Bila Subjek SPM Dihadkan...

Ini rentetan apa yang telah berlaku setakat ini melalui media.

22 Mei 2009 - Kaji hadkan ambil subjek SPM - TPM

23 Mei 2009 - STU sokong hadkan subjek SPM

28 Mei 2009 - Maksimum 10 subjek SPM mulai tahun depan

30 Mei 2009 - Maksimum 10 subjek SPM: MIC bantah

2 Jun 2009 - Tempoh seminggu kemuka syor hadkan subjek SPM

Apakah sebenarnya SPM ni?
Sijil Pelajaran Malaysia atau SPM adalah sejenis peperiksaan yang dianjurkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Usia purata pelajar semasa mengambil SPM ini adalah 17 tahun, iaitu semasa di Tingkatan 5. Ia merupakan ujian terakhir pendidikan menengah atas.

Antara alasan yang diutarakan ialah:

"Menurut Alimuddin, langkah kerajaan mengehadkan pengambilan bilangan subjek dalam SPM bertujuan mengurangkan fokus pelajar terhadap bidang akademik sahaja sebaliknya mereka juga perlu mengimbangi kemampuan dengan kemahiran lain.

"Ini juga sebahagian usaha kerajaan untuk mempersiapkan modal insan yang bukan sahaja memperolehi keputusan cemerlang malah mempunyai nilai tambah sebagai persiapan sebelum menjejak kaki ke alam pekerjaan," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan kerajaan mengurangkan bilangan subjek teras dalam SPM daripada enam kepada empat subjek, beliau berkata, pihaknya masih belum menentukan subjek yang akan dikekalkan setakat ini." -Sumber Utusan Malaysia

Antara alasan yang lain ialah "Guru akan lebih khusus dan berupaya memberi tumpuan lebih terhadap bilangan mata pelajaran utama".

Maka pihak Presiden STU pun memberi pandangannya...

Presiden STU, William Ghani Bina berkata, langkah mengehadkan jumlah mata pelajaran yang diambil calon peperiksaan itu akan membolehkan pelajar berkenaan memberi lebih penumpuan kepada sesuatu subjek terutamanya kepada subjek teras.

Katanya, langkah itu juga akan mengurangkan beban ibu bapa yang sebelum ini terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku teks dan rujukan.

"Selain itu, ia juga akan membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk berfikir," ujarnya di sini hari ini. - Sumber Utusan Malaysia

Saya sebenarnya masih musykil. Apakah seorang yang mempunyai status sebagai Presiden Kesatuan Guru memberikan ulasan dan pandangan mengikut ilmu, kepakaran dan pengalamannya atau hanya semata seolah-olah ayat mengampu. Memuji-muji dasar-dasar yang baru tanpa sebarang sandaran yang kukuh. Sepatutnya ia tidak jadi begini... Ulasan yang tidak mempunyai sebarang nilai, hanya copy dan paste ayat-ayat pemimpin yang lain.

Saya benar-benar tertarik dengan berita daripada pihak Harakahdaily yang dipetik daripada ulasan Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Antara sebab yang tidak me'logik'kan tindakan tersebut seperti yang disebut oleh Dato' Mahfuz:

1- Mengapa perlu kita menghalang kecemerlangan pelajar dengan hanya isu remeh iaitu persoalan biasiswa?

2- Bersifat meminggirkan sekolah agama yang kebanyakan pelajarnya akan mengambil lebih 10 mata pelajaran.

Apabila saya mendapat tahu tentang berita ini, yang berkaitan dengan pelajaran, saya teringan dengan posting oleh Ustaz Hasrizal di dalam blognya, Saifulislam.com yang bertajuk 'Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya'. Ya memang benar, di dalam blognya hanya menceritakan mengenai pendidikan dan subjek anaknya yang berada di sekolah rendah. Ini isu SPM bukan? Isu subjek sekolah rendah, subjek SPM, bukankah kedua-duanya merangkumi skop pendidikan negara?

Pada saya, komen yang diberikan oleh Dato' Mahfuz secara asasnya sudah memadai untuk menolak dasar ini. Suatu dasar yang masih tersangat longgar prinsip, matlamat, visi dan misinya untuk dilaksanakan. Komen yang diberikan di dalam Tranungkite juga boleh menolak alasan yang diberikan untuk mewujudkan dasar ini.

Apabila saya membaca sebahagian komen daripada pembaca di dalam Tranungkite terhadap isu ini, ada yang mengatakan ia adalah yang terbaik. Kerana apa katanya? Kerana tiada gunanya pelajar tersebut mendapat 20 A tetapi jenis yang ulat buku dan 'seperti katak di bawah tepurung'.

Kenapa perlu dipersalahkan orang yang jenis 'ulat buku'? Bukankah ianya baik? Mengenai perumpamaan 'katak di bawah tempurung' ianya bukan salah kepada bilangan matapelajaran yang diambil. Tetapi ia lebih kepada salah individu yang memang mahu menjadikan dirinya sebagai 'katak' dan mungkin juga sesetengah pihak sekolah tidak benar-benar menggunakan pelajar ini agar aktif berpersatuan. Kalau pun ia 'ulat buku' tapi dapat 20 A, sekurang-kurang ada adalah juga ilmu di dada. Kenapa tidak diperbincangkan secara lumat mengenai permasalah pelajar yang gagal di peringkat PMR dan SPM dan kaedah bagaimana untuk mengatasinya? Orang yang sudah pandai mahu disekat, yang gagal, mungkin akan terus gagal...

Ya, benar. Kemungkinan ada juga ia berkaitan dengan guru, duit beli buku, masa guru, biasiswa dan sebagainya. Mengapa tidak ianya diselesaikan dalam peringkat yang berkenaan. Biarlah pihak biasiswa berbincang sesama mereka untuk mengatasi masalah biasiswa mereka, pihak guru dengan kesatuan gurunya dan pihak pelajar dengan melihat kemampuan diri, keluarga, keperluan dan berbincang dengan guru motivasi. Bukankan lebih baik setiap peringkat berbincang melalui peringkat mereka masing-masing?

Ini masalah pendidikan negara. Ini juga merupakan masalah yang berkaitan dengan masa depan negara. Biarlah sesuatu dasar itu dilakukan untuk menjamin kedaulatan dan keharmonian negara, bukan menjadikan ia seperti 'lapang sasar' yang dijadikan sasaran oleh pihak yang mahu melihat Malaysia ini 'jatuh'!

Pada saya, marilah kita kembali kepada Dasar dan Falsafah Pendidikan negara.

Falsafah pendidikan negara menyatakan:

"Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Dasar Pendidikan Negara:

Objektif:
1. Menyatukan kanak-kanak sekolah daripada pelbagai kaum dan menyediakan tenaga kerja yang mencukupi untuk tujuan pembangunan negara (Digariskan dalam Penyata Razak- 1956)
2. Menggalakkan perkembangan sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan (Akta Peljaran - 1961)
3. Membantu melahirkan tenaga kerja terlatih untuk jangka pendek dan panjang, bersatu dan berdisplin
4. Mewujudkan sistem pendidikan yang lebih berkualiti dan bertaraf antarabangsa
5. Memastikan sistem pendidikan berupaya menangani perkembangan sains dan teknologi semasa

Apabila dilihat, menghadkan bilangan matapelajaran yang diambil speryi telah bertentangan dengan apa yang dinayatakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu 'mewujudkan pensijilan terbuka di peringkan SPM'.

Perlulah diketahui bahawa kurikulum yang disusun di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah adalah untuk menghadapi dan mengalami isu-isu tertentu yang berlaku disekitar kehidupan seseorang pelajar. Isu -isu tersebut ialah:

1- Perpaduan Negara

2- Pendidikan Moral

3- Kesepaduan Nilai

4- Patriotisme

Apa yang saya lihat, penetapan had terhadap subjek-subjek yang boleh diambil di dalam SPM boleh memberi kesan terhadap khususnya kepada isu kedua dan ketiga dan umumnya isu pertama dan keempat.

Terdapat ramai pihak yang telah menyatakan mengenai 'Pendidikan Bertaraf Dunia', 'Persediaan Mahasiswa Cemerang Menjelang 2020' dan sebagainya. Perlunya kita berfikir dengan lumat adakah dengan terlaksananya dasar ini mampu memberikan pulangan kepada agama, bangsa dan negara kelak? Adakah ia mampu untuk dijadikan modal dalam mewujudkan pendidikan bertaraf dunia dan persediaan mengahadapi Wawasan 2020? Dasar pendidikan terbuka yang perlu lebih dipertingkatkan, bukan disempitkan pendidikan tersebut.

Beberapa pihak telah menyatakan akan kebimbangan mereka terhadap orientasi pendidikan negara yang ke arah bersifat sekular (mungkin juga sudah dikatakan sekualar) apabila wujud pengasingan sekolah-sekolah aliran agama dan sekular. Kebimbangan yang diluahkan ini berdasarkan apabila situasi ini berlarutan, maka falsafah pendidikan negara tidak akan dapat dicapai.

Di dalam pendidikan, setiap subjek mempunyai cara dan formula tertentu dalam menghayatai dan mengamalkan ilmu daripada subjek tersebut. Ia memerlukan ketajaman, kecekapan otak serta kreativiti dalam menyelesaikan masalah, kebolehan mengeluarkan idea dan sebagainya. Apabila subjek yang hendak diambil dihadkan, maka seseorang yang mungkin mempunyai kemampuan dalam penguasaan setiap apa yang dipelajari akan terbatas, terhad dan terhalang kemampuan serta kebolehannya. Bukankah ianya sangat merugikan negara kelak?

Melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan progresif bukanlah dengan melakukan perubahan dan penetapan dasar yang bersifat cabang. Tetapi, sekiranya mahu benar-benar melahirkan modal insan yang benar-benar diperlukan oleh negara, perlulah diubah daripada sedasar-dasar segala dasar yang ada. Menjadikan ISLAM sebagai sistem, peraturan, undang-undang, rujukan, batu ukur dan matlamat dalam seluruh perjalanan kehidupan manusia. Baik dari segi politiknya, pendidikannya, ekonominya, sosialnya, pengurusannya, pentadbirannya dan selain daripada itu.

Seseorang mahu menjadikan pohon yang ditanam berwarna-warni dengan bunga yang indah. Untuk memastikan ianya menghasilkan bunga yang indah, perlulah ditanam biji benih bunga, bukan biji benih pohon ru. Perlulah dijaga akarnya agar tidak menjejaskan penerimaan air dan nutrien daripada tanah yang akhirnya menghasilkan pohon bunga nan indah lagi kukuh batang, dahan dan rantingnya.

Insan yang tidak banyak ilmu dan pengalaman di dada. Memohon segala salah dan silap.

Hidup dalam mencari...

Comments

Balqis said…
Assalamualaikum Hamizan,

Alhamdulillah. Saya ingat nak buat entri pasal ini juga bila baca berita pada 22 Mei tempoh hari. Nasib tak buat lagi sebab saya punya pendapat agak bertentangan sikit dengan Hamizan waktu itu. Hehe...

Apa pun sudah baca pendapat Hamizan dahulu, bolehlah saya fikir-fikirkan kembali pro dan kontranya dasar baru ini.

Itu sahaja, wassalam.
al-hakim said…
Kepada BalQis

Wa'alaikumussalam. Owh, seoalah-olah Balqis setujulah dengan dasar tersebut? Tidak mengapa kerana itu pandangan Balqis.

Mungkin sahaja dasar ini sengaja diwar-warkan terlebih dahulu kepada awam untuk menerima pendapat daripada pelbagai pihak. Harap-harap ia tidak jadi seperti isu PPMSI yang akhirnya timbulnya banyak permasalah dan pelbagai kontraduksi daripada pelbagai pihak termasuk tokoh dan pakar bahasa sendiri.

Sekiranya setiap dasar yang ingin dibuat hanya untuk bahan ujikaji yang tidak bersifat sempurna, maka tunggulah kerosakannya nanti..
Balqis said…
Itulah, saya sedang memikirkannya kembali. Tidak boleh hentam keromo sahajakan? Bukanlah saya bersetuju sungguh-sungguh. Tetapi benar-benar memikirkan baik dan buruknya. Sewaktu membaca berita ini dahulu, saya rasa ada baiknya juga. Tetapi sekadar membaca sepintas lalu tanpa disokong faktalah. Justeru perlu melihat kepada lebih banyak aspek lagi.

Hurm...
al-hakim said…
Saya menulis berdasarkan fakta bebentuk zahirnya sahaja daripada bahan yang saya perolehi. Namun, fakta dari segi penilain dan perbahasan yang mendalam terhadap dasar atau apa-apa yang saya sertakan dalam entri tidaklah saya ketahui. Bukankah itu sahaja yang saya mampu? Sebab saya bukan 'ahli'nya dalam membincangkan isu dan dasar ini.. Jadi, pada pandangan Balqis apa baiknya dasar ini? Mungkin Balqis perlu juga menulis mengenainya di dalam blog..!!
Balqis said…
Er, Hamizan. Saya bercakap tentang diri saya dalam komen sebelumnya. Maksudnya semasa membaca itu saya hanya fikirkan dan fahamkan alasan yang diberi Muhyiddin Yassin. Saya tidak membaca sumber lain selepas itu, jadi saya tidak bolehlah hentam keromo sahaja. Bukan saya maksudkan kamu, ya. (Takut, bunyinya macam kamu marah, huhu)

Hurm, mahu tulis tetapi imtihan semakin mendekati. InsyaAllah, andai betul-betul diizinkan Allah adalah entrinya. (Mungkin sebelum ini tidak jadi menulis kerana tidak diizinkanNya? Mungkin perlu lebih banyak berfikir)

Apa pun terima kasih kerana menulsi dahulu, banyak hikmahnya pada saya.

Rabbuna yusahhil untuk imtihan seterusnya, belum habis lagikan?

Wassalam.
al-hakim said…
Nadanya seperti marahkah? Erm, bukan itu sebenarnya. Tiada marah. Saya merasakan seperti berlaku perdebatan pula dengan Balqis, hakikatnya tidak.

Semoga Allah permudahkan Balqis untuk peperiksaan yang bekal menjelang. Terima kasih atas komen yang diberikan.

Saya belum habis lagi, esok satu madah, hadith dan syafawi tafsir sedang menunggu..