Madu Tiga

Baru-baru ini, sebuah tajuk forum yang diadakan sempena program EMINENT ’09 di Tanta betul-betul menarik perhatian aku. Mana tidaknya apabila secara zahirnya forum tersebut bertajuk ‘Madu ‘Tiga’. Sekilas fikiran aku beranggapan ia membawa maksud maknawi iaitu poligami. Tetapi setelah diterangkan oleh panelis ia bermaksud majazi. ‘Madu Tiga’ yang dimaksudkan ialah ‘suami/isteri’, ‘ilmu dan thaqafah’ dan yang ketiganya ‘perjuangan’.

Perbincangan dimulakan dengan lebih kepada hakikat perkahwinan itu sendiri secara kasar. Fitrah, galakan dan keperluan perkahwinan itu sendiri. Iaitu pernikahan yang berlaku khususnya kepada mahasiswa yang masih di dalam proses menuntut ilmu. Diterangkan bahawa perhubungan yang tidak syar’ie adalah dilarang oleh Islam sebagai agama yang mementingkan akhlak dan pemeliharaan hak atas setiap insan. Hubungan yang terlarang membawa kepada kerosakan pada keturunan dan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT.

Isteri/Suami

Semestinya apabila seseorang telah berpasangan, mereka akan bertambah tanggungjawabnya. Paling kurang perhatian yang perlu diberikan terhadap pasangan masing-masing. Belum lagi dibincangkan soal perbelanjaan, hubungan saudara-mara, masalah-masalah rumahtangga dan sebagainya. Setiap pasangan saling berhajat kepada layanan dan pastinya orang yang belum berkahwin terhindar daripada memerlukan layanan dan perlu melayan.

Ada dikatakan bahawa dengan berkahwin suatu semangat untuk menaikkan prestasi akademik akan berlaku. Malahan tidak dinafikan banyak perkahwinan membawa kepada kecemerlangan dalam kuliah dan pengajian. Mungkin kerana dorongan dan semangat daripada pasangan. Urusan dan keperluan kehidupan telah dipenuhi dan kepala tidak dibebankan dengan masalah kehendak naluri dalam fitrah manusia. Namun begitu kedapatan juga yang akhirnya tumbang dalam landasan menuntut ilmu kerana tidak mempunyai keupayaan yang secukupnya dalam mengurus rumahtangga dan perjalanan akademik mereka.

Ilmu dan Thaqafah

Bukannya selepas berkahwin makin rajin ke kuliah tetapi semakin berkurangan jejaknya di kuliah. Prestasi semakin merosot dan akhirnya terpaksa menambah tahun kerana mengulang tahun yang sama. Seandainya sebelum berkahwin kerap pergi pengajian talaqqi, menghadiri kuliah-kuliah tambahan, pembentangan kertas-kertas kerja, forum dan sebagainya, tetapi setelah berkahwin keterlibatannya sekakin berkurang. Boleh jadi, ia menggambarkan ilmu dan thaqafahnya tidak bertambah seperti sebelumnya.

Perjuangan

Ramai pelajar yang memikirkan statusnya sebagai mahasiswa aktif dalam berpersatuan. Menegakkan hak-hak pelajar disamping berperanan membawa fikrah dan hala tuju mahasiswa yang lain kepada pemikiran matang dalam bermasyarakat. Pada meraka inilah yang perlu diperjuangkan iaitu memberikan kebajikan kepada ahli. Dalam masa yang sama perjuangan dasar mereka adalah menegakkan agama Islam itu sendiri sebagai agama yang syumul. Perjuangan mereka adalah untuk memastikan Islam itu menjadi cerocok dalam segenap aspek kehidupan manusia, baik dari segi politiknya, ekonominya dan sosisalnya.

Setiap manusia berbeza pemikiran dan latar belakangnya. Berbeza bidang akademik atau jurusannya. Berbeza latar belakang keluarga dan berbeza fikrahnya. Suatu pendapat dilotarkan dalam forum tersebut. Apabila ditanya mengenai calon pilihan antara golongan doktor ataupun ustaz, si gadis jurusan doktor menjawab bahawa dia akan memilih daripada kalangan doktor sebagai pasangannya kerana berpendapat sukar untuk ustaz memahami kerjaya mereka. Kemudian dilontarkan oleh rakannya yang lain dengan mempersoalkan adakah para ustaz akan mampu memahami kerjaya mereka sebagai seorang doktor?

Ironisnya, walaupun ada perbezaan yang agak besar dari segi keadaan suami/isteri itu sendiri dan ilmu atau bidang jurusan mereka, ia bukanlah suatu penghalang. Ini kerana andai pemahaman setiap pasangan mengenai apakah tujuan mereka sebagai seorang mahasiswa dan sebagai seorang Islam dihayati dan difahami dengan mendalam.

Hakikatnya, walau mereka berbeza tetapi perjuangan mereka tetap sama dan satu iaitu berjuang untuk Islam. Berjuang untuk mendaulatkan kembali agama Islam sebagai negara dan kerajaan, Islam sebagai kehidupan, Islam di dalam ekonomi dan Islam di dalam kemasyarakatan atau sosial. Apabila terdapat kefahaman ini, mereka akan mengetahui tujuan, peranan dan pengkhususan masing-masing dalam sama-sama, melalui satu arah iatu berjuang untuk Islam. Ustaz dalam bidang ilmu agamanya, doktor dalam bindang kedoktorannya, akauntan dalam bidang ekonominya, jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya dalam bidang masing-masing.

Kesimpulannya, kehendak berpasangan sememangnya fitrah bagi manusia. Ilmu dan thaqafah adalah keperluan dalam survivor kehidupan. Manakala perjuangan itulah merupakan aplikasi dan keperluan daripada kedua-dua perkara itu tadi. Ilmu dan pasangan masing-masing saling meguatkan dan melengkapi menuju puncak perjuangan. Andai pasangan saling ikhlas kerana Allah dan saling berkorban, memahami hati pasangan, peranan dan matlamat hidup ini, pastinya kebahagiaan yang menanti mereka. Andai tidak di dunia, tetapi kelak dikecapi di akhirat kelak. Akhirnya, tujuan yang tertinggi akan diperoleh iaitu keredhaan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Kemenangan dapat diperolehi hanya dengan pengorbanan.

“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah ash-Shaff 61:10-13)

Alangkah indahnya lafaz ini dijadikan pegangan dan prinsip hidup…

“Sesungguhnya solatku, amalanku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah SWT”

Hidup dalam mencari…

Comments