Mencari Ketenangan

Wahai diri, jangan sesekali berprasangka buruk. Terhadap sesiapa pun yang berada di sekeliling engkau. Walau siapapun jua mereka. Hatta kepada orang yang engkau baru kenal ataupun engkau benci. Apatah lagi orang yang tidak engkau kenali atau yang mahu memulakan sesuatu persaudaraan. Ini kerana prasangka buruk merupakan pembohongan yang paling besar. Manakan tidak, engkau berprasangka yang lahir dari dalam hati yang tidak kelihatan. Mengatakan yang bukan-bukan padahal ianya bersalahan sama sekali!! Cuba tenagkan diri, bersangka baiklah terhadap sesiapa jua, orang yang engkau benci mahupun orang yang engkau sayangi. Bersangka baiklah dengan Allah.


Wahai diri, jangan bercakap bohong. Apa faedah yang engkau dapat apabila engkau bercakap bohong? Bukan sahaja hati tidak tenang, malah engkau akan berasa seperti dihantui apabila yang engkau bohongi itu telah ternyata haknya. Bila-bila sahaja akan kembali menerjah diri yang akhirnya engkau terkulai layu akibat penyesalan. Walaupun mungkin engkau terlepas dengan pembohongan yang engkau lakukan, namun tak selamnya ia bertahan. Sanggupkah engkau andai engkau yang dibohongi? Insafilah kedudukan engkau di sisi Allah. Berkata benar dan bersikap jujurlah dengan sesiapa sahaja.


Wahai diri, kenapa perlu bangga diri? Sedangkan segala kebaikan yang mampu engkau lakukan dan miliki sekarang semuanya atas hidayah dan taufiq daripada Allah SWT. Siapakah yang memberi ilham kepada engkau untuk istiqamah melakukan solat tahajjud melainkan Allah SWT? Dan siapa pula yang memberi taufiq kepada engkau yang akhirnya engkau diberi kekuatan untuk bangun ketika orang lain sedang nyenyak yidur, bermunajat dihadapanNya sehingga mengalir air mata dan diampunkan dosa? Semestinya Allah Taala. Janganlah engkau memperlekeh orang lain kerana beranggapan banyaknya ibadah dan amalan kebajikan engkau. Ingatlah, Allah berkuasa menjadikan engkau mulia dan hina dina. Tawaddhu'lah dengan Allah kerana engkau adalah hamba.


Wahai diri, janganlah ego. Kerana ilmu engkau, kerana amalan engkau, kerana pangkat engkau dan kerana harta engkau. Ego kerana menyangka diri memiliki sifat kesempurnaan. Siapa yang sempurana melainkan Allah? Dan tiadalah yang sempurna akhlaknya melainkan aklhak Nabi SAW. Hidup ini bagaikan roda. Ada masa engkau berada di atas pusingan dan ada masa engkau akan berada di pusingan yang terendah. Janganlah selalu lihat tingginya diri tanpa menjenguk rendahnya orang lain. Janganlah merasakan diri sudah bagus sangat padahal sebelah engkau ada orang yang lebih bagus dan mulia dari engkau. Allah itu lebih layak untuk ego. Beradab sopanlah dengan orang lain. Merendah diri itulah sebenar-benar ketinggian yang dilupakan.


Wahai diri, jangan pandang rendah pada orang lain. Selagi engkau belum mati, engkau tidak tahu tinggi atau rendahnya kedudukan engkau di sisi Allah. Yakinkah engkau dengan ilmu engkau, engkau berada di tempat yang tinggi sedangkan engkau kurang beramal? Kenapa mahu berasa senang dan puas dengan amalan engkau sedangkan engkau susah untuk istiqamah? Adakah engkau yakin istiqamah engkau akan diterima padahal keikhlasan dalam niat dan amalan itu sangat sukar untuk engkau rasai? Kesimpulannya engkau masih belum tahu mana hujung pangkal kehidupan dan kedudukan engkau. Hormatilah semua orang. Anggaplah semua orang lebih baik dari engkau.


Wahai diri, janganlah lupa, engkau tetap membawa najis kemana sahaja engkau pergi. Wahai diri, janganlah engkau rasa mulia sedangkan engkau lebih tahu tentang banyaknya dosa yang engkau lakukan. Wahai diri, janganlah engkau sangka dengan banyaknya amalan engkau, engkau layak masuk ke syurgaNya. Semuanya atas dasar rahmat Allah SWT. Mudah-mudahan ketenangan itu akan engkau perolehi…

Comments