Mahasiswa Unggul Dalam Surah al-Kahfi

Artikel saya pada kali ini merupakan tafsir yang menceritakan mengenai Ashab al-Kahfi (Penghuni-penghuni Gua). Penafsiran ini saya cuba bawa dengan mengaitkan fenomena atau realiti yang berlaku pada hari ini. Sudah pasti bahawa golongan sasaran yang ingin dimaksudkan adalah golongan remaja atau pemuda/di yang rata-ratanya terdiri daripada belia dan mahasiswa…

Syahid cita tertinggi kami

Surah al-Kahfi
Surah al-Kahfi merupakan surah yang ke-18 mengikut tertib surah di dalam Mashaf Uthmani dan surah yang ke-68 diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sepertimana yang dikatakan oleh penulis kitab al-Itqan, Imam Suyuti rahimahullah. Beliau juga menyebutkan bahawa surah ini diturunkan selepas surah al-Ghasyiah.
Tambah Imam Suyuti lagi, surah al-Kahfi merupakan antara surah Makiyyah yang terakhir diturunkan kepada Nabi SAW.

Sepertimana yang diketahui, jumlah surah Makiyyah adalah 82 surah.
Imam Alusi mengatakan, ada pendapat yang menyatakan bahwa surah ini keseluruhannya adalah bersifat Makiyyah dan ada yang menyatakan surah ini diturunkan sekali gus keseluruhan satu surah. Dikalangan ahli Basrah, surah ini terdapat 111 ayat dan di kalangan ahli Kufah jumlahnya 110 ayat. Kelaziman yang dipegang oleh masyrakat Malaysia adalah berdasarkan pendapat alhi Kufah. Umumnya, surah ini meliputi tiga elemen penting:-

1- Surah al-Kahfi sebahagian besarnya terdiri daripada ayat-ayat yang berkisar mengenai penceritaan Nabi-nabi dan umat-umat yang terdahulu sebelum perutusan Nabi Muhammad SAW.

2- Surah ini memberi fokus terhadap bukti keesaan Allah SWT dengan mendatangkan beberapa dalil disamping membenarkan kerasulan Muhammad SAW.


3- Menerangkan unsur pertimbangan dan perkaitan antara ganjaran baik bagi orang yang melakukan kebaikan dan kebajikan serta balasan buruk terhadap sesiapa yang melakukan keburukan dan kerosakan.


Kisah Ashab al-Kahfi bukanlah perkara yang menakjubkan di sisi Allah
Pada zaman Nabi SAW, masyarakat ketika itu merasa takjub dengan kisah Ashab al-Kahfi yang diceritakan di dalam kitab-kitab terdahulu seperti Taurat dan Injil. Pada mereka, pemuda penghuni gua yang telah ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun ini merupakan suatu perkara yang amat luar biasa dan mereka berasa sangant takjub dan terpegun.

Ia merupakan perkara di luar logik akal di mana seseorang manusia telah tertidur selama lebih 300 tahun, tanpa makan dan minum serta dibangkitkan daripada tidur dalam keadaan sejahtera. Ini dijelaskan oleh Allah SWT pada ayat yang ke-9 yang bermaksud: “Atau kamu mengira bahwa orang-orang yang mendiami gua dan (yang mempunyai) raqim itu, mereka termasuk tanda-tanda kekuasaan Kami yang menghairankan?”
Firman tersebut menajelaskan bahawa kisah ‘Penghuni Gua’ bukanlah sesuatu yang manakjubkan sekiranya dinisbahkan dengan kekuasaan dan kudrat Allah SWT.

Kisah Ashab al-Kahfi menjelaskan peribadi unggul belia dan mahasiswa
Situasi ini jelas digambarkan oleh Allah SWT di dalam ayat yang ke-10 yang bermaksud: “(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)" .


Di dalam tafsir al-Wasith menjelaskan bahawa para pemuda tersebut mencari tempat perlindungan setelah mereka melarikan diri daripada raja dan masyarakat yang tidak beriman dengan Allah SWT. Di saat majoriti mereka mensyirikkan Allah SWT dan hanya segolongan pemuda inilah yang tetap beriman dengan Allah. Mereka keluar dari kampung dan memisahkan diri dengan masyarakat mereka semata-mata ingin menyelamatkan aqidah yang dianuti.


Inilah sikap dan sifat para pemuda. Darah yang mengalir dalam diri mereka masih panas dan bergelora. Mereka mempunyai semangat yang tinggi dalam mempertahankan sesuatu yang menjadi hak mereka, contohnya aqidah atau agama sepertimana yang diterangkan di dalam ayat tadi. Sikap tetap pendirian yang ada pada pemuda-pemuda ini petutlah hayati dan contohi. Mereka sanggup keluar dari kampung, meninggalkan harta benda dan kaum kerabat semata-mata mahu menyelamatkan pegangan mereka. Sinonim dengan pepatah Melayu ‘seperti menggenggam bara di tangan’.

Apabila mahasiswa atau belia menghadapi situasi berhadapan dengan perkara dosa atau maksiat, mereka perlulah bersegera menghindarinya. Sebagai contoh, terdapat anjuran konsert yang secara zahirnya penuh dengan perkara maksiat dan dosa, maka mereka hendaklah tidak mengikutinya. Walaupun telah menerima jemputan khas atau diajak oleh rakan baik.
Ini kerana mereka tidak mahu diri mereka diamcam dan akhalk mereka dirobek oleh perkara-perkara negatif tadi. Tetap pendirian atas jalan yang benar dan diredhai oleh Allah SWT merupakan suatau tuntutan dalam Islam.

Akan datang kita akan lihat lagi apakah ciri-ciri mahasiswa atau belia unggul yang patut kita teladani.


Wallahu A’lam.


Hidup dalam mencari…

Comments