Perlu Lebih Prihatin Sepatutnya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Saya agak terkejut apabila membaca berita daripada Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Mayat berulat menonton TV ditemui selepas empat hari". Berita yang betul-betul menarik perhatian saya. Hati tertanya-tanya, bagaimana kejadian ini boleh berlaku? Dan sepatutnya ia tidak berlaku di sebuah negara yang rata-rata masyarakatnya masih mengambil berat tentang adat dan hukum Islam. Insya Allah.

Menurut berita yang ditulis, mayat tersebut merupakan seorang muallaf warganegara Indonesia, baru memeluk Islam. Saya terlepas untuk menyertakan bersama gambar kerana daripada arkib Utusan Malaysia Online, tidak disertakan sekali gambarnya.

Saya sendiri pernah pergi ke kawasan yang bernama Sedili tersebut dan saya mengakui temaptnya agak jauh ke pedalaman. Seorang rakan saya, tinggal di Sedili Kecil. Terdapat daerah Sedili Kecil dan Sedili Besar dalam kawasan Kota Tinggi, Johor.

Saya yakin bahawa penduduk di sekitar tersebut merupakan orang Islam. Sekiranya salah, pembaca mendapatinya salah, sila perbetulkan.

Pada pendapat saya, apabila berita menyatakan bahawa A. Rahim tersebut baru memeluk Islam, maka sekiranya daia memeluk Islam di Malaysia, pastinya ia tertakluk di bawah pantauan PERKIM. PERKIM semestinya mempunyai maklumat yang cukup mengenai senarai muallaf di seluruh negara. Walaupun sekiranya dia memeluk Islam di masjid tertentu atau tok imam tertentu, seharusnya maklumat ini terus disampaikan kepada PERKIM cawangan negeri atau pusat.

Gah juga bunyinya apabila ditulis visi utama PERKIM ialah 'Menjadikan PERKIM sebagai NGO dakwah sejajar dengan wawasan 2020. Manakala misi utamanya pula 'Menjadikan PERKIM sebagai sebuah NGO penggerak dakwah terunggul untuk memberi sokongan kepeda institusi Islam di Malaysia dan Antarabangsa'. Cukup gah bunyinya dan saya tidak nafikan. Namun, sejauh manakah perlaksanaannya?

Antara misi PERKIM iaitu 'Menjalankan semua kerja kebajikan termasuk memberi bantuan derma, biasiswa dan dermasiswa kepada sesiapa yang berkelayakan dan menjalankan lain-lain amal jariah kepada yang sakit, miskin, susah dan daif' perlulah dilaksanakan sebaik mungkin.

PERKIM di bawah Bahagian Dakwah atau Kebajikan perlu mengambil berat mengenai prospektis bidang kuasa masing-masing. Ini kerana, kedua bahagian ini pada hemat saya terlalu penting dan boleh dianggap sebagai tujuan utama kenapa PERKIM ini ditubuhkan. Khidmat dakwah dan kebajikan yang diberikan pastinya tertumpu kepada muallaf baru mahupun lama.

Sekadar hiasan.

Di sini saya ingin memberi beberapa pandangan:-
Pertama; Melalui objektif, misi, visi dan sebagainya yang disenaraikan oleh pihak PERKIM, hanya mereka yang dikhususnya untuk bertindak melaksanakan pengurusan saudara baru dan berkaitan dengan mereka. Maka, sewajibnya, skop tugasan ini perlulah menjadi tujuan dan matlamat utama berbanding yang lain. Jangkauan sehingga wawasan 2020 itu bukanlah suatu kesalahan, namun perlu bertindak dari hari ini dan dari sekecil-kecil perkara yang berkaitan dengan dakwah dan kebajikan saudara baru. Jangan sehingga tiba wawasan yang diimpikan itu, namun kebajikannnya masih di takuk 50 tahun ke belakang. Bagi orang Islam, sudah terlalu banyak yang berbetuk kebajian dan sebagainya, tetapi untuk saudara baru hanya PERKIM yang ditugaskan khusus.

Kedua; Semestinya setiap maklumat terbaru mengenai muallaf seharusnya sampai ke pihak PERKIM peringkat negeri mahupun pusat melalui masjid-masjid. Ini kerana, saya merasakan bahawa hanya pihak masjid sahaja (yang terdiri daripada AJK masjid, Imam, Bilal dan para siaknya) yang berautoriti terhadap proses pengislaman mana-mana individu. Nama para muallaf ini perlulah lengkap berdasarkan pengisian borang dan sebagainya. Ini adalah prosedur rasmi bukan?

Apabila di dalam borang tersebut dinyatakan sekali tarikh pengislaman, hubungan kekeluargaan dan sebagainya, ini pastinya akan memudahkan pihak yang bertanggungjawab, khususnya PERKIM untuk melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan mereka. Maka, penyelarasan dan pengurusan maklumat ini (data base) perlu dikemaskini dan diperkemaskan. Ini agar segala butiran saudara baru tidak tercicir untuk dilaksanakan proses dakwah dan kebajikan. Taraf kewarganegaraan jangan dijadikan sebab untuk kita mengabaikan sebarang permohonan dan proses pengislaman mana-mana individu. jadikan perkara agama lebih utama daripada kewarganegaraan.

Ketiga; Saya beranggapan perlunya suatu mekanisme yang terbaik untuk memastikan tujuan dakwah dan kebajikan benar-benar sampai kepada mad'unya iaitu golongan saudara baru ini.

Pengwujudan kumpulah usrah adalah langkah asas. Umumnya telah mengetahui tujuan, konsep dan manhaj pembawakan usrah ini. Dengan platform usrah ini sebenarnya dapat membantu saudara usrah junior dan senior saling merapatkan ukhuwah. Ia juga boleh terdiri daripada seorang naqib (yang berkelayakan daripada pihak PERKIM sendiri), muallaf senior dan muallaf junior. Saya amat yakin, andaikata usrah ini benar-benar dilaksanakan mengikut manhaj dan etikanya, tidak mustahil ta'aruf, tafahhum dan takaful itu benar-benar dapat dijayakan. Di sana perlu diwujudkan suatu manhaj dan pembawakan terbaik untuk golongan ini.

Keempat; Daripada perlaksanaan usrah ini juga, lebih baik sekiranya diwujudkan konsep 'taakhi' atau mentor bagi setiap saudara baru. Walaupun tidak sepanjang hayat, namun sekurang-kurangnya mempnyai tempoh tertentu terhadap setiap muallaf. Ia boleh diwujudkan berdasarkan kepada tempoh atau skala penghayatan muallaf tersebut terhadap Islam. Andai telah diyakini bahawa muallaf tersebut telah mampu mebawa dirinya sebagi seorang Islam, maka dia tidak lagi diperlukan. Namun, pada saya, konsep taakhi atau mentor ini perlu diteruskan sepanjang hayat.

Dengan adanya mentor atau taakhi, maka mentor dan taakhi ini dapat 'mengambil tahu' terhadap anak mentornya atau taakhinya. Sekurang-kurangnya apabila mereka sering berhubungan, saling menagmbil berat, bertanya khabar dan permasalahan ianya sangat baik untuk memastikan kelangsungan pengahayatan mereka terhadap agama Islam. Ini adalah jalan dan cara terbaik yang boleh kita aplikasikan daripada proses persaudaraan yang dilakukan oleh jungjungan mulia Nabi Muhamma SAW di antara kaum muhajirin dan kaum ansar.

Kelima; Perlu diwujudkan satu unit guaman khas untuk saudara baru ini. Ia bertindak sebagai peguam dan penjamin umum yang mewakili keseluruhan muallaf. Hari ini, kita mendapati banyak perkara yang berkaitan dengan muallaf bersangkut-paut dengan isu mahkamah. Sangat banyak sekiranya hendak disebutkan di sini. Isu pemurtadan, isu status keislaman, isu agama anak, isu harta pusaka dan sebagainya. Baru-baru ini hangat isu yang berkaitan dengan saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu. Antara yang menjadi perhatian sehingga ke kabinet ialah status agama anak-anaknya, hak penjagaan anak dan status perkahwinan selepas pengislaman.

Kewujudan unit guaman ini sekurang-kurangnya mereka (golongan muallaf ini) merasakan meraka terjamin daripada mana-mana pihak yang berkemungkinan menentang pengislaman mereka. Mudahnya mereka merasakan ada orang yang melindungi mereka dalam peruntukan undang-undang.

Adakah kita mahu melihat orang yang telah menjadi saudara kita akhirnya kembali ke agama asal masing-masing dek akibat kurangnya dakwah kita kepada mereka dan lalainya kita dalam memberikan kebajikan kepada mereka? Tidakkan kita semua nanti akan dipersoalkan kembali mengenai tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada mereka ini sebagai sesama muslim? Bagaimana pula tanggapan non-muslim yang sudah ada cita-cita untuk menganut Islam tetapi sirna niat tersebut akibat merasakan kelak bakal tiada kebersamaan orang Islam yang lain terhadap diri mereka?

Tepuk dada, tanyalah apa peranan kita terhadap saudara baru ini. Sekiranya ingin dibicarakan tanggungjawab kita yang sebenarnya terhadap golongan ini, hak-hak mereka dan sebagainya, pasti terlalu panjang. Cukuplah sekadar ini saya mengutarakan pendapat dan cadangan saya.

Mudah-mudahan ada kebaikannya untuk kita semua umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya. Wallahua'lam.

Hidup dalam mencari...

Akhir Helwa, Tanta.

Comments

Anonymous said…
nice entry~
tajuk cam x brape nk best..
tp kupasan dan cadangan tue sgt bernas!!

cume pndgn tuk ustaz..
lebih bernas seandainya idea dan cadangan itu di salurkan kepada pihak yang bertanggungjawab..

wallahualam..
Anonymous said…
nice entry~
tajuk cam x brape nk best..
tp kupasan dan cadangan tue sgt bernas!!

cume pndgn tuk ustaz..
lebih bernas seandainya idea dan cadangan itu di salurkan kepada pihak yang bertanggungjawab..

wallahualam..