Penukaran BKKIMM Kepada IMAM Tanda Kerajaan Melaka Terdesak dan Bersikap Tidak Matang

Pendahuluan
Pada 28 Disember 2010 yang lepas, pelajar Malaysia di Mesir dan keseluruhan ahli PMRAM khususnya bersama seluruh barisan kepimpinan BKAN dan PMRAM cawangan terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Melaka yang mahu memansuhkan BKKIMM. Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam telah mengeluarkan kenyataan tersebut di dalam ucapannya yang mahukan persatuan baru bagi menggantikan BKKIMM tiada kaitan dengan PMRAM. Persatuan baru yang mahu ditubuhkan dinamakan sebagai Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM).

Jika kita menyorot kembali sejarah, situasi sama pernah berlaku terhadap Badan Kebajikan Anak Negeri Selangor pada tahun 2005 dan Negeri Sembilan. Pada waktu tersebut, BKASM telah ditukar kepada Badan Anak Selangor (BAS). Kesemua tindakan ini merupakan tindakan terdesak dan tidak matang kerajaan negeri yang mentadbir dan mengurus hal ehwal mahasiswa di Mesir.

Tuduhan Melulu
Sejak berzaman, PMRAM seringkali dituduh sebagai pihak yang meng'kader' ahli pembangkang. Tuduhan melulu tanpa bukti yang kukuh dan sahih ini barangkali dilihat sebagai satu tuduhan oleh pihak yang takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka takut pemikiran mahasiswa akan diserapkan dengan pemahaman Islam yang betul yang akhirnya pemahaman tersebut bakal membawa gelombang ke arah mewujudkan sistem hidup berteraskan Islam. Pihak ini takut golongan gama terpelajar daripada Mesir ini bakal menegur kerajaan yang bermasalah pada masa akan datang.

Jika kita meneliti keadaan persatuan mahasiswa di Mesir, kita akan mendapati bahawa banyak persatuan yang berdaftar di bawah kedutaan Malaysia di Kaherah. Sedangkan PMRAM tidak berdaftar dengan kedutaan tetapi berdaftar dengan pihak Kementerian Kemasyarakatan Mesir. Suasana ini menyebabkan keadaan 'tidak senang duduk' pihak kedutaan (KBMK), jabatan penuntut Malaysia (JPMK) dan beberapa persatuan yang bernanung di bawahnya. Tuduhan ini bukannya baru. Tidak dapat disangkal lagi bahawa tuduhan ini antaranya berpunca daripada pihak yang menuntut di Mesir juga dan mungkin akibat kehilangan kuasa dan pengaruh akhirnya mereka menuduh PMRAM dan semua persatuan yang di bawahnya sebagai generasi pembangkang.

Daripada awal tuduhan ini dilemparkan, tiada sebarang bukti kukuh yang dibawa. Tuduhan yang hanya mengikut emosi dan perasaan ini langsung tidak melambangkan kredibiliti dan sikap rasional. Bukan sahaja golongan mahasiswa yang melemparkan tuduhan ini, malah ada di antara pegawai kerajaan negeri dan pusat yang melemparkan tuduhan sedemikian. Sikap seperti ini hanya menambah perasaan dengki kepada PMRAM dan ahlinya serta bersikap pilih kasih dan berat sebelah dalam menyalurkan kebajikan.

Akibat Terdesak
Pertukaran BKIMM kepada IMAM juga dilihat sebagai suatu tindakan 'terdesak' oleh pegawai negerinya iaitu En. Anwar bin Idris. Beliau merupakan bekas pelajar Al-Azhar Kuliah Usuluddin (Tafsir dan Ilmu-ilmunya) di Tanta. Sejak kedatangannya di Mesir dan malah sebelum itu lagi, beliau memang bergiat aktif sebagai kepimpinan Kelab UMNNO di Mesir. Beliau juga pernah hadir ke Mesyuarat Agung UMNO sebagai wakil pelajar di luar negara daripada Mesir. Dalam ucapannya di sana, beliau pernah menyuarakan agar PMRAM ini dimansuhkan kerana ada kaitan dengan pembangkang.

Kedatangan menteri Besar Melaka seolah membawa 'khabar' daripada Malaysia. Berkemungkinan beliau mendapat arahan daripada 'orang yang lebih atas' agar memantau anak negerinya di Mesir dan lakukan apa sahaja asalkan mahasiswa atau persatuan yang berkait dengan PMRAM diambil tindakan dan dibubarkan.

Bahang pilihanraya dan musim pertukaran kerajaan seolah semakin dirasai. Mungkin juga tindakan terdesak ini bertujuan menguatkan keyakinan kepimpinan pusat di Malaysia yakin dengan prestasi mereka (pegawai hal ehwal pelajar) dan Menteri Besar sendiri dalam menangani mahasiswa yang tinggi kesedaran mereka terhadap Islam. Diketahui umum bahawa kerajaan Malaysia pada hari ini sangat takut dengan mahasiswa yang mempunyai fikiran matang dan mendalam terhadap ilmu Islam serta sedia untuk bertindak demi Islam.

Keyakinan daripada kerajaan pusat seolah ditagih oleh pihak ini (konco-konco pegawai hal ehwal pelajar) agar mereka terus diberi mandat untuk mentadbir, mengawal dan mempergunakan mahasiswa Islam Mesir umumnya dan anak-anak negeri Melaka khususnya pada sesi akan datang. Atau dengan kata lain dalam tempoh lima tahun lagi. Apabila kekuasaan tersebut di dalam tangat mereka, maka mereka bebas bertindak kepada mahasiswa sesuka hati dan dalam masa yang sama mendapat 'kesenangan hidup' di bumi Mesir.

Situasi terdesak ini juga dilihat kesan daripada kedudukan persatuan pelajar PMRAM semakin teguh dan mendapat sokongan kebanyakan mahasiswa Islam mahupun perubatan di Mesir. Malah, pada hari ini, hubungan PMRAM dengan Kedutaan Malaysia Kaherah (KBMK) bertambah baik pada era kepimpinan Presiden Shahrizan. Mengapa ianya berlaku padahal pegawai KBMK juga datangnya daripada kerajaan pusat? Ini disebabkan, pegawai KBMK lahir daripada ujian PTD dan mereka mempunyai kefahaman berkhidmat untuk negara. Bukan untuk kerajaan dan parti-parti tertentu.

Sejak dahulu lagi, pihak yang sangat kuat mahu memusnahkan PMRAM adalah pegawai daripada JPMK dan kebanyakan daripada pegawainya merupakan wakil UMNO di Mesir. Mereka berkhidmat bukan atas tujuan menyeluruh mahasiswa Mesir, tetapi menjurus kepada kepentingan parti politik, Kelab nadi UMNO dan persatuan-persatuan tertentu yang menjadi proksi untuk mereka masuk kepada pelajar dan menyebarluaskan perpecahan daripada PMRAM.

Penarikan Zakat
Isu penarikan zakat merupakan isu utama yang dimainkan oleh mana-mana kerajaan negeri yang bermusuh dan tidak senang dengan PMRAM. Ugutan menarik bayaran zakat telah pun berlaku sejak sekian lama. Antara palajar negeri yang terbabit adalah daripada negeri Selangor, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan. Kini ia berlaku terhadap pelajar dari negeri Melaka.

Zakat merupakan harta yang dikutip daripada umat Islam dan diedarkan kepada golongan-golongan tertentu yang layak menerimanya. Antara golongan yang layak menerima zakat adalah pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama. Mereka termasuk dalam golongan ibnu sabil.

Apabila penarikan zakat ini mahu dilakukan, pelbagai persolan timbul. Siapakah sebenarnya yang mengawal agihan zakat ini kepada yang berhak? Adakah terdapat diskriminasi atau atau pengagihan yang tidak adil kepada para mahasiswa di Mesir? Sekiranya wang zakat tersebut memang telah 'diperuntukkan' untuk diedarkan kepada para mahasiswa, tetapi tidak berlaku sedemikian, maka ke mana akan dialirkan wang tersebut? Bagaimana pula hukum orang yang bertanggungjawab untuk mengagihkan wang zakat tetapi mereka tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut?

Pelbagai ugutan berlaku terhadap ahli PMRAM. Apakah kuasa para pegawai hal ehwal pelajar dari negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Melaka yang mengugut penarikan zakat? Siapakah mereka dan apakah kelayakan mereka dalam menentukan golongan yang boleh menerima zakat yang telah diluluskan di dalam Islam itu sendiri dan majlis pungutan zakat negeri-negeri? Bukan amanah Allah SWT yang tidak dijalankan, malah mendatangkan kezaliman terhadap para mahasiswa dan melakukan penganiayaan.

Sekiranya duit zakat yang sepatutnya diberikan kepada mahasiswa, tetapi disekat oleh pegawai hal ehwal pelajar di Mesir, ke mana duit tersebut dibelanjakan? Adakah ianya hanya disimpan di dalam 'peti besi' di pejabat mereka? Atau bakal dibelanjakan oleh persatuan yang bermotifkan politik seperti Kelab Nadi UMNO Mesir? Atau akan digunakan untuk kesenangan dan tujuan peribadi? Semoga ianya tidak berlaku kerana apabila ia berlaku bakal mengundang azab Allah SWT.

Akibat Tidak Menerima Islam Secara Menyeluruh
Ini semua rentetan daripada pihak yang bermusuh dengan Islam. Atau pihak yang menerima Islam setengah dan meninggalkan Islam setengah. Hanya menerima Islam dalam solat, ibadat dan ritual semata serta menolak Islam yang syumul merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Agenda ini bukan hanya dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia pada hari ini, tetapi merupakan perancangan musuh Islam antarabangsa.

Pihak UMNO tidak boleh tidak perlu menghantar dan menjalankan agenda politik kebangsaan di bumi Mesir bagi memanjangkan survival politik sempit. Mereka perlu melahirkan ustaz-ustaz yang menyokong perjuangan kebangsaan dan meletakkan mereka di skop kecil. Mereka tidak mahu melahirkan para ustaz yang mempunyai kefamahan yang mendalam terhadap agama.

Ini semua agar selari dengan agenda freemasonry, Islam sekular, Islam liberal dan Islam progresif yang hanya mementingkan pembanguan luaran sahaja tanpa menitikberatkan nilai akhlak Islamiah dan etika profesional. Malah melalui ustaz-ustaz ini mereka mahu meresapkan pemikiran Islamphobia agar umat Islam di Malaysia berasa takut untuk berjuang menegakkan Islam. Takut untuk berjihad dan menyatakan kebenaran terhadap pemimpin dan kerajaan yang korup.

Apabila persoalan Islam di dalam UMNO dibincangkan, kita akan dapati bahawa UMNO tidak mampu menegakkan Islam segabai tujuan dan matlamat, malah tidak mampu untuk mempertahankah bangsa Melayu pun! Apabila menyorot kembali sejarah, tujuan UMNO untuk terus kekal sebagai pemerintah adalah kerana mahu memiliki kekuasaan ekonomi dan cengkaman pemikiran terhadap rakyat. Kepentingan peribadi diutamakan berbanding kepentingan masyarakat keseluruhan. Kepentingan omongan 'bangsa Melayu' lebih diutamakan berbanding kepentingan Islam.

Sikap Tidak Matang dan Kebudak-budakan
Apabila perkara ini terjadi jelas benar sikap tidak matang golongan UMNO atau mereka yang disebalik tabir mahu menubuhkan IMAM. Bukan mereka tidak tahu tindakan mereka itu betul atau tidak. Bukan mereka tidak tahu bagaimana penerimaan pelajar atau mahasiswa Melaka terhadap tindakan ini. Bukan mereka tidak tahu untuk menilai bagaimana suasana kehidupan mahasiswa dan persatuan di sini.

Tindakan mahu terus mengugut pelajar ini merupakan tindakan 'bodoh' dan tidak melambangkan kebijakan pimpinan mereka. Mereka seolah langsung tidak mengetahui selok-belok perundangan dan etika penjawat awam sebagai pegawai hal ehwal pelajar sebagai suatu realiti yang tidak boleh senang-senang dilanggar dan dicabul. Tidak bijak menghadapi realiti dan takut dengan bayang-bayang sendiri merupakan jolokan yang sesuai untuk mereka ini.

Perangai Menteri Besar Melaka dan pegawal hal ehwal pelajar negeri Melaka ini merupakan perangai yang tidak ubah seperti anjing-anjing kecil yang menyalak. Menyalak bertujuan menakutkan para mahasiswa dengan pelbagai ugutan dan amaran. Menyalak untuk memberitahu bahawa mereka itu 'berkuasa' dan ada 'kekuatan' kepada mahasiswa terpelajar di Mesir. Tanpa mereka sedar bahawa salakan mereka membuatkan mereka lebih dipandang benci dan penuh sinis.

Penutup
Kepada mahasiswa di Malaysia, yang memperjuangkan hak mahasiswa dan Islam, inilah hal keadaan rakan dan sahabat anda di Mesir. Terus menerus ditindas dan dizalimi. Memang, bukan mudah untuk berhadapadan dengan mereka yang telah beku otak dan pemikiran dangan isme kebangsaan dan takut dengan Islam yang sempurna. Semoga kita semua saling mendoakan dalam memastikan yang dizalimi mendapat hak dan Islam kembali mendapat tempatnya yang mulia.

Kronologi konspirasi penukaran BKKIMM kepada IMAM.

Hidup dalam mencari..

Kuala Lumpur,
12 Safar 1432.

Comments