Solat dan Doa Dhuha: Mari Amalkan

30 March 2012.

Solat dhuha merupakan salah satu solat sunat yang sangat digalakkan ke atas umat Islam. Ia mempunyai manfaat yang besar bagi bagi membuka pintu rezeki kita. Rasulullah SAW sangat menggalakkan agar kita istiqamah melaksanakannya. Inilah antara amalan yang tetap diamalkan oleh Rasulullah SAW.


Berkenaan waktu afdhal solat Dhuha ialah ketika sinar matahari kian panas dan semakin meninggi. Ini berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdhalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Saban hari waktu pagi merupakan waktu yang paling bersemangat untuk seseorang melaksanakan kerjanya. Ketika mereka telah memulakan kerja, semakin rancak, maka kerehatan menjadi satu keperluan. Waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat Dhuha, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah rancak bekerja. 


Apalah kiranya andai kita mengisi masa tersebut sekitar lima hingga sepuluh minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja. Apa yang lebih penting kita tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.




اللهم إن الضحى ضحاؤك والبهاء بهاؤك والجمال جمالك والقوة قوتك والقدرة قدرتك والعصمة عصمتك . اللهم أن كان رزقي من السماء فأنزله وان كان في الأرض فاخرجه وان كان معسر فيسره وان كان بعيدا فقربه وان كان قليلا فكثره وان كان خبيثا فطهره بحق ضحاؤك وبهاؤك وجمالك وقدرتك وقوتك وعزتك أتني ما آتيت به عبادك الصالحين







Ya Allah sesungguhnya waktu dhuha itu dhuha-Mu
Kecantikannya kecantikan-Mu, Keindahannya keindahan-Mu
Kekuatannya kekuatan-Mu, Kekuasaannya kekuasaan-Mu
Perlindungannya perlindungan-Mu.

Ya Allah jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi keluarkanlah, Jika sukar permudahkanlah
Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah

Berkat waktu dhuha
Kecantikan-Mu keindahan-Mu, Kekuatan-Mu kekuasaan-Mu 
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan 
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh


Kuala Lumpur,
7 Jamadil Awwal 1433H.

Comments