Cinta Tanpa Syarat?

Sememangnya kalimah yang tersusun di dalam ayat tersebut tidak asing dalam kehidupan sesiapapun. Tetapi entah mengapa sejak menemukan ayat keramat ini, daripada sebuah blog yang diberi nama sedemikian, hati dan otak seringkali cuba mengertinya dengan lebih mendalam. Sesuatu akan menjadi biasa dalam hidup seseorang apabila perkara tersebut telah menjadi amalannya. Namun sebaliknya bagi sesiapa yang tidak pernah mendengar atau merasai disebalik ayat tersebut.

Cinta merupakan sesuatu yang abstrak dan boleh ditujukan kepada apa jua yang berbentuk objek atau abstrak. Dalam bentuk realiti mahupun fantasi. Sesuatu yang telah, sedang dan akan berlaku. Sesuatu yang wujud ataupun tidak. Cinta adalah hak seseorang dan ianya bebas untuk ditampal dan diikat kepada mana-mana daripada perkara-perkara di atas tadi



Tetapi apabila diperkatakan mengenai syarat, maka selintas fikiran ia membawa maksud terdapat sesuatu yang menyekat atau menghalang. Contoh, seseorang yang mahu melapor diri menjadi seorang juruterbang tidak boleh melebihi umur 21 tahun, mempunyai penglihatan 6/6 atau 6/12, berkeadaan di antara had tinggi dan berat yang minimum dan maksimum, tidak rabun warna dan sebagainya. Sesiapa yang memang berminat untuk menyertainya, pasti kecewa kerana 'syarat' tersebut telah menghalangnya.

Cinta perkara lain, syarat pula perkara lain. Namun apabila mengatakan 'cinta tanpa syarat', ia menjadikan cinta ia ada penghalangnya atau ada sekatannya. Cinta yang terbentang luas untuk apa dan sesiapa, di waktu bila dan di mana, telah ada halangan dan sekatan!

Rukun dimaksudkan sesuatu yang perlu dilakukan untuk menjadikan sesuatu pekerjaan atau sesuatu perkara tersebut sebagai lulus dan diterima serta ia merupakan sebahagian daripada pekerjaan tersebut. Adapun syarat ia adalah hampir serupa dengan rukun, melainkan syarat bukanlah sebahagian daripada amalan atau perkara tersebut sedangkan rukun adalah sebahagian daripada perkerjaan tersebut. Seolah bermakna apabila ada syarat yang tidak dipenuhi, maka tidaklah cinta tersebut dikatakan lulus dan boleh diterima!

Cinta Kepada Allah
Allah merupakan Tuhan Yang Esa, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Apabila diri kita terlebih dahulu diserapi dengan 'kehidupan bersama manusia' dan lebih dipengaruhi oleh kata-kata dan madah manusia berbanding 'kehidupan bersama Tuhan' dan kalam-kalam wahyu serta ucapan Nabinya SAW, maka kita lebih terkesan penggunaan kalimah 'cinta' lebih kepada sesama manusia.



Allah SWT merupakan Tuhan atau 'yang disembah'. Intipati akidah atau tauhid seseorang muslim ialah menjadikan Allah SWT bukan hanya sebagai 'Rabb' dalam konteks Rububiyyah, malah yang lebih utama sebagai Uluhiyyah atau al-Ma'bud (hanya pada Allah yang layak disembah dan mengimani Allah sebagai Tuhan dalam ibadat).

Seringkali dikatakan bahawa setiap yang berlawanan pasti akan saling menarik. Seperti positif dan negatif, lelaki dan perempuan, jantan dan betina, malah ianya dikatakan sebagai pasangan. Semua yang dijadikan ada pasangannya.

Jadi apabila kita mengatakan cinta kepada Allah, ia merupakan makam yang sangat tinggi tetapi boleh dicapai oleh serendah-rendah martabat makhluk. Allah bukanlah makhluq (yang dijadikan) kerana ia merupakan khaliq (yang menjadikan). Jadi, Allah bukanlah lelaki atau perempuan, ibu atau ayah. Bukan yang boleh dilihat dengan mata kasar, boleh dikecapi dengan pancaindera lima atau lebih. Apabila kita selalu sangat 'hidup bersama manusia', akhirnya kita kurang dapat merasai bagaimana 'cinta bersama dan kepada Allah' itu.

Aku seorang lelaki dan pastinya aku adalah 'pencinta wanita'. Aku seorang wanita pastinya aku mendambakan cinta seorang jejaka. Aku seorang ibu dan bapa, pastinya aku mencintai anak-anak, kediaman, harta kepunyaan, kenderaan dan sebagainya. Begitu juga anak-anak terhadap ibu dan bapanya. Tetapi cinta Allah lebih Agung dari semua itu!

Jadi, bagaimana dengan 'cinta kepada Allah' itu? Membangkitkan cinta kepada Allah dalam ertikata yang sebenarnya, mencapai tahap yang tertinggi, bukan perkara yang mudah-mudah. Ia memerlukan penghayatan, kesungguhan dan berterusan. Berterusan dengan graf yang meningkat.

Allah sebagai khaliq, Dia menjadikan manusia dan segala sesuatu. Segala sesuatu yang ditundukkan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi. Maka, disebabkan Allah memenuhi sifatNya sebagai Pentadbir, Pemutus segala sesuatu, Pembuat syariat dan sebagainya yang memenuhi segala sifat yang agung lagi mulia, manusia perlu dan pasti hidup menepati sifatNya tadi.

Allah yang menurunkan hujan, memberikan udara dan membenarkan kitaran alam. Mengizinkan matahari, bulan, planet-planet dan bintang-bintang terus beredar di orbit-orbit mereka. Dia yang mengurniakan rezeki yang tidak disangka, memberikan kejayaan hidup, ketenangan jiwa dan kekhusyukan beribadah. Mempermudahkan kepada kita tunggangan, mencari makan dan melata di atas muka bumi.

Dia juga yang menjadikan segala yang ada di muka bumi ini sebagai 'bahan mentah' untuk manusia. Maka dijadikanNya pula kepada manusia akal untuk mereka mengolah dan mencipta 'sesuatu yang lain' dari bahan mentah tadi. Ini bermaksud semuanya dari Allah dan tiada sedikitpun daripada manusia. Walaupun sebesar empangan hidroelektrik dan secanggih stesen angkasa lepas, manusia masih tidak mampu mencipta sehelai rambut atau seekor nyamuk kecil. Mampukah manusia menghalang matanya daripada terus berkelip atau mata berkelip mengikut sekehendak keinginannya?

Apabila kita melihat telefon bimbit kepunyaan kita. Kita pegang dan membeleknya. Adakah zahir kepada kita dari bahan asas apa ianya dijadikan? Pastinya tidak. Adakah ianya milik kita? Ya, tapi hakikatnya tidak. Dengan berapa tinggi bayaran untuk kita memilikinya? Mahal, tapi hakikatnya tiada nilai. Mahu kata semua yang ada disekeliling kita, termasuk pakaian yang dipakai oleh kita sekarang, komputer, laptop, keyboard yang di hadapan kita sekarang, hakikatnya bukan milik kita atau milik sesiapapun. Ia semuanya adalah milik Allah. Malah diri manusia iatu sendiri dan setiap aliran nafas serta darah di seluruh badannya!

Maka, perlukah ber'syarat' cinta kepada Allah? Perlukah manusia mencintai Allah ada syarat? Dalam erti kata, kita meletakkan syarat (seolah-olahnya kepada Allah) sebelum kita mahu mencintaiNya. Apakah wajar dan layak kita meletakkan syarat untuk kita mencintai Allah? Adakah patut, dengan taraf manusia sebagai hamba, berkata kepada Allah "Ya Allah! Sekiranya Engkau memperkenan doa dan permintaanku ini, barulah aku mencintaMu dan mentaatiMu"?

Setiap orang ada tahap keimanannya. Tiada salah cinta kepada Allah kerana rindu ingin bertemu denganNya. Cinta kepada Allah kerana mengharap rahmat dan kasih sayangNya. Cinta kepada Allah melalui cinta kepada Rasulullah SAW. Cinta kepada Allah mengaharapkan syurga Allah dan takut akan azab neraka Allah. Cinta kepada Allah sebagai tanda syukur atas segala nikmat. Cinta kepada Allah di atas keagungan dan kemuliaan zat, sifat dan nama-namaNya.

Cinta sejati kepada Allah, cinta yang tulus ikhlas. Berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Memberi cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah, kepada siapa yang dicintai Allah dan apa yang dicintai Allah, TANPA SEBARANG SYARAT!


In your life, people can make you weak.
People can make you fall.

People can leave you.

People can change.

And also can hurt you.

People is only human, might stumble on stupid things and develop countless of bad habits.
But God never.
So, don't ever try to give up.

Just look forward, do your best and God will do the rest.

Trust yourself! It's real.

So don't stop to smile, smile, smile, because you have God and God own you.

And your beloved God is Allah.

Cinta Kepada Manusia
Setiap yang dijadikan di atas muka bumi ini ada pasangannya dan mereka saling tertarik antara satu sama lain. Cinta samada kerana 'maddiyah' atau 'fitrah'. Mencintai kerana kebendaan atau fitrah manusiawi. Satu lagi cinta kerana Allah atau erti kata lain cinta kerana agama. Cinta kerana kebendaan ialah melihat kepada kecantikan, keelokan paras rupa, kepandaian, kekayaan dan ia lebih bersifat luaran.

Cinta kerana fitrah melihatkan cantik budi pekerti dan mulia akhlaknya. Senang dan tenang ketika hati saling berhubung. Ketenangan dan kesenangan yang tidak terungkapkan. Sesuatu yang abstrak sekiranya diminta jawapan daripada persoalan 'mengapa' dan 'kenapa'. Semua manusia sukakan yang elok dan baik dan membenci keburukan dan kejahatan.

Cinta kerana Allah, kerana agama adalah tertinggi kedudukannya. Bila diminta memberikan jawapan, apakah yang dimaksudkan dengan 'cinta kerana Allah' itu? Adakah Allah telah mahukan anda mencintai seseorang yang tertentu? Diberitahukan kepada kamu namanya, bagaimana wajahnya dan segala yang berkaitan? Secara terus untuk memberi jawapan "Allah yang mahukan aku mencintai si pulan, maka aku mencintai dia" seperti tidak kena.

Sepasang ibu ayah mempunyai tujuh orang anak. Enam orang anak lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan walaupun seorang tetapi mengalami kecacatan, tidak mampu mengurus diri sendiri sepenuhnya dengan sempurnya. Pada awal kelahiran anak perempuan ini ia sungguh disayangi dan diberi layanan yang lebih berbanding saudara lelakinya yang lain. Sehinggalah umurnya meningkat ke lima tahun, apabila bapanya mula mengetahui akan keadaan anak perempuannya yang 'kurang' itu, maka seolah timbul perasaan menyampah dan tidak senang terhadapnya.

Anak sulung pasangan ini telahpun bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Bukan dia yang meminang, tetapi ia dipinang! Sungguh, peribadinya baik, perwatakannya menyenangkan walaupun ilmu agamanya tidak setinggi mana dan pelajarannya tidak sehebat mana. Mempunyai pekerjaan yang baik dan boleh menyara keluarga yang sederhana. Tetapi malang telah menimpanya. Kemalangan di makmal menyebabkan mukanya melecur, merosakkan corong suaranya. Gerak badan sudah tidak selincah dan telah hilang seri wajah. Maka, tidak semena-mena si wanita memutuskan pertunangan.

Seorang guru sungguh menyayangi seorang anak muridnya ini. Dia merupakan pelajar yang sangat pintar, cerdas dan cergas. Walaupun perangainya agak nakal, suka buat bising, namun si guru sangat sayang kepadanya dan memberi perhatian lebih berbanding anak murid yang lain. Suatu hari si anak murid ditimpa demam panas yang berlanjutan sehingga tiga minggu. Akibatnya anak murid tersebut sedikit mengalami masalah dalam berfikir dan pelajarannya merosot. Tidak seperti dulu. Tetapi kali ini ia menjadi lebih baik, dengar kata dan agak pendiam. Si guru sudah mula tidak mengambil berat kerana telah 'hilang' minyak yang ditatangnya selama ini. Adakah cinta dan sayang kita kepada ibu bapa yang telah uzur akan hilang dan timbul kebencian hanya dek kerana mereka sudah uzur dan tidak mampu menyuap makanan sendiri serta mengurus buang air sebdiri?

Tidakkah semua ini seolah menjadi syarat dalam seseorang menumpahkan cinta dan sayang kepada yang lain? Cinta kerana hanya dia seorang anak perempuan dan hilang apabila menyedari kurang upaya. Hilang segala perasaan cinta dan sayang hanya apabila si lelaki mengalami kemalangan dan menjadi tidak seperti lalaki lain. Hilang sayang dan ambil berat hanya kerana pelajar tersebut sudah tidak cemerlang dalam pelajaran.

Tidak kurang juga syarat seorang lelaki ketika mana mahu menjadikan seorang perempuan isterinya. Apabila sudah berkahwin, perlu ada sentiasa di rumah, perlu menyambutnya setiap hari, pandai masak itu dan ini, pandai asas menjahit, pandai mengemas dan lain-lain. Perempuan pula meletakkan syarat si lelaki mesti sudah berkerjaya dan gaji melebihi RM 2000 sebulan, kelak nanti lelaki mesti duduk bersama keluarga sebelah perempuan, tidak mahu anak ramai dan pelbagai lagi. Lebih-lebih lagi apabila masing-masing tidak mahu memahami hak dan tanggungjawab sebenar bagi setiap pihak, lelaki mahupun perempuan.

Cinta Tanpa Syarat
Ia memang mudah diungkap, tetapi sukar untuk dimengertikan nilai sebenarnya. Ia boleh teruji dengan pelbagai cara sekehendak Allah SWT pemilik kehidupan ini. Mungkin jawapan lisan boleh diberikan dengan syarahan yang panjang lebar, tetapi adakah kelak boleh diungkapkan dalam bentuk tindakan yang benar-benar ikhlas? Mungkin ia boleh terjadi dengan benar-benar saling memahai, saling menerima, saling bertanggungjawab dan saling bertolongan di atas perkara kebaikan. Cinta itu menjadi indah hanya kepada perkara yang indah di pandangan Allah walaupun di pandangan manusia ianya sudah tiada makna lagi.

Haih, kenapa bunyi arus elektrik kedengaran seumpama bunyi cengkerik dan riang-riang di kampung..?

Tanta,
13 Syaaban 1432.

Comments

nscg said…
I love PInk, and no one would stop me from love pink .. Cinta adalah hadiah dari Allah kpd hambanya =.)
al-hakim said…
Don't worry. Nobody can stop you from your pinky world. =) Antara rose ada pink dan hijau. Jgn shg hijau cemburu pd pink.. Ya, cinta adalah hadiah teragung!