Al-Mufassar dan Al-Muhkam

Al-Mufassar
Sudut bahasa: al-Mufassar diambil daripada perkataan dasar al-Fasara yang bermaksud al-Kasyfu iaitu menyingkap dan al-Bayan iaitu menerangkan. Dalam konteks ini, al-Mufassar bermaksud tersingkap maknanya dan tiada syubhah padanya.

Sudut istilah: Ayat pendalilan yang menunjukkan kehendak makna ayat itu sendiri. Ia tidak menerima proses takwil dan takhsis tetapi berkemungkinan menerima nasakh di zaman Nabi Muhammad saw. 

Bahagian al-Mufassar
Mufassar merupakan lafaz yang menerangkan sesuatu penetapan atau menerangkan sesuatu huraian.
  1. Menerangkan Penetapan (Contoh 1)
  2. Menerangkan Huraian (Contoh 5)


Ciri-ciri al-Mufassar
  1. Ayat pendalilan (dilalah) menunjukkan kehendak makna ayat itu sendiri secara lintasan akal
  2. Menjelaskan makna yang dihekendaki berdasarkan lafaz, bukan berdasarkan makna tersirat
  3. Kadang-kadang merupakan ayat pendalilan yang menunjukkan bilangan tertentu
  4. Tidak menerima sebarang takwil dan takhsis
  5. Menerima nasakh yang berlaku hanya di zaman Nabi Muhammad saw
  6. Tahap kejelasan ayat melebihi al-Nas dan al-Zahir tetapi kurang daripada al-Muhkam
  7. Kadang-kadang memerlukan huraian daripada dalil yang lain. 



Contoh al-Mufassar

Contoh 1: 
Firman Allah SWT: "Dan kamu perangilah orang-orang musyrik keseluruhannya" (Surah At-Taubah: 36). 

Kalimah 'orang-orang musyrik' adalah kata nama bertaraf zahir yang umum dan ia berkemungkinan membawa pengkhususan. Walaubagaimanapun apabila disebut selepasnya perkataan 'keseluruhannya', ia telah menafikan sebarang bentuk pengkhususan kepada mana-mana pihak. Maka ayat ini bertaraf Mufassar.

Contoh 2: 
Firman Allah SWT: "Dan orang yang menuduh orang yang belum berkahwin melakukan zina kemudian tidak mendatangkan dengan empat orang saksi, maka sebatlah ia dengan lapan puluh kali sebatan" (Surah An-Nur: 4). 

Perkataan ‘lapan puluh’ tidak memerlukan takwil kerana ia menunjukkan bilangan tertentu yang tidak menerima sebarang penambahan dan pengurangan. Maka, ini juga menunjukkan taraf Mufassar

Contoh 3: 
Firman Allah SWT: "Maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka (isteri) 'iddah bagimu (suami) yang kamu (suami) minta menyempurnakannya" (Surah Al-Ahzab: 49). 

Perkataan 'kamu minta menyempurnakannya' menafikan kemungkinan takwil dengan 'iddah yang sama seperti iddah perempuan yang diceraikan selepas disetubuhi. Maka penjelasan 'iddah yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut (iaitu iddah bagi perempuan yang tidak disetubuhi) bertaraf mufassar kerana telah jelas tiada 'iddah bagi perempuan yang diceraikan dan belum disetubuhi (janda berhias).

Contoh 4: 
Seperti seorang lelaki berkata "Aku menceraikan engkau sekali". Perkataan "Aku ceraikan" semata-mata berkemungkinan boleh ditakwil dengan talak tiga. Akan tetapi apabila disebutkan 'sekali', maka ia menghilangkan sebarang kemungkinan takwil yang boleh membawa maksud 'dua' atau 'tiga'.

Contoh 5: 
Kadang-kadang ia merupakan ayat yang bersifat mujmal atau musytarak, diterangkan oleh dalil lain bersumberkan Al-Quran atau hadith. Contohnya ayat yang berkaitan diyat orang yang salah bunuh. Firman Allah SWT: "dan barangsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diat" (Surah An-Nisa' 4:29).

Penjelasan mengenai kadar, had dan jenis diyat adalah daripada hadith Nabi Muhammad saw. Contoh lain seperti kaifiat menunaikan solat, membayar zakat dan kadar penetapan hukum mencuri, kesemuanya diterangkan oleh hadith Nabi Muhammad saw.

Hukum al-Mufassar
Wajib beramal dengan kehendak makna ayat pendalilan. Ia berdasarkan apabila tiada lagi sebarang kemungkinan menerima nasakh kerana nasakh hanya berlaku pada zaman Nabi Muahmmad saw sahaja. Hanya hukum-hakam tertentu yang mengalami hukum nasakh. Adapun selepas kewafatan Nabi Muhammad saw, setiap ayat-ayat hukum di dalam al-Quran dan Sunnah tidak akan lagi berkemungkinan berlaku nasakh kerana proses wahyu telahpun berhenti.

Al-Muhkam
Sudut bahasa: Yang diyakini
Sudut Istilah: Ia adalah lafaz (ucapan) yang terzahir merujuk pada dirinya sendiri dengan memberi makna zahir yang kuat terhadap petunjuk tersebut serta kedudukan tertinggi melebihi Mufassar. Ia tidak sama sekali menerima sebarang takwil atau nasakh.

Ciri-ciri al-Muhkam
  1. Merupakan ayat pendalilan menunjukkan kehendak makna ayat itu sendiri dengan sangat jelas
  2. Menjelaskan makna yang dihekendaki berdasarkan lafaz, bukan berdasarkan makna tersirat
  3. Tidak menerima sebarang takwil dan takhsis
  4. Tidak menerima proses nasakh
  5. Tahap kejelasan ayat tertinggi melebihi al-Mufassar, al-Nas dan al-Zahir
  6. Terbahagi kepada dua jenis:

  • Li 'Ainihi: Muhkam disebabkan zat ayat tersebut yang menegah menerima nasakh
  • Li Ghairihi: Muhkam disebabkan bukan sebab zat ayat. Iaitu tiada wujud nas pemansukh daripada ayat lain. Ianya muhkam yang berlaku kerana terputusnya wahyu dan kewafatan Nabi  Muhammad saw.


Ianya tidak menerima takwil kerana kejelasan ayat pendalilan telah mencapai had tertinggi sehingga ia menafikan bersamanya kemungkinan ianya ditakwilkan. Ia juga tidak menerima nasakh kerana kaedah penerimaan terhadap makna asal (makna asli) ayat pendalilan, secara tabiatnya ialah tidak menerima pertukaran dan perubahan. Atau ia diterima secara tabiat, tetapi berbeza padanya dengan menafikan kemungkinan nasakh.

Antara contoh asasi yang secara tabiatnya tidak menerima nasakh ialah ayat-ayat Quran yang menerangkan perihal keimanan kepada Allah, hari akhirat, kerasulan, pengharaman terhadap kezaliman, kewajiban berlaku adil dan sebagainya. Kadang-kadang menerangkan berkaitan hukum cabang.

Antara contoh hukum cabang ialah pendalilan yang menunjukkan wujud suatu penetapan. 

Contoh 1: 
Seperti berkenaan hukum qazaf orang yang telah berkahwin yang merupakan salah satu hukum cabang. Firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya" (Surah An-Nuur: 48).

Perkataan 'selama-lamanya' merupakan qarinah (gandingan) yang menunjukkan ia adalah al-Muhkam.

Contoh 2: 
Firman Allah SWT: "Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat" (Surah Al-Ahzab: 53). 

Perkataan 'selama-lamanya' di dalam ayat ini juga merupakan qarinah (gandingan) yang menunjukkan ia adalah al-Muhkam.

Contoh 3: 
Sabda Rasulullah SAW: "Jihad itu telah berlaku sejak dahulu dan (berterusan) sehingga hari akhirat"

Perkataan ‘sehingga hari kiamat' merupakan qarinah (gandingan) yang menafikan sebarang takwil, takhsis mahupun nasakh sehingga meletakkan ayat ini sebagai al-Muhkam.

Hukum Muhkam
Wajib beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh pendalilan ayat secara pasti dan muktamad serta tiada sebarang kemungkinan berkehendak terhadap makna yang selain daripadanya. Ianya tidak menerima sebarang takwil, takhsis, nasakh, mahupun pembatalan.

Rujukan:

  1. Ustaz Abd. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali. Perbahasan Usul Al-Ahkam. Cetakan pertama 2001, Pustaka Salam, Kuala Lumpur.
  2. Muhammad Abu Zahrah. Usul Al-Fiqh.  Dar Al-Fikr Al- 'Arabiy.
  3. Muhammad Mustafa Al-Salabiy. Usul -Al-Fiqh Al-Islamiy. Jilid 1. Al-Dar Al-Jami'iyyah, Beirut.
  4. Dr. Abdul Karim Zaidan. Al-Wajiz fi Usul Al-Fiqh. Muassasah Al-Qurtubah. 
  5. Dr. Wahbah al-Zuhaili. Usul Al-Fiqh Al-Islamiy. Jilid 1, Cetakan pertama 1986. Dar Al-Fikr, Damsyiq.

Hamizan bin Abdul Karim
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.


Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
23 Dzulqaedah 1435H.

Comments

Unknown said…
salam brother Hakim. saya Roza Elliena, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. sekarang ini saya tengah buat assignment mengenai tajuk Al-zahir, al-mufassar & al-muhkam. boleh brother hakim share kan dengan saya article "AL-MUFASSAR DAN AL-MUHKAM" ni ? brother Hakim boleh hubungi saya atau send article brother di email saya rozaelliena15@gmail.com .terima kasih ye :)