Kepimpinan Dalam Islam

Kepimpinan dalam Islam ialah merealisasikan konsep 'khalifah' di atas muka bumi demi mewujudkan kebaikan dan proses Islah.

Firman Allah swt yang bermaksud: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka (malaikat) berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah 2:30)

Allah swt telah memilih manusia sebagai khalifah di muka bumi. Tujuan seorang khalifah adalah mengabdikan dirinya kepada Allah swt, selari dengan firmanNya "tidaklah aku menjadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadat kepada Allah". Beribadat atau mengabdikan (memperhambakan) diri kepada Allah bermakna tunduk patuh kepada segala suruhan dan perintah Allah. Ia merangkumi segala aspek kehidupan.



Allah telah menjadikan kebaikan dan keburukan, kebaikan dan kejahatan. Sifat berlawanan ini menjadikan segala apa yang dijadikan Allah swt seimbang. Maka tidak hairanlah apabila pada malaikat mempersoalkan (berdasarkan ilmu mereka yang terbatas) mengapa Allah mahu menjadikan sesuatu yang mengundang keburukan dan kemusnahan. Sedangkan kebaikan itu telahpun wujud melalui tasbih dan pujian para malaikat kepada Allah swt.

Kebaikan yang telah wujud itu merupakan fitrah daripada Tuhan yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan keburukan yang wujud menandakan ianya memerlukan proses kembali kepada asal kejadian iaitu kebaikan. Maka wujudlah proses islah yang diperlukan oleh umat manusia.

Setiap zaman dan keadaan memerlukan kepimpinan. Firman Allah swt yang bermaksud: Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (an-Nahl:16:36)

Allah telah melantik para rasul sebagai khalifah yang khusus untuk umat manusia pada zaman yang tertentu. Manusia umumnya sebagai khalifah dan para rasul dilantik secara khusus untuk membimbing manusia. Maka mereka merupakan khalifah yang dikhususkan sebagi pesuruh Allah.

Ayat di atas jelas memberitahu bahawa kebaikan hanya wujud di dalam peraturan dan petunjuk Allah swt. Maka segala apa yang tidak selari dengan peraturan dan petunjuk Allah, maka ia bukanlah kebaikan hakikatnya. Adapun keburukan digambarkan membawa kepada kesesatan. Apakah petunjuk Allah swt itu? Ia adalah al-Quran berdasarkan firman Allah swt: Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (al-Baqarah 2:2)

Peranan utama kepimpinan Islam adalah membawa kebaikan dan menjauhi keburukan. Dalam masa yang sama, keburukan yang terjadi di kalangan manusia dan sekeliling hendaklah dilakukan islah (pembaikan). Firman Allah swt: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (Ali Imran 3:104)

Tugas para rasul bagi setiap zaman terhadap umatnya ialah mengajak agar hanya menjadi hamba kepada Allah swt dan tidak menyukutukan Allah dengan apa jua bentuk sembahan. Hanya menyembah Allah Yang Esa sahaja dalam erti kata tunduk dan patut mengamalkan segala apa yang ditetapkan sahajalah bakal melorongkan manusia ke jalan kebaikan. Tiada kebaikan yang hakikit melainkan dari sisi Allah swt jua.

Maka, apa jua seruan ke arah kebaikan ia adalah selari dengan Islam. Semestinya segala seruan oleh Islam ia semata-mata adalah kebaikan yang hakiki. Ini disebabkan belum tentu kebaikan yang dibawa selain daripada sumber Islam membawa makna kebaikan yang sebenarnya ke atas umat manusia.

Sebagai contoh, ideologi kebendaan atau materialisme telah menjadi tunjang dalam kehidupan manusia sejak zaman berzaman. Ketika Allah meminta korban daripada Qabil dan Habil, Habil lebih sayangkan hartanya untuk dijadikan korban. Maka, Habil mempersembahkan kepada Allah korbannya daripada hasil yang telah rosak, tidak berkualiti serta bukan daripada hasil yang terbaik.

Golongan yang mengikut seruan Nabi Nuh as hanyalah terdiri daripada golongan fakir dan miskin serta golongan yang tertindas oleh golongan hartawan dan penguasa. Mereka tidak mahu menyahut seruan Nabi Nuh as kerana bimbang kelak mereka kehilangan pengaruh yang lantas mengheret mereka kepada kehilangan kuasa, pangkat dan kekayaan.

Ia juga terbukti daripada apa yang berlaku terhadap umat Nabi Musa dan Harun as. Ketika Nabi Musa meninggalkan kaumnya hanya dalam tempoh 40 hari, maka mereka telah berpaling kepada sembahan patung anak lembu rekaan Samiri. Mereka tidak mampu untuk meneyembah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala. Pemikiran mereka telah diselaputi ideologi kebendaan yang mahukan sesuatu itu wujud di depan mata dan dirasai oleh pancaindera lima atau enam.

Dari segi akal, ia boleh diterima kerana sesuatu yang dirancang atau mahu diurus hendaklah wujud di depan mata. Mana mungkin mengharapkan sesuatu atau bermatlamatkan sesuatu yang tidak wujud atau tidak mampu dirasai kewujudannya? Kebaikannya dilihat seolah mencapai kemajuan dan kehendak manusia berdasarkan apa yang wujud di hadapan mata iaitu dunia. Manakala akhirat, yang tidak wujud di depan mata seolah-olah orang bodoh sahaja yang berusaha untuk sesuatu yang tidak wujud.

Apabila kebaikan yang hakiki hanya ada pada Islam, Allah menyuruh manusia agar taat secara total kepada Allah swt dan Nabi Muhammad saw. Firman Allah "taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul (Muhammad saw) dan penguasa di antara kamu" Ketaatan yang total hanya kepada Allah dan rasulNya dituntut kerana kebaikan kesuluruhan alam ini hanya terkandung daripada kedua-dua sumber ini sahaja. Manakala taat kepada penguasa boleh jadi kebaikan yang bertopengkan daripada keburukan dan kejahatan atau kebaikan yang telah bercampur aduk antara kebaikan dan keburukan atau kebenaran dan kebatilan.

Maka kebaikan yang diminta oleh Allah ke atas para rasulNya agar disampaikan kepada seluruh umat manusia ini diwarisi tanggungjawab tersebut kepada umat Islam yang lain khususnya para pemimpin Islam. Malah kebaikan ini wajib diikuti sebagai tanda keimanan yang telus kepada Allah swt. Firman Allah swt "Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad saw) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (an-Nisa' 4:65)

Kebaikan yang dibawa oleh Islam juga bersifat syumul. Ini sangat jelas dengan perutusan Nabi saw sebagai rasul melalui firman Allah "Tidak Aku utuskan kamu (wahai Muhammad) kecuali (membawa) rahmat ke seluruh alam". Jika alam ini termasuk di dalamnya langit dan bumi, gunung dan laut, burung dan ternakan, lebih-lebih lagilah ia merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. baik dari sudut ekonomi, iabdat, sosial, politik, kemasyarakatan dan lain-lain.

Selari dengan peranan rasul itu sendiri, Ibnu Taimiyah ada menyebutkan "Wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama tidak bernilai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan tercapai dengan sempurna melalui perkumpulan, kerana satu sama lain saling memerlukan. Dan ketika berkumpul, mereka harus memiliki pemimpin".

Kepimpinan dalam Islam haruslah bersifat rabbaniyah dan syumuliyah. Ini kerana petuntuk dan peraturan Alah itu sendiri adalah terangkum padanya rububiyyah dan uluhiyyah Allah swt. Hasilnya syariat Allah swt adalah selari dengan sifat hakimiyyah Allah seperti yang diungkap oleh Sayyid Qutb dan Abul A'la Maududi. Dalam erti kata, tanda pengabdian hamba kepada Tuhannya bukan hanya dalam ibadah ritual semata, tetapi ia juga adalah dengan melaksanakan segala hukum-hukum yang telah terkandung di dalam Al-Quran dan disebutkan oleh NabiNya Muhammad saw. Bukan hanya membabitkan urusan perkahwinan, penceraian, kematian, perwarisan sahaja, tetapi merangkumi pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, sistem pendidikan, pembentukan masyarakat dan prinsip kemajuan sesebuah negara. Berkait langsung dengan kehakiman, badan eksekutif dan legislatif.

Islam tidak menghalang hiburan melainkan itu tidak membawa kelalaian kepada Allah swt. Allah tidak mengharamkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan apabila ia diikat dengan perkahwinan. Allah tidak menghalang kemajuan apabila prinsip Islam itu tetap dijaga dan dipelihara. Allah tidak menghalang perkembangan ekonomi asalkan ianya tidak melibatkan riba', monopoli dan penipuan.

Pepimpin dalam Islam harus tahu membuat pertimbangan sebaiknya dalam urusan pentadbiran dan pengurusan mereka. Perlu mengetaui ilmu pentadbiran dan pengurusan, fiqh pertimbangan dan keutamaan, fiqh semasa dan nusus dan pelbagvai fiqh lain. Walaupun kepimpinan yang terbaik adalah diletakkan kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut dan mampu memimpin, namun pengetahun mengenai prinsip dan sempadan tuntutan Islam itu sendiri perlulah dihadam sebaik mungkin. Bagi menjamin kemakmuran dan keharmonian sejagat. Bijak mengambil ruang dan peluang daripada persekitaran untuk meninggikan kalimah Islam dengan apa jua jalan sekalipun.

Gambar sekadar hiasan.

Islam bukan meletakkan kepentingan ke atas diri setiap pemimpin Islam berdasarkan perkiraan luaran semata. Namun apa yang lebih penting ialah kekuatan rohani dan dalamannya, ibadahnya kepad Allah, pergantungan dan pengharapannya kepada Allah. Sikapnya bertawakkal kepada Allah dalam merancang dan menjadikan hidup mereka semata kerana Allah swt. Jelas di pandangannya turutan amal yang perlu dilaksanakan serta mengetahui perkara asas dan cabang agar gerak kerja menjadi lebih tersesun dan lancar. Hubungan dengan Allah dan sesama manusia dijaga dengan teliti dan sentiasa ditambahbaik.

Kembalikanlah Islam sebagai syiar tertinggi di Malaysia dan dunia.

Hidup dalam mencari..

ARWP, Hayyu Sabi', Kaherah.
27 Syawal 1432.

Comments