Mencari Sinar 1

Dalam kita sibuk membincang dan menyelusuri perkembangan saudara kita di bumi Palestin, mari kita renungkan sejenak bagaimana hati-hati dan keadaan diri kita pada saat ini. Saat saudara-saudara kita, adik-adik kita, kakak dan abang-abang kita sedang bersungguh-sungguh penuh semangat memperjuang dan mempertahankan bumi mereka, maruah mereka, maruah agama. Dalam kita tidak sedar, mereka telah menjadi wakil secara langsung bagi seluruh umat Islam untuk mempertahankan bumi ketiga temulia dalam akidah umat Islam ini. Dalam kesempatan peperangan umat Islam yang genting ini, mari kita memuhasabah diri. Sebanyak manakah dosa yang telah kita lakukan? Sejauh manakah hati dan diri kita telah terjebak ke lembah kemaksiatan kepada Rabbul Jalil Allah SWT. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa kita…

Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Segala dosa berlaku disebabkan atas hasutan syaitan dan dorongan hawa nafsu yang memusnahkan. Andai telah kita merasakan betapa banyak dosa yang telah kita lakukan, maka sama-samalah kita memohon ampun dan menjauhi perbuatan dosa tersebut pada masa-masa yang akan datang. Jangan kembali ke lembah kehinaan itu untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Kepada kita yang merasakan diri berdosa, ingin kembali ke pangkal jalan, mengimpikan kehidupan bahagia disamping rahmat daripada Ialhi, janganlah sesekali kita lupa dengan firman Allah SWT ini:-

New Day...

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji (dosa besar yang mana mudharatnya tidak hanya menimpa diri sendiri tetapi juga orang lain, seperti zina, riba) atau menganiaya diri sendiri (melakukan dosa yang mana mudharatnya hanya menimpa diri sendiri baik yang besar atau kecil), mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.”

(Surah Ali ‘Imraan 3:135-136)

Jelas di dalam ayat ini bahawa sinar masih ada untuk pelaku dosa dan maksiat bertaubat kepada Allah SWT dan membersihkan diri mereka. Mereka juga diberi jaminan akan pengampunan daripada Allah SWT asalkan mereka tidak mengulangi kembali dosa dan maksiat yang pernah mereka lakukan sebelum ini.


Sebaik-baik pahala adalah bagi orang yang beramal. Telah pun kita sama-sama ketahui bahawa orang yang melakukan dosa akan mendapat pengampunan jika mereka bertaubat. Kita telah mengetahui dan sewajibnya kita mengimani apa yang tertulis di dalam al-Quran. Tinggal sahaja untuk kita mengamalkannya. Praktikal tidaklah semudah teori, namun andaikata teori tersebut dapat dihayati dalam bentuk praktikal dan amalan penuh keikhlasan kepada Allah SWT, maka itulah sebaik-baik amalan. Peribahasa Arab ada menyebut, “Ilmu tanpa amal seperti pohon yang tidak berbuah”. Ilmu yang diketahui daripada ayat ini, tentang pengampunan Allah SWT terhadap pelaku dosa, tidak akan dinikmati oleh empunya jiwa yang penuh noda andai tidak diamalkan dalam ertikata meninggalkan dosa tersebut secara keseluruhannya dan beramal soleh.

Dorongan nafsu dan ajakan syaitan itulah yang sangat disukai oleh manusia. Fitrah manusia apabila telah lalai dan berasa enak dengan dosa yang dilakukan, maka amat susah baginya untuk meninggalkan dosa tersbut. Di sinilah penghayatan untuk beramal dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT tadi diperlukan. Ianya menuntut kepada mujahadah melawan hawa nafsu. Nafsu meronta untuk kembali melakukan dosa-dosa tersebut, akal membenarkan apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran. Hanya yang tinggal adalah hati. Andai hati kita benar-benar kita dorong untuk mujahadah mencapai pengampunan daripada Allah SWT, (Maka ketahuilah wahai jiwa-jiawa yang berdosa), akan kita perolehi janji pengampunan dan janji kenikmatan di dalam syurga kelak.


Paksakan diri untuk bermujahadah…

Hidup dalam mencari...

Comments