Ramadhan + Walimatul 'Urus

Salam sejahtera.

*Entah mengapa tiba-tiba terfikir idea ini. Mungkin hanya teori kerana praktikalnya masih amat kurang di kalangan masyarakat.


Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir"
(Surah Ar-Rum: Ayat 21)



Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. 
(Surah Al-Baqarah: Ayat 183-185) 


Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh Allah SWT. Keberkatannya dan limpahan rahmat yang Allah SWT berikan kepada hambanya berganda berbanding bulan-bulan yang lain.


Di sini tidak perlu dijelaskan kelebihan dan kebesaran yang terkandung di dalam bulan Ramadhan. Carian di internet dan buku-buku ilmiah telah berlambak mengisahkan perihal Ramadhan ini.

Walimatul 'Urus
Walimatul 'urus adalah kenduri (majlis makan) yang dibuat khusus untuk meraikan pasangan yang berkahwin. Ruh di dalam penganjuran walimatul 'urus adalah berpaksikan ruh agama dan bukan disebabkan adat, mercu kebanggaan atau menginginkan keuntungan duniawi.

Penganjuran walimatul 'urus sangat digalakkan di dalam Islam sehinggakan walaupun sekadar seekor kambing. Pengetahuan mengenai hukum-hakan yang berkaitan dengan walimatul urus boleh diperoleh secara mudah di internet atau buku-buku panduan agama yang lain dan sangat banyak di pasaran. Antara contoh pautan yang boleh dirujuk ialah di sini.

Ramadhan + Walimah
Perkahwinan merupakan suatu ibadah apabila ia dilorongkan perbuatan dan niatnya hanya kerana Allah SWT semata. Perkahwinan yang bertunjangkan cinta kepada Allah, berniat menjaga maruah dan kehormatan, mengelak fitnah terhadap diri, menyalurkan tuntutan naluri seks kepada yang halal, meramaikan zuriat Nabi SAW, mengahrmonikan masyarakat dan membentuk keluarga yang bahagia, diredhai dan memperoleh ketenangan.

Atas niat yang sangat baik ini, adalah tidak menjengkelkan apabila tradisi mengadakan walimatul 'urus ini dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Mari kita lihat akan seolah-olah collaboration (kerjasama) yang terwujud antara dua elemen ini untuk memberikan pahala berganda bagi mereka yang hendak melaksanakan.

1- Masa yang penuh rahmat, pengampunan dan keberkatan. Pada bulan Ramadhan, dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW “Ketika datang bulan Ramadhan maka dibuka pintu syurga dan terkunci pintu neraka, dan terbelenggu para syaitan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Rasulullah SAW bersabda "Permulaan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka"


Telah kita ketahui akan kelebihan ini. Pasangan yang ingin bernikah pastinya memiliki niat yang sangat mulia sepertimana yang disebutkan di awal tadi. Selain hari-hari di bulan Ramadhan, syaitan terbebas dan setiap insan itu tidak terlepas daripada bisikan dan gangguan syaitan. Hanya di bulan Ramadhan sahaja manusia tidak diganggu oleh syaitan. 


Apabila berlaku juga dosa dan maksiat, pastinya ia disebabkan perbuatan tersebut telah sebati dan terbawa sehingga Ramadhan. Ia akibat daripada hasutan nafsu kerana manusia sehingga mati tidak akan terlepas ikatan dengan nafsunya. Manusia mempunyai akal dan nafsu. Tanpa nafsu, jadilah ia malaikat dan tanpa akal jadilah ia haiwan.

Keberkatan di bulan Ramadhan, ditambah dengan kehadiran orang ramai dengan setiap diri dalam keadaan berpuasa, sentiasa dalam keadaan taat kepada Allah, tanpa ada niat melakukan dosa dan maksiat, keadaan diri yang sentiasa berzikir kepada Allah, memohon pengampunan Allah SWT.


Daripada Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya: Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa."

Rasulullah SAW bersabda: "Bukan yang bermakna puasa itu sekadar menahan makan, minum tetapi puasa yang sungguh itu menahan diri dari langha (perkataan tidak berguna) dan kata-kata yang keji" (Riwayat Muslim)

Setiap hadirin yang hadir, pahala puasa mereka berada khusus dan pertimbangan Allah SWT. Sabda Nabi SAW, firman Allah SWT di dalam hadith Qudsi: "Tiap-tiap amal anak Adam untuknya sendiri, kecuali puasa. Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya."


Tidakkah sungguh bermakna apabila hadirin yang hadir untuk melawat dan mengucapkan tahniah kepada pengantin semuanya berada dalam rahmat, pengampunan dan kasih sayang Allah SWT serta tidak melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT?

2- Memberi makan orang yang berpuasa. “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Riwayat Tirmizi, Ahmad dan an-Nasa’i)

Kita mengetahui bahawa walimatul 'urus adalah suatu jamuan yang mempunyai ruh agama. Ia dibuat kerana meraikan pengantin baru melangkan ke gerbang suami dan isteri. Nabi SAW menggalakkan kenduri tersebuat mesti diadakan walau hanya dengan seekor kambing.

Apabila kita berniat memberi makan tersebut adalah sedekah, maka kita telah memperoleh pahala sedekah. Malah sedekah adalah amalan yang akan di bawa ke kubur selain ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh. Pahala setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan akan digandakan.

Apa yang boleh kita ambil manfaat daripada amalan ini?

Mari kita andaikan satu hari ketika majlis akad nikah dan walimah ini dilaksanakan...

Hari tersebut merupakan bulan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Lelaki dan Perempuan telah bersetuju untuk mengadakan majlis pernikahan dan walimah mereka ketika bulan Ramadhan. Maka mereka bersetuju melakukannya pada hari Jumaat.

Suasana petang asar itu sangat indah. Di rumah pengantin Perempuan telah penuh dengan saudara mara serta kaum kerabat yang hadir. Pengantin Perempuan telah dihias indah, tersenyum gembira menantikan saat akad dilafazkan.

Para hadirin telah dijemput berkumpul di masjid. Mereka semua menerima undangan berserta tentatif yang akan berlaku pada hari yang penuh bersejarah itu.

Selepas solat Asar, semua saudara mara, rakan taulan, para tetamu dan jemaah majis berkumpun di ruang solat utama. Mereka menantikan saat akad nikah antara Lelaki dan Perempuan.

Akhirnya, ijab dan kabul selamat diucapkan. Maka, telah sah antara Lelaki dan Perempuan sebagai suami dan isteri.

Mereka telah menyusun majlis pada hari itu dengan kebaikan. Selepas akad nikah, diadakan majlis khatam Al-Quran. Mereka mahu mengambil keberkatan menganjurkan majlis zikir (membaca Al-Quran), mengambil galakan memperbanyak membaca Al-Quran di bulan Ramadhan dan menyediakan tetamu dengan suasana alunan Al-Quran. Selain itu mengambil peluang di atas galakan Nabi SAW agar memperbanyakkan iktikaf di masjid. Selama para hadirin berada di masjid, dengan niat beriktikaf, ditambah dengan bersama membaca Al-Quran, mudah-mudahan bertambah berkat majlis mereka.

Majlis selepas asar ini berlanjutan sehingga ke Maghrib. Tiba waktu maghrib, hadirin dihidangkan dengan makanan ringan terlebih dahulu berupa kurma, buah-buahan dan sebagainya. Selepas maghrib, hadirin dihidangkan dengan makanan berat. Walaupun makanannya tidak se'meriah' kenduri-kenduri perkahwinan yang lain, tetapi sekadarnya sahaja. Penuh kesederhanaan. Boleh jadi apa yang difikirkan pengantin Lelaki dan Perempuan adalah keutamaan keberkatan majlis tersebut dan doa para hadirin. Bukan bermewah-mewahan.

Para hadirin masih tetap di tempat masing-masing. Majlis pada hari ini mendapat kerjasama penuh dengan pihak masjid. Peruntukan kenduri mereka telah disekalikan dengan penganjuran majlis berbuka puasa beramai-ramai. Apa yang telah difikirkan oleh pengantin Lelaki dan Perempuan ialah...

a) Walimah dibuat dengan niat bersedekah - Mendapat pahala sedekah dan dilipatgandakan sempena bulan Ramadhan.

b) Walimah dibuat dengan digabungkan bersama majlis berbuka puasa. - Pahala memberi makan orang berbuka puasa sangatlah besar. Sila baca di sini dan di sini.
c) Bersama meraikan kegembiraan. Kegembiraan pengantin baru dan kaum keramat mereka. Serta kegembiraan orang yang berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW: "Bagi orang yang melaksanakan ibadah puasa, baginya ada dua saat kegembiraan.Pertama pada waktu berbuka dan kedua ketika menghadap Ilahi"


d) Mendambakan doa dan dikabulkan doa. Menjadi kebiasaan dan satu ibadah apabila kita bertandang ke majlis perkahwinan, hadirin mendoakan mereka. Doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah yang bermaksud: "Semoga Allah memberkati kamu berdua dan memberi berkat ke atas kamu berdua dan menghimpunkan kamu berdua pada kebaikan."


Sebelum berbuka, hadirin duduk beramai-ramai menantikan waktu azan. Kebiasaan doa dibacakan pada waktu walimah apabila sampai sahaja pasangan pengantin di dalam majlis. Maka, ia diubah dengan dibaca sejurus sebelum berkumandang azan Magbrib. Pengantin Lelaki atau si bapa pengantin Perempuan membacakan doa sambil diaminkan oleh seluruh para hadirin. Pelbagai contoh doa untuk pengantin di sini.


Sabda Rasulullah SAW: "Tiga doa yang sangat mustajab iaitu doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir" (Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud dan Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak” (Riwayat Ibnu Majah)



Rasulullah SAW bersabda: "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka, Orang yang berpuasa di saat berbuka, imam yang adil, dan orang yang dizalimi" (Riwayat Tirmizi)

.....

Majlis makan berat tiba sehingga ke Isya'. Para hadirin ada yang pulang, tetapi kebanyakannya terus tetap untuk bersama memeriahkan solat tarawih.

Alhamdulillah, telah berakhir majlis pernikahan dan walimah antara Lelaki dan Perempuan.. (^_^)

Kuala Lumpur,
18 Syaaban 1433H.

Comments