Analisis

Salam sejahtera.

Di dalam RTM, selepas slot berita pagi akan ada slot analisis. Slot analisis yang dibuat sendiri oleh wartawan atau pemberita atau yang diberi tugas untuk membuat analisis. Saya melihat analisis yang ditayangkan kepada masyarakat kebanyakan ini, dalam kekerapan yang tinggi merupakan satu analisis yang kurang nilai, fakta, nilai integriti dan sikap demokrasi.

Seharusnya analisis perlulah diberikan kepada orang yang dalam 'bidang' tersebut. Contohnya yang mempunyai latarbelakang pengajian dalam jurusan Sains Politik, Hubungan Antarabangsa, Sains Sosial dan sebagainya. Pemberi analisis perlulah berkata melalui ilmu akademik dan nilai integriti yang tinggi bagi memastikan analisis yang diberi dapat digunapakai oleh mesyarakat dengan adil.

Analisis yang dibuat tidak seharusnya hanya dalam bentuk prejudis atau penuh propaganda negatif. Hilangnya elemen demokrasi apabila analisis yang dibuat hanya memberikan gambaran buruk kepada pihak pembangkang (dalam konteks politik) tanpa memberi ruang yang sebetulnya menyalurkan kebenaran. Analisis yang diberikan hanya lebih dalam bentuk persoalan negatif. Secara tidak langsung memeberikan gambaran buruk melalui pemikiran masyarakat dalam memberikan jawapan terhadap persoalan tersebut.

Stesen tv kerajaan ini (RTM) seharusnya bertindak lebih matang dan efisten dalam memberikan maklumat yang benar dan adil kepada msyarakat. Ketikamana pemimpin kerajaan kononnya melaungkan slogan integriti, persamaan dan semangat 1 Malaysia, namun apa yang dikesali adalah saluran-saluran ini tidak menggambarkan dasar, polisi dan konsep yang dibawa oleh kerajaan sendiri.

Apabila dikatakan adanya semangat 1 Malaysia, ia seharusnya lebih bersifat sejagat dan bukan hanya polemik politik semata. Amat menyedihkan apabila seolah sifat dalam dua muka ini dijadikan amalan pihak kerajaan terutamanya saluran media perdana. Demokrasi yang wujud tidak adil kerana suara rakyat tidak dipaparkan dengan seimbang dan saksama. Malah berita yang berkaitan dengan rakyat untuk rakyat juga tidak disalurkan dengan lengkap dan penuh etika. Rakyat secara umumnya dinafikan hak dan kebebasan.

Lebih-lebih lagi apabila kehangatan pilihanraya umum kali ke-13 semakin terasa dengan anggaran akan diadakan pada bulan Mac atau April tahun 2011. Maka analisis yang dibuat lebih menjurus kepada politik dengan memberi berita dan maklumat yang tidak seimbang dan adil kepada semua pihak dan lapisan masyarakat. Walaupun ada golongan masyarakat yang mempunyai ideologi politik yang berlainan, namun ideologi tersebut perlu juga mendapat tempat di dalam media secara adil. Ini kerana ia juga merupakan hak rakyat atau masyarakat.

Jika diteliti oleh mereka yang mempunyai pemikiran yang matang, rasional dan beretika, pastinya tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak adil dan berat sebalah. Sikap ini seharusnya ditanamkan ke dalam jiwa diri sendiri oleh diri sendiri atas dasar kefahaman sosial dan kesedaran sivil. Perimbangan sewajarnya perlu dilakukan dengan bijak agar pemikiran kita tidak diselaputi nilai negatif bagi memastikan keharmonian negara terjamin.

Hidup dalam mencari..

Kuala Lumpur,
16 Muharram 1432 H.

Comments