Nabi Muhammad tidak boleh dijadikan teladan hanya dari segi ibadahnya sahaja. Teladan yang perlu diambil oleh kita semua perlulah menyeluruh seumpama menyeluruh dan sempurnanya Islam untuk setiap masa dan tempat.
Riwayat hidup Nabi SAW merupakan riwayat yang sangat berharga dan tiada tolok bandingnya jika mahu dinilai dengan segala kekayaan di atas muka bumi ini. Hanya mereka yang sedar, prihatin dan berusaha mengorek sebanyak mungkin murtiara dan kekayaan dalam sirah Baginda ini akan mendapat kebahagiaan dan kecemerlangan dalam hidup dan berumahtangga.
"Tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan memberi rahmat ke seluruh alam"
1- Memelihara daripada hedonisme
Sejak kecil Rasulullah SAW sudah menghindarkan diri daripada sebarang penyembahan berhala yang dianggap tuhan oleh nenek moyangnya. Baginda tidak terpengaruh dengan keinginan yang salah dengan menjadikan berhala sebagai sembahan, pemujaan, pengharapan dan memberikan korban.
Dalam situasi hari ini, ibu dan bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak menjadikan seseorang individu yang kurang akhlaknya sebagai idola, terutamanya artis yang kehidupan mereka sangat bebas. Walaupun ada artis yang baik budi pekertinya dan boleh dijadikan sebagai contoh, namun majoritinya tidaklah sedemikian.
Pendedahan melalui televisyen, akhbar, majalah, tabloid dan lain-lain perlu dikawal dan dipantau. Kawalan dan pantauan bukanlah bermakna sekatan atau halangan, tetapi seolah penjagaan piawaian dalam memastikan kesederhanaan tindakan supaya tidak terpesong daripada matlamat dan tujuan yang lebih besar dan jelas. Matlamat terbesar adalah pimbinaan rumahtangga muslim yang mendapat keredhaan dan naungan Allah SWT.
Menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola paling utama, disamping menjadikan para sabahat Nabi, para imam besar dan cendekiawan Islam lain perlu dititikberatkan. Anak-anak perlu didedahkan dengan kisah-kisah, penceritaan, pembacaan langsung dan tauladan tidak langsung. Walaupun mereka tidak melihat golongan mulia ini di hadapan mata mereka, namun kebijaksanaan ibu bapa mampu menjelmakan seolah suatu realiti di hadapan mata anak-anak.
Kita sering melihat cerita barat yang membacakan buku-buku cerita kepada anak mereka ketika sebelum melelapkan mata. Tatpi, berapa ramai ibu bapa hari ini melakukan sedemikian? Berapa ramai ibu bapa menemankan anak-anak mereka di sisi sehingga mereka lena? Melaluinya ia mampu membuatkan jiwa dan fikiran anak-anak lebih tenang dan membenci perkara yang bertentangan dengan fitrah yang baik.
2- Membentuk anak menjadi orang yang dipercayai
Baginda Rasulullah SAW sentiasa berkata benar dan menunaikan janjinya. Sehinggakan baginda sangat disayangi dan dicintai di kalangan kaumnya sehingga digelar 'Al-Amin' iaitu yang dipercayai.
Langkah pertama membentuk seseorang menjadi orang yang dipercayai adalah dengan memberi kepercayaan kepada mereka. Rasulullah SAW, makhluk paling mulia di atas muka bumi ini telah memperoleh kepercayaan daripada Allah SWT untuk menjadi Nabi akhir zaman. Maka, Rasulullah telah dirancang hidupnya oleh Allah SWT bagi menempuhi rintangan dan tanggungjawab mendatang yang memerlukan Nabi SAW memberi menerima kepercayaan dan memberi keyakinan atau kepercayaan kepada masyarakat jahiliyah ketika itu.
Seseorang menjadi lebih yakin dan kuat keyakinannya apabila sandaran mereka juga kukuh dan kuat. Sebagai contoh, seorang bayi yang baru belajar untuk berdiri dan berjalan, andai sentiasa dipimpin tangan mereka oleh ibu bapa dan dipangku ketika jatuh, secara tidak langsung motivasi anak akan meningkat. Anak akan menumpu menuju kehadapan iaitu untuk berdiri dan berjalan daripada takut terjatuh dan akhirnya menangis kesakitan. Walaupun jatuh, sakit dan menangis itu juga merupakan pengalaman yang diperlukan anak untuk menjadi lebih matang, tetapi pemberian yang terbaik pastinya mampu membawa perolehan yang terbaik juga.
Orang yang dipercayai seringkali dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Percakapnnya benar dan tidak bohong. Malah, perkara positif yang diungkapkan selari dengan tindakannya yang benar dan perkara yang negatif diungkapkan selari dengan tindakannya yang tidak bertindak melakukan kesalahan dan kejahatan.
Berkata benar sangat terkesan daripada didikan ibu dan bapa. Ibu bapa perlu meletakkan ilmu yang betul, kepada siapa yang si anak perlu takuti. Kepada siapa sebenarnya amalan dan segala ibadah manusia dituju. Juga apa yang perlu diketahui oleh seorang anak untuk menjadi muslim yang terbaik, dari sudut akidahnya, ibadahnya dan akhlak.
Sikap ibu bapa yang suka memarahi dan menghukum akan menyebabkan anak-anak menjadi takut dan mencari alasan dan idea lain agar apa yang dibuat tidak diketahui dan dapat disembunyikan. Namun, apabila anak-anak telah sejak kecil dididik dengan pemahaman akhlak, sentiasa dalam kebersamaan ibu ayah dan didikan agama, mereka pasti selari hidupnya dengan apa yang agama dan ibu bapa mahukan.
3- Mendidik membenci kezaliman
Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling tidak menyukai perbuatan aniaya mehupun merampas hak-hak kaum yang lemah. Malah Rasulullah akan membalas kezaliman dengan kemurahan hati dan keluhuran jiwa Baginda.
Inilah pentingnya pantauan ibu bapa terhadap tingkahlaku seharian dan kejadian sekeliling anak-anak. Sekiranya anak-anak terlibat sama melihat berita di televisyen, menonton cerita, dokumentari atau apa-apa jua slot yang ada berkisarkan perkasa yang zalim atau negatif, perlulah ibu bapa memberi komentar dengan bijaksana.
Apa yang baik, beritahu mereka agar melaksanakan dan menjadikan sebagai teladan. Apa yang negatif dan tidak baik, tegaskan kepada mereka agar jangan sesekali terlibat dan melakukan yang sedemikian. Pemberitahuan secara amaran, teguran, nasihat atau sebaigainya adalah berdasarkan kebijaksanaan ibu bapa.
Ketika membawa mereka berjalan-jalan, perlihatkan kepada mereka fakir miskin yang ada, orang-orang tua, orang tiada upaya dan seumpamanya. Berikan galakan kepada mereka agar golongan ini dibantu, dikasihi dan disayangi. Sekiranya ada di hadapan mereka pengemis ketika berjalan-jalan atau bersiar-siar, berikan anak-naka duit atau bantuan dan minta kepada mereka masukkan ke dalam tabung pengemis atau hulurkan bantuan tersebut. Beritahu mereka bahawa Rasulullah SAW sangat sayangkan anak yatim dan pengemis serta tidak berlaku zalim kepada orang lain.
Ibu bapa perlu memberikan komentar dengan apa yang ditonton oleh anak-anak. Gambaran mengenai peperangan, kezaliman, kebuluran, perlulah dikaitkan dengan bagaimana pandangan Islam melihat situasi-situasi ini. Walaupun ibu bapa bersikap seolah-olah tahu walaupun kurang tahu, namun sedikit sebanyak membantu perkembangan fikiran dan akhlak yang baik buat anak-anak. Ibu bapa perlu berusaha menambahkan ilmu dan pengalaman.
4- Tidak terpengaruh dengan keadaan sekeliling
Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan berakhlak mulia dan berperibadi sempurna. Baginda tidak terpengaruh dengan suasana negatif yang berlaku dipersekitarannya.
Situasi ini terjadi apabila Nabi SAW telah tersedia baginya persekitaran yang baik ketika peringkat kecil dan remajanya. Jika kita mahu seseorang tidak lagi meminta, maka perlu bagi kita memberikan peluang dan ruang untuknya berdikari dan memajukan diri sendiri. Peluang atau 'pengganti' perlu diberikan dan dihidangkan buat mereka. Kekurangan dan kelemahan yang ada pada mereka jangan kita jadikan alasan untuk tidak membantu sebaik mungkin.
Bagi memastikan anak-anak tidak terpengaruh atau menerima pengaruh yang tidak baik dari luar rumah, ibu bapa perlulah terlebih dahulu menyediakan persekiratan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak ini perlu terlebih dahulu terpengaruh dengan akhlak-akhlak Islam dan terpengaruh terlebih dahulu dengan tindakan, amalan dan akhlak kedua ibu dan bapanya. Biarkan anak-anak mengikut dan jadi seperti ibu dan bapanya. Solat berjemaah, makan tidak berlebihan, berpakaian sopan, bercakap dengan lemah lembut, tidak marah, mengikuti sunnah dan sebagainya.
Anak-anak perlu dipengaruhi dengan tuntutan dan kehendak agama yang utama terlebih dahulu. Mereka perlu diresapi dengan keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap kewujudan Allah SWT. Merasai Allah Maha Melihat dan Mengetahui segala sesuatu. Anak-anak perlu terlebih dahulu dipengaruhi dengan akhlak orang-orang soleh dan dipengaruhi agar menjauhi segala perbuatan yang tidak baik dan meyonsang daripada ajaran Islam.
Anak-anak perlu diterangkan dengan segala kebaikan yang ada di persekitaran luar serta mendekatinya. Serta perlu diterangkan segala keburukan dan kejahatan yang ada di luar serta menjauhinya. Mereka perlu dididik dengan benar-benar memahami dan menghayati mana yang betul dan mana yang salah. Bukan sahaja mengetahuinya, tetapi bertindak dengan jalan yang sepatutnya dituntut oleh agama.
5- Memperjuangkan kebenaran dan berkata benar
Diketahui bahawa Rasulullah SAW berketurunan pembesar masyarakat Arab dan daripada qabilah termulia dari kalangan meraka. Akan tetapi, setelah datangnya Islam, Baginda tidak mempedulikan segala kebesaran dan kemuliaan yang diperolehinya, malah sanggup berhadapan dengan kerabatnya sendiri yang menolak dan menghalang penyebaran Islam sebagai agam yang benar.
Melakukan perjuangan tidaklah semudah mendengar dan melihat serta mengiyakan di dalam hati semata. Tetapi perjuangan lebih menuntut kepada tindakan yang pasti dan penuh keyakinan. Apabila anak memahami bahawa hanya Allah sebagai Tuhan yang sebenarnya untuk disembah dan ditujukan segala ibadat, mengetahui bahawa hanya Islam agama yang benar, mengetahui agama lain adalah agama ciptaan dan penyelewengan, maka pemahaman yang bulat ini merupakan bekalan berharga buat anak-anak.
Apabila di luar terdapat kawan-kawan yang berkata bohong, maka anak-anak memperjuangkan agar jangan berkata bohong dan perlu berkata benar. Apabila ada kawan yang bergaduh, anak-anak mampu mempertahankan yang teraniaya dan meleraikan pergaduhan. Paling kurang mereka membenci pergaduhan dan melindungi sesiapa yang dizalimi.
Apabila ada kekeliruan mudah mengenai ilmu agama dalam akidah, ibadah dan akhlak yang tidak selari dengan ilmunya dari apa ayang dipelajarinya, maka anak-anak tersebut mampu membawa kebenaran dan mempertahankannya serta menolak salah faham dan sebarang kesalahan. Anak-anak perlu dididik menjadi pembela agama dan memperjuangkan agama. Pengahaytan kepada "sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah" perlu ditekankan.
Inilah beberapa contoh dan ciri yang boleh kita ambil dan jadikan pedoman. Perlu kita menjadi lebih rajin menghayati corak hidup hayat Nabi Muhammad SAW. Bukan sekadar berarak dan berselawat sahaja, tetapi yang lebih penting istiqamah dalam berselawat serta mengambil pengajaran berharga yang sangat tinggi nilainya berbanding nilai emas, perak dan berlian.
Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Boleh bersama Baginda di syurga, bersama di bawah rendangan pohon syurga dan meminum air dari telaga kauthar Nabi Muhammad SAW.
Allahumma solli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih..
Hadiah buat diriku..
Kuala Lumpur,
11 Rabi'ul Akhir 1433H.
Comments