Pasca Revolusi Mesir

Salam sejahtera.

Ikutkan siapalah saya yang layak untuk menulis tentang tajuk tersebut. Tetapi jauh di sudut hari mahu sangat berkongsi sesuatu di dalam blog kesayangan ini. Moga hidayah Allah swt untuk terus menulis di dalam blog ini berterusan dan berterusan pahala orang yang menjadi inspirasi saya.

Ya, memang sebuah bumi yang bertuah. Manakan tidak, disinilah pelbagai sejarah kehidupan para nabi ran rasul tercatat. Di sinilah juga pelbagai kisah utama Islam yang di'tulis'oleh para sahabat Rasulullah SAW dan umat Islamnya sepanjang zaman. Tidak terkecuali sejarah raja-raja Mesir lampau yang dikenali sebagai Firaun.

Di sini juga mengalirnya Sungai Nil, sungai terpanjang di dunia. Bermula alirannya daripada Laut Mediterranean dan menyuburi merentas tanah luas Mesir sehingga beberapa negara selatan Afrika termasuk Sudan. Inilah sumber rahmat utama menyuburi tanah kering kontang dengan pelbagai hasil pertanian bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran. Memberi bahan makanan kepada manusia dan haiwan. Makanan yang daripadanya menjadi zat kepada penerusan jasad-jasad para ulama pewaris nabi. Sehingga menambahkan lagi kemakmuran dan berkat bumi Allah ini.

Rakyatnya boleh dikatakan sangat tabah menghadapi kehidupan. Kehidupan dan kegagahan mereka tidak boleh dipandang ringan dari satu sudut apabila dikatakan tentera Mesir adalah terbaik dunia. Walapun dalam sudut lain ada juga kurangnya mereka hasil daripada pengaruh barat yang mudah meresap di kalangan rakyatnya, namun kemegahan Universiti Al-Azhar sebenarnya mampu mengimbangi suasana ini. Semoga Al-Azhar terus menyinari bumi Mesir bertuah ini.

Kehidupan mereka yang sangat fakir dan miskin boleh kelihatan di mana-mana sahaja. Mereka tidak mempunyai kediaman. Tidak mustahil boleh dilihat seorang nenek tua menghadap tong sampah besar semata-mata mengumpul sisa-sisa roti dan ayam untuk dimakan. Tidak mustahil anak-anak kecil sudah menjadi anak-anak jalanan meminta belas ihsan masyarakat disekeliling. Seawal usia empat tahun telah bersama menunggangi keldai mengutip barang-barang buangan bermula jam lima pagi.

Cengkaman kuat ekonomi kapitalis tidak boleh dinafi di negara ini. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sehari golongan sederhana rendah hanya mampu mengumpul LE 20 sehingga LE 30 sehari. Sekitar RM 10 sehingga RM 15 sehari. Itupun sekiranya rezeki murah. Inilah antara kehidupan kasta yang wujud di Mesir sepertimana di India, Indonesia, Bangladesh dan beberapa buah negara lain. Golongan yang kaya semakin kaya dan miskin semakin miskin dan jarak sosioekonomi antara keduanya sangat ketara. subsidi roti yang diberikan pihak kerajaan tidak banyak membantu menambahbaik kehidupan rakyat jelata.

Kelembapan pertumbuhan ekonomi Mesir menjadikan rakyatnya sukar meningkatkan taraf kehidupan mereka. Mana mungkin ekonomi boleh dibangunkan dengan cergas andaikata rakyat tidak mampu memberi dokongan dan sumbangan terbaik untuk kemajuan ekonomi. Barang yang semakin mahal pastinya membantutkan rakyat untuk menjalankan perniagaan kerana rakyat sendiri tidak mampu untuk membelinya.

Selain daripada cengkaman kapitalis, ia juga disebabkan beberapa perjanjian yang pernah berlaku antara Mesir dan Israel. Malah perjanjian Camp David yang dimetrai antara Presiden Mesir ketika itu, Anuar Sadat sangat memberi kesan. Ekonomi Mesir tidak mampu berkembang. Ekonominya tersekat. Tidakkah pelik, Mesir yang memiliki bahan mentah kapas antara yang terbaik di dunia, hasil pertanian yang sangat banyak, kawasan pelancongan yang bertebaran, tetapi masih tidak mampu memberi kehidupan yang sepatutnya kepada rakyat.

Nilai terendah untuk jual beli serendah 25 qursy bersamaan sekitar 10 sen Malaysia. Malah nilai ini dilihat sangat tinggi bagi sesetengah bahan mentah. Semua orang perlu emncari pendapatan keluarga mereka sendiri. Persaingan sangat tinggi. Bahan atau keperluan yang sama terpaksa berkongsi penjualan di pasar-pasar. Sehingga sanggup menarik pakaian pelanggan dan menawarkan pelbagai harga serta merayu agar berangan mereka dibeli. Walaubagaimanapun, keadaan ini mungkin berbeza antara kawasan perkampungan atau pendalaman dengan kawasan kota atau bandar.

Semata mencari rezeki, mereka menawarkan khidmat yang sehingga boleh dikatakan tidak masuk akal. Di dalam sebuah stesen keretapi yang sederhana besar, mereka mengambil upah membari maklumat kepada orang ramai tentang keretapi yang pelangan mahu naiki. Upah menukat bal lampu, upah memperbaiki saluran air atau paip, upah mengangkat serta menjaga barang dan pelbagai bentuk lagi.

Kenderaan awam sangat banyak kelihatan. Jika mahu dibuat perbandingan antara penggunaan bas dan penggunaan van, pastinya penggunaan van sebagai pengangkutan awam memberikan lebih banyak peluang orang ramai mencari rezeki. Inilah situasinya. Perjalanan sejauh hampir 200 kilometer hanya dengan tambang LE 8 bersamaan sekitar RM 4. Siapa yang berani untuk menaikkan harga sekiranya kemarahan pengguna akan menyusul atau mereka kelak kehilangan pengguna atau pelanggan. Duit yang diperolehi cukup sekadar memenuhi keperluan seharian dan tidak mampu untuk digunakan sebagai 'memberikan kepuasan dan keselesaan terbaik' buat pengguna. Semuanya 'ala kadar' atau sekadar syarat sahaja.

Kegiatan dan perkembangan ekonomi sangat berkait rapat dengan kestabilan politik. Perintah berkurung atau darurat yang dilaksanakan sejak sekian lama jelas menggambarkan hilangnya kestabilan yang sepatutnya untuk rakyat Mesir. Tekanan daripada Israel dan Amerika Syarikat ke atas kepimpinan tertinggi memaksa mereka melakukan pemerintahan seolah berupa diktator. Sesiapa yang menentang kerajaan dengan mudah akan ditangkap dan dipenjarakan. Sistem pilihanraya langsung tidak berfungsi dengan sepatutnya. Kebebasan berparti, kebebasan rakyat, kebebasan media semuanya dinafikan.

Secara umumnya rakyat dilarang berkumpul. Malah para pelajar yang datang ke Mesir diingatkan agar tidak berkumpul melebihi tujuh orang di tempat-tempat yang terbuka. masjid-masjid yang menjadi tumpuan rakyat dan berpotensi membangkitkan semangat rakyat kebiasaannya dikawal oleh berbelas trak polis terutama ketika waktu solat Jumaat. Ceramah umum dilarang. Sebaik habis waktu solat masjid dikunci. Dilarang melaksanakan program di masjid-masjid melainkan berbentuk keagamaan semata-mata. Selepas kejatuhan Husni Mubarak, sudah mula kedengaran ceramah-ceramah selepas waktu solat fardhu.

Rakyat seringkaali bimbang dengan kewujudan 'mata-mata' polis. Mungkin 'mata-mata' ini terdiri daripada kalangan kaum kerabat sendiri atau rakan taulan terhampir. Berbicapa mengenai politik Mesir di tempat terbuka seolah-olah mengundang maut. Di kalangan rakyat Mesir sendiri atau sesama pelajar atau rakyat asing dengan rakyat Mesir. Kritikan yang tidak kena tempat dan masanya terhadap pemerintah mungkin-mungkin penjara bawah tanahlah lokasi yang bakal dituju. Namun, di pasca revolusi ini sudah mula kedengaran suara-suara rakyat yang menghukum dan mengkritik kerajaan Husni Mubarak. Hatta ketika menaiki teksi atau di kedai-kedai kopi.

Parti Baath merupakan antara pasti dominan yang menguasai timur tengah. Parti berfahaman sosialis ini tidak memggunakan Islam sebagai neraca pertimbangan di dalam pemerintahan. Parti ini hakikatnya bermusuh dengan Islam. Parti yang mendominasi kepimpinan tertinggi sesebuah negara berindak zalim ke atas rakyat yang menetang mereka. Inilah yang menguasai corak pemerintahan kebanyakan negara-negara Arab.

Pemerintah ketika zaman Husni Mubarak seringkali menjadikan Ikhawanul Muslimin sebagai mangsa. Perwakilan yang bertanding, setelah mereka dikenalpasti kemudiannya akan ditangkap. Keputusan pilihanraya yang walaupun memihak kepada Ikhwanul Muslimin seringkali kalah. Penyelewengan di dalam sistem pilihanraya telah berkakar umbi sejak sekian lama. Kini Ikhwanul Muslimin semakin diterima rakyat dan menjadi pilihan rakyat. Mereka telah menyatakan akan membentuk satu parti baru bagi mewakili mereka pada pilihanraya yang akan dijalankan pada September akan datang.

Populasi penduduk Mesir berjumlah lebih 80 Juta orang. Walaupun mesir merupakan sebuah negara yang sangat luas, namun hanya kurang 10 peratus kawasannya yang boleh didiami. Selebihnya adalah kawasan padang pasir. Ini menyebabkan kepadatan penduduk yang tinggi dan persaingan meneruskan kehidupan juga tinggi. Rakyat yang mampu bertahan akan dapat meneruskan kehidpannya dan yang tersisih terus melarat. Kehidupan yang sukar ini bertambah buruk dengan terdapat rakyat yang mewarisi kemiskinan yang berterusan

Kepayahan hidup juga mungkin menyebabkan mereka tidak bermatlamat membina keluarga yang besar. Keluarga yang mempunyai lima orang anak sudah dianggap ramai. Pertambahan anak pasti sekali menambah bebanan dan keperluan hidup mereka sedangkan ekonomi keluarga tidak mampu menampung. Ada sesetengahnya berkahwin lewat kerana mahu mengukuhkan kewangan terlebih dahulu.Tidak mustahil jika terdapat ibu bapa yang telah sekitar 40 dan 50an tetapi mempunyai anak yang masih kecil.

Rakyat yang mempunyai kelulusan baik di peringkat akademik kebanyakannya akan ke Luar Mesir untuk mencari peluang kerjaya atau pendidikan yang lebih baik. Kelayakan akademik mereka tidak dapat mereka gunakan sebaik mungkin untuk menyumbang kepada negara akibat pelbagai sekatan dan suasana yang tidak mengizinkan. Sebagai contoh, terdapat para pengajar di universiti yang bekerja sambilan seperti berniaga, membawa teksi dan lain-lain semata-mata mencari rezeki lebih. Malah, kebanyakan mereka juga bergantung sumber pendapatan dengan penjualan buku-buku akademik yang mereka tulis sebagai rujukan rasmi di dalm dewan kuliah dan universiti-universiti.

Di kawasan bandar, kediaman kebanyakannya berbentuk rumah flat atau kondominium kelas sederhana. Di kawasan elit terdapat rumah-rumah kondo mewah, rumah teres dan rumah banglo persendirian. Dikatakan terdapat keluarga yang mendirikan sebuah banguanan flat atau kondo untuk didiami seluruh kaum kerabat terhampir atau orang-orang yang mempunyai hubungan terdekat. Di kampung-kampung, rumah dibina di atas lot-lot kepunyaan sendiri atau dibeli. Tidak sedikit rumah yang tidak mencapai taraf 'rumah siap yang sedia untuk diduduki' apabila yang siap adalah bangunan yang didirikan tanpa ada 'baju'nya. Namun keadaan ini lebih baik daripada rumah tanpa pintu, rumah di celah-celah bangunan, di bawah tangga, di stor-stor atau sekadar atap dan dinding sahaja.

Revolusi yang berlaku di Mesir ini boleh dikatakan sebagai satu kejutan. Walaupun ianya dirintis daripada revolusi yang berlaku di Tunisia, namun ia lebih dominan sebagai cerita di peringkat antarabangsa. Bagaimana gelombang rakyat ini benar-banr mampu menjatuhkan pemimpin diktator yang memakan darah dan daging rakyatnya sendiri demi kepentingan peribadi. Ia juga sangat menarik untuk diperhatikan kerana sehingga kini beberapa yang ingin menjejaki semangat revolusi ini masih belum kesampaian seperti di Jordan, Yaman, Syria dan Libya. Pastinya semangat rakyatnya berbeza api kemaraannya berbanding negara Arab yang lain.

Hari ini Mesir di era pemerintahan tentera. Pastinya suasana sekarang amat sukar bagi kaki-kai dan tangan-tangan Husni Mubarak kembali ke pentas pemerintahan apabila tindakan pantas membekukan aset, menghalang daripada keluar negara dan pendawaan yang berterusan daripada rakyat. Tidak seperti yang berlaku di Thailand tidak dalam dahulu apabila rampasan kuasa oleh pihak tentera tidak bertahan lama dan akhirnya dirampas kembali oleh konco-konco Thaksin. Ini mungkin juga disebabkan gelombang merah penyokong Thaksin masih kuat pengaruhnya. Namun, apa yang berlaku terhadap Husni mubarak, tiada sokongan kepadanya. Kecuali daripada 'para pelakon' yang dibayar yang terdiri daripada pihak polis. Sungguh mengaibkan!



Muabarak kini dikatakan memohon kepada pentadbiran ketenteraan untuk terus kekal di Syam al-Syeikh. Kesihatannya kini tidak menentu. Pastinya serangan jantung menghantui apabila pemimpin sebegini menerima pelbagai lagi tekanan dan dakwaan salahguna kuasa dan duit. Semoga mendung Mesir akan berlaku dan cahaya Islam akan menyinari segala kegelapan kezaliman dan penyelewengan.

Hidup dalam mencari..

Tanta,
17 Jamadil Awwal 1432 H.

Comments