Peliharalah Dirimu

Zaman pra-dewasa merupakan suatu tempoh yang amat kritikal. Ini kerana tempoh tersebut akan memberi kesan dan seterusnya bakal membentuk keperibadian seseorang. Malah ia juga akan berterusan sehingga kepada pembentukan kekeluargaan. Dari dengan itu, berkembanglah zuriat dan bernasablah keturunan.

Membentuk sebuah masyarakat yang soleh bertunjang dari keluarga yang soleh. Keluarga yang soleh perlulah bermula daripada individu yang soleh, keperibadian yang mulia, disamping memiliki ilmu pengetahuan.

Pembentukan ini bermula daripada pengislahan diri sendiri. Walaupun seseorang terkesan dengan didikan dan tumpuan keluarga sejak kecil, namun umur kematangan membri ruang untuk setiap jiwa memikirkan dan membezakan mana yang mendatangkan keburukan dan mana yang memberikan kebaikan kepada diri dan agama. Ianya lahir secara fitrah insani kerana setiap manusia pastinya berhajat kebada kebaikan dan kebajikan.

Pengislahan diri perlu bermula daripada pembersihan hati. Bagi membentuk hati yang suci dalam diri, kemaksiatan wajib dihindarkan. Maksiat zahir ataupun maksiat batin. Maksiat zahir merupakan maksiat yang dilakukan oleh pancaindera. Mata, telinga, hidung, mulut serta kaki dan tangan. Maksiat batin pula tidak kelihatan melalui akal fikiran dan juga kata hati.

Anggota yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. ini bukanlah bertujuan melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah. Tetapi semata untuk beribadah kepada-Nya. Andai nikmat ini digunakan ke jalan yang salah, dalam tidak sedar, kita sedang menzalimi diri kita. Atau dengan kata lain, kita sedikit demi sedikit mencederakan diri sehingga me'mati'kan diri sendiri.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (al-A'raaf 7:179)

Maksiat mata, maksiat telinga, maksiat hidung, maksiat mulut, maksiat kaki dan tangan semuanya bakal mengundang kemarahan Allah dan kemurkaan-Nya. Andai tidak diterima azabnya di dunia, pasti akan menerimya di akhirat kelak. Komponen-komponen tubuh inilah sebenarnya saling berkaitan dengan hati bagi melahirkan hati yang bersih dan akhlak yang mulia.

Hindarilah mata daripada melihat kepada kemungkaran. Alihkan mata daripada melihat perkara yang berbentuk kemaksiatan. Tundukkanlah pandangan daripada melihat aurat manusia, antara lelaki dan perempuan atau sesama jenis. Berpalinglah daripada perkara yang mengundang nafsu berahi. Inilah maksiat yang sangat mudah berlaku dan paling mudah jatuh ke hati. Berlaku tanpa suara dan akhirnya terkesan tanpa sedar. Sedikit demi sedikit menghalang cahaya hidayah dan seterusnya hati menjadi hitam dan gelap gelita.

"Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya…" (an-Nuur 24:30-31)

Dengan mata, lihatlah tangan dan kakimu. Bayangkan ianya sedang terbakar. Kesakitan pastinya amat dirasai. Apakah mahu ianya berlaku?

Tangan dan kaki melakukan maksiat kerana terdorong oleh nafsu. Nafsu yang telah terbit dari hati. Berpunca daripada pandangan, pemikiran dan pendengaran yang memang sengaja untuk diarahkan kepada kemaksiatan. Bukanlah kemaksiatan itu berlaku tanpa kerelaan, malah terjadi atas kehendak sendiri. Sengaja dengan penuh rela melakukan kemungkaran.

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal(nya)." (an-Naazi'aat 79:40-41)

Sesungguhnya Allah s.w.t. memberi pilihan kepada manusia samada melakukan ketaatan dan kebaikan atau kemungkaran dan kemaksiatan. Sekali-kali tidak bolah menganggap diri melakukan dosa kerana itu yang telah ditetapkan dan mengatakan diri masih belum menerima hidayah. Akal yang dikurniakan perlu digunakan bagi mengetahui yang mana berbentuk kemungkaran seterusnya menjauhinya dan yang mana berbentuk kebaikan dan perlu istiqamah mengamalkannya.

"Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya (mereka yang mendengarkan ajaran-ajaran al-Quran dan ajaran-ajaran yang lain, tetapi yang diikutinya ialah ajaran-ajaran al-Quran kerana ia adalah yang paling baik). Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal." (az-Zumar 39:18)

Fitrah manusia suka kepada yang membawa keseronokan, kelazatan kebebasan. Namun, fitrah hamba ialah melakukan ketaatan dan kebajikan serta membenci kemungkaran. Kedua-dua hakikat ini tidak dapat dielak dan setiap jiwa perlu tahu bagaimana menyeimbangkan dan mengetahui keutamaan. Mana satu yang mesti menjadi keutamaan, memenuhi kehendak kejadian seorang manusia atau melaksanakan tanggungjawab kedudukan seorang hamba?

"Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat." (asy-Syuura 42:20)

Islahkanlah dirimu dan bersihkanlah hatimu. Jangan diendahkan kehendak dan tuntutan nafsu kerana pasti membawa kebinasaan dan kehancuran. Perbaikilah tingkah lakumu dan tingkatkanlah amal ibadahmu. Elakkan diri dari banyak berangan-angan. Isikanlah masa dengan menuntu ilmu, zikrullah dan melakukan kerja Islam. Paksalah dirimu dalam menjauhi kemaksiatan. Didiklah dirimu dalam melakukan amalan soleh.

"Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka (kerana tahu bahwa mereka akan kembali kepada Tuhan untuk dihisab, maka mereka khuwatir kalau-kalau pemberian-pemberian (sedekah-sedekah) yang mereka berikan, dan amal ibadah yang mereka kerjakan itu tidak diterima Tuhan). mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya (orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang disebutkan itulah yang bersegera untuk mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan kebaikan-kebaikan itu akan diberikan kepeda mereka dengan segera sejak di dunia ini)" (al-Mu`minuun 23:57-61)

Andai ingin mencari ketenangan dan kebahagiaan. Andai mahu ilmu mudah dipelajari. Andai mengharap rahmat, kasih sayang dan hidayah Allah. Andai ingin mencari cinta mereka yang mencintai-Nya. Andai mengimpikan mahligai rumahtangga bahagia dan generasi soleh. Andai mengidamkan syurga di akhirat kelak. Maka, peliharalah dirimu…

Janganlah engkau berbicara walau sedikit pun melainkan ucapan yang baik atau engkau diam sahaja.

al-Hakim

Comments