Media dan Kehidupan (Komunikasi)

Di dalam komunikasi, media (kata tunggalnya medium) merupakan keupayaan atau alat penyiaran yang digunakan untuk menyimpan dan menghantar maklumat atau data. Ia biasanya merujuk sebagai sinonim dengan media massa atau berita media. Akan tetapi, ia boleh juga dimaksudkan sebagai perantara tunggal yang digunakan untuk berhubung dengan mana-mana data untuk tujuan-tujuan tertentu.

Permulaan komunikasi manusia adalah melalui penguwujudan atau pembuatan saluran bagi komunikasi tersebut. Contohnya bahasa isyarat, simbol, lukisan, peta dan penulisan. Selain itu penggunaan asap, utusan burung dan sebagainya. Perkataan komunikasi berasal daripada kata dasar latin, communicare. Komunikasi juga dirujuk pada zaman Empayar Rom yang mana mereka mencipta sesuatu yang boleh mereka istilahkan sebagai surat ataupun sistem penghantaran. Ia bertujuan untuk memusatkan kekuasaan dan kawalan Empayar Rom. Perkataan media pula merujuk kepada alat atau perantara komunikasi (perhubungan).

Penggunaan pengaruh saluran komunikasi adalah cukup penting. Salah seorang ahli sejarah barat, William McGaughey telah meringkaskan ketamadunan dunia melalui penggunaan saluran yang kerap digunakan dalam komunikasi di dalam bukunya yang bertajuk "Five Epochs of Civilization" (Thistlerose, 2000). Dia telah membahagikan sejarah kepada peringkat-peringkat; ketamadunan pertama - menggunakan penulisan ideografik, kedua - penulisan abjad (alphabetic), ketiga - pencetakan atau penerbitan, keempat - rakaman elektronik dan stesen penyiaran, dan kelima - komunikasi komputer.


Media mampu memberi kesan terhadap pemikiran orang ramai mengenai diri mereka dan bagaimana penilaian mereka terhadap orang lain atau sekeliling. 'Apa yang kita fikir perihal gambaran terhadap diri sendiri dan apa yang orang lain boleh lihat dari diri kita' bolehlah disebut sebagai media.


Al-Quran yang tiada keraguan di dalamnya

Di dalam Islam, komunikasi ini telah wujud sebelum manusia dicipta. Ia merujuk kepada komunikasi yang berlaku antara Allah SWT dan para malaikatNya. Ini dijelaskan di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah (2) ayat 30 yang bermaksud "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Kemudian berlaku komunikasi di antara Allah dan Nabi Adam AS. Allah telah mengajar Adam nama-nama benda di dalam ayat yang seterusnya "Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!". Perkataan mengajar dalam ayat tersebut menggambarkan berlakunya komunikasi antara Allah dan Nabi Adam AS.

Kemudian diterangkan lagi wujudnya komunikasi Allah dengan Iblis melalui ayat yang ke-34 dari surah yang sama. Maksudnya "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir." Andai kita merujuk kisah permulaan kehidupan manusia ini, kita akan dapat lihat berlaku banyak komunikasi antara Allah dan Nabi Adam AS.


Petunjuk kepada manusia sehingga ke hari kiamat

Bahkan di dalam Islam, kesan atau bukti besar yang menunjukkan berlakunya komunikasi yang aktif ialah al-Quran, sebagai risalah dan kitab petunjuk daripada Allah kepada manusia seluruh alam melalui junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Selain itu, al-Quran melambangkan komunikasi agung secara tidak langsung antara Allah dan seluruh hamba-hambaNya serta hadith-hadith Nabi Muhammad SAW pula melambangkan komunikasi Baginda dengan seluruh umatnya.

Antara bukti lain di dalam Islam bahawa wujudnya komunikasi yang sempurna, terjamin dan terpelihara adalah wujudnya sistem periwayatan atau sanad. Periwayatan al-Quran secara mutawatir membuktikannya. Bukti yang lain ialah periwayatan hadith-hadith Nabi SAW yang bersambung daripada sahabat, kepada tabi'in, tabi' tabi'in, itba' tabi' tabi'in sehinggalah kepada kita.
Kesimpulannya, komunikasi merupakan suatu kepentingan yang utama di dalam Islam. Tanpa komunikasi, tiadalah kehidupan di dunia ini.

Wallahu a'lam.


Sumber:

1- Al-Quran dan terjemahnnya

2- Kamus Dewan Edisi Ketiga
3- Wikipedia

Hidup dalam mencari...

Comments