Antara Istikharah, Istisyarah dan Mimpi

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

"Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar" (Surah Al-Baqarah 2:153)

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِي الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

"Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhanmu." Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas" (Surah Az-Zumar 39:10)

Prolog
Istikharah seringkali dikaitkan dengan pencarian jodoh untuk berkahwin. Samada mencari pasangan isteri atau suami. Istikharah perlulah dilakukan dengan cara dan niat yang betul disamping penuh yakin dan meredhai segala ketetapan dan petunjuk daripada Allah SWT. Istikharah perlu dilakukan beserta dengan istisyarah di dalam suasana yang tiada kecederungan nafsu. Penuh pengharapan kepada Allah kerana tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dari Allah SWT. Tiada manfaat dan mudharat melainkan daripada Allah SWT jua.

Hadith Istikharah
Mengenai galakan melakukan solat istikharah ada disebutkan di dalam kitab ‘al-Azkar’ (zikir-zikir) yang ditulis oleh Muhyiddin an-Nawawi atau Imam Nawawi rahimahullahu taala ‘anhu. Ia disebut di dalam Kitab Zikir-zikir Musafir di bawah Bab Istikharah dan Istisyarah (meminta pilihan dan meminta panduan).

Hadith istikharah ini juga disebut di dalam kitab Sahih Bukhari oleh Muhammad bin Ismail bin Ibrahim al-Bukhari pada tiga tempat yang berbeza. Pertama di dalam Kitab ke-19 (Tahajjud), Bab ke-28 (ma ja’a fi at-tathawwu’ masna masna), hadith nombor 1166; kedua di dalam Kitab ke-80 (ad-Da'awat), Bab ke-50 (Doa 'inda Istikharah), hadith nombor 6382; dan ketiga di dalam Kitab ke-98 (at-Tauhid), Bab ke-10 (Qul huwal Qadir), hadith nombor 7390. Juga terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang lain tetapi tidak disebutkan di sini.

Kupasan Hadith
Di dalam Kitab Tahajjud, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani tidak membincangkan hadith ini di dalam kitabnya Fathul Bari. Adapun perbicangan hanya pada dua Kitab yang lain. Di dalam Kitab Doa-doa, di bawah Bab Doa Ketika Istikharah, Ibnu Hajar telah megupas bahawa ia (istikharah) bermaksud agar Allah yang menunjukkan pilihan kepada orang yang meminta pilihan daripadaNya. Dalam erti kata lain meminta kepada Allah kebaikan buat dirinya. Apa yang dimaksudkan ialah meminta kebaikan salah satu daripada dua perkara. Insya Allah, kupasan mengenai hadith ini akan ditulis pada masa akan datang.


Berdoa dengan penuh pengharapan. Merasai kekerdilan diri.
Rasa diri fakir (memerlukan) dan hanya Allah yang kaya (memiliki segalanya).

Konsep Istikharah
Istikharah daripada kata dasarnya bermaksud pilih. Wazan istikharah sama juga seperti istighfar dan isti'anah. Maka, istikharah membawa maksud meminta pilihan.

Istikharah ialah mengharap atau berserah sepenuhnya kepada Allah SWT serta beradab denganNya, mengakui dengan kelemahan dan kekurangan diri selaku hamba untuk menanggapi kebaikan yang ada disekeliling yang merangkumi segala aspek kehidupan.


Istikharah juga lambang menghadap Allah SWT melalui sifatNya Yang Maha Berkuasa serta Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib (tidak kelihatan dan tidak dirasai oleh pancaindera) dalam setiap sesuatu. Agar Allah SWT menunjukkan kepada hamba tersebut apa yang terbaik baginya dan memohon agar dipermudahkan baginya. Kemudian hamba tersebut redha dengan apa yang Allah berikan untuknya. Sehingga hamba itu mencapai ketenangan diri dan tidak berterusan lagi bergantung terhadap kehendak dari dirinya, sedangkan Allah SWT mahu selain apa yang dikehendakinya.

Istikharah digalakkan kepada umat Islam terhadap perkara-perkara yang berkepentingan di dalam kehidupan seseorang hamba. Samada pilihan yang ada sama taraf kepentingannya ataupun untuk mengukuhkan apa yang lebih baik bagi perkahwinannya. Adakah sesuatu piihan yang diambil akan memberi kebahagiaan dan ketenangan ataupun ia sesuatu yang salah dan mengundang kesedihan.

Istikharah sepertimana yang dimaksudkan oleh Al-Manawi di dalam kitabnya 'Faidhul Basir': Istikharah ialah meminta kebaikan dalam sesuatu perkara dari Allah SWT, iaitu menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT di atas apa yang dipilih olehNya. Kerana sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik untuk para hambanya dan berkuasa memberikan apa jua kebaikan kepada sesiapa jua dari hambaNya. Maka janganlah rasa kecewa dan hina sekiranya Allah tidak mengkabulkan apa yang didoa.

Di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan at-Timizi ada menerangkan bahawa disunatkan melakukan istikharah dan berdoa dengan doa yang ma'thur daripada Nabi SAW di dalam perkara yang tidak diketahui oleh seseorang hamba mengenai hal keadaan yang sebenarnya. Sama ada mana yang baik atau tidak dan mana yang terbaik antara dua perkara yang baik. Adapun perkara yang diketahui sememangnya baik daripada ibadah-ibadah, atau perkara yang telah diketahui hal keadaanya (samada baik atau buruk), maka tidak perlu istikharah mengenainya.

Imam Nawawi telah berkata di dalam kitab Azkarnya "Lakukanlah selepas itikharah apa yang menyenangkan dadamu dengannya". Beliau berdalilkan daripada hadith Anas bin Malik RA daripada Ibnu as-Sunni pada riwayat katanya "Ketika seseorang berkepentingan di dalam sesutau perkara maka mintalah pilihan (istikharah) kepada Tuhannya tujuh kali kemudian lihat apa yang cenderung oleh hatinya dan itulah yang terbaik untuknya". Akan tetapi Ibnu Hajar mengatakan sekiranya hadith ini terbukti kesahihannya maka ianya boleh dipegang (diamalkan) akan tetapi sanadnya sangat lemah.

Istikharah bukanlah satu alasan dan sebab kepada kegagalan, kebinasaan atau kesukaran sesuatu perkara kerana ianya adalah ajaran dan tauladan yang datangnya daripada Rasulullah SAW kepada para sahabat bahkan kepada seluruh umat Baginda. Ia sebagai tanda bahawa Rasulullah SAW sering berharap sesuatu yang terbaik untuk umatnya. Bahkan ia (istikharah) dengan izin Allah SWT sebagai kurniaan daripada agama Islam itu sendiri dalam menggambarkan apa yang baik buat seseorang dan kemaslahatannya di dunia mahupun akhirat.

Istikharah sebenarnya sebagai satu tanda bahawa segala apa yang berlaku tunduk di bawah perintah dan kemahuan Allah SWT. Tidak berlaku sesuatu perkara pun walau sekecil mana melainkan dengan izin dan perintah Allah SWT. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi." (Surah Yaasiin 36:82)

Allah juga menggesa pada hambaNya agar perbanyakkan doa dan pergantungan hanya kepada Allah SWT secara berterusan sepertimana firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir:60)

Rasulullah SAW juga bersabda "Doa itu adalah ibadah" (Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan selainnya.

Selagi mana ianya apa yang telah dipilih oleh Allah SWT, serta hamba melaksanakan apa yang senang pada hatinya atau cenderung padanya, tidaklah sesuatupun yang terbit daripada perbuatan tersebut melainkan kebaikan. Sebagai seorang hamba yang memohon pilihan daripada Allah SWT hendaklah berserah atas ketentuan Allah SWT dengan apa yang bakal ditakdirkan untuknya.

Walaupun kebinasaan serta kehancuran yang terjadi dalam sesuatu perkara yang dipohon selepas istikharah, insya Allah merupakan akibat yang baik daripadaNya. Sesuatu perkara yang telah ditetapkanNya bertentangan dengan apa yang diharapkan oleh seseorang, atau nafsu dan perasaannya tidaklah ianya menunjukkan bahawa perkara tersebut tidak baik. Ini kerana Allah SWT berfirman:

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

"... Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. " (Surah al-Baqarah 2:216)

Mimpi
Mimpi diiktiraf di dalam Islam. Ini kerana mimpi bagi para rasul dan nabi merupakan petanda kerasulan mereka dan penurunan wahyu kepada mereka. Mimpi yang benar sepertimana yang dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW merupakan sesuatu yang wajib diimani serta boleh dijadikan hujah. Pelbagai tafsiran mimpi yang telah dibuat oleh para ulama terdahulu seperti tafsiran mimpi yang ditulis oleh Ibnu Sirin. Perbincangan mimpi secara terperinci tidak akan disebutkan di sini.

Adapun mimpi-mimpi yang datang (ketika proses istikharah) merupakan takwilan atau pandangan-pandangan yang tiada asalnya di dalam Islam. Jika ini berlaku, dan mimpi itu datang selepas melaksanakan istikharah berkemungkinan ianya sesuatu yang positif tetapi tidak boleh dijadikan sebagai pegangan yang pasti.

Perbuatan melalui istikharah tiada berkait dengan mimpi tidur dan tiada kaitan antara keduanya, serta tidak disyaratkan benarnya istikharah dengan melihat apa yang dipilihnya di dalam mimpi selepas itu. Ia tidak boleh dijadikan hujah atau dalil dalam menetapkan sesuatu hukum. Sepertimana yang telah disebutkan oleh Hassan Al-Banna ketika menerangkan prinsip yang ketiga dalam Usul Dua Puluh di bawah Rukun Perjanjian yang pertama iaitu Faham.

"Pada iman yang benar dan ibadah yang sahih serta mujahadah terdapat 'Nur' (cahaya) dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati di kalangan hambaNya, menurut siapa yang Dia kehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf (pandang tembus) dan mimpi bukanlah dalil-dalil (hujah) bagi hukum syara'. Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasNya."

Muhammad Abdullah Al-Khatib ketika memberikan kupasan mengenai ilham, kasyaf dan mimpi, beliau menyebutkan:

Al-Imam Asy-Syahid menerangkan bahawasanya ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi merupakan perkara-perkara yang thabit yang tidak boleh ditolak secara keseluruhannya. Meskipun demikian, ianya bukanlah tergolong dari dalil-dalil hukum yang tersendiri kerana di sana berlaku kesangsian dan sangkaan-sangkaan banyak bercampur dengannya. Oleh itu, ianya tidak boleh dipegang (sebagai hujah).

Sekiranya dikatakan: Apa faedah kewujudannya? Dijawab: Diterima, sekiranya tidak bertentangan dengan Al-Qur'an dan As-sunnah dan menguatkan kesahihan yang merupakan cahaya di atas cahaya. Hakikat ini telah dinyatakan oleh Al-Imam Aasy-Syahid yang mana ianya bertepatan dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah RasulNya serta ditegaskan oleh ulama.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata: "Mimpi semata-mata yang tidak ada dalil terhadap kesahihannya tidak menthabitkan sesuatu perkara dengan sepakat ulama. Dalam hadis sahih telah tsabit dari Nabi bahwasanya baginda bersabda yang maksudnya: "Mimpi ada tiga jenis; mimpi yang datangnya dari Allah, mimpi yang berpunca dari tuannya sendiri dan mimpi dari syaitan - Muslim : 4/1773 no: 2663.

Sekiranya sesuatu mimpi dari kalangan tiga jenis tadi, maka mesti dibezakan antara satu sama lain" (Al-Fatawa : 27/458)

Meskipun ulama mengesahkan adanya kasyaf dan mimpi, mereka telah menetapkan kemestian merujuk segala perkara yang berkaitan dengannya kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah kerana kedua-duanya terpelihara. Kasyaf, mimpi dan sebagainya merupakan perkara-perkara zanni (sangkaan) yang belum lagi terjamin ketepatannya.

Istikharah dan Istisyarah Mencari Jodoh
Sesetengah ulama beranggapan bahawa hasil atau keputusan daripada istikharah akan diperoleh daripada mimpi tidur atau kecenderungan di dalam hati. Tetapi pada hakikatnya ianya tidaklah sedemikian kerana kecenderungan untuk mengharap petanda yang baik (melalui istikharah) bagi sesuatu perkahwinan tidak boleh berpegang pada satu pilihan sahaja. Kerana berkemungkinan apa yang diperolehi setelah istikharah itu disebabkan oleh emosi atau terkesan daripada perbuatan-perbuatan lain yang berkait dengan nafsu atau perasaaan. Sepertimana yang dipegang oleh ulama yang berpendapat sedemikian melalui hadith yang lemah yang diriwayatkan oleh Ibnu as-Sunni sebelum ini.

Seseorang akan berterusan berusaha bersungguh-sungguh mencari pilihan disebabkan sesuatu perkara itu sangat penting baginya dan bimbang untuk membuat keputusan sendiri secara pasti. Maka dia menuruti mimpi atau gerakan hati tersebut sebagai keputusan istikharah dan ia merupakan suatu fitrah manusia pada situasi tersebut.

Apa yang terbaik ialah sekiranya seseorang lelaki selepas istikharah mahu segera meminang seseorang perempuan, hendaklah menyoal perempuan tersebut dan menyelidiki latar belakangnya untuk mengetahui samada perempuan itu sesuai untuk dirinya ataupun tidak. Kemudian bermesyuarat atau berbincang dengan orang yang boleh dipercayai agamanya, ilmunya dan kebijaksanaannya selepas mengambil semua sebab mengapa Allah pilih untuk dirinya tanpa terkesan oleh nafsu. Maka hendaklah dia bertawakkal penuh kepada Allah SWT dan melakukan pinangan.

Sesungguhnya ini merupakan tanda Allah SWT telah memudahkan dan melancarkan urusan tersebut, maka ia adalah baik. Tetapi, sekiranya ada halangan atau terhenti di pertengahan jalan, maka ia juga adalah baik kerana ia merupakan hasil daripada istikharah.

Berbincang atau meminta panduan daripada orang lain adalah sangat penting kerana hasil perbincangan dengan orang yang berautoriti atau dipercayai lebih kuat daripada pandangan peribadi semata yang berkemungkinan disebabkan cenderung keserasian semata tanpa melihat kepada keperluan atau kehendak lain yang juga penting. Imam Nawawi pernah berkata "Digalakkan seseorang berbincang meminta nasihat, simpati dan kepakaran sebelum istikharah daripada orang yang lebih mengetahui dalam persoalan tersebut yang dipercayai agamanya dan taqwanya kepada Allah".

Demikianlah juga apabila seseorang lelaki datang kepada seorang perempuan dan menyatakan hasrat untuk meminangnya. Maka hendaklah perempuan tersebut bertanya kepada si lelaki untuk kepastian dengan menumpukan kepadanya dua perkara asas yang penting iaitu mengenai akhlak dan agamanya. Jalan lain juga adalah bertanya kepada kaum kerabat dan rakan yang dipercayai agama dan amanahnya. Kemudian berbincang perkara tersebut dengan ahli keluarganya dan sesiapa yang dipercayai dalam agama dan pengetahuannya. Persoalan mengenai adakah dirinya sesuai dengan lelaki tersebut, adakah lelaki tersebut serasi dengan dirinya dan adakah di sana wujud perkara-perkara yang membawa kepada perkahwinan yang berjaya atau sebaliknya.

Kesemua perkara tadi berkemungkinan juga terkesan daripada kehendak nafsu. Maka diperintahkan kepadanya memilih dengan pilihan yang betul, menerima keputusan tersebut (istikharah) selepas melaksanakannya, menyerahkan perkara tersebut kepada Allah SWT. Tetapi jika sebaliknya, perempuan itu berkeyakinan bahawa dirinya tidak sesuai dengan lelaki tersebut mengenai agamanya, komitmennya, peribadinya, lantas enggan menerima pinangan tersebut, maka hendaklah dia menolak tanpa bimbang serta penuh yakin bahawa dia tidak akan bahagia dan gembira dengan lelaki tersebut. Juga perlulah berdoa kepada Allah SWT untuk mempermudahkan sesuatu yang lebih baik bagi dirinya.



Maka, keputusan untuk berkahwin perlulah jelas dengan mengambil tahu segala kemungkinan, rasional perkahwinan, kesan-kesannya dan menggunakan semua sebab-sebab yang boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan untuk mencapai keputusan dalam melaksanakan istikharah. Perlu berpegang dan menilai serta mengambil nasihat yang sesuai dan mencari sebab-sebab untuk mencapai keputusan yang istikharah yang menenangkan hati. Perlu memohon kepada Allah SWT ketentuan yang baik bagi dirinya dan memohon agar Allah SWT memudahkan urusan tersebut.

Kadang-kadang selepas istikharah berlaku penolakan terhadap sesuatu pinangan atau keengganan untuk perkahwinan dan mahu mengelakkan diri disebabkan rasa bimbang atau keliru. Maka seseorang itu telah menipu dirinya sendiri kerana takutkan beban tanggungjawab perkahwinan malah mengatakan masih tidak boleh atau ragu untuk menerima keputusan daripada istikharah.

Sesetengah daripada masyarakat hari ini tidak memberi perhatian kepada pendapat si gadis sebelum perkahwinan dan solat istikharah yang ia lakukan. Segala keputusan hanya terletak di tangan keluarganya dan bukan di tangan gadis berkenaan. Maka keadaan ini juga tidak diterima sebagai hasil istikharah kerana pada asasnya keadaan ini tidak menjamin kejayaan sesuatu perkahwinan. Perbincangan adalah jalan terbaik walaupun wali berkuasa penuh terhadap anak gadis yang dimilikinya.

Pada pengakhiran istikharah, seseorang hendaklah berdoa kepada Allah SWT untuk menetapkan masa yang Dia kehendaki dan siapa yang Dia mahu jodohkan. Apabila seseorang hamba berlapang dada menerima apa sahaja yang Allah mahu berikan dan takdirkan kepadanya, maka sebenarnya ia adalah untuk kebaikan hamba itu sendiri. Allah SWT tidak perlu dipersoalkan tentang apa yang telah Dia tetapkan, sedangkan manusia itu sendiri yang sepatutnya terus meminta kepadaNya.

Seseorang perlu melaksanakan keputusan sesudah istikharahnya segala apa yang melapangkan dadanya, sama ada melaksanakan sesuatu atau meninggalkannya. Akan tetapi, sekiranya apa yang diperoleh daripada istikharah bertentangan dengan kehendaknya tetapi tetap melaksanakannya walaupun tidak membawa ketenangan pada dirinya bukanlah satu kesalahan dalam tindakan. Ini kerana setiap sesuatu yang dilakukan berdasarkan istikharah kepada Allah SWT adalah baik.

Jika seseorang melakukan sesuatu yang hatinya sendiri tidak tenang, ia menjadi petanda bahawa perkara tersebut adalah tidak baik walaupun sebenarnya perkara tersebut bukanlah suatu yang buruk pada hakikatnya. Sesungguhnya istikharah merupakan satu bentuk doa kepada Allah SWT. Doa ini tidak semestinya akan dimakbulkan oleh Allah SWT ketika dunia. Bahkan sebenarnya mereka yang berdoa ini akan mendapat pahala di sisi Allah SWT di akhirat kelak, atau sebagai ganti daripada kafarah dosa.

Perkahwinan merupakan satu kehidupan yang menyempurnakan, ia bukan hanya untuk sementara waktu, beberapa jam atau tahun. Ia bukan perkara yang perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa dalam mencapai keputusan perkahwinan dan semuanya membayangkan kebahagiaan di tangan pengantin. Keputusan untuk berkahwin merupakan satu keputusan yang perlu diambil serius oleh seseorang. Apa-apa kesilapan daripadanya, padahnya amatlah sakit. Ia bukan sahaja bakal memberi kesengsaraan kepada suami atau isteri, bahkan kepada keluarga kedua belah pihak dan juga anak-anak apabila jalan yang ada hanyalah penceraian. Walaupun penceraian berlaku, suami, isteri dan anak-anak terpisah, kesakitan serta kepedihannya tetap terasa kerana hidup berkeluarga merupakan jantung dalam kehidupan.

Mungkin ada golongan yang mempersoalkan mengapa masih berlaku penceraian walaupun perkahwinan tersebut dibuat setelah mencapai keputusan daripada istikharah. Oleh itu, kita hendaklah mengatakan bahawa semua orang yang beriman itu adalah baik untuk dia bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan dan tetapkan padanya. Maka hendaklah berdoa agar Allah memberikan kesudahan yang terbaik terhadap urusan penceraian tersebut dan anak-anak. Pastinya Allah SWT lebih mengetahui terhadap apa yang terjadi. Musibah memang ada di dalam Islam dan ianya merupakan salah satu daripada penghapusan dosa dan menaikkan darjat seseorang hamba di sisi Tuhannya.

Kesimpulan
Istikharah dan Istisyarah perlulah dilaksanakan seiringan. Tidak hanya dalam urusan mencari jodoh semata-mata, tetapi segala perkara yang mempunyai kepentingan dalam agama, kehidupan dunia dan akhirat. Ini kerana dunia merupakan jambatan ke akhirat. Jambatan dunia yang tidak teguh, reput danpecah di sana sini sukar menjamin kehidupan bahagia di akhirat kelak.

Kehidupan seseorang hamba pastinya tidak dapat lari daripada harap dan takut kepada Allah SWT. Mengharap akan rahmatNya, bimbinganNya, petunjukNya, bantuanNya, serta takut akan siksaanNya, istidrajNya, murkaNya dan azabNya yang Maha Pedih. Mengharap menjadikan hamba sentiasa berada dalam ketaatan dan berdoa kepadaNya. Manakala takut menjadikan hamba sentiasa menjauhi maksiat dan dosa kepadaNya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sekiranya ditimbang perasaan takut dan perasaan harap dari seseorang mukmin, nescaya kedua-duanya sama rata".

Sabda Baginda SAW lagi: "Jangan mati seseorang kamu melainkan ia menyimpan sangkaan baik terhadap Allah SWT".


Hadiah buat diri. Semoga lebih mengerti.

Tanta,

19 Rejab 1432 H.

Comments

Anonymous said…
syukran atas perkongsian