Kembali...

Salam Sejahtera

Syukur ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad SAW. Salam kesejahteraan kepada para syuhada' yang sentiasa hidup di sisi Allah SWT bersama para Nabi dan Rasul.

Sebenarnya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Namun merasakan mahu menulis sesuatu. Sudah agak lama tidak menulis di ruangan blog ini.

Sekadar menulis apa yang terlintas di kepala. Walaupun terlalu banyak isu telah berlaku di sekeliling, di bumi Malaysia, bumi kampus, bumi Mesir dan seantaro dunia. Hanya untuk menulis sesuatu.

Alhamdulillah, untuk fasa satu ini telah selesai pengajian dan peperiksaan. Bagi fasa ini ada lima subjek pengajian. Subjek tersebut ialah:-

1- Ad-Dakhil
2- Mutasyabih Al-Qur'an
3- Manahij Da'wah
4- Hadith Maudhu'i
5- Tauhid

Peperiksaan yang bermula pada 9 Januari yang lalu telah selamat sempurna pada hari ini iaitu 31 Januari. Pastinya sepanjang tempoh tersebut dan tempoh sebelumnya, keseluruhan buku bagi subjek fasa ini telah dikoreksi dengan mendalam. Semakin dibaca dan didalami, semakin merasa indahnya Islam dan betapa Maha Agungnya rahmat yang Allah kurniakan ke seluruh alam melalui perantaraan kekasih Muhammad SAW.

Sahabat yang budiman,

Ilmu Ad-Dakhil membicarakan mengenai unsur-unsur luaran yang bukan daripada sumber agama Islam, masuk meresapi ke dalam ilmu Islam lalu mendatangkan kekeliruan serta menjejaskan nilai keindahan ilmu Islam itu sendiri. Wujudnya dakhil boleh membawa kepada salah faham terhadap Islam. Orang bukan Islam tidak dapat melihat keindahan Islam dan orang Islam tersasar dari merasai kehebatan dan keagungannya.

Mutasyabih Al-Qur'an menerangkan mengenai di dalam Al-Quran terdapat ayat yang didatangkan dalam bentuk yang sama. Kalimah yang sama diulang, frasa ayat yang sama diulang, malah ada ayat yang sama diulang. Pengulangan yang sama dan pelbagai bentuk. Memberi penafsiran yang berbeza dan hikmah yang agung. Pastinya di sana ada nilai ilmu Allah mengapa ianya berlaku sedemikian.

Manahij Da'wah merupakan subjek yang mendalami manhaj atau cara untuk berdakwah. Pada saya, perihal dakwah merupakan sebuah perbincangan yang sangat luas kerana ia boleh berubah mengikut keperluan dan kehendak semasa. Pelbagai konsep dan jalan boleh diaplikasikan asalkan ianya mampu membawa dakwah tersebut mencapai tujuan melalui asas-asas Islam yang sebenar.

Hadith maudhu'i
, subjek yang menyeronokkan. Hadith utama yang dibincangkan adalah mengenai akhlak. Setiap kalimah dalam hadith Nabi Muhammad SAW mengenai akhlak diterangkan secara mendalam. Amat teruja melihat bagaimana ilmu Allah ini dikembangkan melalui penghayatan yang akhirnya menjelmakan keindahan Islam dan rahmatnya ke atas umat manusia sejagat.

Ilmu Tauhid suatu ilmu yang perlu diketahui dan dipelajari. Ia merupakan asas dalam diri seorang Islam. Ibadah tanpa aqidah yang benar menyebabkan amalan tidak diterima dan aqidah tanpa amal tidak membawa sebarang makna. Pelbagai kesangsian yang sengaja ditimbulkan oleh musuh Islam untuk memesongkan orang Islam dari landasan keimanan meraka. Perbincangan mengenai kenabian dan perkara sam'iyyat menjadi subjek utama pengajian tahun 4 Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar cawangan Tanta.

Inilah penerangan secara umum. Semoga di hari mendatang saya dikurniakan Allah untuk berkongsi ilmu yang saya pelajari. Apa yang berada dalam kotak fikiran untuk dikeluarkan tidak mampu ditanggapi dengan pergerakan sepuluh jari tangan ini menaip dan menulis.

Benarlah kata Imam Hassan Al-Banna, kerja kita untuk Islam melangkaui masa yang kita miliki.




Benarkah masa itu milik kita??

Hidup dalam mencari...

Comments