Nasionalisme: Suatu Sorotan

1- Nasionalisme merupakan suatu kalimat yang mempunyai puaka yang amat besar bagi saya. Ini kerana, kalimah tersebut merupakan antara punca utama kepada jatuhnya pemerintahan Khilafah Uthmaniyah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Pemikiran barat yang diterapkan ke dalam budaya, jatidiri dan pemikiran bangsa Arab akhirnya memusnahkan maruah mereka dan menjatuhkan kemuliaan Islam yang menjadi pentadbir seluruh negara Islam. *Ingin mengetahui mengenai Revulusi Arab? Di sini.

Malah, ia juga tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan perjuangan kebangsaan oleh kebanyakan negara untuk mencapai kemerdekaan. Nasionalisme disebut dan dicanang sebagai penyuluh kepada rakyat untuk bangkit menentang penjajahan. Akhirnya pemikiran kebangsaan ini diiktiraf sebagai suatu pemikiran yang membawa kepada demokrasi dan kemerdekaan sesebuah negara bangsa.

Semasa di Mesir, kami dibentang dan diterangkan mengenai semangat 'assobiyah atau qaumiyah. Kedua semangat atau pemikiran ini lebih membawa makna dan penafsiran yang sama. Menjurus kepada semngat bangsa, kepuakan atau golongan tertentu. Perjuangan hidup dan matlamat kejayaan dan ketinggian hanya di pihak golongan atau puak mereka. Segalanya mendahulukan semangat ini lantas mengenepikan tuntutan agama dan keperluan sejagat.

Sebenarnya, saya masih merangkak untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan nasionalisme. Apa yang saya faham ketika menulis artikel ini ialah, sememangnya idea nasional atau kebangsaan ini semengnya memenuhi sifat dan matlamat yang negatif. Saya tertarik untuk membaca sebuah buku yang saya beli ketika masih belajar di KUIS iaitu buku Sejarah Malaysia Edisi Kedua siri Kursus Komprehensif Fajar Bakti.

Matlamat asal pembelian buku ini adalah untuk saya mendalami sejarah Malaysia dan semangat enkuiri dan memberontak terhadap sebuah buku sejarah Malaya edisi lama yang masih menggunakan perkataan 'pemberontak' kepada semua pejuang kemerdekaan tanah Melayu terutamanya pejuang di sekirat sebelum kurun ke-19.

2- Di dalam buku Sejarah Malaysia ini diterangkan makna nasionalisme. Umumnya ia mempunyai perlbagai bentuk dan ragam di dalam penafsirannya. Penafsirannya bergantung dan terkesan dengan perubahan semasa sesebuah masyarakat. Penafsiran dari segi teori berbeza dengan penafsiran hasil daripada observasi orientalis yang mahu memberi makna terhadap nasionalisme.

K. R. Minogue memberi makna sebagai 'satu aliran idea ataupun satu bentuk tindakan sendiri yang mengandungi sejenis perasaan politik yang tertentu dan boleh dialirkan dari golongan elit kepada orang kebanyakan'. Ia difahami dalam bentuk tindakan-tindakan itu (nasionalisme) bertujuan untuk menjaga dan memajukan kepentingan sesuatu bangsa ataupun negara.

Hans Kohn pula memberi maksud 'satu keadaan fikiran yang menyerap masuk ke dalam jiwa sebahagian besar rakyat dan mengiktiraf negara bangsa sebagai bentuk organisasi politik yang unggul dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi'.

Manakala Anthony D. Smith melihat bahawa konsep nasionalisme sebagai 'suatu pergerakan ideologi untuk mencapai dan memelihara pemerintahan sendiri dan kemerdekaan bagi sesuatu golongan yang sebahagian besar daripada anggota itu melihatnya sebagai 'satu' bangsa yang sebenar atau satu 'bakal' bangsa seperti bangsa-bangsa lain juga'. Ia pada dasarnya menggabungkan tiga perkara yang dianggap unggul iaitu 1) penentuan nasib sendiri secara berkumpulan bagi rakyat, 2)penegasan keperibadian serta sifat tersendiri bangsa dan 3) pembahagian dunia mengikut garisan tegak kepada negara-negara yang tersendiri.

Setelah meneliti pergerakan kebangsaan yang berlaku di Nigeria, J. S. Coleman telah merumuskan makna nasionalisme sebagai 'perasaan-perasaan, kegiatan dan perkembangan organisasiyang ditujukan ke arah pemerintahan sendiri dan kemerdekaan sebagai sebuah negara bangsa yang wujud dengan taraf sama rata atau dalam satu sistem politik antarabangsa.

Daripada keempat-empat pendapat ini bolehlah dirumus bahawa nasionalisme bertujuan untuk mengiktiraf dan membangun kepentingan sesebuah bangsa atau negara bangsa di atas platform ekonomi, politik dan sosio-budaya.

3- Maka, dapat disimpulkan bahawa nasionalisme atau idea kebangsaan ini merupakan idea atau pemikiran yang mementingkan semangat dan kesejagatan bangsa, ras dan budaya tertentu hatta dalam bentuk negara tertentu. Apa yang dimaksudkan ialah kepentingan dan matlamat kemajuan sejagat atau pembangunan masyarakat hanyalah tertumpu kepada golongan tertentu manusia sahaja iaitu mengikut bangsa, ras, budaya dan negara.

Gambar ini menunjukkan Putera Faysal bersama Sir Edmond Allemby, komander tentera British menentang Turki Uthmaniyah di Damsyik pada 1 Oktober 1918. Gambar ini diambil di hadapan pintu Hotel Victoria, sebuah hotel yang terkemuka di Damsyik. Hotel ini telah musnah semasa penjajahan Perancis. -Gambar sekadar hiasan.

Bagi para pemikir atau akademik orientalis pastinya memberi makna berdasarkan kepada penelitian kehidupan masyarakat disamping pemahaman terhadap makna bahasa perkataan tersebut. Akan tetapi, bagi seorang perancang penjajahan, strategi menakluki dunia dan permusuhan terhadap Islam pastinya mempunyai matlamat dan idea yang berlainan terhadap sifat asal pemikiran ini.

Sedutan bagaimana Nasionalisme penyebab utama perpecahan umat Islam.

Selain daripada Kamal Attarturk, pihak yang memainkan peranan secara langsung dalam meruntuhkan sistem Khilafah Islam ialah British. British memang sangat dengki dengan Islam dan mahu menjatuhkan negara Turki-Uthmaniyyah sebagai negara Islam dan meruntuhkan sistem Khilafah (dalam bahasa Inggeris : Caliphate). Sebelum kemunculan Kamal lagi, British telah meniup semangat patriotisme dan nasionalisme Arab dan nasionalisme Turki supaya perpaduan di kalangan umat Islam terpecah. Kemudian, para nasionalis yang mendokong idea ini menuntut kemerdekaan daripada Turki-Uthmaniyyah iaitu memisahkan wilayahnya daripada kesatuan negara Islam. Negara Turki-Uthmaniyyah yang besar itu kemudian dipecahkan oleh Barat menjadi Arab Saudi, Jordan, Mesir, Iraq, Lebanon dan negera-negara kecil lain dan Barat memerintah ke atas negara-negara tersebut melalui mekanisme ’pecah dan perintah ’(divide and rule). Setelah kesatuan umat Islam sudah melemah, target seterusnya ialah Turki dan Institusi Khilafah. Selepas Perang Dunia Pertama, 1921, di mana Turki telah kalah, British telah memfokuskan ketenteraannya di Turki iaitu pusat pemerintahan Dunia Islam demi memusnahkan seluruhnya kerajaan Islam. Pada masa yang sama, British di bawah pimpinanan General Harrington mengawal keadaan politik di Istanbul.
Sumber.

Tentera Nasionalis Turki

Di Nigeria mungkin boleh dikatakan sebagai kebangkitan rakyatnya terhadap pemerintahan sendiri daripada penjajah British melalui pergerakan militan. Di Malaya, semangat nasionalisme yang terbit dikatakan terdiri daripada tiga golongan utama iaitu golongan berpendidikan Arab, Melayu dan Inggeris. Berpendidikan Arab (Islam) membawa kepada penghayatan nilai Islam yang sebenar. Berpendidikan Inggeris menyumbang kepada pentadbiran dan berpolitik serta memahami perjalanan sistem Barat. Manakala berpendidikan Melayu pula membawa kepada gelombang kebangkitan kesedaran golongan Melayu yang hidup meraka tidak seimbang dari segi kekayaan dan taraf pekerjaan berbanding bangsa lain seperti India dan Cina.

Bersambung..

29 Zulkaedah 1431 H

Comments