bermakna;
  1. Manusia boleh/harus mewujudkan apa jua bentuk transaksi baru yang lebih cepat, cekap dan selamat,
  2. Transaksi tersebut haruslah sesuai dengan sifat interaksi sesama manusia,
  3. Apa jua syarat, kaedah, struktur atau peraturan boleh diwujudkan selagi mana ia bertujuan memelihara urusan transaksi mencapai hukum sah di sisi syariat.

  • Mengambil hukum ‘illah dan maslahat. Apa yang dimaksudkan ialah hukum muamalat boleh berubah mengikut perubahan maslahat manusia. Antara contoh;
  1. Penetapan harga boleh berubah atau berbeza apabila medium perniagaan tersebut berbeza. Seperti harga pembelian melalui online lebih murah berbanding harga biasa di permis perniagaan,
  2. Mana-mana perniagaan atau transaksi yang mempunyai unsur gharar seperti riba, penipuan, judi dan monopoli adalah diharamkan dan dilarang.

Ini bermakna, walau apa pun bentuk transaksi dan perniagaan yang dijalankan manusia, selagi mana ia selari dengan prinsip dan memenuhi syarat, maka ia dibenarkan Islam.

Sesuatu yang hendak diniagakan hendaklah memenuhi syarat-syarat subjek akad walaupun ia berbeza sifatnya mengikut jenis akad sama ada dalam bentuk material seperti jual beli, bentuk manfaat seperti sewa-menyewa dan perkhidmatan dan bentuk kerja seperti upah-mengupah, wakalah, mudharabah dan sebagainya .

Perniagaan internet adalah harus, tetapi sebagaimana biasa ia mesti memenuhi beberapa syarat untuk dipatuhi bagi kebaikan kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli;
  1. Mestilah ada penjual, pembeli, lafaz kontrak atau akad, sighah (isi kontrak) dan asset (benda yang hendak dijual).
  2. Penjual mestilah memiliki barangay tersebut ataupun mampu untuk mewujudkan barang yang hendak dijual. Contohnya, walaupun kasut yang hendak djual masih tiada dan hanya diletakkan di dalam gambar atau katalog, namun sekiranya kasut tersebut memang boleh dihasilkan, ia sudah selari denga syariat. Barang yang dijual bukan barangan yang haram seperti bersifat lucah atau arak atau benbentuk perjudian.
  3. Akad boleh dibuat melalui internet dengan menggunakan pesanan yang jelas menyebut perincian barangan bagi mengelakkan jahalah dan gharar. ‘Tick’ pada item yang ingin dibeli dan hantar, ia sudah dikira akad yang diterima .

Secara umum, barang atau perkara atau manfaat atau perkhidmatan atau bentuk perniagaan yang dijalankan hendaklah memenuhi syarat-syaratnya iaitu;
  1. Barang atau perkhidmatan atau perniagaan tersebut hendaklah wujud ketika transaksi dibuat,
  2. Barang atau perkhidmatan atau perniagaan tersebut mestilah sesuatu yang mempunyai nilai dan bermanfaat,
  3. Barang atau perkhidmatan atau perniagaan tersebut mestilah mampu diserahkan atau digunapakai atau dimanfaatkan,
  4. Barang atau perkhidmatan atau perniagaan tersebut mestilah diketahui oleh dua pihak yang berakad secara jelas dan tepat,
  5. Barang atau perkhidmatan atau perniagaan tersebut mestilah ditentukan secara khusus, kalau tidak ditentukan secara khusus maka akad tidak sah,
  6. Penjual atau pihak yang menawarkan sesuatu barang atau perkhidmatan atau perniagaan hendaklah mempunyai hakmilik terhadap subjek yang ditawar atau kebenaran menjalankan transaksi saperti pihak yang mengambil upah atau pihak yang menjadi wakil .
Manakala antara perkara yang menjadi larangan dalam transaksi muamalat Islam adalah seperti;

  1. Harga jualan yang melebihi harga pasaran biasa tanpa dimaklumi,
  2. Transaksi yang melibatkan subjek yang sudah dibeli atau dipesan atau dimiliki orang lain,
  3. Transaksi dengan cara menipu atau bohong,
  4. Transasksi yang ditangguhkan atau barangan yang disimpan dengan niat untuk mendapat harga yang lebih tinggi,
  5. Melakukan helah pada harga sehingga mewujudkan sangkaan yang tidak benar terhadap harga pasaran,
  6. Menyembunyikan kecacatan barang kepada pembeli, atau perkhidmatan yang tidak mengikut spesifikasi dalam akad,
  7. Menjual barang atau perkhidmatan atau perniagaan dengan cara kredit dengan imbalan faedah yang ditetapkan,
  8. Menjual atau menawarkan barang atau perkhidmatan yang haram,
  9. Barangan atau perkhidmatan atau perniagaan yang bertujuan buruk seperti untuk merosak ketenteraman awam, monopoli barangan pasar, menghapus para pesaing dan merosak akhlak masyarakat,
  10. Mengandungi unsur perjudian dan pertaruhan sama ada melalui lelongan atau bidaan atau seumpamanya.

Isu Transaksi Online
a) Transaksi Pembelian Barangan Secara Online Berdasarkan Bai’ as-Salam
Jual beli salam (bai’ as-Salam) bermaksud ‘jual beli sesuatu secara bayaran tunai dengan penangguhan penyerahan barang’ atau ‘menjual sesuatu yang telah ditentukan spesifikasinya sahaja dan ia akan diserahkan kemudian dengan harganya dibayar secara tunai’.

Keharusan jual beli salam adalah berdasarkan hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesiapa yang membeli sesuatu secara salam, maka hendaklah mengetahui sukatan, timbangan barang dan kadar masa tangguhan penyerahannya.”

Jumhur telah mengharuskan jual beli salam dan ia merupakan salah satu bentuk jual beli yang terkecuali daripada kaedah jual beli biasa kerana barangnya tidak ada dalam majlis akad, tetapi ia diharuskan kerana maslahah dan kemudahan manusia dalam urusannya.

Di bawah tajuk ini, transaksi berlaku secara terus daripada pembeli kepada penjual tanpa ada elemen ‘reseller’. Bagi maksud yang pertama iaitu ‘jual beli sesuatu secara bayaran tunai dengan penangguhan penyerahan barang’, antara contoh medium pembelian online yang memenuhi maksud ini seperti;
  1. Hulala (www.hulala.com.my),
  2. Lelong (www.lelong.com.my)
  3. Ebay (www.ebay.com.my)
  4. Zalora (www.zalora.com.my)
  5. Mph online (www.mphonline.com)
  6. Easymall (www.easymall.my)
  7. Mysale (www.mysale.my)
Manakala medium pembelian online yang memenuhi maksud kedua iaitu ‘menjual sesuatu yang telah ditentukan spesifikasinya sahaja dan ia akan diserahkan kemudian dengan harganya dibayar secara tunai’ adalah seperti pembelian sebahagian barang di Lazada (www.zalora.com.my). Caranya ialah barang akan dihantar ke rumah dan pembeli membayar sewaktu penyerahan barang berlaku.

Transaksi ini dalam kategori yang dibenarkan serta tiada sebarang permasalahan berlaku sekiranya tiada sebarang unsur gharar berlaku. Malah setiap syarikat tersebut juga telah menerangkan polisi mereka tempoh penghantaran barang serta polisi sekiranya terdapat sebarang kecacatan atau kesilapan pada barangan yang dihantar kepada pembeli.

Walaubagaimanapun, terdapat juga unsur gharar yang berlaku dalam interaksi seumpama ini. Sekiranya unsur gharar tersebut diketahui awal oleh pembeli, maka ianya mungkin boleh dielakkan. Namun apabila ia berlaku semasa transasksi atau selepas pembayaran dibuat, maka amat sukar pembeli mengelak perkara gharar ini berlaku kepada mereka.

Antara contoh gharar yang berlaku adalah;
  1. Pembayaran telah dibuat oleh pembeli, tetapi tiada sebarang penerimaan atau penghantaran oleh pihak penjual.
  2. Barang yang dipesan oleh pembeli berdasarkan tawaran yang dibuat oleh penjual. Tetapi barangan yang diterima oleh pembeli bukan barang yang ditempah yang yang dibelinya.
  3. Barang yang diterima oleh pembeli tidak sama kualiti atau jenis atau tidak original seperti yang ditawarkan oleh pihak penjual.
  4. Apabila enjual tidak menghantar barang dalam tempoh yang ditetapkan, seterusnya pembeli membatalkan pembelian. Namun, tiada sebarang pemulangan bayaran oleh pihak penjual.

Beberapa perkara yang perlu diambil berat bagi mereka yang melakukan pembelian secara online. Ini supaya perkara gharar dapat dielak dan jual beli tersebut menjadi sah. Antaranya ialah;
  1. Memastikan pihak penjual atau yang menawarkan barang boleh dipercayai. Pembeli perlulah selidik dahulu maklumat mengenai perniagaan apa yang dijalankan, latar belakang, serta maklumat asas penjual seperti nama individu atau syarikat, nombor untuk dihubungi, alamat, bukti lesen dan nombor pendaftaran perniagaan (sekiranya ada).
  2. Pembeli hendaklah kenalpasti barangan yang hendak dibeli termasuk spesifikasi barangan, harga, jenis, model dan sebagainya agar tidak berlaku kesilapan sekiranya ada barangan yang sama tetapi berlainan model, jenis dan sebagainya. Ini bagi memastikan rukun jual beli iaitu proses penawaran dan penerimaan (sighah ijab dan qabul) berlaku. Pembeli perlu meneliti maklumat mengenai produk dan berhak bertanya kepada penjual melalui email, sms, masej atau sebagainya agar proses jual beli belaku dengan tepat.
  3. Pembeli hendaklah bersikap teliti dan tidak terburu-buru dalam memilih bentuk pembayaran dan penghantaran. Segala polisi yang ditetapkan oleh pihak penjual perlu difahami dengan baik agar akad jual beli menjadi sah dan tiada sebarang kezaliman berlaku.

b) Transaksi Pembelian Online Secara Agen (Reseller)
Terdapat perniagaan online yang menggunakan kaedah agen. Kaedah ini bermaksud agen mempromosikan secara online produk daripada pembekal atau pengeluar melalui gambar dan perincian berserta harga. Pelanggan yang berminat dan bersetuju untuk membeli akan membayar harga yang dipersetujui kepada agen dengan cara memindahkan wang ke dalam akaun agen. Agen seterusnya membuat pesanan kepada pembekal/pengeluar dan membuat pembayaran. Pembekal/pengeluar membuat penghantaran terus produk yang kepada pelanggan. Keuntungan agen ialah perbezaan harga antara harga jualannya kepada pelanggan dan harga beliannya daripada pembekal/pengeluar .

Di antara kriteria sesuatu barangan itu harus dijualbeli dalam muamalat Islam ialah ‘barang yang dijual itu hendaklah penjual mempunyai hak milik ke atasnya . Bermakna syaiat melarang seseorang menjual sesuatu barangan yang bukan miliknya. Larangan ini berdasarkan hadith dalam hadis Hakim bin Hizam yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, seorang lelaki datang kepada aku dan mahu membeli sesuatu daripada aku, sedangkan aku belum memilikinya. Adakah boleh aku membelinya untuknya dari pasar?” Baginda menjawab: "Jangan kamu menjual suatu yang kamu tidak miliki”. (Riwayat Abu Daud, 3/283, no: 3503; Tirizi, 3/526, no: 1232; Nasaie, 7/289, no: 4613; Ibn Majah, 2/737, no: 2187).

Sekiranya agen menjual sesuatu produk kepada pembeli sebelum agen tersebut terlebih dahulu membelinya daripada pembekal, dengan telah ditentukan spesifikasi seperti jenis, model, harga dan unit yang telah ditentukan, maka transaksi tersebut tidak sah kerana wujud unsur sesuatu yang masih belum dimilikinya. Sekiranya ada, ia termasuk dalam transaksi ba’i as-Salam.

Menurut Standard Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), antara barangan yang boleh dibeli melalui akad salam termasuklah produk-produk pembuatan yang boleh ditentukan spesifikasi secara jelas, tidak ada perbezaan ketara antara unit-unitnya, dan boleh didapati di pasaran. (Shari’a Standards, m/s 166) . Dalam situasi ini, pembeli dikira membeli secara ba’i as-Salam dengan agen dengan membuat bayaran penuh serta ditentukan spesifikasinya dan dihantar barangan pada masa akan datang. Agen kemudiannya membeli produk daripada pembekal dengan menepati spesifikasi pembeli serta memenuhi peraturan antara kedua pihak agen dan pembekal agar pembekal menghantar barangan terus kepada pembeli dalam tempoh yang telah ditetapkan. 

c) Pembelian Emas Secara Online
Emas merupakan salah satu daripada barang ribawi. Pembelian barang ribawi hendaklah secara tunai. Perbincangan di sini juga memaksudkan perak atau matawang yang mana jual beli terhadap item ini hendaklah dilakukan secara tunai.

Pembelian emas secara online boleh dilakukan selagi mana ia memenuhi syarat tunai. Tunai bermaksud, duit daripada pembeli mestilah telah ada dan emas yang ditawarkan juga mestilah ada. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh mengantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan memberi kesan sama seperti penyerahan hakiki iaitu:
  1. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
  2. Kemampuan pembeli untuk mendapat barangan belian pada bila-bila masa tanpa halangan.

Majlis akad didalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), email, faksimili dan lain-lain hendaklah berlaku taqabith ketika majlis akad, contohnya penyerahan secara wakalah.

Transaksi jual beli emas sendiri hendaklah berlaku secara loni dan tidak boleh dimasukkan sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.

Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimenterai adalah tidak dibenarkan sama sekali, kerana didalam urusan niaga emas, kelewatan tiga hari bukan suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran mata wang asing .

Antara cara yang dilakukan pada waktu ini ialah pembeli membuat akad dengan penjual untuk membeli emas pada harga semasa. Persetujuan dicapai dengan harga dan fizikal emas yang telah ditentukan. Segala spesifikasi emas dimaklumkan dan pembeli bersetuju. Pembeli kemudiannya bank in duit ke dalam akaun penjual. Setelah ada pengesahan kemasukan dalam akan penjual, resit berbentuk elektronik via email terus dihantar kepada pembeli .

Tujuan pemberian resit elektronik secara email adalah bertujuan memenuhi syarat qabadh (possession) yang menjadi syarat wajib jualbeli emas. Qabadh terbahagi kepada dua, hakiki (actual) dan hukmi (constructive). Qabadh hakiki bermaksud pembeli menerima secara langsung emas yang dibeli, manakala qabadh hukmi pembeli menerima resit yang menunjukkan jualbeli emas tersebut telah dilaksanakan dan emas telah ada serta menjadi hakmilik pembeli . 

Emas yang telah menjadi hakmilik pembeli disimpan di dalam suatu tempat simpanan yang mana pembeli berhak mengambil emas yang dibelinya daripada pihak penjual pada bila-bila masa tanpa sebarang halangan waktu. Tempat simpanan tersebut adalah tidak berbayar, atau sekiranya berbayar mestilah tidak termasuk daripada harga emas yang dibeli tadi. Jika ada perkhidmatan penghantaran, transaksi pembayaran perkhidmatan tersebut hendaklah berasingan daripada transaksi jualbeli emas.
Antara pihak yang ada menjalankan jualbeli emas online yang dijumpai adalah seperti; jualbeliemasonline.com, www.gbgold.com.my dan plasaemas.com. 

Walaubagaimanapun, masih terdapat unsur gharar dalam jualbeli emas secara online ini;
  1. Walaupun telah diletakkan gambar (sebagai contoh) emas yang ditawarkan kepada pembeli bersama spesifikasinya, namun tiada sebarang pengesahan atau jaminan bahawa emas tersebut benar-benar ada di tangan penjual emas semasa persetujuan transaksi itu dijalankan. Melainkan, jual beli tersebut berlaku secara langsung (live) antara penjual dan pembeli serta setiap perincian perniagaan tersebut dapat dilihat dengan baik.
  2. Jual beli emas online mestilah dalam keadaan pembeli dan penjual sedang dalam keadaan online dan secara live, seperti langsung di hadapan kamera online. Sekiranya salah satu pihak tidak sedang berada dalam keadaan online, maka dikhuatiri berlaku penangguhan terhadap penerimaan transasksi penerimaan pembayaran oleh pembeli kepada penjual atau pengesahan penerimaan pembayaran daripada pihak penjual.
  3. Seorang pembeli ingin membeli emas secara online. Walaupun pembeli sedang online untuk membeli emas, namun tidak dapat dipastikan pihak penjual juga sedang online. Ia kembali kepada gharar yang di atas di mana pihak pembeli tidak mendapat kepastian secara pasti penjual sedang online bai memastikan jualan berlaku secara ‘on the spot’.
  4. Walaubagaimanapun, masih terdapat gharar yang berlaku iaitu tempoh penerimaan pembeli terhadap emas fizikal yang telah dibeli dan menjadi miliknya.

Antara bentuk transasksi online lain adalah seperti transaksi pelaburan matawang secara online dan transaksi barangan lelong secara online. Setiap daripadanya mempunyai gharar tersendiri seperti dalam isu pelaburan di dalam SwissCash dan Forex  dan jualbeli lelong di Ebay dan Swoopo .

Penutup
Sistem muamalat Islam sangat luas dan ianya boleh berubah mengikut peredaran zaman. Hanya sisitem muamalat Islam sahaja yang boleh menjamin keadilan, memacu kemajuan dan mengelak penindasan serta penipuan. Perlaksanaannya yang bersifat menyeluruh bakal membentuk dan mewujudkan suasana ekonomi yang terus membangun serta memberi kesejahteraan kepada semua masyarakat tanpa terkecuali. Wallahu a’lam.

Senarai Rujukan

Rujukan Buku
  1. Tafsir Pimpinan ar-Rahman, Kuala Lumpur, DarulFikir, Cetakan ke-22 tahun 2013.
  2. Faizah Hj. Ismail, Asas-asas Muamalat Dalam Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Ketiga 2006.
  3. Kamus Dewan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi Keempat 2010.
  4. Abdul Ahalim El-Muhammady, Undang-undang Muamalat & Aplikasinya Kepada Prosuk-produk Perbankan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Cetakan Keenam 2010.
Rujukan Web
  1. http://www.islamgrid.gov.my/articles/ibadah/pengertian-ibadah.php
  2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Perniagaan_elektronik (7 Jun 2014)
  3. http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/793-hukum-jual-beli-lelong-di-ebay-a-swoopo.html (11 Jun 2014)
  4. http://www.e-fatwa.gov.my/blog/hukum-jual-beli-ajen-atau-reseller-secara-online (10 Jun 2014)
  5. http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=158&Itemid=98 (11 Jun 2014)

Hamizan bin Abdul Karim
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
17 Dzulqa'edah 1435H.

Comments

Unknown said…
MOhon share info di atas ya..
Cute Mommy said…

info yang menarik dan banyak membantu. syukran
Zuhrie said…
Mohon diguna sbg rujukan