Masa Untuk Berubah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

Seseorang yang mahu berubah sepatutnya tidak hanya menunggu ketibaan tahun baru, semester baru, tempat belajar baru dan sebagainya. Namun, masa yang tersedia untuk seseorang berubah adalah setaiap nafas yang dilaluinya, setiap jam, minit, dan saat. Malah perubahan boleh dilakukan dalam sekelip masa sekiranya telah mempunyai pemahaman terhadap matlamat perubahan yang hendak dilakukan.

Bukankah Allah SWT ada berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah sesebuah kaum tersebut sehinggalah mereka sendiri yang mengubah diri mereka?

Dalam melakukan perubahan dalam diri (ke arah yang lebih baik) seseorang perlu mempunyai niat. Niat untuk berubah dari tidak baik kepada baik dan dari baik kepada yang lebih baik. Setelah niat, dia perlu kepada pamahaman terhadap matlamatnya, matlamat dia beruabah. Ini agar perubahan yang akan berlaku kelak tidak mati dan terhenti di pertengahan jalan.

Contohnya, seseorang yang sering melakukan kesilapan, kejahatan, kerosakan dan dosa, perlu paham kerana apa dia berubah. Berubah kerana manusia atau sebab yang tidak disandarkan kepada Allah SWT, maka tidak mustahil perubahan yang baik tersebut tidak dapat berkekalan. Perlulah jelas seperti, niatnya mahu berubah menjadi hamba yang bertaqwa dan anak yang soleh. Matlamatnya ialah mencari dan memperoleh keredhaan Allah SWT. Ini kerena dia memahami bahawa kehidupannya tiada makna dan menjadi rugi andai diri tidak mendapat keredhaan daripada Allah SWT.

Dia juga faham bahawa untuk seseorang hamba memperoleh keredhaan daripada Allah SWT, hendaklah melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Melakukan kebaikan dan kebajikan mengikut kemampuan dan meninggalkan sebarang maksiat dan dosa serta merta tanpa sebarang kompromi.

Menjadikan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat tertinggi dalam kehidupan, maka pastinya diri akan terurus dan terarah kearah kepada-Nya. Seringkali Allah SWT menyebut mereka yang gagal berubah sehingga tiba ajal kematian setelah diberi petunjuk al-Quran dan hadith, mereka disifatkan sebagai orang yang rugi dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:-

"Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman)" (Surah al-A'la 87:14)

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)" (Surah an-Naazi'aat 79:40-41)

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal" (Surah Ali 'Imran 3:133-136).



Hidup dalam mencari...

Comments