Ilmu Hadith



Bismillahirramanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t.

Menurut kitab Taisir Musthalah al-Hadith karangan Dr. Mahmud ath-Thahhan, hadith Mutawatir bermakna hadith (khabar) yang diriwayatkan oleh sekumpulan (perawi) yang ramai dan mustahil mereka berpakat untuk berdusta. Andai dirujuk dalam kitab Metodologi Ilmu Hadis karangan H. Muhammad Iskandar Lc, antara maksud lain yang dikemukakan ialah sesuatu yang menghasilkan ilmu dharuriy (pasti) dari awal sanad sehingga akhir dan mustahil para perawi hadith tersebut berdusta.

Andai dilihat syarat-syarat yang mesti dipenuhi sebelum sesebuah hadith itu dikatakan sebagai hadith mutawatir, jelas menggambarkan bahawa hadith mutawatir merupakan hadith-hadith yang sahih:-
• Hadith tersebut diriwayat dengan jumlah perawi yang ramai dan sekurang-kurangnya sepuluh orang perawi.
• Jumlah ini terdapat pada setiap thabaqat (peringkat).
• Mustahil para perawi tersebut berpakat melakukan pendustaan.
• Hadith tersebut mestilah diriwayatkan dalam bentuk al-hissiy, iaitu dengan lafaz "kami telah mendengar", "kami telah melihat" dan sebagainya.

Dengan ciri-ciri tadi, maka secara tidak langsung ia mengurangkan dan seterusnya melenyapkan kebarangkalian wujudnya sebarang pendustaan di dalam matan hadith tersebut. Maka, hukum ke atas hadith mutawatir ialah ia merupakan ilmu dharuriy (ilmu yang pasti), ilmu yaqiniy (ilmu yang yakin). Hadith mutawatir wajib untuk diamalkan dan dijadikan hujjah dan dalil di dalam intinbat atau mengeluarkan sesuatu hukum tanpa membahas kesahihannya. Orang yang mengingkarinya dihukum kafir dan ini merupakan kesepakatan jumhur ulama'. Ia bolehlah dikatakan sebagai qoth'iyatul thubbut.

Hadith qudsi ialah hadith yang dinukilkan atau disabdakan daripada Nabi s.a.w. dan akhir sanad hadith tersebut adalah daripada Allah s.w.t. Pada al-Quran, lafaz dan maknanya adalah daripada Allah s.w.t. Manakala hadith qudsi pula maknanya sahaja daripada Allah, tetapi lafaznya daripada Nabi s.a.w. Sekiranya kita mahu mencari perbezaan antara hadith qudsi dan hadith sahih, maka perlulah dirujuk kembali makna bagi hadith itu sendiri.

Hadith sahih dan hadith qudsi dikategorikan di bawah pembahagian hadith ahad. Akan tetapi, hadith sahih dinisbahkan melalui tahap kuat dan lemahnya hadith tersebut. Ia digolongkan sebagai hadith yang diterima (yang tidak ditolak kerana dha'if, maudu' dan sebagainya). Manakala hadith qudsi pula dikategorikan di bawah pembahagian hadith yang dinisbahkan kepada sanad (rantaian) hadith tersebut. Walaubagaimanapun, di dalam kategori ini ada yang diterima dan ada yang ditolak. Di bawahnya terdapat tiga lagi hadith selain hadith qudsi iaitu hadith marfu', mauquf dan maqthu'.

Maka bolehlah dikatakan bahawa, hadith-hadith selain hadith qudsi merupakan hadith yang makna serta lafaznya adalah daripada Nabi s.a.w. berpandukan wahyu dan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Hadith qudsi tidak ditetapkan syaratnya dengan mutawatir. Ia juga digolongkan di dalam kumpulan hadith yang ada padanya hadith-hadith yang boleh diterima dan yang ditolak. Maka secara tidak langsung, hadith qudsi telah hilang kelayakannya untuk wajib dipegang sebagai sumber hukum. Sekiranya mahu menjadikan hadith qudsi sebagai sumber hukum, hendaklah dikaji kedudukan dan keadaan sanad dan matannya. Adakah di antara keduanya memiliki ciri-ciri yang yang boleh menyebabkan ianya ditolak atau tidak boleh dijadikah hujjah.

Sebagai seorang muslim, kita hendaklah mempraktikkan sesuatu hukum yang telah disepakati oleh ijma' ulama'. Sekiranya kita telah mengetahui dan mempelajarinya, wajiblah kita mengamalkannya. Seseorang itu tidaklah dianggap berdosa melainkan telah diketahui hukumnya. Walaubagaimanapun, apabila seseorang tidak mengetahui hukum sesuatu perkara, wajib keatasnya mempelajari dan mencari hukum tersebut. Ini kerana seseorang itu tidak akan terlepas untuk selamanya daripada dosa akibat kejahilannya. Seseorang akan berdosa apabila masih tidak mahu mencari hukum sesuatu perkara kerana beranggapan mahu terlepas daripada dosa dan mahu berterusan di dalam kejahilan.

Wallahu taala a'lam. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam hendaklah merujuk kepada bahan bacaan yang lain dan orang yang lebih alim.

Aku berlindung kepada Allah daripada sebarang bisikan dan hasutan hawa nafsu yang merosakkan. Amin Ya Rabbal 'Alamin…

Comments