Berzikirlah...

Al-Quran merupakan sebuah kitab yang haq. Tiada keraguan apatah lagi kebatilan di dalamnya. Al-Quran merupakan Kalamullah (kata-kata Allah). Maka, semestinyalah hanya kata-kata Allah itu sahajalah yang paling benar dan paling tinggi martabatnya dari segi kesempurnaanya, keilmuannya, kesenian bahasanya, undang-undangnya, nasihatnya dan segala-galanya.

Sepatutnya, apabila kita telah yakin bahawa al-Quran merupakan pegangan hidup yang paling utama, sewajibnya kita meyakini, menghayati dan seterusnya mengamalkan sagala isi kandungan yang termaktub di dalamnya. Sesungguhnya al-Quran merupakan rahmat dan penawar jiwa bagi setiap manusia yang mengharapkannya. Sekiranya terdapat golongan yang masih ragu-ragu dan tidak mahu menjadikan al-Quran segbagai panduan dan perlembagaan hidupnya, mereka itulah golongan yang hina lagi rugi di dunia dan akhirat. Hidup mereka tidak akan aman, sentiasa dalam kegelisahan dan kesempitan yang berterusan serta tiada penghujungnya itu.

Janji Allah itu benar dan Dia akan menunaikan segala janjinya terhadap hamba-Nya dan sesekali tidak akan menghampakan mereka. Antara ibadat atau amalan yang sangat disukai-Nya yang disebutkan di dalam al-Quran ialah amalan berzikir. Terlalu banyak keutamaan berzikir yang telah diterangkan di dalam pelbagai penulisan daripada pelbagai ilmuan. Banyak ilmu yang akan kita perolehi mengenai hal-hal yang berkaitan zikir andai ayat pertama yang berbentuk suruhan daripada Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui Jibril a.s. itu kita jadikan budaya dan kewajiban di dalam menjalani hidup kita iaitu membaca. Pelbagai keutamaan, kelebihan, kebaikan dan kemuliaan yang diperolehi bagi sesiapa yang menjadikan amalan berzikir ini sebati dalam hidup mereka.

Maha Agung dan Maha Rahmat-Nya Allah s.w.t. ke atas para hamba-Nya. Sesungguhnya segala ibadah kita kepada Allah s.w.t. merupakan amalan timbal-balik. Allah s.w.t. tidak akan mensia-siakan usaha para hamba-Nya yang mengharap keredhaan, kebaikan dan pengampunan daripada-Nya asalkan mereka bersungguh-sungguh serta istiqamah dalam peribadatan mereka. Bersungguh-sungguhlah melaksanakan segala kewajiban dan meninggalkan segala larangan-Nya. Haq dan batil itu saling bertentangan dan tidak akan berkongsi dan bercampur-aduk untuk selamanya.

"Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu (dengan limpahan rahmat dan keampunan), dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku". (al-Baqarah 2:152)

"Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya". (al-Ahzab 33:41)

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar". (al-Ahzab 33:35)

Yang dimaksud dengan 'muslim' dalam ayat di atas ialah orang-orang yang mengikuti perintah dan larangan Allah pada lahirnya, sedang yang dimaksud dengan 'mukmin' ialah orang yang membenarkan apa yang harus dibenarkan dengan hatinya.

"Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai". (al-A'raaf 7:205)

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram". (ar-Ra'd 13:28)

Daripada Abi Musa r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda "Perumpamaan orang yang menyebut (nama) Tuhannya dengan orang yang tidak menyebut (nama) Tuhannya umpama orang yang hidup dengan orang yang mati". (Sahih Bukhari, Kitab: Doa-doa, Bab: Kelebihan Mengingati Allah, Hadith No. 5928. Hadith Marfu'.)

Daripada Abi Darda' r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu sebaik-baik amalan kamu yang paling suci di sisi Tuhan kamu, yang paling tinggi darjatnya bagimu, yang lebih baik bagimu dari menderma emas dan perak dan lebih baik bagimu dari bertemu dengan musuh maka kamu memenggal leher mereka dan mereka memenggal leher kamu?" Jawab sahabat: "Ya". Sabda Nabi s.a.w. "Menyebut dan mengingati Allah". (Sunan at-Tirmizi, Kitab: Doa, Hadith No. 3299. Hadith Marfu'.)

Daripada Abu Hurairah (Abdul Rahman bin Sukhr) r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, aku bersamanya (memberi rahmat dan membelanya) apabila dia mengingatiaKu. Jika mereka mengingatiKu dalam dirinya, nescaya aku menyebutnya dalam diriKu. Apabila mereka menyebut namaKu dalam kumpulan, nescaya Aku menyebutnya dalam kumpulan yang lebih baik daripada mereka. Jika mereka menghampiriKu sejengkal, aku mendekati mereka sehasta. Jika mereka menghampiriKu sehasta, Aku mendekati mereka sedepa dan apabila mereka datang kepadaKu (dalam keadaan) berjalan, (maka) Aku datang (kepada mereka dalam keadaan) berlari". (Sahih Bukhari, Kitab: Tauhid, Bab: Firman Allah s.w.t. "Dan Allah memperingatkan kamu terhadap siksa-Nya" (Ali 'Imraan 3:28 & 30), Hadith No. 6856. Hadith Qudsi.)

Ka'ab al-Quradziy telah berkata: Aku mendengar Abdullah bin Mas'ud berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Sesiapa membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebajikan dan satu kebajukan pahalanya sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf". (Sunan at-Tirmizi, Kitab: Kelebihan Al-Quran, Bab: Apa yang diperoleh kepada sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran dan perolehan daripada pahalanya, Hadith No. 2835. Hadith Marfu'.)

Hitung sahajalah bilangan huruf di dalam surah al-Fatihah, kemudian setiap huruf yang membawa satu kebajikan itu digandakan pahalanya dengan sepuluh. Maha PemurahNya Allah kepada para hambanya yang membaca dan melazimi hidupnya dengan membaca al-Quran.

Apalagi yang mengahalang kita untuk seintiasa mengingati Allah dan berzikir kepadanya?

"Lelaki-lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang". (an-Nuur 24:37)

"Mereka (yang disembah itu) menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagi kami mengambil selain Engkau (sebagai) pelindung, akan tetapi Engkau telah memberi mereka dan bapa-bapa mereka kenikmatan hidup, sehingga mereka lupa mengingati (Engkau); dan mereka adalah kaum yang binasa." (al-Furqaan 25:18)

Mengingati Allah dalam setiap keadaan, merasakan diri dan segala tingkah laku diperhati serta dicatit serta akan dipertanggungjawabkan…

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas".
(al-Kahfi 18:28)
"Katakanlah: "Siapakah yang dapat memelihara kamu di waktu malam dan siang hari dari (azab Allah) Yang Maha Pemurah?" Sebenarnya mereka adalah orang-orang yang berpaling dari mengingati Tuhan mereka." (Al Anbiyaa' 21:42)

"Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah (penguasa dan pemakmur) di bumi? Apakah disamping Allah ada tuhan (yang lain)? Amat sedikitlah kamu mengingati(Nya)". (an-Naml 27:62)

Ya Allah Ya Tuhanku, aku bermohon kepadamu dikurniakan lidah yang sentiasa basah berzikir kepadaMu, hati yang sentiasa bersyukur dan anggota yang sentiasa dalam ketaatan kepadaMu. Ya Allah, jauhkanlah aku daripada bisikan syaitan yang menyesatkan dan dorongan hawa nafsu yang membinasakan.

Wallahu ta'ala a'lam.

Comments