Mencari Erti

Memang sukar untuk mengerti apa hikmah segala apa yang Allah beri dan tetapkan buat seseorang hambanya. Lantas sebenarnya ia bermaksud bahawa makhluk tiada daya upaya untuk memberi manfaat atau mudharat kepada makhluk yang lain. Andai seluruh makhluk berhimpun untuk mendatangkan manfaat kepada kita seorang, pasti gunung yag kukuh, laut yang bergelora, sungai yang megalir, matahari yang menyinar, serta seluruh akal manusia dikumpulkan, tanpa izin Allah ia tidak akan terjadi. Begitulah sebaliknya dalam mendatangkan dharurat.

Sungguh, mencari hikmahnya Allah dalam sunnahNya memang memerlukan cahaya dan petunjuk mata hati. Bukan mata zahir semata. Bumi Mesir memang sangat banyak mengajar erti hakikat kehidupan. Apa lagi dalam mencari sesuatu yang kadang-kadang diri sendiri masih tidak mengerti. Tawakkal, sabar, berharap, cemas, tidak sombong dan sebagainya memang terdidik apabila di Mesir. Barakahnya mungkin.



Cuma kita sama-sama renung balik. Apakah perancangan kita semalam untuk jadual hari ini telah terlaksana dan berlaku mengikut apa yang kita rancang? Bagaimana pula dengan perancangan kita sebulan, setahun atau lima tahun yang lepas? Cuba renung balik apa yang kononnya kita mahu dan terfikir krtika kita berusia 12 tahun yang lepas dan 17 tahun yang lepas? Malah adakah yang kononnya sesuatu yang pernah kita rancang sejak di usia enam tahun telah dan sedang berlaku pada diri kita hari ini?

Ya,memang sukar untuk mengerti kembali semua itu. Kita memohon pada Allah apa yang kita mahu, namun Allah mengurniakan kepada kita apa yang kita perlu. Kita seolah seperti bayi kecil. Ibu memakaikan baju kepada kita, lantas kita mengotorinya, mengoyakinya. Ibu memakaikan sarung tangan dan kaki kerana sejuk, tetapi kita menanggalkannya. Ibu menyuapkan nestum, bubur dan vitamin, tetapi kita berteriak mahukan jajan, gula-gula dan ais krim. Sungguh! Kita merupakan seorang bayi yang tidak tahu apa yang sebenarnya terbaik buat diri kita. Tetapi ibu kita yang lebih mengetahui.

Rupa-rupanya begitulah kita dengan Allah. Allah telah mengurniakan kepada kita pakaian iman, lantas kita mengotorinya. Menyarungkan pakaian taqwa, tetapi kita mengoyakinya. Memberikan ubat ujian, tetapi kita tetap memakan racun dan perkara yang merosakkan. Aduh, begitu lemahnya kita!

Bila balik ke Malaysia, kononnya orang sangat mengharapkan graduan daripada Timur Tengah. Mengapa? Namun, itulah persepsinya masyarakat. Dikatakan masyarakat dahagakan ilmu agama, memerlukan doktor jiwa barangkali. Tetapi sejauh mana masyarakat benar-benar mahu mengikut sekiranya ditegur? Mahu berubah sekiranya diminta? Mahu bertindak sekiranya dilaungkan atas dasar patut dan taat kepada Allah dan RasulNya?

Hakikatnya, terdapat getaran di dalam jiwa. Apakah ilmu ini mampu memberi manfaat? Andai tiada anak dan harta, seciput ilmu mampukah untuk dijadikan bekalan di dalam kubur kelak? Apakah kejayaan ini sebagai kurnia atau ia rupa-rupanya suatu fitnah? Ilmu ada tetapi tiada amal, ilmu ada tetapi tiada akhlak. Maka, fitnah pun bertebaranlah. Muncul dari diri dan berkembang di kalangan masyarakat. Susah, memang susah membawa agama ini!

Bila begini terjadi, rasa diri teruk sangat. Rasa lemah dan sangat kurang. Ilmu akidah pun tidak setara mana. Hukum-hakam fiqh, berapa kerat sahaja yang mampu dikupas sebaiknya? Berkenaan akhlak Islami, setandingkah antara teori dan praktikalnya? Hanya Allah sebagai wali dan wakil. Bila meletakkan pada kemampuan sendiri pasti tersungkur. Tapi bila letak pada kemampuan Allah, hanya pertolongannya yang didamba.

Suasana peperiksaan memang membosankan. Seolah semuanya kembali ke gua untuk bertapa. Maka, duduklah diri keseorangan di tengah bandar, mungkin. Bangun, tidur, baca buku. Bosan lagi tengok apa-apa yang menarik di laptop. Agak dah hilang seri, buka tv tengok rancangan Arab. Macam nak kematu belakang, pergi merayau kacau orang yang sedang mengulangkaji. Memang, masa itu seperti pedang, malah lebih tajam dan tangkas dalam mencantas!

Tiba-tiba merindukan Imam Syafié dan gurnya. Rindukan Ibnu 'Ataillah dan Al-'Asqalani. Bukankah sebenarnya mereka masih hidup di sisi Allah. Teringat akan suasana makam Ibnu 'Ataillah yang menenangkan. Makam Imam Syafié yang terasa auranya. Juga makam Al-'Asqalani yang menandakan kezuhudannya. Tanda dunia ini tiada nilai. Sangat jauh berbeza dengan Makam Pahlawan di Masjid Negara. Di mana kita sebenarnya.

Kadang-kadang merenung jauh. Sangat jauh dan sehingga hilang arah. Apa yang sebenrnya yang di cari di dunia ini? Benar juga kata Ramli Sarip dalam lagunya Perjalanan Hidup. Apa yang dicari ialah yang abadi dan memberikan kedamaian. Wah, falsafah ini bukan hakikatnya hanya ada apabila ia dikaitkan dengan Allah?

Semoga Allah terus megurniakah rahmat dan kasih sayangNya kepada makhluk. Andai bukan kerana haiwan yang melata dan tumbuhan pelbagai warna serta bentuk ini, entah adakah Allah masih mahu turunkan hujanNya ke atas bumi ini. Sedangkan hamba-hambanya sentiasa memberontak untuk beramal, memungkiri dan mengingkari segala apa yang Dia perintahkan.

Buku yang sangat memberi kesan buat hati dan jiwa yang masih tercari-cari.




Perjalanan Hidup
Oleh Ramli Sarip

Aku yang masih di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata dunia
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan milikku
Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya padamu
Oh Tuhanku

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan milikku
Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya padamu
Oh Tuhanku

Aku setia hanya padamu
Aku setia hanya padamu


Tanta,
14 Rejab 1432 H.

Comments