Kenangan

Fitrahnya masa ini bergerak dan menuju ke hadapan. Ianya bukan ke belakang. Apa aku nak kata aku pun tak tahu. Cuma, bila teringat kenangan lampau terasa rindu dan membuatkan aku tersenyum sendiri. Setiap memori pastinya ada suka dan duka. Pastinya ada yang terluka dan terguris hati. Tidak kurang juga yang menjadi suatu kenangan terindah.

Di kesempatan ini, suka aku ucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat komiti yang telah banyak membantu secara langsung dan tidak. Segala penat lelah sahabat-sahabat tidak dapat aku balas melainkan aku hanya berserah kepada Allah untuk membalasnya. Mudah-mudahan Allah mengurniakan sahabat semua kamanisan iman dan ketabahan hati.

Aku juga ingin meminta maaf di atas segala kekurangan dan kelalaian aku selama bekerja dengan sahabat-sahabat sekelian. Mungkin ada yang terasa dan terguris hati. Mungkin juga ada yang terdendam di hati dek tidak puas hati. Aku selaku manusia biasa seperti sahabat sekelian pastinya tidak dapat lari daripada kelemahan, tetap melakukan kesalahan dan kesilapan. Mungkin dalam tutur kata dan mungkin juga dalam tindakan. Kemaafan daripada sahabat sekelian yang aku pinta.

Selain itu, aku mahu mengenang kembali seorang sahabat yang bekerja bersama, saudara Salleh yang telah kembali ke rahmatullah tahun lalu kerana demam denggi berdarah. Ketika aku menerima masej tersebut, aku agak terkejut. Seseorang yang aku kenali pemurah dan lemah lembut kata-katanya telah meninggkalkan dunia ini buat selamanya. Sebagai seorang yang bertanggungjawab mengenai kesihatan, pada aku dia bukanlah seseorang yang mudah dicari ganti. Mungkin aku melihatnya dia sebagai seorang yang penyenyap, tetapi aku tahu, dia seorang yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Mudah-mudahan suadara Salleh tergolong bersama orang-orang yang saleh, mukmin dan muttaqin. Amin. Al-Fatihah…

Kepada individu tertentu yang aku ada kesalahan peribadi, aku memohon berjuta kemaafan dari hujung rambut sehingga hujung kaki. Kalau ada terhutang apa-apa, wang ringgit atau sebagainya aku harap dapat dinyatakan dan aku akan berusaha untuk melunaskannya. Aku memohon kemaafan atas apa yang telah berlaku. Uknuwah yang telah terukir aku berharap terus dan tetap kukuh sehingga ke akhir hayat.

Terima kasih juga aku ucapkan kepada sahabat seperjuangan. Banyak manis dan pahit yang kita telah tempuhi bersama. Banyak yang dapat kita pelajari bersama dalam menghadapi pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tanggungjawab kita dan menunaikan amanah yang telah diberikan. Walau masing-masing ke haluan sendiri, jauh di perantauan, aku berharap hati-hati kita masih berhubung dengan doa. Walau jauh di mata namun tetap dekat di hati. Aku pasti ianya banyak mengajar kita erti sebuah ukhuwah, persahabatan dan kehidupan.

Akhirnya kepada pihak-pihak tertentu yang telah banyak membantu dan orang perseorangan. Mudah-mudahan jasa kalian dibalasi dengan nikmat iman dan Islam yang lebih sempurna. Semoga tautan persaudaraan dan iman ini dapat berkekalan sehingga ke akhir hayat. Tanpa kalian siapalah aku dan kerana kalian, datangnya warna dalam kehidupan ini.

Mudah-mudahan pertemuan kita merupakan pertemuan yang diredhai dan perpisahan kita menjadi perpisahan yang tepelihara oleh Allah s.w.t.

"… Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang".

(Al-Hasyr 59:10)
Wallahu taala a'la a'lam…

Comments