Pengenalan Fiqh Jinayah (Perundangan Islam)

Nota Ringkas Pengenalan Fiqh Jinayah

Apabila kita menyebut mengenai 'kesalahan', maka terangkum di dalamnya perkataan 'jinayah' dan 'sivil'. Sedangkan, sebutan bagi istilah 'kesalahan' ianya merangkumi perkataan 'jinayah' dan 'jarimah'.

Jinayah (selepas ini menggunakan perkataan jenayah) bermaksud "Segala perbuatan jahat atau salah yang diharamkan syara' dan ditentukan hukum ke atas pelakunya, sama ada melibatkan nyawa, kecederaan tubuh badan, harta benda, maruah dan sebagainya".

Fuqaha' mempunyai dua pendapat mengenai perbezaan antara jenayah dan jarimah.
Pertama: Jenayah merupakan kesalahan hudud dan qisas, manakala jarimah adalah kesalahan ta'zir.
Kedua: Jenayah merupakan kesalahan qisas dan diyat, manakala jarimah mencakupi semua kesalahan.


Hukuman Hadd (Hudud)
Hadd bermaksud pembatasan atau pencegahan. Ia merupakan hukuman tertentu terhadap perbuatan jenayah tertentu.

Hadd (حد) secara istilah bermaksud hukuman kesiksaan yang bentuk dan kadarnya telah ditetapkan oleh syara' secara rigit untuk dilaksanakan bagi menjaga hak-hak Allah atau ia dipanggil hudud. Hak-hak Allah adalah hak-hak umum. Apabila seseorang telah mencabuli hak Allah bermakna dia telah mencabuli hak-hak umum dan perlu dikenakan hukuman hudud (حدود).

Rigit (مقدرة) bermaksud sesuatu hukuman yang telah ditentukan atau ditetapkan oleh Allah swt secara terperinci sama ada melalui al-Quran atau sunnah Nabi Muhammad saw untuk dilaksanakan terhadap kesalahan-kesalahan tertentu.

Kesalahan-kesalahan tersebut ialah zina, tuduh zina, curi, samun, minum arak, bughah, murtad.

Hukuman Qisas
Qisas secara istilah bermaksud kesiksaan yang bentuk dan kadarnya telah ditetapkan oleh syara' untuk dilaksanakan bagi menjaga hak-hak individu atau persendirian. Apabila seseorang telah mencabuli hak-hak individu, dia perlu dikenakan hukuman qisas.

Fuqaha' memberi makna istilah qisas sebagai kesalahan terhadap nyawa dan tubuh badan manusia.

Terdapat tiga bentuk kesalahan di dalam qisas, iaitu;

  1. Kesalahan terhadap nyawa seperti membunuh
  2. Kesalahan terhadap tubuh badan seperti mencederakan
  3. Kesalahan terhadap nyawa dan tubuh badan seperti menggugurkan anak

Alternatif bagi qisas adalah diyat. Diyat bermaksud bayaran tertentu yang perlu dilunaskan sebagai pengganti kepada hukuman qisas.

Pelaksanaan diyat berlaku apabila qisas tidak dapat dijalankan oleh sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab tersebut adalah adalah apabila jenayah tersebut dilakukan dalam keadaan berikut;

  1. Separuh sengaja
  2. Tidak sengaja
  3. Sebab fizikal iaitu tiada persamaan fizikal (sebab syar'ie)
  4. Persetujuan pihak mangsa dengan dengan memberi maaf dan mengambil diyat sahaja tanpa hukuman qisas

Hukuman Ta'zir
Ta'zir secara istilah bermaksud kesiksaan yang bentuk dan kadarnya tidak ditetapkan oleh syara' utnuk dilaksanakan bagi menjaga hak-hak Allah atau individu di dalam kesalahan yang tidak diperuntukkan di dalam hadd atau qisas.

Kategori Ta'zir
Terdapat tiga kategori hukuman ta'zir;

  1. Segala bentuk perbuatan maksiat kepada Allah.
  2. Segala perbuatan yang mencabuli kepentingan awam walau sebenarnya ia bukanlah perbuatan maksiat. Perbuatan tersebut tidaklah diharamkan melalui nas syara', tetapi bertentangan dengan kepentingan dan norma awam.
  3. Perbuatan kesalahan yang tidak disengajakan.

Sebelum seseorang melakukan zina, perbuatan bersentuhan dengan syahwat, bersekedudukan boleh dikategorikan sebagai tidak bermoral dan boleh dikenakan hukuman ta'zir. Apabila pasti perzinaan berlaku, maka hukuman hadd boleh dijatuhkan.

Sebelum sesuatu pihak melancarkan pemberontakan, perbuatan mengadu domba, menghasut, menfitnah atau menipu dan perancangan pemberontakan boleh dikategorikan sebagai suatu kesalahan atau cubaan melakukan keasalahan. Maka pihak tersebut boleh dikenakan hukuman ta'zir. Apabila pasti pemberontakan telah berlaku, pihak yang terlibat akan dikenakan hukuman hadd.

Sebelum seseorang murtad, perbuatan berterusan mengamalkan cara hidup bukan Islam, melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syiar Islam, memperlekeh hukum hakam Islam, semuanya boleh dikenakan hukuman ta'zir. Apabila perbuatan murtad telah pasti berlaku dan usaha kaunseling tidak berjaya, maka hukuman hadd boleh dijatuhkan.

Sebelum seseorang meminum arak, semua urusan yang melibatkan terhasilnya arak bermula daripada semaian, penanaman, penuaian, pemerahan, penapaian, pembungkusan, pengedaran dan pemasaran yang akhirnya dijual untuk diminum, kesemuanya merupakan kesalahan dan boleh dikenakan hukuman ta'zir. Orang yang meminum arak boleh dikenakan hukuman hadd.

Mudahnya, perbezaan antara ketiga-tiga bentuk hukuman ini adalah seperti berikut;

  1. Hukuman hadd dan qisas telah ditentukan kadar dan bentuknya oleh Allah swt, manakala hukuman ta'zir ditentukan oleh pemerintah.
  2. Hukuman hadd ditentukan secara khusus sebanyak tujuk jenis kesalahan. Kesalahan qisas adalah terhadap nyawa dan tubuh badan manusia. Manakala hukuman ta'zir adalah segala bentuk kesalahan selain kesalahan hadd dan qisas.
  3. Hukuman hadd dilaksanakan apabila terdapat pencabulan terhadap hak-hak Allah (hak-hak umum). Hukuman qisas dilaksanakan apabila terdapat pencabulan terhadap hak-hak individu. Manakala hukuman ta'zir dilaksanakan apabila terdapat pencabulan terhadap hak Allah (hak umum) atau hak individu yang tidak disebut di dalam hukuman hadd dan qisas.
  4. Hukuman hadd tidak boleh dimaafkan, semoga kemaafan Allah adalah melalui pelaksanaan hukuman tersebut. Hukuman qisas boleh dimaafkan atau diganti dengan pembayaran diyat. Manakala hukuman ta'zir boleh dimaafkan atau diringankan oleh pemerintah.

Unsur-unsur Jenayah
Terdapat tiga unsur utama untuk mengklasifikasikan sesuatu kesalahan jenayah;

  1. Unsur hukum dan undang-undang: Wujudnya nas (ayat al-Quran atau hadith) yang melarang dan wujudnya nas yang menentukan hukuman bagi kesalahan tersebut.
  2. Unsur fizikal: Wujud unsur perbuatan jahat (perlakuan jenayah) secara fizikal daripada penjenayah.
  3. Unsur mental: Wujud unsur niat jahat (niat melakukan jenayah) yang menjadi sebab penjenayah memikul tanggungjawab dan kapasiti terhadap jenayah yang dilakukan.

Unsur Hukum dan Undang-undang Dalam Hukuman Hudud
Segala perbuatan yang dilakukan oleh seseorang mukallaf tidak dianggap salah, berdosa dan melakukan jenayah sehingga boleh disabitkan hukuman selagi tiada nas yang mengharamkan atau melarang perbuatan tersebut. Tidak ada perbuatan salah kecuali ada nas dan tidak ada hukuman kecuali adanya undang-undang. Firman Allah, "Dan kami tidak akan mengazab sebelum kami mengutus seorang rasul" (al-Isra' 17:15)

Hukuman zina: 
Firman Allah, "Dan janganlah kamu mendekati zina" (al-Isra' 17:32)

Firman Allah, "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rotanlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali rotan" (an-Nur 24:2)

Sabda Nabi, "Ambillah (keputusan ini) dariku. Allah telah menentukan kedudukan mereka. dara dengan teruna rotan seratus kali dan buang daerah selama setahun, manakala yang sudah kahwin dengan yang sudah kahwin seratus rotan dan rejam dengan batu" (riwayat al-Jama'ah kecuali Bukhari dan Nasa'ie)

Hukuman tuduh zina:
Firman Allah, "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka rotanlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali rotan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasiq" (an-Nur 24:4)

Hukuman meminum arak:
Firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, menenung nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan" (al-Maaidah 5:90)

Sabda Nabi, "Setiap yang memabukkan adalah haram" (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Sabda Nabi, "Sesuatu yang banyaknya memabukkan. Sedikit darinya pun haram" (Riwayat Abu daud daripada Jabir)

Sabda Nabi, "Pukullah mereka (iaitu orang yang mabuk)" (Riwayat Tirmizi)

Walaubagaimanapun, Nabi tidak menerangkan bilangan pukulan serta menjadi pokok perselisihan fuqaha'.

Hukuman mencuri:
Firman Allah, "Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (al-Maaidah 5:38)

Hukuman merompak/meragut/menyamun:
Firman Allah, "Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik, atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka didunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar" (al-Maaidah 5:33)

Hukuman murtad:
Firman Allah, "Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi" (Ali 'Imraan 3:85)

Firman Allah, "Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya" (al-Baqarah 2:217)

Sabda Nabi, "Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah ia" (Riwayat al-Jama'ah kecuali Muslim)

Sabda Nabi, "Tidak halal darah seseorang muslim kecuali disebabkan tiga perkara;orang berkahwin yang berzina, pembunuhan dan orang yang meninggalkan agamanya (murtad)" (Riwayat al-Jama'ah daripada Ibnu Mas'ud)

Hukuman pemberontakan:
Firman Allah, "Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya. Jika salah satu daripada kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah mereka (golongan yang berbuat aniaya) sehingga mereka kembali kepada perintah Allah" (al-Hujurat:49:9). Orang yang melakukan pemberontakan hendaklah diperangi sehingga mereka kembali kepada perjanjian.

Unsur Hukum dan Undang-undang Dalam Hukuman Qisas dan Diyat
Firman Allah, "Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar" (al-An'aam 6:151)

Firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat suatu kemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa." (al-Baqarah 2:178-179)

Firman Allah, "Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya (Taurat) bahawasanya nyawa (dibalas) dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisas)nya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim" (al-Maa'idah 5:45)

Firman Allah, "Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar" (an-Nahl 16:126)

Friman Allah, "Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali kerana tersalah (tidak sengaja), dan barangsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah, (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga terbunuh) bersedekah (memaafkan tanpa menerima diyat). Jika ia (si terbunuh) dari kaum (kafir) yang ada perjanjian (damai) antara mereka dengan kamu, maka (hendaklah si pembunuh) membayar diyat yang diserahkan kepada keluarganya (si terbunuh) serta memerdekakan hamba sahaya yang beriman. Barangsiapa yang tidak memperolehnya, maka hendaklah ia (si pembunuh) berpuasa dua bulan berturut-turut untuk penerimaan taubat dari pada Allah. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (an-Nisaa' 4:92)

Sabda Nabi, "Sesiapa yang membunuh seseorang mukmin, dia hendaklah dibalas bunuh kerananya, kecuali wali pihak yang dibunuh memaafkannya" (Riwayat an-Nasa'ie)

Sabda Nabi, "Mana-mana orang yang dibunuh, maka keluarga yang dibunuh itu boleh memilih satu antara dua; Kalau mereka mahu mereka boleh melaksanakan hukuman qisas. Mereka juga boleh mengambil diyat jika meeka mahu" (Riwayat al-Jama'ah)

Sabda Nabi, "Dan dalam kes bunuh, diyatnya adalah seratus ekor unta" (Riwayat an-Nasa'ie)

Unsur Fizikal
Titik pemisah antara perbuatan salah dengan perbuatan tidak salah ialah keburukan yang terjadi. Perbuatan yang tidak membuawa apa-apa keburukan tidak dianggap salah. Sebab itulah Islam telah menetapkan tidak ada apa-apa hukuman terhadap apa-apa yang terlintas di dalam hati seseorang untuk melakukan kesalahan selagi belum dilakukannya.

Bentuk perbuatan jahat dalam jenayah;

  1. Melakukan: Segala perbuatan yang secara langsung mewujudkan jenayah tanpa apa-apa perantaraan atau sebab terhadap jenayah tersebut.
  2. Menyebabkan: Segala perbuatan yang dapat mewujudkan jenayah secara tidak langsung tetapi dengan perantaraan perbuatan lain yang menjadi sebab secara langsungkepada jenayah tersebut.
  3. Menjadi syarat: Segala perbuatan yang secara tidak langsung mewujudkan jenayah tetapi menjadi syarat kepada berlakunya jenayah tersebut.

Terdapat dua bentuk unsur fizikal dalam mensabitkan sesuatu jenayah;
1- Benar-benar berlaku
2- Belum benar-benar berlaku

Sebarang percubaan untuk melakukan apa jua bentuk jenayah tidak akan dikenakan hadd atau qisas, akan tetapi dikenakan ta'zir. Hukuman ta'zir wajib kepada semua jenis maksiat yang tidak boleh dikenakan hukuman hadd dan kaffarah.

Pakatan Jahat
Sebarang pakatan jahat tidak akan terkecuali daripada empat elemen yang terlibat secara langsung;

  1. Pelaku
  2. Pembantu
  3. Persetujuan
  4. Penggalak

Elemen pertama dan kedua, mereka disabitkan sebagai pelaku perbuatan jenayah. Manakala elemen ketiga dan keempat, ia dihukum sebagai terlibat dalam jenayah atau bersubahat.

Unsur Mental (Niat Jahat)
Asas kepada perbuatan jenayah (syarat) ada tiga iaitu;

  1. Melakukan perbuatan yang diharamkan atau dilarang atau salah
  2. Secara pilihan sendiri
  3. Secara tahu atau sedar tentang natijah atau akibat

Sabitan tanggunggajawab sesuatu jenayah terhadap pelakunya ialah; wujud perbuatan salah dan wujud niat jahat. Apabila wujud perbuatan salah secara sedar dengan berniat jahat, bermakna ia disengajakan. Jika wujud perbuatan salah secara sedar tanpa berniat jahat bermakna ia tidak disengajakan. Orang yang tersilap boleh diringankan beban tanggungjawab atau dihapuskan.

Jenayah Sengaja dan Tidak Sengaja

  1. Sengaja: Sengaja melakukan perbuatan jahat dengan niat jahat
  2. Separuh sengaja: Melakukan perbuatan jahat dengan membunuh atau mencederakan tanpa niat membunuh.
  3. Tidak sengaja: Terbahagi kepada 'tersalah buat' atau 'tersalah anggap'. 'Tersalah buat' seperti seseorang yang mahu menembak burung tetapi terkena manusia. 'Tersalah anggap' seperti seseorang yang menembak kerana disangkanya musuh, namun hakikatnya kawan sendiri.
  4. Sebagai tidak sengaja: Terbahagi kepada 'tanpa niat tetapi kerana kelalaian' dan 'tanpa niat tetapi kerana perbuatan'. 'Tanpa niat tetapi kerana kelalain' ialah seperti seseorang yang tidur lena dan menghempap anaknya sehingga mati. 'Tanpa niat tetapi kerana perbuatan' ialah seperti seseorang sengaja menggali lubang di tepi jalan, tetapi suatu hari kerana lubang tersebut seseorang jatuh ke dalamnya lalu mati atau cedera.

Syarat-syarat Hilang Jaminan Undang-undang
Seseorang manusia lahir dalam keadaan fitrah dan merdeka. Selagi tiada kesalahan yang dilakukannya, maka mereka dijamin kehidupannya melalui undang-undang. Namun, apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan, jaminan tersebut telah tiada. Syarat-syaratnya ialah;

  1. Seseorang melakukan kesalahan yang mempunyai hukuman tetap seperti kesemua kesalahan hudud dan qisas.
  2. Jenayah yang berupa pembunuhan (hudud) dan mencederakan (qisas). 

Pengecualian Am Daripada Hukuman Jenayah
Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu terhadap perbuatan dan terhadap pelaku.

Terhadap perbuatan:

  1. Mempertahankan diri
  2. Mendidik dan mengajar
  3. Merawat dan mengubat
  4. Sukan
  5. Hilang jaminan undang-undang
  6. Hak dan kewajiban pemerintah

Terhadap pelaku:

  1. Paksaan atau darurat
  2. Mabuk, gila dan tidur
  3. Kanak-kanak bawah umur (belum baligh)

Paksaan secara istilahnya bermaksud;

  1. Sesuatu tindakan yang boleh menghilangkan pilihan atau kerelaan. 
  2. Tindakan paksaan tersebut boleh mendatangkan bahaya/sakit.
  3. Ugutan yang boleh mendatangkan rasa takut.

Jenis Paksaan;

  1. Paksaan sempurna: Tiada rela, tiada pilihan dan mengancam nyawa.
  2. Paksaan tidak sempurna: Tiada rela dan ada pilihan. Tidak mengancam nyawa seperti mengurung atau memukul.

Kesalah dalam paksaan
Sesuatu kesalahan dilakukan dalam keadaan terdesak atau terpaksa terbahagi kepada beberapa keadaan yang menghasilkan hukuman tertentu;

  1. Tidak terkesan dengan paksaan: Kesalahan membunuh dan mencederakan dengan serius. Walaupun dalam keadaan terpaksa atau terdesak, pelakunya akan dikenakan qisas atau diyat atau ta'zir.
  2. Menjadi harus dengan paksaan: Makan dan minum. Seperti seseorang yang dipaksa makan daging anjing dan minum arak.
  3. Tetap salah tetapi dikecualikan kerana paksaan: Tuduh zina, mencuri, vendalisme. Walaupun hukuman terhadap pelaku boleh digugurkan, namun ianya tetap menjadi kesalahan.



Hidup dalam mencari..

Bandar Baru Bangi,
13 Syawal 1436H.

Comments