Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Sejak kecil saya mengakui, tidak berapa kenal perkara yang berkaitan dengan tasawwuf. Lebih-lebih lagi istilah 'tarekat' dalam bahasa Melayunya. Dalam istilah Arab ialah 'thariqah' yang berbakna jalan.
Dulu pernah suatu ketika, di bersebelahan bangunan PWTC, yang menghadap Lagend Hotel, saya ternampak seseorang. Seseorang yang berjubah putih, ala-ala gamis, berseluar putih berserban tebal dan berkopiah tinggi tirus ke atas. Tidak pasti sama ada dia memakai kasut atau selainnya. Apa yang pasti, pada waktu itu memang sesuatu yang amat ganjil dalam pandangan diri saya. Siapakah orang ini? Lain dari yang lain. Saya pernah nampak orang sebegini, tetapi tidak tahu siapakah mereka. Berdebar-debar rasanya.
Masa berlalu...
Sehingga ke suatu hari di KUIS, saya mengenali seorang teman yang cukup istimewa. Daripadanya saya mengenali tarekat serta perkaitan dengan tasawwuf. Tidaklah daripadanya, mengajarkan kepada saya segala yang berkaitan. Namun disebabkannya, saya semakin ingin mengenali apakah tarekat ini. Hakikatnya, perkara yang berkaitan tasawwuf telahpun saya pelajari secara tidak langsung. Setelah itu barulah sedikit demi sedikit semakin memahami apakah ia hasil daripada pembacaan buku dan rujukan daripada internet.
Di sini saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana telah memperkenalkan saya mengenai tarekat. Syukur saya ucapkan. Sedikit ruang telah terbuka kepada saya mengenali sesuatu yang sepatutnya dari awal saya ketahui dan pelajari. Semoga Allah merahmati dan memberkati kamu sekeluarga.
Sejak itu, saya cuba mengenali dan memahami apakah itu tarekat. Sedikit demi sedikit. Sehingga tiba di Mesir, perkataan tarekat ini seperti menjadi kebiasaan. Malah, di mana-mana boleh kelihatan amalan-amalan tarekat yang yang pelbagai. Perkaitannya dengan ilmu tasawwuf semakin jelas. Saya sendiri pernah mengikuti majlis zikir oleh beberapa kumpulan tarekat untuk mengenali dan mendalami.
Di Mesir pelbagai tarekat yang diamalkan. Saya menginap di Tanta. Di Tanta terdapat tarekat Syazuliyah, Naqsyabandiyah, Ahmadiyah, Khaliliyah dan sebagainya. Para syeikh Azhar sendiri, mereka semua pasti ada mengikuti mana-mana tarekat yang terdapat di Mesir ini.
Fasa ini, terdapat madah tasawwuf menggunakan kitab al-Tasawwuf al-Islami fi Mizan al-Quran wa al-Sunnah. Penulisnya ialah Doktor Abdullah Yusuf asy-Syazuli, seorang bekas pengajar di Universiti al-Azhar cawangan Tanta sendiri. Namun kini, peluang untuk berjumpanya sangat susah. Kalau sebelum ini mudah bertemu kerana memberi kuliah tafsir di Masjid Medan Sa'ah, tetapi akibat halangan daripada pihak polis, akhirnya kami pelajar Malaysia di sini tidak dapat mengahadirinya lagi. Kuliah doktor telah dimansuhkan dan tidak dibenarkan. Mungkin kerana doktor ada kaitannya dengan Ikhwan Muslimin.
Walau apapun, madah tasawwuf adalah madah yang terpenting bagi saya. Dalam membentuk diri dan jiwa serta memperkemas dan memperbaiki hati-hati yang sentiasa lalai dan mengikut nafsu. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat kepada semua yang membawa bersama diri ini meniti jalan menuju kepada-Nya.
Hidup dalam mencari...
Comments