Sejarah..oh sejarah...

Em, kali ni tangan gatal ni nak beritahu sedikit tentang sejarah. Semestinya terlalu banyak sejarah yang telah tercipta di dunia ini sejak dari penciptaan Nabi Adam a.s., malah sebelum itu lagi. Apa yang telak berlaku, atau 'perkara lepas' bolehlah dikatakan sejarah. Hatta bagi diri seseorang itu pun terdapat sejarah bagi dirinya sendiri. Ini bermakna, kalau ada 4000 orang di dalam satu taman perumahan, maka terdapat 4000 sejarah yang telah berlaku.

Namun, bukanlah sejarah yang berbentuk demikian yang ingin dibicarakan. Akan tetapi sejarah yang berbentuk formal, yang telah tercatat dan tercatit. Banyak sejarah yang boleh didapati. Antaranya sejarah penaklukan kota Konstinople, sejarah Renaissance, sejarah Kemerdekaan Tanah Melayu dan lain-lain lagi. Sejarah-sejarah tersebut hendaklah dipelajari, dihayati dan seterusnya diteladani. Apa yang buruk dijadikan sempadan dan apa yang baik, hendaklah dijadikan ikutan. Seseorang yang dapat menghayati sejarah, maka kelangsungan hidupnya akan menjadi lebih cemerlang berbanding orang yang hanya mempelajari sejarah, tetapi tidak mahu mengambil iktibar daripadanya.

Sesungguhnya penghidupan kita di muka bumi ini adalah berbentuk 'ubudiyyah yakni memperhambakan diri kepada Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t. setiap apa yang berlaku, pastilah ada dan perlu kepada hubungan kepada Maha Pencipta. Kerana Dia menjadikan kita, bukanlah tanpa tujuan. Kita dicipta adalah semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Maka, setiap inci kehidupan kita hendaklah kita pastikan ianya adalah sebagai ibadah kita kepada Rabbul Jalil. Sebagai panduan bagi diri kita untuk mencapai tujuan tersebut, maka tidak boleh tidak kita menoleh ke belakang melihat dan seterusnya mengahayati sejarah yang telah berlaku. Maka, bagi sesiapa yang tidak suka subjek sejarah, jangan terlalu melulu menyatakan ketidaksudian untuk mempelajari sejarah. Kerana kehidupan lalu para Nabi, Rasul, sahabat, ulama', khalifah, mahupun para wali Allah, itu semua termasuk dalam konteks sejarah. Adalah songsang bagi diri kita sebagai seorang muslim tidak mahu mempelajari lantas mengahayatinya.

Setelah kita mempunyai sejarah (pengalaman) mempelajari subjek sejarah di sekolah rendah mahupun menengah, adakah kita dapat merasakan 'ubudiayah kita kepada Allah? Sejarah yang kita pelajari berkaitan zaman permualaan tamadun manusia yang didakwa bermula pada zaman Paleolitik iaitu lebih 30,000 tahun yang lampau. Sejarah pembinaan empayar Melaka dan kemerosotannya. Sejarah penjajahan yang semestinya sangat 'hitam' dan memeberi kesan yang sangat mendalam. Sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan kelangsungannya sehingga ke hari ini. Kita juga mempelajari sejarah dunia yang bekaitan dengan tamadun Yunani, Rom, China, Mesopotamia, India dan Islam. Andai direnung kembali, adakah kita memperolehi sesuatu dalam hubungan kita kepada Allah s.w.t.? Sekiranya ada, pasti ianya sangat sedikit. Andaipun kita telah mempalajari sejarah tamadun Islam, namun kebanyakan sumbernya bukanlah daripada sumber Islam, tetapi sumber yang telah bercampur dengan kata-kata orientalis dan sebagainya.

Bagaimana mungkin, kehidupan kita sebagai ibadah ini mampu kita kecapi andai sejarah ini yang kita agung-agungkan? Bagaimana mungkin kehidupan kita ini yang memerlukan kepada petunjuk dan sumber rujukan, tidak diminati oleh sesetengah golongan daripada kita? Maka, persoalan timbul. Apakah sejarah yang aulawiyat untuk dipelajari?

Andai kita telah bersetuju mengatakan bahawa sejarah-sejarah tadi tidak mempu membimbing kita kepada 'ubudiyah kepada Allah, maka apakah sejarah yang perlu kita berikan perhatian. Maka, tidak lain dan tidak bukan ialah sejarah para Nabi, Rasul, khalifah Islam, ulama', para wali dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sejarah terbaik yang kita perlu dalaminya terlebih dahulu adalah sejarah junjungan mulia Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Inilah sejarah yang menjadi punca, akar, tapak dan asas bagi sejarah kecemerlangan tamadun Islam dan individu kemudiannya.

Dr, Khalid Syakir 'Athiyyah Sulaiman, pensyarah dan Ketua Jabatan Hadith wa 'Ulumuhu Universiti Al-Azhar di dalam kitab Rawa'ing min al-Sirah al-Nabawiyyah menyenaraikan lima kepentingan mempelajari sirah al-nabawiyyah. Secara umumnya ia bertujuan memberikan gambaran hakikat 'Muslim' yang sebenarnya dalam persprektif Islam di dalam masyarakat yang dijelmakan dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah kita dapat memahami prinsip-prinsip sejarah baginda, kaedah-kaedah dan hukum-hukum yang terpelihara daripada sebarang kebatilan.

Pertama, pemahaman terhadap keperibadian Rasulullah s.a.w. (sahsiah kenabian) daripada setiap sudut kehidupan baginda adalah untuk menguat dan membenarkan bahawa Nabi Muammad itu bukanlah daripada orang yang cerdik pandai di kalangan kaumnya (dalam menyampaikan dakwahnya). Akan tetapi diri, tingkah laku dan kehidupan baginda telah dituntun dan dibimbing oleh wahyu serta taufiq hidayah daripada Allah s.w.t.

Kedua, manusia umumnya akan memperolehi dalam diri baginda itu gambaran bagi contoh atau tauladan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan daripada kehidupan Rasulullah s.a.w. yang merupakan kehidupan yang penuh dengan kebaikan. Supaya tauladan daripada kehidupan baginda dijadikan sumber yang menjadi pegangan, yakni pegangan yang memudahkan bagi manusia, yang tiada keraguan di dalamnya. Adalah penting bagi setiap manusia mengkaji 'contoh yang terbaik' ini serta diamalkan di dalam kehidupan mereka. Ini adalah kerana terdapat gambaran yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan manusiawi. Sesungguhnya kehidupan dan keperibadian Muhammad s.a.w. adalah yang teragung dan sempurna.

Kita adalah manusia. Maka Allah mengutuskan utusanNya juga daripada golongan manusia agar secocok dengan sifat dan tabiat manusiawi keseluruhannya. Allah s.w.t. berfirman, "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik kamu…" (surah al-Ahzab 33:21).

Ketiga, di dalam pembelajaran sirah Nabi, manusia akan memperolehi sesuatu yang dapat menolong mereka dalam memahami Kitabullah serta merasai roh dan matlamatnya (al-Qur'an). Ini kerana terdapat banyak daripada ayat-ayat al-Qur'an yang memberi tumpuan dan tafsiran terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku serta kaitannya dengan Nabi.

Keempat, terkumpul banyak di dalam pembelajaran sirah Nabi ini perbincangan mengenai budaya dan tamadun serta keilmuan Islam yang sahih. Samada ia bekaitan dengan aqidah, hukum-hakam dan juga akhlak. Malah, tiada sebarang keraguan dalam kehidupan baginda yang gambaran mengenai keperibadiannya terjelma lantas menerangi masyarakat awal Islam.

Kelima, ia menjadi panduan bagi para pengajar dan para pendakwah Islam mengenai wasilah-wasilah tarbiah (mendidik) dan ta'lim (mengajar). Ini disebabkan Nabi Muhammad merupakan seorang murabbi yang baik serta mu'allim yang menasihati dalam memberi panduan yang terbaik dalam setiap aspek pentarbiahan dan pengajaran yang berbeza dalam tiap-tiap peringkat dakwahnya (dakwah di Mekah adalah berbeza dengan dakwah di Madinah).

Inilah dia sejarah yang wajib bagi kita sebagai muslim menghayatinya. Inilah sejarah yang sangat sesuai dan tepat dengan tujuan manusia ini dijadikan serta sebagai panduan dalam melaksanakan amanah khalifah di muka bumi.

Wallahu a'lam…

Comments