PMRAM Meredah Usia

Usia 80 tahun bukanlah merupakan suatu usia yang muda. Jikalau kita mahu bendingkan dengan fizikal realiti hari ini bagi manusia, umur 80 tahun merupakan peringkat tua. Usia 80 tahun boleh memberi gambaran sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 4 generasi manusia dapat dilahirkan dengan mengambil umur 20 tahun sebagai nilai purata umur manusia yang mendirikan rumahtangga.

Selama pengamatan saya yang masih sangat muda dalam persatuan yang cukup besar dan lama ini, saya mendapati PMRAM masih kekurangan dalam memastikan sejarahnya terpahat di lembaran-lembaran memori ahlinya secara khusus dan dunia amnya. Sejarahnya yang agung masih tidak diketahui secara mendalam oleh ahlinya. Walaupun banyak sumber penulisan, buku, lembaran kertas kerja dan sebagainya yang menerangkan mengenai sejarah PMRAM, akan tetapi sejarah yang sering diuratakan merupakan perkara yang berulang. Analisis secara kritikal masih belum berjalan dengan rancak untuk bersama menilai kembali perjalanan lapan dekat ini.

Sepertimana kata pujangga dan ahli ilmuan, sesiapa yang tidak mengenali sejarahnya maka dia tidak mampu mencipta sejarah. Saya yakin dan semestinya barisan kepimpinan Badan Pengurus (BP) dan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM lebih matang menilai sejarah PMRAM berbanding ahlinya. Sekiranya sejarah PMRAM ini diberi nafas baru dengan dijalankan suatu gerak gempur mencari dan 'menyalin' semula sejarah daripada tokoh dan aktivis PMRAM yang lama, ianya merupakan suatu tindakan yang terbaik. Setelah sejarah-sejarah ini dipahat semula, dijalankan selepasnya analisis secara kritikal terhadap apa yang telah berlaku di sepanjang tempoh tersebut.

Analisis ini dilakukan terhadap isu-isu atau sejarah tertentu PMRAM yang mempunyai nilai yang sangat berharga. Contoh mudah, kewujudan PMRAM pada tahun 1930 disinonimkan dengan kesedaran dan kebangkitan kembali Islam selepas kejatuhannya secara rasmi pada 3 Mac 1924. Jika kita menyelami, bagaimana dengan tempoh selama enam tahun selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, telah bangun kesedaran di kalangan pelajar dunia Nusantara untuk mewujudkan kesatuan yang menaungi para pelajar yang berasal dari kepulauan Melayu. Ditambah dengan kesan peperangan Perang Dunia Pertama yang masih berdarah lukanya, kesedaran akan perpaduan dan kesatuan telahpun timbul di kalangan Azhari Nusantara.

Antara lain, sejarah yang membuktikan bahawa PMRAM telah menghantar ahlinya yang lelaki menyertai perang tiga serangkai Mesir-England-Israel dan ahlinya yang perempuan untuk menjahit pakaian tentera, jelas membuktikan kefahaman mereka terhadap tuntutan dan keperluan semasa. Pastinya PMRAM di waktu itu faham akan perlunya mereka membantu saudara mereka, rakyat Mesir untuk melawan dan menentang penjajahan. Perlunya mereka, sebagai pelajar luar yang menuntut dan mencari ilmu di bumi Mesir mempertahankan bersama bumi yang mereka datang untuk menuntut ilmu agama ini.

Pelbagai lagi isu yang perlu dibuat kajian ilmiah secara kritikal. Kajian dengan cara inilah yang membuka minda ahli dan masyarakat umum untuk menilai kembali sejarah PMRAM. Hatta ke peringkan pihak yang tidak sedang dengan PMRAM, anti-PMRAM, pihak yang ingin memecahkan kesatuan PMRAM dan sebagainya, mereka tahu hakikat perjuangan dan matlamat, apa yang sebenarnya PMRAM ingin bawa kepada ahli-ahlinya di serata pelusuk bumi bertuah Mesir ini.


Sempena dengan semangat kefahaman 80 tahun PMRAM ini, kita bersama mampu untuk bangkit dan mengorak bersama menghayati kembali perjuangan yang ditegakkan oleh PMRAM. Semoga medan ini mampu menjadikan bagi diri kita semua suatu jual beli yang baik dengan Allah SWT.

Kek sempena 80 PMRAM yang disediakan khas pada Muktamar PMRAM kali ke-77. Kek coklat yang dihiasi ini sangatlah sedap dan lebih sedap jika dimakan ketika lapar. Kek yang dikongsi bersama dengan lebih 500 orang perwakilan yang hadir.

PMRAM, warisan berharga bumi Mesir.

Satu Fikrah Satu Amal.

Hidup dalam mencari...

Penulis merupakan Ketua Eksekutif Pengisian dan Ilmiah, Karnival Kenangan 80 Tahun PMRAM (KEKAL '10) sempena Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan (PMHK) PMRAM kali ke-53.

Comments