Aku Ke Cinta, Kau Ke Cinta

Ketika tahu dilahirkan, dirinya amat lemah.
Tahu sentiasa terpinga-pinga.
Ke kiri berkerut, ke kanan melopong.
Entah apa dicarinya pun tak diketahui.

Berjalan?
Merangkak pun belum mampu.
Apakah berjalan boleh setiap hari.
Makan hanya disuap.
Minum hanya dihulur.
Makan hanya mudah dan ringan.
Minum hanya sejenis dan berkhasiat.

Tahu sentiasa mahu mencari sesuatu yang baru.
Tahu jumpa ubat bewarna-warni, tahu nak makan.
Tahu tertarik kipas berpusing, tahu nak sentuh.
Tahu lihat gambar di tv, tahu lihat dekat-dekat.

Dalam tidak sedar, tahu sedang diperhatikan kenal.


Kenal sekarang telah sedar, kencing kena di bilik air.
Malah kini kenal tidak lagi berlampin.
Kenal boleh bezakan mana ubat, mana gula-gula.

Kini kinal juga sudah boleh bertatih.
Malah, berjalan! Kenal sangat gembira ketika berjalan.
Ke kanan kenal menghulu, ke kiri kenal menghilir.
Kenal telah tahu makan guna tangan kanan.
Kenal juga tahu, ke tandas gunakan tangan kiri.

Tapi kenal seringkali juga diteguri.
Apakan tidak, kenal kadang-kadang degil.
Yang tidak patut kenal buat, yang patut kenal tinggal.
Jadi memang patut kenal dimarahi.

Kenal semakin pandai dan bijak.
Kenal telah mampu menulis dan membaca.
Kenal juga boleh mengira dan melukis.
Makin hebat kenal!
Akhirnya kenal telah berjaya dalam ilmunya.
Kenal dapat pangkat yang cemerlang.
Kedudukan yang menguntungkan dan kukuh.
Boleh jadi masa depan kenal cerah
Kenal tesengih sendirian.

Dari jauh suka tersenyum melihat gelagat kenal.


Hari ini suka kelihatan semakin matang.
Dulu suaranya halus, kini bertambah gurau.
Dulu kulitnya licin, sekarang telah bertumbuh jerawat.
Mengapa ya suka begitu?
Kok, beda benar masa tahu dan kenal dahulu.

Suka kini telah pandai bergaya.
Suka tidak mahu tali lehernya senget.
Tidak mahu seluarnya senteng.
Malah tidak mahu lagi seluar yang cerut!
Wah-wah, sudah semakin memilih suka hari ini.

Suka telah mula malu-malu kucing.
Kadang-kadang suka akan mengelak.
Kadang-kadang juga suka sengaja mahu lalu.
Juga kadang-kadang suka akan berdiri terus menunggu.
Tidak lama lagi suka akan di peringkat menengah.
Suka sangat gembira.

Dari jauh sayang memerhatikan suka dengan pandangan penuh makna.


Sayang kini dikenali telah matang.
Tindakannya berubah, tutur katanya juga berlainan.
Fikirannya tidak lagi tentang gula-gula dan permainan.

Sayang kini telah ada matlamat hidup.
Telah ada kerjaya sendiri.
Sayang telah mampu menyara hidup dan berdikari.
Entah mengapa sayang kini semakin sibuk.
Masanya pasti ada jadual.
Hari ini di sana, hari itu di situ.
Sayang tidak banyak berbuang masa.
Berlepak, berbual kosong, berbeli-belah.

Sayang kini mampu mengembara.
Sayang suka pergi mengembara.
Bila ditanya mengapa?
Sayang menjawab, hidup ini mengajar erti.
Bila ditanya apakah?
Sayang menjawab, hidup ini sedang mencari.

Sayang tidak lagi kelihatan lekeh.
Sayang boleh jadi semakin tegas.
Lihatnya semakin berprinsip!
Apakah sayang sudah tidak mahu berjoli lagi?
Apakah sayang telah menolak bersosial?
Oh, sosial bagaimana sayang kini?

Gerak langkah sayang kini semakin pasti.
Setiap langkah kelihatan yakin.
Kembara sudah bermula.
Diangkatnya tangan pada yang dikenali.
Disapanya ramah pada yang dihormati.
Malah dimesranya lembut pada yang dididik.

Tidak disangka, bertemu jua kembarnya kasih.


Sayang dan kasih selusuri kembara.
Hidupnya berkembara.
Berdagang membawa jiwa, roh dan cita-cita.
Impian dikendongnya berhati-hati.
Di dalam beg khas penuh berhati.

Sayang merasakan dirinya seperti kasih.
Kasih juga merasakan dirinya seperti sayang.
Sayang semakin memahami kasih, juga sebaliknya.
Hampir-hampir sahaja siapa yang melihat.
Menyangka sayang itu kasih dan kasih itu sayang!

Kini sayang dan kasih telah pasti bersama.
Tidak kan berpisah.
Apakah mereka seperti laila dan majnun?
Atau juliet dan romeo?
Mustahil benar mereka berpisah.

Kasih dan sayang terus mengembara.
Hajat mereka mahu berjumpa dengan cinta.

Cinta sedang menunggu mereka di sebuah teratak.
Teratak di dalam taman.
Taman di atas pulau.
Pulau di tengah tasik.
Tasik dikelilingi kebun dan gegunung indah permai.
Burung bersiul, daun menggesek.

Cinta walaupun di sisinya tongkat.
Bukan lambang tua dan uzur.
Bukan tanda lemah dan lembik.
Tapi lambang kekuatan dan keteguhan.
Kepastian dan keyakinan.
Cinta menggungu mereka dengan tenang.

Dan akhirnya menyambut dengan penuh senyuman dan kebahagiaan.

Kuala Lumpur,
10 Ramadhan 1433H.

Comments