Wasilah Penyucian Jiwa


Seorang ilmuan haraki iaitu Ustaz Said Hawwa telah mengenai wasilah penyucian diri atau penyucian jiwa. Sekiranya badan kita kotor dengan kekotoran debu dan daki, maka mandi adalah jalan terbaik. Sekiranya salah satu anggota badan terluka, cedera atau wujud sakit di dalam badan seperti demam, sakit perut dan sebagainya maka memakan ubat atas nasihat doktor adalah yang terbaik. Seiring dengan meyakini kesembuhan hakikatnya bukan dari ubat, tetapi Allah Rabbul Izzati.

Jika pula hati kita kotor, jiwa sakit tidak tenteram, fikiran berserabut memikirkan hal keduniaan yang tidak pernah akan selesai. Ibadah tidak terasa manisnya, berat melakukan kebaikan, terdorong dengan hawa nafsu dan malas dalam melaksanakan tanggungjawab hidup, ia semua berkaitan dengan sakit dalaman. Sakit dan kotor atas hakikat hati, akal dan pemikiran serta jiwa atau roh.

Ustaz Said Hawwa telah menyenaraikan 13 langkah penyucian jiwa iaitu:-



1- Solat
2- Zakat atau infaq (sedekah)
3- Puasa
4- Haji
5- Membaca Al-Quran
6- Zikir
7- Berfikir pada penciptaan makhluk dan alam
8- Mengingati mati dan mengurangkan angan-angan
9- Muraqabah, muhasabah, mujahadah dan muátabah
10- Berjihad, menyuruh melakukan ma'ruf dan menegah kemungkaran
11- Khidmat dan tawaddhu'
12- Mengetahui jalan syaitan menyesatkan diri manusia dan bagaimana menjauhinya
13- Mengetahu penyakit-penyakit hati da cara menghindarinya

Al-Ustaz telah mendahulukan urutan rukun Islam sebagai keutamaan dalam seseorang untuk mereka menyucikan jiwa dan diri. Selepas mengucap dua kalimah syahadah, seseorang dengan rasminya telah menjadi muslim. Namun untuk mencapai tahap seorang musim yang sempurna, ia memerlukan beberapa rukun yang lain iaitu solat, zakat, puasa dan haji. Kesemua rukun Islam selain syahadatain merupakan ibadah yang terikat dengan masa dan tempat bagi ibadah haji.

Rukun Islam merupakan keutamaan untuk menyucikan jiwa kerana tanpa salah satu daripadanya keislaman seseorang tidak lengkap dan sempurna. Walaubagaimanapun, keutamaan yang dimaksudkan bukan kepada perlu mengikut turutan. Akan tetapi mengikut bentuk ibadah tersebut yang telah ditetapkan oleh Allah melaui quran dan sunnah Nabi SAW. Sebagai contoh, tidak semua orang mampu untuk menunaikan haji kerana ia terikat dengan kemampuan seseorang. Ibadah zakat fitrah dan puasa Ramadhan pula terikat dengan waktu yang khusus sahaja.

Maka, kita boleh ambil iktibar bahawa wasilah terbaik dalam menyucikan jiwa adalah dengan membaca Al-Quran. Al-Quran dapat melembutkan jiwa sebagaimana yang terjadi pada Umar al-Khattab dan sifatnya yang melunakkan hati. Beriringan dengan berzikir, melihat dan menginsafi kejadian dan keagungan Allah SWT, mengingati mati, mujahadah dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi kemungkaran.

Membaca Al-Quran dan berzikir mampu menghadirkan hati di dalam diri sesorang. Apabila jauh dengan Al-Quran dan zikir, maka jauh pula daripada kesedaran terhadap diri sebagai hamba. Maka boleh jadi mata, telinga, hidung, rasa dan sebagainya yang boleh digunakan untuk merasai keagungan Allah SWT tidak merasai penghayatan tersebut kerana hati masih tidak hadir dalam diri. Lihat bukit-bukau, pepohon, burung berterbangan hanya dengan penglihatan kosong yang tiada makna dan keasyikan.

Berjihad, menyuruh kebaikan dan menegah kemungkaran bukan dengan menunggu diri bersih dari maksiat serta suci sepenuhnya. Tetapi, dengan wasilah tadilah sebenarnya diri akan bertambah suci dan terhapus dosa-dosa. Konsep menumpukan diri beribadat sehingga sudah tiada langsung dosa baru mahu untuk berjihad, menyuruh kebaikan dan menegah kemungkaran merupakan konsep yang salah. Manusia selamanya tidak terlepas daripada sebarang dosa, tetapi perlu berusaha mempertingkat ketaqwaan dan menjauhi maksiat.

Semoga Allah memberi kepada kita kekuatan memperbaiki diri. Menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Amalan yang terbaik adalah berterusan dan istiqamah walapun sedikit berbanding banyak tetapi hanya sekali dua.

Semoga Allah SWT memberi taufiq dah hidayahNya kepada kita semua dan sehingga mendapat syafaat NabiNya di akhirat kelak.

Bolehkah anda meminta daripada makhluk yang fakir lalu meninggalkan Allah SWT Yang Maha Kaya? Jika ingin mendapat pelbagai kurnia, tunjukkan keperluan dan kesusahan anda padaNya serta jangan sesekali menyandar kekuatan sesiapapun yang berada di sekitar anda.
- Ibnu Átaíllah As-Sakandari -

Hidup dalam mencari..

Tanta,
16 Jamadil Akhir 1432 H.

Comments