Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Suatu ketika dahulu saya ada menulis mengenai Peranan Agama Dalam Menangani Masalah Sosial. Namun, penulisan tersebut sangat ringkas dan ianya sebagai suatu pencetus pemikiran apa yang saya fikir di benak pemikiran ketika itu. Saya melihat ketirisan atau kebejatan masalah manusia itu berpunca dari dalam diri mereka sendiri walau tidak dnafikan pengaruh atau faktor. Saya melihat dalam dua sudut iaitu peranan dan pemerkasaan ideologi Rukun Negara serta penghayatan terhadap ajaran agama masing-masing. Akan tetapi, penulisan ini tidaklah begitu lengkap atau sempurna kerana kekangan bahan rujukan primer atau rujukan asas yang berautoriti dalam bidang yang berkaitan.
Penulisan sebelum ini menekankan peranan Rukun Negara serta konsep kebaikan secara asas. Pada kali ini, kita melihat bahawa sememangnya apabila prinsip yang pertama itu dipegang kukuh oleh setiap warganegara iaitu Percaya pepada Tuhan, keharmonian dan kemajuan negara akan berjalan seiring dan sejalan. Kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan sebenarnya selari dengan sifat dan kelakuan baik kerana balasan baik dan buruk sememangnya ada, dimiliki dan dikuasai oleh Tuhan yang Maha Agung. Penulisan ini sebahagian besar dirujuk daripada buku bertajuk ‘Mengapa Kami Memeluk Islam?’ oleh Dr. Nawi Jusoh terbitan DJN Consultant Sdn. Bhd., cetakan Pertama 2006.
Agama Islam
Islam berasal daripada perkataan ‘salama’ yang membawa maksud sejahtera atau menyerah diri. Seseorang muslim mereka akan memperoleh kesejahteraan dan rahmat Allah swt samada di duani mahupun akhirat. Kesejahteraan ini membawa kepada kehidupan yang diredhai oleh Allah dan merekha juga meredhai Allah dan Islam sebagai Tuhan dan agama mereka. Menyerah diri [ula bermaksud seseorang muslim melaksanakan sesuatu atau dalam kata lain seluruh hidupnya terarah hanya untuk Tuhannya, Allah swt. Segala jiwa raga, harta, masa, ilmu, kekuatan diguna atau disumbangkan demi Tuhannya yang Esa dan agamanya Islam. Konsep ini telah dibawa oleh nabi yang pertama iaitu Nabi Adam as dan berterusan sehingga Nabi Muhammad saw. Kata yang lebih mudah, hakikatnya semua nabi, termasuk nabi-nabi yang disebut dalam agama lain seperti Yahudi dan Kristian membawa agama Islam.
Agama Islam terdiri daripada tiga tiang seri utama, iaitu akidah (berkait dengan keimanan), ibadah (berkait dengan tatacara beribadah samada ibadah khusus atau umum) dan akhlak (berkait dengan sifat ihsan, melakukan sesuatu dengan merasai kehadiran Allah swt) dalam setiap perbuatan, pekerjaan dan amalan. Ketiga-tiganya berpadu dan sentiada bersangkut paut antara satu sama lain dalam membentuk individu muslim yang bertaqwa, berkahlak mulia serta maju. Agama Islam mementingkan keuntungan dan kepentingan bukan sahaja untuk keperluan dunia, tetapi yang lebih utama keperluan akhirat.
Asas kepada keimanan di dalam Islam ialah mengesakan Allah swt. Kalimah “Tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah” merupakan pembeda jelas antara iman dan kufur. Asas ini meletakkan Tuhan yang menguasai dan mencipta alam serta mengurus segala kehidupan, samada kehidupan yang lepas, sedang dan akan berlaku, nyata dan tersembunyi (ghaib) adalah Allah swt. Tiada tuhan yang kedua, tiada bapa, tiada anak, tiada adik-beradik, tiada tunggangan, tiada sahabat, tiada makanan atau minuman kegemaran dan tiada jantina. Allah swt suci daripada sesuatu yang sekutu denganNya dan suci daripada segala sifat-sifat makhluk yang diciptakanNya.
Keimanan kepada Allah ini berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan dengan elemen utusan atau rasul. Keesaasn kepada Allah digandingkan bersama dengan penyaksian atau pengakuan bahawa Nabi Muahammad saw itu pesuruh Allah (Rasulullah). Nabi Muhammad saw diutus daripada kalangan manusia agar wujud keserasian dengan golongan yang didakwahnya iaitu manusia dan jin. Manusia sebagai khalifah di muka bumi dan jin sebagai penumpang di dunia ini. Nabi Muhammad saw merupakan seorang manusia biasa, bukan sebahagian daripada tuhan atau anak kepada tuhan atau bapa atau gandingan, bayangan, sebahagian, jelmaan, bayang-bayang atau sekutu tuhan.
Allah adalah khaliq (pencipta), rabb (pentadbir) dan ilah (yang disembah). Maka, selain Allah yang Maha Esa itu adalah makhluk (yang dicipta), yang ditadbir dan yang menyembah. Selain daripada Allah termasuk sesuatu yang bergerak seperti haiwan, serangga, ikan, burung dan haiwan seni. Termasuk pepohon, lautan, angin, api, planet dan bulan, batuan, udara dan segala partikel yang wujud sekecil-kecilnya. Termasuk bangunan, komputer, kereta, pesawat dan segalanya.
Allah yang disembah tidak melalui perantaraan. Tiada perantaraan patung seseorang yang berpengaruh atau tokoh, batu yang dibentuk atau berhala, sami atau paderi, jin mahupun kuasa alam. Allah itu tidak berbentuk seperti manusia, haiwan, lebih-lebih lagi seperti pohon atau batu. Persamaan Allah dengan sesuatu yang ada di dunia ini atau rekaan khayalan minda yang cetek ‘membentuk’ tuhan, ia lantas melambangkan kelemahan, kecacatan dan kekurangan tuhan. Tuhan adalah istilah teragung, tertinggi, termulia dan terhebat, paling berkuasa, dalam hierarki pemikiran dan minda manusia.
Tiga sendi utama dalam Islam adalah Rukun Iman, Rukun Islam dan Rukun Ihsan.
Rukun Iman;
- Beriman kepada Allah swt.
- Beriman kepada para malaikat
- Beriman kepada kitab Allah
- Beriman kepada para Rasul.
- Beriman kepada hari kiamat.
- Beriman kepada qadha’ dan qadar.
Rukun Islam ialah;
- Mengucap dua kalimah syahadah.
- Menunaikan solat lima waktu sehari semalam.
- Membayar zakat fitrah.
- Puasa di bulan Ramadhan.
- Menunaikan haji ke Baitullah bagi yang berkemampuan.
Rukun Ihsan ialah; beramal atau melakukan sesuatu dengan merasai seolah-olah Allah melihatnya walau sebenarnya dia tidak mampu melihat Allah, sedangkan Allah memang sentiasa melihatnya.
Dalam Islam, sesuatu perbuatan yang dijadikan sebagai ibadah secara khusus adalah haram, melainkan ada dalil yang memerintahkannya. Manakala sesuatu muamalat (transaksi) di dalam Islam adalah diharuskan atau dibenarkan melainkan ada dalil yang mengharam atau melarangnya. Ibadah khusus wajib dilakukan sepertimana wujud dalil-dalil suruhan dan perintah daripada al-Quran dan as-Sunnah. Segala perbuatan harus seperti makan, tidur, berkerja, bersukan dan sebaginya termasuk dalam perkara ibadah umum dan mendapat pahala apabila diniatkan kerana Allah swt.
Setiap perbuatan baik akan mendapat pahala dan setiap perbuatan buruk akan mendapat dosa. Pahala boleh berkurang dengan maksiat dan boleh menjadi muflis apabila ia dituntut di akhirat oleh orang yang dia aniaya atau zalimi. Dosa boleh terhapus dengan taubat nasuha dan melakukan kebaikan kecuali dosa terbesar iaitu syirik kepada Allah (menyekutukan Allah dengan sesuatu makhluk yang lain). Setiap perbuatan manusia dalam kehidupan seharian diajar dan dituntut dengan akhlak yang mulia sepertimana yang disebut dalam al-Quran dan diajar oleh Nabi Muhammad saw.
Dosa terbahagi kepada dua, iaitu besar dan kecil. Dosa besar ialah dosa dan perlakuan salah yang dijelaskan hukuman dan laknat serta akibat yang disebut secara jelas dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Menurut az-Zahabi dalam bukunya ‘Al-Kabaair’, ada dinyatakan sebanyak 70 dosa besar dan daripada 70 itu diringkaskan kepada jenisnya seperti berikut;
- Empat jenis di hati iaitu syirik, terus-menerus berbuat maksiat, putus asa dan berasa aman daripada siksa Allah.
- Empat jenis pada lisan iaitu kesaksian palsu, menuduh berbuat zina pada wanita baik, sumpah palsu dan mengamalkan sihir.
- Tiga jenis di perut iaitu minum arak, memakan harta anak yatim dan memakan riba.
- Dua jenis di kemaluan, iaitu zina dan homoseksual (gay, lesbian, liwat).
- Dua macam di tangan iaitu membunuh dan mencuri.
- Satu di kaki iaitu lari dalam peperangan.
- Satu di seluruh badan iaitu derhaka terhadap orang tua.
Sumber utama perundangan Islam yang disepakati ada empat iaitu;
- Al-Quran
- Sunnah Nabi Muhammad saw
- Ijma’ ulama
- Qias
Agama Yahudi
Perkataan Yahudi atau Juda berasal daripada perkataan ‘Judah’, iaitu nama salah satu kabilah Bani Israel yang melahirkan Nabi Daud. Kabilah atau keturunan ini adalah yang paling utuh dan terus kekal sehingga ke hari ini berbanding kebailah atau puak lain yang telah dihalau dan menjadi kucar-kacir disebebkan oleh orang Assyria sekitar tahun 722 SM. Judaisme adalah agama yang berkaitan dengan Yahudi dan berteraskan adat. Ia merupakan agama rasmi bagi bangsa Israel kerana hanya bangsa ini yang dibenarkan untuk menganut agama Judaisme.
Agama Judaisme adalah kombinasi antara unsur agama dengan unsur bangsa. Menurut hukum agama Judaisme, seseorang itu adalah beragama Judaisme apabila ibunya beragama Judaisme atau ia memeluk agama ini mengikut hukum-hukumnya. Agama ini percaya bahawa wujud Tuhan Maha Esa yang telah menyelamatkan bangsa Israel daripada penindasan di Mesir dan memberikan kitab Taurat sebagai panduan hidup. Berdasarkan kitab Taurat, orang Israel adalah umat Nabi Ibrahim, iaitu nabi yang dilantik oleh Tuhan dalam covenant (perjanjian), yang berasal dari Babylon.
Penganut agama ini berpegang teguh kepada penjanjian Tuhan dengan Nabi Ibrahim bahawa agama Judaisme diberi 10 Perintah Tuhan melalui ketua mereka iaitu Nabi Musa. 10 Perintah Tuhan tersebut ialah;
- Tidak ada tuhan lain selain Aku.
- Jangan membuat tuhan lain seperti patung atau yang seumpamanya.
- Tidak menyebut nama Tuhan dengan sebarangan dan sia-sia.
- Peringati dan raikanlah Hari Sabbath.
- Hormati ayah dan ibumu.
- Jangan membunuh.
- Jangan berzina.
- Jangan mencuri.
- Tidak berbuat jahat dengan saudaramu.
- Jangan merampas hak milik yang dipunyai oleh saudaramu.
Selain 10 Perintah Tuhan yang disenaraikan di atas, penganut Judaisme juga mempercayai kepercayaan 13 Prinsip Ramban. 13 prinsip tersebut ialah;
- Tuhan itu wujud.
- Tuhan itu satu dan unik.
- Tuhan itu tiada jasad.
- Tuhan itu kekal abadi.
- Sembahyang hanya kepada Tuhan sahaja tidak pada yang lain.
- Kata-kata daripada nabi-nabi adalah benar belaka.
- Ramalan Musa itu benar dan Musa adalah nabi yang terbaik.
- Tulisan kitab Taurat (lima kitab Tanakh) dan pengucapannya (yang diajar dalam kitab Talmud) adalah diberikan kepada Musa.
- Tiada kitab lain selain Taurat.
- Tuhan tahu apa yang difikirkan dan dilakukan oleh manusia.
- Tuhan akan membalas perbuatan baik dengan pahala dan perbuatan jahat dengan dosa.
- Seseorang penyelamat akan turun ke bumi.
- Kematian akan dibangkitkan semula.
Kesemulajadian Tuhan merupakan salah satu kepercayaan Judaisme. Berikut adalah kepercayaan Judaisme terhadap kesemulajadian dan kejadian Tuhan;
- Tuhan itu wujud – kewujudan Tuhan itu adalah benar dengan kewujudan alam semesta ini sebagai buktinya.
- Tuhan itu satu – tidak ada tuhan lain yang harus disembah melainkan Tuhan Judaisme.
- Tuhan yang mencipta segala-galanya – seluruh makhluk di bumi, alam semesta, haiwan-haiwan dan sebagainya telah dicipta oleh Tuhan dengan kuasa yang ada padaNya.
- Tuhan adalah roh yang tidak mempunyai jasad – tidak seperti manusia, Tuhan tiada jasad yang menyamakanNya dengan manusia.
- Tuhan bukan lelaki atau perempuan – Tuhan bukan sahaja tiada berjasad malah tidak mempunyai jantina.
- Tuhan berada di mana-mana – setiap saat Tuhan sentiasa berada di samping manusia walau di mana berada dan Dia nampak setiap apa yang manusia lakukan.
- Tuhan Maha Kuasa – Dia sangat berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Namun begitu, setiap kejadian atau ciptaanNya pasti ada sebab yang hanya diketahui olehNya sahaja.
- Tuhan Maha Mengetahui – Dia tahu segala-galanya sama ada perkara yang sudah berlaku, pada masa sekarang atau pada masa akan datang.
- Tuhan itu abadi – Dia tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Dia akan sentiasa menunaikan segala janji-janjiNya.
- Tuhan itu Maha Adil dan Mengasihani – keadilan Tuhan berdasarkan belas kasihanNya di mana kedua-duanya diseimbangkan.
- Tuhan itu suci dan sempurna – kesucian dan kesempurnaan itu hanya milik Tuhan.
- Tuhan itu bapa dan raja – Judaisme percaya bahawa mereka semua adalahanak-anak Tuhan kerana memberikan mereka jiwa, personality dan akal fikiran.
Kebanyakan penganut Judaisme mengikut peraturan Taurat dalam pemilihan makanan. Taurat melarang campuran susu dan daging. Daging babi juga tidak dibenarkan untuk dimakan. Daging-daging yang dimakan hendaklah disembelih dahulu oleh pihak Rabbi. Judaisme juga mengharamkan riba dan menganggap perkara itu berdosa tetapi dibenarkan (transaksi riba) dengan mereka yang bukan beragama Judaisme.
Bersambung..
Hidup dalam mencari..
Bandar Baru Bangi,
24 Jamadil Akhir 1436H.
Comments