Jaga Lidah Kamu Wahai Dr. Asri dan Anda Perlu Meminta Maaf!




Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sejujurnya saya bukanlah selayaknya untuk berbicara dengan terperinci dalam menghukum dan menilai keperibadian seseorang ulama. Lebih-lebih lagi mereka golongan yang taqwanya sangat tinggi di sisi Allah SWT.

Cumanya saya sangat terkesan dengan bicara seseorang yang sangat mudah memberi kenyataan yang negatif dalam memberi komentar terhadap ucapan dan keperibadian ulama. Tiba-tiba sakit dada membaca entri tersebut.

Saya telah mengetahui tentang ini, iaitu seolah terdapat perbezaan pendapat antara Syeikh Tusuf al-Qardhawi dan Syeikh Ali Jum'ah, Mufti besar Mesir. Ringkasnya, Syeikh Yusuf al-Qardhawi bersetuju dengan tindakan rakyat menjalankan demonstrasi, manakala Syeikh Ali Jum'ah sebaliknya.

Tiba-tiba ada pula seorang ulama Malaysia ni mudah-mudahnya untuk menghukum keperibadian salah seorang dari mereka. Pada saya, tindakan ini sangatlah tidak bertanggungjawab dan ini menggambarkan betapa jeleknya hati dan pandangan beliau. Sila baca di sini.

Saya hairan, adakah beliau telah memandang apa yang berlaku dengan pandangan hati yang adil dan bersederhana? Adakah beliau telah mempertimbangkan segala apa yang berlaku berdasarkan kepada semua keadaan dari pelbagai sudut?

Menempelak keperibadian seseorang ulama yang telah jelas ketinggian ilmu dan sifat taqwanya, janganlah mudah melakukan sedemikian. Bagaimanakah anda mahu meminta maaf atas perbuatan ini sedangkan anda di Malaysia dan Syeikh jauh nun di sana?

Adakah anda sanggup menanggung bebanan dosa hasil daripada salah tanggapan yang telah anda canangkan di laman internet? Bukankah prasangka buruk merupakan pembohongan yang paling jelek?

Cubalah bertenang dan bijak dalam menilai sesuatu perkara. Saya sangat bersetuju dengan apa yang diungkapkan di dalam blog ini.

Semoga ia menjadi pengajaran kepada kita dalam beradab dan terhadap ilmu dan pengamal ilmu yang sebenarnya.

*Sebenarnya diri ini sangat 'terguris' dengan pandangan Dr. **** yang telah beliau nyatakan di dalam lamannya.

Hidup dalam mencari..

Kuala Lumpur,
18 Rabu'ul Awwal 1432 H.

Comments