Mengetahui Hakikat Modal Insan

Menjelang RMK-9: Modal insan agenda utama kerajaan

PEMBANGUNAN modal insan akan terus menjadi antara agenda utama program pembangunan negara pada masa akan datang selaras usaha membentuk individu berketrampilan dan berkualiti dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sehubungan itu, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tempoh antara 2006 dan 2010 yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jumaat ini dijangka memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan.

Antaranya, ia meliputi usaha membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya.


Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Teknologi Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Mohd Salleh, berkata pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi.

“Modal insan mempunyai dimensi yang luas iaitu daripada aspek individu, masyarakat dan ekonomi.

“Dengan memperkukuhkan modal insan itu sendiri, ia akan menggalakkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Bagi negara yang mana aset materialnya rendah seperti Korea Selatan dan Jepun, mereka berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan dapat membantu memajukan diri dan negara setanding negara maju lain.

Kejayaan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.

“Dengan nilai modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai. Rakyatnya mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja terhadap negara, malah pekerjaan.

“Kita mahu masyarakat Malaysia menjadi orang berilmu, berkemahiran dan memiliki integriti yang tinggi,” katanya sambil menekankan bahawa peranan pembangunan sosial perlu diseimbangkan dengan pembangunan fizikal.

Dalam pada itu, Di Ismail berkata modal insan juga mampu meningkatkan mobiliti masyarakat dalam membentuk anjakan paradigma ke arah mencapai masyarakat yang cemerlang.

Justeru, pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan di kalangan rakyat supaya mereka memahaminya dan memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamat.

“Pemahaman rakyat terhadap pembangunan modal insan itu sendiri mungkin tidak menyeluruh. Ada yang berpendapat ia membabitkan aspek pendidikan dan yang lain pula melihatnya sekadar latihan saja,” katanya sambil menambah nilai adalah perkara subjektif untuk ditaksirkan.

Tumpuan terhadap pembangunan modal insan juga dapat mengurangkan jurang pendidikan serta taraf hidup di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyedari bahawa jurang itu kini semakin melebar.

Dalam bidang pendidikan sebagai contoh, walaupun ada di antara sekolah luar bandar yang mempamerkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini, secara keseluruhannya perbezaan masih ketara berikutan kurangnya kemudahan dan guru berpengalaman.

Dr Ismail berkata, ada beberapa perkara berkaitan pendidikan yang akan menjadi tumpuan pada RMK-9 iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan supaya menjadi sekolah pilihan dan merapatkan jurang pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Antara lain, kerajaan akan memberikan tumpuan terhadap usaha meningkatkan kerjaya perguruan dan menyediakan graduan yang dikehendaki pasaran melalui usaha menambah kemahiran dan kecekapan mereka dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Untuk tujuan itu, kerajaan dijangka memperuntukkan kira-kira RM40 bilion bagi pendidikan dan latihan.

Aspek lain yang akan diberi penekanan dalam RMK-9 ialah berhubung pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan di kalangan rakyat.

“Walaupun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan tinggi dan menggalakkan, jurang pendapatan di kalangan masyarakat juga semakin melebar. Ini berlaku kerana pengagihan kekayaan yang tidak merata.

“Sepatutnya dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan, pada masa sama jurang pendapatan di antara rakyat dapat dikecilkan,” kata Dr Ismail.

Dalam pada itu, RMK-9 dijangka dapat memberi nafas baru kepada pertumbuhan sektor swasta yang menjadi enjin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Bidang baru seperti bioteknologi, perkhidmatan dan sektor pertanian adalah antara yang bakal menjadi tumpuan RMK-9.

Rancangan pembangunan lima tahun kali ini juga dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki ketidaksamarataan sosio ekonomi dengan mengambil pendekatan berbeza berbanding sebelumnya.

Selaras saranan Abdullah supaya memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan peningkatan daya saing, RMK-9 juga dijangka menumpukan kepada sistem penyampaian. Tiada makna jika negara mempunyai perancangan yang baik, tetapi gagal dilaksanakan.

Note: sumber: Berita Harian. 30/3/2006

Perkara yang hendak dicapai oleh kerajaan melalui Modal Insan:

1- Umumnya ke arah membentuk individu berketrampilan dan berkualiti;

2- Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya;

3- Penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi;

4- Menggalakkan peningkatan produktiviti negara, sekali gus akan menjana pendapatan lebih baik di samping mewujudkan peluang pekerjaan;

5- Pembangunan modal insan dapat membantu memajukan diri dan negara setanding negara maju lain;

6- Masyarakat Malaysia menjadi orang berilmu, berkemahiran dan memiliki integriti yang tinggi;

7- Rakyat yang mempunyai kesetiaan tinggi bukan saja terhadap negara, malah pekerjaan;

8- Mengurangkan jurang pendidikan serta taraf hidup di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

*********************************

Modal Insan Menurut Islam
Oleh : Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa. Carilah bekalan, sebaik-baik bekalan adalah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita memberi perhatian kepada perkara hangat yang diperkatakan kini iaitu yang berkaitan dengan modal insan. Persoalannya ialah modal insan untuk apa?

Perkara ini difahami mengikut ideologi dan fahaman masing-masing. Ideologi yang berteraskan kebendaan menyatakan bahawa modal insan adalah menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang meningkat sama ada ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis.

Mereka memberi penekanan bahawa manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan.

Adapun Islam, agama Allah SWT melihat modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT. Allah telah menetapkan tiga tujuan manusia dijadikan di muka bumi.

Pertama, supaya mereka beribadat kepada Allah, dengan makna mengabdikan diri, tunduk kepada semua perkara yang diperintah oleh Allah.

Perkara kedua adalah manusia dijadikan sebagai khilafah dengan tujuan untuk mentadbir bumi Allah dengan agama Islam.

Ketiga adalah untuk memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah sama ada dalam ibadat atau melakukan khilafah.

Bagi menyempurnakan semua perkara itu, maka manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah. Sekiranya tidak, maka modal insan itu akan menempah kerugian.

Allah SWT telah menetapkan acuan di dalam al-Quran (maksudnya): Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al-Asr: 1-3)

Imam As-Shafie menegaskan, sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan hanya ayat ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka. Betapa pentingnya surah ini bagi membangun insan sehingga salafusoleh di kalangan sahabat dan tabiin mengakhirkan majlis dengan surah ini.

Allah SWT telah menetapkan bahawa insan yang dinamakan manusia itu tidak ada erti dan tiada makna bahkan hanya membawa kerugian sekiranya tidak menyempurnakan perkara-perkara yang disebut iaitu pertamanya beriman, kedua mengerjakan amal yang soleh, yang ketiga berpesan dengan perkara yang benar dan keempat, berpesan dengan kesabaran.

Iman merupakan perkara yang penting bagi diri mansuia. Segala amalan manusia ditolak oleh Allah sekiranya tidak berlandaskan kepada iman yang tepat dan betul sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah serta diajar oleh para nabi dan rasul-rasul. Betapa pentingnya iman menjadi modal kepada kehidupan manusia.

Apabila seorang sahabat, Sufian bin Uyainah bertanyakan Rasulullah s.a.w.: Wahai Rasulullah, terangkan kepadaku berkenaan dengan Islam, sesuatu yang aku tidak perlu bertanya lagi selain engkau. Jawab Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamah. Beristiqamah dengan pengertian mengikut jalan yang betul, jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., yang sempurna dan lengkap. Bermula hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini.

Perkara iman disempurnakan oleh Rasulullah s.a.w. secara praktikal dalam perjalanan hidupnya. Iman tidak cukup dengan hanya percaya sahaja tanpa keyakinan di dalam hati.

Dalam masa yang sama, iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman. Sekiranya sekadar iman, dalam masa yang sama membenarkan gejala murtad, hiburan yang keterlaluan, mencabar dan melanggar hukum Allah, maka insan yang tiada iman itu tidak akan menjadi modal, bahkan rugi di dunia dan akhirat.

Sebaliknya iman itu mestilah disempurnakan dengan amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah.

Dalam pengertian yang lain, mestilah melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar.

Maka bagi merealisasikan modal insan itu, perlulah berpandukan kepada kebenaran yang dinyatakan oleh Allah.

Yang benar hanya Islam manakala yang lain adalah palsu. Kita juga diwajibkan berpesan-pesan dengan kebenaran kerana kebenaran itu terlalu banyak halangannya. Allah Taala menguji kehidupan dengan dikelilingi dengan perkara-perkara yang batil sejak Nabi Adam a.s.

Oleh kerana cabaran kebenaran itu terlalu banyak, maka ia perlu kepada kesabaran. Hanya mereka yang sabar sahaja dapat memelihara imannya, sebaliknya yang tidak sabar akan terjerumus dalam kehancuran.

Firman Allah (maksudnya): Alif, lam, mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedang mereka tidak diuji. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdosa. (Al-Ankabut: 1-3)

Perlu difahami bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran akan mendapat kemenangan. Manakala mereka yang tidak membina insannya, tidak beramal soleh serta tidak menegakkan kebenaran, bermakna mereka tidak mempunyai modal insan, bahkan insannya musnah serta hancur di dunia dan akhirat.

Firman Allah (maksudnya): Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi banyak bagi mereka tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali Imran: 110)

Pembangunan Modal Insan Menurut Islam

1- Bertentangan dengan ideologi kebendaan (metarialistik) yang menggunakan manusia bagi memajukan negara untuk mendatangkan hasil ekonomi serta kemajuan kebendaan yang bersangkutan dengan ideologi sosialis, komunis mahupun kapitalis. Manusia menjadi modal insan untuk melahirkan manusia yang memberi kemajuan dari segi kebendaan;

2- Modal insan itu mestilah berpandukan acuan serta ketetapan daripada Allah SWT melalui tiga tujuan manusia dijadikan di atas muka bumi iaitu (a) beribadat kepada Allah, (b) manusia dijadikan sebagai khilafah untuk mentadbir bumi dan (c) memikul amanah dalam menunaikan perintah Allah;

3- Manusia itu mestilah dibentuk mengikut insan yang telah ditetapkan acuan oleh Allah dan berpandukan kebenaran yang dinyatakan oleh Allah;

4- Menyempurnakan perkara-perkara yang berkaitan dengan (a) keimanan, (b) mengerjakan amal yang soleh, (c) berpesan dengan perkara yang benar dan (d) berpesan dengan kesabaran;

5- Beriman kepada Allah dan istiqamah;

6- Mengikuti syariat dalam perkara yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan dirinya sendiri, keluarganya, masyarakatnya serta hubungannya dengan makhluk-makhluk yang lain dalam kehidupan ini;

7- Keimanan yang disempurnakan secara praktikal melalui amal yang soleh, mengerjakan ketaatan dalam perkara yang diperintah oleh Allah serta meninggalkan segala perkara maksiat, yang ditegah oleh Allah (melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar);

8- Iman itu mestilah dipelihara daripada perkara yang membatalkan iman;

9- Mereka yang berada atas dasar kebenaran serta berpesan dengan kesabaran;

10- Menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah.

*********************************

Modal Insan bolehlah dikatakan sebagai bekalan atau persiapan yang mahu diwujud dan disediakan oleh generasi hari ini daripada diri manusia itu sendiri. Modal yang berbentuk pembentukan ciri-ciri generasi yang memenuhi kriteria yang melengkapi keseimbangan unsur-unsur kemanusiaan sempurna.

Pastinya modal insan ini menjadi sumber yang terpenting dalam mencapai kemajuan sejagat yang bukan sahaja berbentuk material semata-mata tetapi lebih kepada keseimbangan rohani, fizikal, emosi dan intelektual. Bukan sahaja kemajuan dalam bidang teknologinya, tetapi juga keharmonian sosial kemasyarakatan, politik dan ekonomi.

Wallahu a'lam.

Hidup dalam mencari...

Comments