Mahasiswa vs Politik

Bahang pilihanraya semestinya amat terasa di tanah air Malaysia dan tidak kurang juga di kalangan rakyatnya yang berada di segenap penjuru dunia setiap kali ia berlaku. Pelbagai isu akan diperkatakan sebagai bahan kempen bagi yang bertanding. Sama ada ianya merupakan isu yang berbentuk janji-janji ataupun yang berkaitan kelemahan pihak lawan. Kadang-kadang ada yang melampau sehingga ada apa yang dikata tiada asas dan kebenarannya. Hanya mengaburi mata untuk memancing undi. Inilah realiti pilihanraya yang berlaku.

Politik merupakan sebahagian daripada tuntutan kepemimpinan Islam. Mahasiswa dan politik seharusnya tidak dipisahkan antara keduanya kerana mahasiswa yang rata-ratanya golongan belia merupakan pemimpin generasi akan datang. Mahasiswa dan mahasiswi Islam yang juga merupakan belia dan beliawanis pada hari ini merupakan penyambung pembawa risalah Islam. Pendukung risalah yang terdahulu telah pun pergi dan yang menjadi pengganti hari ini akan pergi. Maka, pewaris yang mesti memikulnya merupakan golongan belia yang ada pada hari ini.

Seseorang mahasiswa sewajibnya mengetahui dan mengambil endah mengenai perjalanan politik. Ini kerana selain aqidah dan syariah, Islam juga akan tempang andai elemen siasah diabaikan. Politik penting di dalam Islam kerana dengan politik akan terwujudnya kekuasaan dan tanpa kekuasaan ini mustahil untuk Islam menjamin dakwah dan perkembangannya. Sejarah telah membuktikan dengan kepemimpinan atau siyasah yang bertunjangkan keimanan yang teguh, berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah sahajalah yang bakal membuahkan kekuasaan tersebut seterusnya mampu menguasai sepertiga dunia. Dan kepemimpinan yang mengikut hawa nafsu, bermatlamatkan kebendaan dan keduniaan pastinya membawa kepincangan dan kerosakan dan seterusnya menemui kehancuran dan kebinasaan.

Andai kita sama-sama selusuri sejarah lalu, pejuangan selain daripada Islam merupakan perjuangan yang songsang dan tidak akan membawa kepada keamanan dan kebahagiaan sejagat. Lihat sahaja perjuangan-perjuangan lalu melalui isme-isme yang bersifat materialistik. Kebanyakan hasil daripada permainan kepolitikan ini akhirnya membawa kepada ketidakadilan dan penindasan yang berterusan.

Malaysia tidak dapat lari daripada menerima tempiasnya berdasarkan sorotan perjuangan ketika mahu mencapai kemerdekaan. Perjuangan yang diagung-agungkan adalah perjuangan bangsa di atas dasar nasionalisme. Walaupun terlihat di sana akan kebaikannya, namun tanpa disedari sedikit matlamat perjuangan seorang muslim telah terpesong. Kepentingan dan wala’ yang diberikan akhirnya bukanlah demi agama sebagai keutamaan, tetapi lebih mengagungkan kepentingan bangsa. Hendaklah diberi perhatian, walaupun perjuangan terhadap bangsa itu penting, tetapi perjuangan terhadap agama merupakan perjuangan yang mendahului daripada segala jenis perjuangan. Kesyumulan hanyalah terdapat di dalam agama Islam bukannya pada istilah ‘bangsa’ yang sempit.

Kematangan amat diperlukan pada diri seseorang mahasiswa dalam melihat dan menilai politik dan kepimpinan walaupun hakikatnya kedua-duanyalah yang mematangkan mahasiswa. Situasi di Malaysia memerlukan kita sebagai seorang mahasiswa, lebih-lebih lagi mahasiswa Islam mengetahui bentuk kepimpinan yang dikehendaki dan dituntut di dalam Islam. Kita perlu tahu ciri-ciri seorang pemimpin yang mesti dipilih dan bentuk kepimpinan yang mesti diwujudkan. Bukanlah dia hanya mengetahui selok-belok politik dan pandai berkata-kata, namun yang lebih dituntut dalam Islam perlulah seorang yang bertaqwa disamping menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan kepimpinannya. Walaupun Islam secara literal tdak menyebut bentuk yang khusus bagi sesebuah kepimpinan Islam, namun secara nyata Islam telah membahaskan bentuk masyarakat yang mesti dibentuk dalam kacamata Islam.

Sewajibnya seseorang mahasiswa mengetahui akan serangan pemikiran terhadap umat muslimin khususnya dan dunia amnya. Serangan pemikiran ini sengaja direka oleh pihak yang menentang Islam dan mereka mewartakan pemikiran tersebut merupakan pemikiran yang rasional dan realistik dalam dunia kini. Serangan-serangan pemikiran di dalam politik seperti demokrasi, sekularisme, liberalisme serta isme yang menyokong seperti feminisme, kapitalisme, nasionalisme dan lain-lain sebenarnya telah mengaburi mata pemangsanya. Sehinggakan golongan yang bukan Islam menyokongnya secara membabi buta dan kedapatan masyarakat Islam sendiri yang telah terpengaruh. Mungkin atas dasar menjaga kepentingan peribadi. Contohnya, perjuangan demokrasi kini diperalatkan sehingga penghinaan keatas Nabi Muhammad s.a.w. dipandangan remeh dan tidak dianggap sebagai kesalahan. Kepimpinan dunia kini telah dipesongkan oleh musuh-musuhnya sehinggakan tuntutan Islam diperlekeh dan isme baharu ini diperjuang dan diagungkan.

Kesedaran dan pengorbanan mahasiswa Islam kini diperlukan bagi menjamin kesinambungan kepimpinan Islam dalam ertikata yang sebenarnya. Perkara yan paling utama selain daripada memelihara diri daripada sebarang kerosakan dan kemaksiatan ialah menuntut ilmu sebanyak mungkin. Ilmu yang dicari dan bidang yang dicari tidaklah hanya berbentuk fedumantal Islam, tetapi perlu ada kekreatifan dan bercirikan kontemperori bagi memenuhi citarasa dakwah kini. Segala jenis ilmu dituntut. Selain itu, mahasiswa Islam perlu meningkatkan kualiti diri dengan pengalaman yang berguna yang mampu mengubah dan memperbaiki kehidupan individu Islam, keluarga Islam dan seterusnya masyarakat Islam.

Kematangan berfikir dan pengislahan diri mahasiswa Islam amat diperlukan. Perjuangan kita masih panjang. Perjalanannya pula makin berliku. Keperluannya ialah iman, ilmu dan amal disamping sentiasa besedia untuk berkorban untuk Islam. Generasi kini pewaris kepimpinan akan datang. Tanpa impian dan usaha, realiti mustahil untuk dikecapi.

Dicelah itulah kita mengatur langkah,

Membina semula semula ukhuwah,

Di sini bara tak pernah padam,

Digenggam kukuh sebuah azam.

Ayuhlah para mujahid,

Ayuhlah para mujahidah,

Kita tinggalkan zaman fitnah,

Agar tetegak kalimah Allah

Agar terbangun dunia baru Islam…

al-Hakim

Comments