Memperkasa Peranan Media Malaysia

Pendahuluan
Zaman berlalu begitu pantas melewati kehidupan manusia yang kadang-kadang tidak mampu mengikut corak perubahan yang dibawa oleh kemajuan canggih dan globalisasi. Sehinggakan manusia seolah-olah daripada berjalan kembali merangkak mencari langkah yang pasti dalam membawa dan mendukung halajtuju serta matlamat kehidupan yang hendak dicapai. Bebanan kemajuan kadang-kadang menyiksa dan membebankan. Sekiranya sesebuh kelompok atau masyarakat tidak mampu mengikut aliran kemajuan ini, meraka akan dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Malah, sehinggakan kadang-kadang suara mereka dan produktiviti mereka ditolak mentah-mentah.

Kemajuan yang semakin tiada hadnya perlulah dinikmati menggunakan akal yang waras dan dan bertamadun. Menyelami dan menghayati hak-hak asasi disamping mengimbau teladan lalu sebagai rujukan sangat signifikan dalam memanipulasi kemajuan untuk kepentingan universal. Dalam Islam, kemajuan yang dirangkul perlulah bersumber dan berdasarkan Quran, Sunnah, Ijma’, Qias dan sumber sekunder Islam yang lainnya. Agar tidak lari dan terpesong daripada ajaran Tuhan, segala perancangan dan gerak kerja perlulah diteliti dan dikawal setiap masa.

Media di Malaysia tidak dapat lari daripada menerima tempias kemajuan ini. Kini media telah mampu menembusi saluran-saluran akhbar, media, televisyen, radio, internet, telefon bimbit dan sebagainya. Keghairahan penyampaian maklumat yang kononnya tanpa had dan kononya beretika tidak mampu mendalasi peribadi manusia kearah kehidupan yang benar-benar aman dan harmoni.

Had Media dan Etika
Dalam menyelusuri kemajuan teknologi ini, kita mendapati bahawa sesetengah golongan telahpun kembali merangkak setelah mampu untuk berdiri sendiri. Media yang sepatutnya berdiri di atas prinsip yang hakiki, memberi dan menyampaikan maklumat, mestilah dalam bentuk membawa kebaikan dan manfaat. Ini jelas di dalam Quran yang sangat menegah manusia melakukan kemungkaran bahkan menganjurkan manusia berlumba-lumba melaksanakan kebaikan. Akhirnya media yang dihidangkan penuh dengan perkara kemungkaran, penipuan, penyelewengan, penindasan dan diskriminasi.

Konon diwujudkan sebuah pertubuhan yang mengkaji, menyelia dan seterusnya mempunyai kekuasaan dalam meluluskan sesebuh filem. Andai filem tersebut mempunyai unsur-unsur yang menyalahi adat, etika dan budaya, maka ianya tidak melepasi sistem penapisan. Andai ia selari dengan ciri-ciri yang ditetapkan, maka ia boleh ditayangkan. Namun, pihak ini tidak mampu menjalankan tugas mereka sebaik mungkin. Seolah-olah mereka tidak mempunyai kepakaran yang sepatutnya perlu dipenuhi. Atau panel mereka akan meluluskan sesebuah tanyangan dan filem atau mana-mana yang melalui proses mereka, asalkan ada ‘bahagian’ untuk mereka disamping bertindak sepeti lembu yang dicucuk hidungnya oleh pemerintah. Hatta, apa yang benar dihalang dan apa yang batil itu ditayangkan.

Apakah bergaul bebas itu merupakan budaya Melayu? Apakah ‘gambaran seolah-olah meminum arak’ itu tidak menyalahi etika bangsa Melayu? Dan adakah menayang bentuk badan, membuka baju dan seumpanya merupakan nilai-nilai bangsa timur yang dipertahankan? Adakah ini semua memenuhi citarasa bangsa Melayu? Pastinya tidak! Malah ia sangat bertentangan dengan adab, etika dan cara-budaya seorang Muslim!

Mungkin, kelak ada yang lantang bersuara kerana, semua yang dikatakan tadi berifat kolot dan mundur. Ini tidak melambangkan kemajuan dan kebebasan asasi. Ini menyalahi dengan gaya hidup moden. Namun persoalan timbul, kolot dan mundur ini istilah daripada mana? Pihak mana yang menggunakan istilah ini dan ianya ditujukan kepada siapa? Kemajuan mana yang mahu dijadikan contoh oleh media Malaysia dan kebebasan apa yang dilaung-laungkan? Kebebasan untuk terus merosakkan jatidiri masyarakat? Kebebasan untuk terus merosakkan budaya dan pemikiran remaja serta kanak-kanak? Atau kebebasan untuk terus memasukkan idea, budaya dan pemikiran Barat yang jelas menyimpang dengan budada Melayu dan peradaban Islam?

Hakikat pada hari ini, hiburan berleluasa. Malah hiburan yang ditanyangkan sangat jelas membawa budaya Barat dan mengiklankannya kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, hiburan ini mula dijinakkan di peringkat kanak-kanak lagi dengan diadakan program bersifat melahirkan bakat hiburan muda. Apakah tujuan hidup dalam seseorang anak dan manusia? Mencapai taraf penghibur dan artis terhebatkah? Apakah ini yang mahu dilahirkan oleh negara? Inikah bentuk modal insan yang mahu dilahirkan?

Pada awalnya, kita mungkin mendabik dada dengan pencapaian kita mampu bergerak seiring dan sejalan dengan perkembangan teknologi media. Namun, dalam tidak sedar pemonopoli media seolah-olah keliru dengan tugas dan peranan yang sepatutnya mereka laksanakan. Tugas mereka dalam sebuah negara yang boleh dianggap kecil berbanding Rusia, masih berada di tangga negara-negara membangun di berbanding Amerika dan England jelas telah berjinak-jinak dengan kerosakan etika dan budi media. Media yang dikuasai bukan mahu disalurkan ke jalan yang betul, malah ianya digunapakai untuk menyebarkan propaganda, fitnah dan kekeliruan pemikiran. Saluran elektronik dan komunikasi yang dibentang digunakan tidak mampu memberikan kebenaran kepada masyarakat atau rakyat. Akhirnya rakyat hidup dengan penuh penipuan dan diperbodohkan oleh media.

Tidak dinafikan kedapatan media pada hari ini telah jauh menyeleweng. Tidak tertumpu kepada Barat sahaja namun telah wujud di sempadan Timur. Malah, tidak dinafikan telah berpenyakit kepada media di Malaysia. Media digunapakai untuk menyebarkan provokasi, propaganda dan prejudis yang negatif kepada sidang rakyat. Fitnah kepada orang lain digembur-gemburkan. Mainan politik dijadikan bahan utama. Memenangkan sebelah pihak bukan atas dasar kebenaran, ketatasusilaan dan penuh hikmah serta kredibiliti sebagai pihak media, tetapi penuh dengan perasaan dengki, fitnah, mengadu domba, serta melaksanakan kehendak sesetengah pihak kerana takut atas banyangan. Inikah kebebasan yang mahu dan telah dijadikan panduan oleh pihak media Malaysia pada hari ini?

Politik
Media seharusnya bijak dalam mendepadi isu yang berkaitan politik. Pada hari ini, wujud sekelompok manusia yang menolak politik sebagai salah satu cabang kehidupan mereka. Golongan ini melihat bahawa politik suatu permainan kuasa yang kotor dan menjijikkan. Mereka dijamu bahawa politik ini lebih menjurus perebutan kuasa dan perpecahan masyarakat. Politik yang membawa kepada kekeliruan masyarakat, masyarakat menjadi menyampah dan akhirnya mensisihkan budaya ketimuran yang diperjuangkan selama ini di samping mentafsirkan politik dengan makna yang sangat sempit dan tidak diletakkan pada tempat yang tinggi.

Politik akan melahirkan kuasa dan kuasa inilah yang mampu bertindak sebagai pemerintah dan pemimpin negara. Media seharusnya bekerja dan berjasa kepada negara. Ini kerana negara meruapakan asal atau asas dalam lapangan mentadbir rakyat. Parti yang menang di dalam pilihanraya dan akhirnya bertindak sebagai pentadbir dalam mengurus negara bukanlah satu pihak yang berautoriti penuh dalam pentadbiran sepanjang masa dan zaman. Parti yang kalah dan menang dalam pilihanraya akan silih berganti. Ini bermakna hak pentadbiran akan berubah mengikut parti atau pihak yang menang melalui proses pilihanraya yang telus.


Kedapatan media perdana di Malaysia pada hari ini seolah-olah bertindak berkerja untuk kepartian dan bukan berkerja untuk negara. Media bukan memberi sumbangan, kebajikan dan manfaat untuk negara, tetapi untuk kepentingan kepartian. Adakah parti akan terus memerintah sekiranya kalah di dalam pilihanraya? Bagaimana pula konsep yang akan dibawa oleh media arus perdana ini apabila parti yang mereka dukungi kalah dan tidak lagi menjadi pentadbir negara? Adakah mereka kemudiannya menjadi talam dua muka yang akhirnya melaksanakan tugas sebagai media arus perdana yang menyokong parti lawan yang menang pilihanraya apadahal merekalah dahulu paling hebat dalam memutarbelit berita dan informasi? Atau kelak mereka akan bertindak sebagai media yang bersifat pembangkang bagi menyalurkan berita parti dahulunya sebagai pentadbir negara?

Kejengkelan budaya dan etika media perdana ini sangatlah menjijikkan. Media seolah menjadi medan bukan untuk menegakkan negara dan mendaulatkan agama, tetapi menyalurkan perpecahan dan merosakkan pemikiran masyarakat dan jatidiri mereka.

Media dan Survivor Rakyat
Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan budaya ketimuran sebagai pegangan, perlulah menjadikan Islam itu sendiri sebagai elemen utama dan etika kehidupan serta budaya ketimuran sebagai paksi keperibadian. Media perlu bertindak sebagai medium utama ‘yang tidak kelihatan’ terhadap pertahanan negara. Walaupun kita telah mempunyai angkatan tentera yang sedia berkhidmat untuk tanah air, namun itu adalah barisan kedua. Barisan yang paling paling pantas dan ampuh adalah media. Sebagai contoh, kita boleh melihat bagaimana Taliban telah dikalahkan dengan mainan media terhadap peristiwa WTC terlebih dahulu sebelum serangan oleh Amerika Syarikat. Masyarakat dunia telah menerima kekejaman Taliban dan menimbulkan simpati terhadap Amerika Syarikat. Taliban sebagai pengganas dan Amerika Syarikat sebagai mangsa.

Pengajaran seperti ini perlu diambil berat oleh media Malaysia. Kembali kepada peranan media yang sebenar dalam menyampaikan kebenaran kepada setiap golongan dan lapisan masyarakat merupakan satu langkan permulaan yang baik. Kembali menghayati tanggungjawab sebenar media kepada agama, bangsa dan negara dalam melunasi dan menjadikan realiti segala wawasan, falsafah dan matlamat negara dalam bidang pendidikan, ekonomi, budaya, politik, agama, kemajmukan rakyat dan lain-lain.


Islam
Islam merupakan agama rasmi bagi negara Malaysia. Di dalam perlembagaan, istilah Islam sebagai agama persekutuan memberikan banyak faedah luar kepada agama Islam itu sendiri dan umat Islam. Namun, faedah yang bersifat dalaman dan menyeluruh tidak dapat direalisaikan dalam bentuk yang sebenar kerana pihak pentadbir negara tidak memandang bahawa Islam ini bersifat syumul dan menyuluruh dalam segenap aspek manusiawi.

Agama Islam secara jelas menyenaraikan segala macam sifat keji dan terpuji. Sifat keji adalah untuk dielak bagi memastikan keamanan dan kedamaian masyarakat secara keseluruhan dan sifat terpuji perlu disemai ke dalam jiwa setiap warganegara bagi memastikan tiada onak duri dalam kehidupan majmuk. Setiap warganegara mempunyai hak mereka sendiri yang tidak boleh dilanggar dan Islam sangat meraikannya.

Islam jelas menegah manusia melakukan perbohongan, mengadu domba, menyebarkan fitnah sehingga membawa kepada kekeliruan dan kecelaruan masyarakat. Malah, Islam juga mengarahkan agar setiap berita atau maklumat yang diterima perlulah diselidiki terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada masyarakat agar maklumat yang diterima benar dan sahih daripada sumbernya. Peranan media adalah berbakti kepada negara dan masyarakat demi mempertahankan maruah negara dan bangsa Malaysia. Bukan merosakkan intitusi media dengan menyebarkan segala bentuk prejudis negatif yang akhirnya melemahkan pertahanan negara secara senyap menyusup perlahan-lahan.

Islam mengajak manusia agar hidup dalam suatu sistem yang selamat dan sempurna. Sistem yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan keamanan abadi di akhirat. Islam mengajak manusia agar bersatu dalam melakukan kebaikan dan kebajikan dan menjauhi segala bentuk perpecahan dan kerosakan. Islam menyarankan manusia agar bersungguh-sungguh dalam menegakkan sesuatu kebaikan dan kebenaran. Fikirkanlah apa cara sekalipun, asalkan kebenaran itu diutamakan dan bijak menyampaikan maklumat dalam menjamin kesatuan dan perpaduan pelbagai kaum melalui cara yang dibenarkan. Islam adalah agama untuk penganutnya, tetapi nikmat dan hikmahnya meliputi seluruh alam tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit, kedudukan, jawatan dan lain-lain.

Ketimuran
Budaya ketimuran meliputi budaya majmuk yang hidup subur di Malaysia. Malaysia bukan negara bagi sesuatu bangsa, tetapi merupakan sebuah negara bangsa Malaysia. Masyarakatnya meliputi Bumiputera, Melayu, India, Cina, Sikh dan sebagainya yang terdapat di kepulauan Borneo. Budaya ketimuran dipandang tinggi dan murni oleh seluruh masyarakat Malaysia. Ini kerana ia melambangkan ketinggian akhlak dan budi pekerti, memiliki ciri tradisional yang melambangkan bangsa dan jatidiri. Penuh dengan adab, etika dan bertoleransi dalam muamalat. Inilah ciri ketimuran.

Malangnya, ciri ketimuran ini tidak benar-benar dihayati dan dilaksanakan oleh masyarakat dan media khususnya. Sifat-sifat terkeji masih sebati dalam perancangan dan gerak kerja meraka. Budaya ketimuran yang penuh dengan adab sopan santun, pemalu, bertimbang rasa, mempunyai pertahanan maruah yang tinggi tidak lagi dilambangkan melalui rancangan dan program televisten, drama, filem-filem dan forum-forum hiburan. Kembali kepada adat murni ketimuran adalah langkah yang terbaik dalam menghayati keseluruh semangat berbilang bangsa dan agama tanpa menafikan kehendak Islam. Research and development juga perlu di dalam penayangan segala bentuk rancangan melalui media dan etika serta adabnya perlulah ada. Tidak patut untuk semberono dan mengambil segala macam daripada ‘negara maju’ kerana takut media Malaysia kelihatan kolot, jumud dan ketinggalan berbangding media Barat.

Malaysia sepatutnya memiliki jatidirinya sendiri. Kembali kepada Malaysia yang agama rasminya adalah Islam, masyarakatnya berbilang budaya, ras dan agama, kehidupannya penuh dengan semangat dan adab ketimuran. Berpegang teguh dengan rukun negara yang lima dan merealisasikannya dalam segenap lapangan dasar dan perjalanan negara. Bukan sahaja pihak pemerintah, tetapi jabatan, unit, badan, suranhajaya yang di bawahnya.

Rukun Negara
Kepercayaan kepada Tuhan membawa kepada berpegang teguh dengan kehendak dan suruhan agama. Kabajikan dan kebaikan didahulukan dan segala kerosakan dihindari. Kesetiaan kepada raja dan negara, bukannya kepada kepartian, menyebarkan propaganda, menabur fitnah, kekeliruan kapada rakyat dan merosakkan minda dan pemikiran generasi pelapis. Keluhuran perlembagaan menjadikan setiap pihak, bermula daripada kepimpinan tertinggi sehinggalah seorang tukang sapu bersama-sama mempertahankan kredibiliti perlembagaan. Kedaulatan undang-undang adalah dengan menghormati undang-undang yang menjamin untuk kelangsungan sebuah negara Malaysia. Undang-undang yang diwujudkan untuk menjamin keharmonian negara dan masyarakat dan bukanlah untuk memelihara golongan pemerintah kepartian.

Kesopanan dan kesusilaan seharusnya terpancar jelas melalui akauntabiliti dan karisma pemimpin. Pemimpin seharusnya sebagai idol dan item utama dalam melaksanakan keseluruhan lima rukun negara ini. Inilah sepatutnya kewajipan bagi sesiapa yang mahu masuk ke dalam Dewan Negara mahupun Dewan Rakyat. Inilah kewajipan yang seharusnya ada bagi sesiapa yang mahu menjadi wakil rakyat. Inilah juga yang perlu dilaksanakan oleh pihak media dalam mengeluarkan segala bentuk produk rancangan, berita, program, drama, filem dan lain-lain. Kesopanan meliputi akhlak Islam dan budaya ketimuran. Kesusilaan meliputi penghayatan kepada kesedaran terhadap tanggungjawab terhadap negara, bangsa dan agama.

Penutup
Suatu dosa yang amat besar terhadap media dan tidak akan dimaafkan oleh negara dan masyarakat apabila selama ini media melakukan penipuan dalam penyampaian berita dan maklumat. Dosa media merosakkan pemikiran masyarakat dan pelapis generasi masa hadapan. Suatu dosa besar media merosakkan jatidiri masyarakat Malaysia melalui hiburan yang melampaui tanpa penapisan daripada unsur kebaratan dan yang merosakkan melalui rancangan televisyen, filem-filem dan sebagainya.

Kembalikan hak media. Hayati peranan media dan funginya terhadapa survivor negara. Janganlah kita menjadi setitik nila yang bakal menyebabkan keseluruhan susu binasa.

Dari sisipan mataku.

Hidup dalam mencari...

Comments